Berlari Mencari Awan Kuning


“Oi, cepat lah! Tu yang aku cakap, Habermas tak leh pakai. Suruh cepat lambat pula, macam mana manusia ni tak perlu nak kawal dan paksa?” Fikah menjerit sambil buka pintu rumah.

“Ye la, jap lah, ada kerja sikit,” aku jerit balik.

Aku tahu Fikah tu perli aku. Dia faham aku memang peminat Habermas. Aku tutup laptop sebelum bergegas cari kasut boot Nike aku. Aku memikirkan tulisan di Malaysiakini mengenai peranan internet dalam membuka ruang demokrasi di sesebuah negara. Sememangnya itu yang kita perlukan; ruang demokrasi yang lebih luas. Manusia perlu diberi peluang untuk berkomunikasi. Teori Habermas tidak silap.

Fikah pula tidak pernah menyokong idea itu.

“Kalau betul manusia boleh berkomunikasi kerana mempunyai rasional, tak perlu da orang turun kat Kuala Lumpur bulan depan.” Aku ingat lagi dia bercakap semalam. Aku ingat sebab corak wajahnya yang yakin sekali semasa membuat pernyataan itu. Ikan kembung masak cili api dengan sambal belacan yang tengah dia makan tidak mengganggu sedikit pun ceramah spontannya.

Dalam hal ini aku setuju juga dengan Fikah. Aku akan pergi bulan depan. Kadang-kala komunikasi ini ada juga batasannya. Beberapa hari lalu ada seorang blogger menulis tentang perhimpunan di ibu kota itu. Pendapat dia, masyarakat Cina tidak akan turun bersama-sama dalam pertemuan besar-besaran anjuran gabungan NGO di seluruh Malaysia.

Aku tidak kisah. Aku sudah buat keputusan untuk turun sejak hari aku dilahirkan. Hidup ini – dan hidup-hidup yang sebelumnnya – mendidik bahawa aku perlu berbuat begitu. Pengalaman lampau mengingati kita tentang pilihan-pilihan yang kita harus ambil untuk mencapai suatu tujuan atau kebaikan yang lebih besar.

“How’s everything,” my dad asked.

“Good, good. Things are fine,” I answered.

“Darren finally enrolled into college. He’s also received the letter from PTPTN. They approved his application for the four-year study loan.”

“That’s good. It’ll help a lot,” dad continued.

“How about you, how are things in Melbourne?” I asked.

“We’re fine. Mummy is a bit tired. You know, it’s because of the work schedule. They’re making us work seven-days a week, nine-hours a day,” he replied.

Ada pernah sekali aku menyalahkan bapa aku; generasi lama – generasi ibu bapa aku – penakut kerana tidak berani untuk membuat perubahan.

“Banyak masalah yang wujud di Malaysia sekarang dapat dielakkan jika orang dahulu sanggup pertahankan apa yang benar dan menentang penindasan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku,” aku berkata, dengan penuh keyakinan dan idealisme seorang anak muda.

“Bagaimana nak menentang, apa lagi lawan, kalau makanan untuk keluarga di rumah pun tak cukup dan tak tentu? Kerja lagi penting,” bapa aku pernah menjawab.

“I hope mummy gets well soon. Please take care of yourself too,” I said.

“Don’t worry about us. Let us know if you need any money ok,” he told me.

Sudah empat tahun mereka tidak balik untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama-sama kami. Sistem di Australia berbeza. Tidak seperti Malaysia, tiada cuti umum untuk perayaan tahun baru. Sebab itu, susah cari peluang untuk balik ke sini semasa musim perayaan. Kerja pun tidak boleh ditinggalkan; pekerjaan di sana tidak senang untuk cari.

Sebenarnya apa yang blogger itu tulis memang benar. Tetapi masyarakat Cina tidak pernah rasa begitu, atau memahami keperluan untuk berbuat begitu. Mungkin.

“Wa boh bheng phek hami su lu ai cam kha hua nah gina (aku tak faham kenapa kau suka bergaul dengan budak melayu),” pernah sekali sepupu aku tanya.

“Hami su mai cham leh, masee lang bhun (kenapa tak nak bergaul, manusia juga),” aku jawab.

“Ee lang ah, phun tua, bhan, ko boh gao (mereka malas, lambat, lagi tak pandai),” balas dia.

Aku memikir dalam hati; sekurang-kurangnya orang malas, lambat, tak pandai ini sanggup turun untuk pertahankan keadilan dan kebenaran. Mereka bersama melalui ikatan semangat setiakawan yang melampaui batas-batas kaum, agama, dan gender. Suatu semangat yang dahulunya pernah mendorong revolusi Perancis dan Iran.

Tetapi aku tidak menjawab. Aku hanya tersenyum.

Sebab itu aku setuju dengan pendapat blogger berkenaan. Namun, aku mungkin salah.

Aku pernah terbaca manusia berupaya untuk bersatu bukan atas dasar rasional atau rasionaliti, tetapi atas nilai estetika imaginasi dan perasaan yang didorong oleh pergertian dan penghayatan tragedi dan simpati. Nilai-nilai ini yang akan mengumpul semua lapisan masyarakat di bawah satu gagasan untuk menentang kerajaan yang menindas dan tidak adil.

Kedengaran budak-budak di bawah rumah bising bermain bola sepak. Tidak kah tragisnya mereka perlu menanggung segala tindakan dan penyelewenggan kita pada hari ini? Bukan sahaja dibebankan dengan pelbagai hutang dan dosa kita, tetapi juga hidup dikenali dengan ciri-ciri seperti malas, lembap dan bodoh oleh mereka yang kononnya kaya, pandai dan rajin. Semua dimain-mainkan dan ditendang sana-sini seperti bola bukan sahaja oleh pemimpin dan negara, tetapi juga agama dan falsafah.

Ditipu oleh pemimpin, ditinggalkan oleh Tuhan, dan dipinggirkan oleh masyarakat.

Kegelisahan, keputusasaan dan rasa cemas ini yang membuat aku mengejar awan kuning. Aku pasti tidak akan melepaskan peluang ini bulan depan.

“Nak pergi lagi ke tak!?” Fikah teriak dari atas Yamaha 125cc, kali ini dengan nada yang betul-betul serius.

“Datang, datang,” aku menjawab berjalan turun tergesa-gesa dari tangga. Dari belakang aku terbaca tulisan di belakang bajunya.

Hanya ada satu kata: LAWAN!

6 Responses

  1. this one is different..

  2. best

  3. the best article i ve read so far. deep and philosophical with literary aesthetic thrown in secukup rasa to make me as a reader feel very touched. keep on writing mr/miss leneke.

  4. Leneke My Bro,

    Perghhhh! Gua tak sangka yang lu bley menulis gaya sastera la bro. Ingat lu tulis sumer pasal falsafah yg abstrak jer. Hahaha. Ini kali memang mantap. Bukan sahaja cereberal tetapi juga ada jiwa la bro. Itu yg bikin orang tersentuh tuh! Hahaha

    Btw, habermas tak leh pakai la bro dalam kondisi Malaysia. German dan Eropah punya kondisi demokrasi beza bro. Kalo Habermas datang Malaysia gua gerenti teori tindakan komuniikatif dan ruang awam dia tu tentu berbeza sama sekali. Habermas hanya sesuai bila ruang awam sudah punya tiang-tiang demokrasi yang kukuh dan mapan.

    Untuk kondisi Malaysia ni hanya teori tindakan aktif turun ke jalan sahaja yang sesuai! Hanya ada satu kata: TURUN JALAN !!!

    Hahaha

  5. Btw, Miss Nelly….Leneke ni balak la bukan awek. Dan dia maseh single! Hahaha

  6. kalah Si S

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: