Shay Adora Ram: Suatu Bangsa Yang Belum Siap

Buat masa sekarang Shay Adora Ram tidak mungkin menjadi anak bangsa Malaysia. Ini kerana bangsa Malaysia maseh di dalam proses pembikinannya. Bangsa Malaysia maseh belum siap. Apa mungkin kita menjadi sesuatu yang maseh belum siap?  Apa mungkin kita menjadi sesuatu yang maseh belum dituntaskan? Apa mungkin kita menjadi sesuatu yang maseh tidak punya kesepakatan tentang rupa-bentuk dan ciri-cirinya? Apa mungkin kita menjadi sesuatu yang pada setiap kelompok punya takrifan dan makna yang berbeza-beza? Apa itu bangsa Malaysia? Apakah ciri-cirinya? Apakah rupa-bentuknya? Apakah penanda identitinya?

Daripada beberapa pemerhatian di ruang ulasan, komentar dan pandangan di pelbagai laman sesawang ternyata masyarakat berbelah-bagi. Ada yang menyokong, ada yang membantah, ada yang sinikal, ada yang mencemuh, ada yang mempertahan malah ada yang menjadikannya sebagai bahan kelakar. Yang lebih menarik lagi komentar dan pandangan di dalam berita berbahasa Inggeris cenderung menyokong manakala yang di dalam bahasa Malaysia pula cenderung membantah.

(Dan kita maseh belum tahu bagaimana pula pandangan mereka yang menyampaikan komentar atau pandangan di dalam bahasa Tamil atau Mandarin. Kemungkinan besar mereka juga punya perspektif yang juga berlainan).

Jadi soalnya di sini bagaimana mungkin Shay Adora Ram menjadi bangsa Malaysia sedangkan kelompok-kelompok masyarakat yang membentuk entiti yang dinamakan Malaysia ini pun bukan sahaja tidak punya kesepakatan bersama di dalam memberi ciri-ciri yang paling umum malahan citra dan hasrat masing-masing kelompok tentang apa itu bangsa Malaysia juga jauh berbeza antara satu sama lain. Rupa-bentuk bangsa Malaysia yang dihasratkan oleh satu kelompok berbeza dengan satu kelompok yang lain.

Sila rujuk laman sesawang yang berikut (sejumlah kecil contoh impirikal) untuk melihat perbezaan pandangan dan komentar yang diajukan. Umumnya berita bahasa Malaysia, komen dan pandangan lebih banyak ditulis di dalam bahasa Malaysia. Manakala berita Bahasa Inggeris pula, semua pandangan dan komentar di dalam bahasa Inggeris. Terdapat perbezaan yang agak ketara antara kelompok yang menulis di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia tentang persoalan ini. Kemungkinan yang boleh diandaikan di sini ialah penggunaan bahasa juga bertindih dengan kumpulan etnik.

http://my.news.yahoo.com/sabm-gesa-jpn-benar-daftar-bayi-perempuan-yb-023928618.html

http://www.malaysiakini.com/news/166277

http://dinturtle.blogspot.com/2011/06/isu-anak-malaysia.html

http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/dap-backs-couples-anak-malaysia-bid/

Anda juga boleh membuat carian google untuk meninjau blog-blog lain yang menulis tentang perkara ini dan melihat sendiri bagaimana terdapat pemaknaan yang berbeza antara mereka yang menulis di dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Kemungkinan besar juga mereka yang menulis di dalam bahasa Tamil dan Mandarin juga mempunyai komentar dan pandangan yang berbeza tentang apa itu bangsa Malaysia melalui wacana mereka tentang Shay Adora Ram ini.

Perbezaan hasrat di dalam memberi takrifan dan pemaknaan tentang konsep bangsa Malaysia inilah menyebabkan apa yang dinamakan bangsa Malaysia itu sejak dari merdeka sehingga kini tidak dapat dirumuskan secara tuntas. Kita pada hari ini sebenarnya mewarisi kegagalan pendiri-pendiri awal negara Malaysia yang terdahulu yang telah mengkesampingkan persoalan rupa bentuk bangsa dan identiti kebangsaan di dalam keghairahan mereka untuk mencapai kemerdekaan.

Oleh kerana asas pembinaan bangsa tidak dibahaskan secara gencar dan mendalam, ditambah pula dengan keinginan kelompok yang kuat untuk mengekalkan identiti etnik, budaya dan bahasa asal masing-masing serta sengitnya wacana tanding khususnya yang melibatkan persoalan etnik, agama dan bahasa pada period masa sebelum dan selepas merdeka, maka apa yang kita warisi sekarang ini ialah kesinambungan tatacara bernegara dan bermasyarakat di dalam kerangka masyarakat plural tinggalan penjajah dengan asas-asas identiti kebangsaannya yang kabur, tidak jelas, goyah, goyang dan caca-merba.

Di dalam meneruskan kerangka masyarakat plural tinggalan penjajah di mana perhubungan antara kelompok khususnya kelompok etnik berada di tingkat yang cukup dangkal serta cetek, maka tidak hairanlah jika sekiranya perbahasan tentang ciri-ciri dan rupa-bentuk apa yang dinamakan bangsa Malaysia ini ditandai oleh perbezaan yang cukup ketara seperti mana yang dapat kita lihat di komentar dan pandangan dari laman sesawang dan blog yang telah dinyatakan di atas. Perbezaan-perbezaan yang bersifat teras ini menyukarkan masyarakat Malaysia untuk sepakat di dalam mengkonsepsualisasikan takrif dan makna bangsa Malaysia secara tuntas.

Selagi tidak tuntas, selagi tiada kesepakatan bersama dan selagi terdapat perbezaan yang ketara di dalam mengkonsepsualisasikan tentang ciri-ciri dan rupa-bentuk bangsa Malaysia ini selagi itu bangsa Malaysia akan menjadi suatu bangsa yang belum siap. Bukan sahaja Shay Adora Ram tidak mungkin menjadi bangsa Malaysia, malahan bayi-bayi lain yang kedua ibu-bapa mereka yang menginginkan bayi mereka diklasifikasikan identiti diri sebagai bangsa Malaysia juga akan turut mengalami nasib yang sama.

Yang lebih penting di sini sebenarnya bukanlah kategori yang diletakkan oleh negara tetapi kategori yang diberikan oleh masyarakat itu sendiri tentang apa itu bangsa Malaysia. Shay Adora Ram (apabila beliau sudah boleh membuat keputusan sendiri) dan masyarakatlah yang pada akhirnya akan menentukan siapa Shay Adora Ram yang sebenarnya dan apakah identitinya.

Bangsa Malaysia memang belum siap tapi kewarganegaraan Malaysia sudah lama tersedia sebagai sebahagian daripada penanda identiti yang berbentuk kenegaraan. Walau pun Shay Adora Ram dinafikan dari menjadi bangsa Malaysia tetapi bayi kecil itu tetap warganegara Malaysia yang wajib diberi layanan yang adil dan saksama.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: