Alahai Buku Jingga Mahasiswa..

Buku Jingga adalah usul daripada hasil muafakat Pakatan Rakyat.  Di peringkat pimpinan parti (dengan andaian mereka telah memungut hasil fikiran segenap masyarakat dengan semasaknya) telah berjaya mengemukan satu kumpulan usul yang ditandatangani oleh kepimpinan ketiga-tiga parti, sekali gus mematikan cakap-cakap yang mengatakan mana mungkin PAS, DAP dan PKR boleh membentuk dasar bersama.

Buat sekian kalinya, Pakatan Rakyat berusaha untuk membawa wacana politik Malaysia ke tahap yang lebih bermaruah – ke tahap politik dasar – politik yang membincangkan bagaimana untuk mengurus dan mentadbir negara. Usaha untuk keluar dari politik jijik yang hanya berkisar soal lubang dan lendir.

Buku Jingga ini diharap dapat menerbitkan ghairah dalam kalangan masyarakat untuk membincang, meneliti, menghujah dan mengkritik dasar-dasar serta cadangan Pakatan Rakyat ini; PR bukan hanya mahukan legatimasi politik rakyat melalui undi mereka pada Pilihan Raya Umum akan datang, malah yang lebih mustahak adalah legatimasi moral rakyat terhadap kepimpinan PR. Biar pakatan atas nama rakyat ini kelak benar-benar tegak kerna kehendak dan kefahaman rakyat terhadap segala apa yang diinginkan mereka. Bukan sebagaimana kerajaan BN kini yang hanya berdiri melalui retorik perkauman yang memualkan. 

Maka adalah menjadi kewajiban masyarakat untuk bersikap kritis terhadap Buku Jingga ini.  Pastinya kita tidak mahu masyarakat hanya menurut segala apa yang disuakan ke muka mereka. Sebagaimana yang terjadi kini. Betapa kita kecewa dengan sikap para oportunis politik – dari JKKK kampung, membawalah kepada media – yang hanya fasih mengulang-ulang slogan 1Malaysia untuk semua acara dan majlis yang mereka anjurkan. Entah apa landasan 1Malaysia itu (jika ada?), tak siapa peduli. Janji teriak!

Namun, sikap ini tidak sukar untuk difahami. Barisan Nasional selama ini memang cenderung membentuk rakyat menjadi warga yang pasif. Warga yang menurut tanpa menyoal. Warga yang tidak ada upaya analitikalnya. Warga yang hilang maruahnya. Akan tetapi, adalah menjadi satu kerugian jika mahasiswa – yang berjuang soal autonomi universiti – turut   terperangkap dengan sikap yang merugikan demokrasi ini.

Mengapa tiba-tiba mahasiswa mahu keluar dengan Buku Jingga versi mereka sendiri? Mengapa kini? Bukan sebelum Pakatan Rakyat? Adakah kelompok mahasiswa yang mahu menentang campur tangan eksekutif terhadap pentadbiran universiti ini tidak jauh bezanya dengan belia yang menjerit-jerit 1Malaysia di Dataran Putrajaya tempoh hari?  Tambah jengkel, dokumen yang bakal dihasilkan (atau diciplak konsepnya?) ini dinamakan sebagai Harapan Baru Mahasiswa! Jelas, untuk memikirkan nama pun mahasiswa kita gagal untuk berfikir Independen (ya, Independen dengn ‘I’ besar ).

Penulis percaya Pakatan Rakyat juga tidak mahu mahasiswa menjadi alat parti politik. Malah, mahasiswa sendiri berang dilabel sebegitu. Seharusnya mahasiswa mengupas kandungan Buku Jingga ini seilmiah mungkin dan jika mampu dibawa wacananya kesetiap celah masyarakat. Biar masyarakat umum memahami hasrat Pakatan Rakyat dan memberi maklum balas untuk membaikinya agar benar-benar mencerminkan keinginan masyarakat terbanyak.

Maka, semoga para pimpinan mahasiswa kita dapat membina isu, agenda dan strategi mereka sendiri. Tidak salah untuk berkongsi nada dengan PR, namun bukannya copy and paste  dan edit sebagaimana tugasan kuliah! Seharusnya mahasiswa menjadi suara rakyat, bukanya tukang sorak Pakatan Rakyat.

Demokrasi hanya berjalan tegap melalui penglibatan aktif warganya menyemak setiap struktur kekuasaan; dan Pakatan Rakyat – meskipun belum menjadi kerajaan pusat – adalah salah satu struktur kekuasaan yang wajib disemak secara kritis.  Tanpa penglibatan aktif ini, warga hanya menjadi boneka tanpa tali para elit politik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: