Yang umum dan yang khusus; Michel Foucault dan Falsafah Français

Betapa senangnya untuk memerintah manusia pada zaman ini. Kalau Plato ataupun John Locke hidup pada era ini, tidak akan tertulis karya-karya The Republic dan Two Treatises of Government. Tidak akan ada pembaca untuk Das Kapital atau Muqaddimah. Kalau perlu, mungkin zaman ini boleh dipanggil zaman retorik dan ketidakdewasaan. Satu ketika dalam sejarah manusia di mana masyarakat senang untuk ditipu dan diperintah dengan ucapan-ucapan dan dasar-dasar kosong.

Pelbagai slogan digunakan dan dasar diceritakan kepada rakyat untuk menunjukkan kerajaan mengambil langkah-langkah drastik untuk membangunkan negara. Semestinya ini bukan sesuatu yang baru. Kritikan terhadap kejadian ini telah dibahaskan dan dibangkitkan berulang kali sejak dari dulu lagi. Tetapi yang membezakan masa kini daripada yang sebelum-sebelumnya hanya kerana satu; kewujudan internet dan perkembangan teknologi.

***

Negara kita kaya dengan sumber-sumber alam. Bukan sahaja itu, dari segi sumber modal insan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi boleh dikatakan Malaysia mempunyai antara jumlah yang tertinggi. Tetapi negara dan masyarakat kita disumpah. Kadang-kala kita bertanya adakah semua negara yang kaya dengan sumber alam sememangnya disumpah? Apakah kesalahan masyarakat di Malaysia sehingga turut dikena sumpahan ini? Adakah kewujudan saya di tanah Malaysia menyebabkan sumpahan ini? Jika tidak, apakah tindakan saya yang dahulunya sehingga dipaksa untuk menerima beban menanggung kegilaan ini? Kenapa saya harus menjadi sebahagian daripada sumpahan ini? Tiap-tiap malam saya menangis, saya mohon maaf kerana menjadi punca kecelakaan ini.

***

Baru-baru ini Ibrahim Ali, pejuang Melayu tulen dari Perkasa, mengatakan lebih baik tinggal di bawah penjajah semula daripada keistimewaan Melayu yang terkandung dalam artikel 153 Perlembagaan Persekutuan diketepikan atau terhakis. Negara kita sudah menjadi tempat pembiakan dan habitat untuk orang-orang seperti ini. Satu ekosistem yang lengkap bagi mereka yang kuat berhujah, petah bercakap tetapi kekurangan dari segi isi dan kedalaman ilmu. Amat senang untuk membuat ucapan-ucapan bagi membangkitkan emosi golongan masyarakat tertentu tetapi di sebalik kata-kata ini tiada idea yang kritis. Hujah-hujah sebegini bukan untuk mengembangkan nilai emosi yang membawa kepada pembentukan etika dan nilai kemanusiaan, tetapi yang mengembangkan kepercayaan fascisme dan ketidakdewasaan.

Ini berlaku kerana adanya internet. Jika internet tidak wujud pada hari ini tidak akan ada peluang untuk orang-orang seperti ini untuk bersuara atau menyampaikan kenyataan sebegini kepada orang ramai. Ia turut menyebabkan perkembangan satu keadaan yang telah lama wujud dalam masyarakat kita tetapi dipercepatkan dan ditingkatkan lagi dengan kewujudan internet; penyatuan idea dan masyarakat. Semua ingin disatukan. Ini merupakan proses untuk membentuk semua jenis idea dan semua lapisan masyarakat – adakalanya terhadap golongan tertentu – supaya menjadi sama dan satu.

Proses sebegini adalah sesuatu yang biasa berlaku. Apabila terdapat keinginan untuk menawan emosi manusia supaya di tujukan kepada yang lain (the other) untuk mencapai sesuatu  – sama ada secara keras atau diplomatik – adalah penting untuk membuat mereka percaya yang mereka datang daripada kelompok yang sama.

Ini sama juga untuk kempen Satu Malaysia, Government Transformation Program (GTP), National Key Result Areas (NKRA), Key Performance Indicators (KPI), dan New Economic Model (NEM). Semuanya mempunyai pelbagai makna dan tiada makna. Pelbagai makna kerana tidak mempunyai takrifan yang tetap dan di persembahkan secara berbeza kepada orang yang berbeza di tempat yang berbeza. Dan tiada makna kerana semuanya hanya untuk tujuan pembacaan dalam kertas pembentangan dalam pejabat-pejabat di Putrajaya yang penghawa dinginnya banyak menghabiskan tenaga elektrik.

***

Di sini kita banyak membincangkan pemikir-pemikir British dan Amerika dari aliran analitikal-empirisis. Daripada Adam Smith, John Locke ke Hayek, Karl Popper, dan John Rawls. Ada juga perbincangan tentang pemikir-pemikir German seperti Habermas dan tidak dikecualikan juga ilmuan Islam, dan penulis-penulis dari Indonesia dan Timur Tengah. Yang kurangnya mungkin perhatian terhadap latar belakang falsafah dan filsof Français.

Ini tidak memeranjatkan kerana bukan semua boleh setuju dengan idea-idea yang didukung falsafah Français terutama dalam pandangannya terhadap agama dan dalam teori politik. Radikal dan revolusioner gayanya, falsafah Français menekankan tema kebebasan (freedom), melawan (resistance) dan kesaksamaan (equality). La liberté, résistance et égalité. Ini tunjang falsafah Français, daripada Diderot, Voltaire, Rousseau ke Camus, Foucault dan Alain Badiou.

Revolusi 1789 menandakan titik yang penting dalam sejarah tamadun Eropah kerana merupakan kali pertama rakyat bangun menentang golongon agamawan, bangsawan dan Raja. Kejadian ini membuka mata dan menganggu kerajaan-kerajaan di seluruh Eropah kerana pada masa itu tidak pernah sekali dipersoalkan kuasa kumpulan aristokrat dan paderi. Yang lebih penting lagi adalah idea-idea yang menggerakkan revolusi ini. Untuk kali pertama kepercayaan dalam kebebasan dan akal manusia digunakan untuk menentang mitos, penyelewenggan kuasa dan feudalisme.

Selepas revolusi ini, seluruh peta dan budaya tradisi dan pemikiran di Eropah berubah sama sekali. Eropah tidak lagi hanya mempercayai kekuasaan feudal dan agama tetapi mula mempersoalkan hierarki sosial yang wujud dalam masyarakat. Sebelum ini, masyarakat diberitahu bahawa setiap individu mempunyai kedudukannya yang tidak boleh berubah dalam hierarki masyarakat. Idea bahawa setiap manusia dilahirkan setara menghancurkan konsep lama ini.

Di sebabkan idea-idea ini, dan kepercayaan penuh dalam konsep dan semangat République, Napoleon Bonaparte dan tenteranya hampir menguasai seluruh Eropah dari 1805 hingga 1812. Semangat dan kekuatan tentera Napoleon memeranjatkan Raja-raja di negara Eropah lain kerana tidak pernah mereka melihat tentera yang diasaskan dan didorong nilai-nilai République.

***

Michel Foucault (1926-1984) boleh dikatakan antara filsof terpenting abad ke-20 dan merupakan sebahagian daripada falsafah Français kontemporari yang bermula daripada Jean-Paul Sartre sehingga Alain Badiou. Tempoh ini melihatkan idea-idea eksistensialisme, strukturalisme dan pasca-strukturalisme masuk ke dalam wacana arus perdana Perancis. Keadaan ini berlaku berlatar belakangkan dua kejadian yang meninggalkan kesan mendalam ke atas jiwa masyarakat Français yang hidup pada masa itu; pertama kekalahan Perancis kepada Jerman dalam Perang Dunia Kedua dan kedua kekecewaan dengan pemikiran Marxisme.

Marxisme pada pandangan Foucault, gagal menjawab banyak isu-isu kontemporari yang melanda masyarakat Français dan Eropah dan daripada segi pengaplikasiannya terlalu rigid. Mengikutnya Marxisme ini tidak berbeza daripada falsafah-falsafah lumières lain yang meletakkan nilai universal dan kebenaran mutlak bagi semua manusia. Baginya perlu ada pendekatan baru dalam falsafah, bukan sahaja untuk tujuan menyelesaikan masalah-masalah manusia moden, tetapi yang lebih penting adalah kebolehan untuk permasalahkan sesuatu isu. Dalam erti kata lain untuk menimbulkan persoalan-persoalan yang sebetulnya yang berkaitan dengan setiap tingkah laku hidup manusia dan masyarakat.

Oleh itu Foucault boleh dikenali sebagai filsof sejarah berdasarkan konflik dan kuasa berbanding dengan contohnya Jurgen Habermas yang merupakan filsof moral berdasarkan konsensus. Dia membentuk pendekatan inkuiri genealogi; satu bentuk pemahaman sejarah bukan berdasarkan aturcara linear dan rasional tetapi melihat sejarah sebagai hasil konstruk daripada pelbagai perubahan dalam keadaan dan kontingensi. Pandangan ini bertentangan dengan pemahaman sejarah konvensional yang melihat kepada sejarah sebagai terbentuk secara teleologikal dan menjadi punca atau pencetus kepada perubahan perkembangan manusia.

Dan inkuiri genealogi ini sangat penting kerana kita kemudiannya akan menyedari bahawa kebenaran yang kita anggap sebagai mutlak dan tidak boleh dipersoalkan adalah sebenarnya hasil konstruk manusia. Setiap zaman mempunyai kebenaran tertentu yang unik hanya kepada zaman itu, dan kebenaran ini dikonstruk untuk memenuhi keperluan – tidak kira sama ada dalam bentuk norma-norma, agama, ekonomi, atau politik – sesuatu zaman itu. Jikalau Karl Marx tertarik dengan hubungan pengeluaran ekonomi (economic relations of production) dan Friedrich Nietzsche dengan pembentukan nilai-nilai moral (genealogy of morals), Michel Foucault membahaskan pembentukan kebenaran (production of truth) dan hubungan kekuasaan dan kebenaran (relations of power and truth).

Tema-tema ini dibentuk dan diperkemaskan dalam karya-karyanya yang terpenting; Folie et déraison: histoire de la folie a l’âge classique (Madness and Civilisation: a history of insanity in the age of reason), L’Archéologie du savoir (The archaeology of knowledge), Surveiller et punir: naissance de la prison (Discipline and punish: the birth of the prison), dan Histoire de la sexualité I, II, et II (The history of sexuality I, II and II).

***

Tidak dapat dinafikan kita hidup dalam era ketidakdewasaan. Macam mana tidak, apabila pemimpin-pemimpin kerajaan boleh mengeluarkan pelbagai kenyataan seperti ‘Satu Malaysia’, ‘hak Melayu’, ‘negara Islam’, dan ‘jaga sensitivity kaum’ tanpa sebarang akibat dan rasa malu dengan kesedaran (atau mungkin tidak) yang semua ini hanya retorik? Kita harus memberi perhatian kepada perbuatan dan percakapan sebegini; membezakan antara yang umum, dan yang khusus. Terlalu senang kita terpedaya dengan semantik dan semiotik yang cuba untuk meng’umum’kan idea dan menyamakan masyarakat. Jika diperhalusi dengan kritis dan dikritik secara khusus, kita akan melihat hubungan kekuasaan dan mekanisma kebenaran yang terlibat dalam proses membentuk kebenaran mutlak yang fungsinya bagi menunjukkan kita semua adalah satu dan sama, bahawa kita semua inginkan perkara yang sama, dan bahawa kita akan patuh kepada kebenaran mutlak ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: