Megadeth: Siri 1

Oleh: Rizal ‘Syeikhryz’ Hamdan

Can You Put a Price on Peace?….

Petikan di atas merupakan bait-bait lirik lagu ‘Peace Sells But Who’s Buying?’ yang dihasilkan oleh Megadeth. Rangkap tersebut juga turut mengandungi suatu wacana yang selalu diabaikan oleh para penggemar Megadeth mahupun para pencinta keamanan. Tidak ramai yang menyedari bahawa nilai “keamanan” masa kini sudah beranjak daripada sebuah wacana kepada satu komoditi.

Keamanan masa kini boleh dijual beli. Pihak Amerika Syarikat memberikan kata dua kepada Iraq ketika era pentadbiran Saddam Hussein sama ada menyerahkan ’weapon of mass destruction’ (WMD) atau bersedia menghadapi tindakan ketenteraan. Isu WMD sengaja diada-adakan sebagai alasan untuk mengabsahkan (legitimize) tindakan ketenteraan ke atas Iraq(sesetengah penganalisis menyatakan peperangan di Iraq adalah manifestasi tindakan para kapitalis industri persenjataan di Amerika untuk menghasilkan keuntungan,sejauh mana kebenarannya bukanlah menjadi tujuan utama esei ini).

Pihak Korea Utara dikenakan perintah sekatan dengan segala jenis terma ekonomi seperti embargo atau sanction berikutan keengganan mereka melucutkan senjata nuklear yang dimiliki. Jika kita melakukan analisis ke atas setiap konflik atau krisis, pihak yang paling terkesan tindakan yang membelakangkan nilai kemanusiaan ini ialah rakyat terbanyak!

Revolusi rakyat yang tercetus di Timur Tengah seperti di Tunisia, Mesir dan merebak ke Libya turut membuatkan kita tertanya-tanya, apakah nilai keamanan masa kini?  Ikrar Muammar Ghaddafi (Diktator yang dahulunya menjadi idola mahasiswa gerakan Islam di Malaysia) yang beliau akan menggempur rakyat yang dilabelkan sebagai ’pemberontak’, menyebabkan penulis bertanya kembali, apakah dengan mengambil sikap tidak bersetuju dengan pemerintah, maka kita boleh dihukum sebagai pemberontak? Jika ini terjadi, maka berapakah nilai ’keamanan’ di mata diktator ini? Benarkah beliau mengambil pendirian kekerasan demi menjaga ’keamanan’ negara atau sekadar mahu menjaga kepentingan keluarganya yang telah berkurun-kurun membolot kekayaan negara?  Berdasarkan bukti di atas jelas bahawa nilai keamanan itu sudah menjadi satu komoditi yang dinilai melalui wang.

Penentangan ke atas senario politik masakini yang penuh dengan korupsi, kolusi, nepotisme, kronisme mahupun kediktatoran tidak hanya mampu dizahirkan melalui aktivisme politik, bahkan ia juga boleh dilahirkan melalui apresiasi seni. Terdapat ramai artis yang menolak proses pembodohan dalam masyarakat pada era 70-an seperti Pink Floyd, meluahkan ketidak puasan hati mereka melalui lagu ‘Another Brick in The Wall’. Lagu ini membicarakan tentang proses hegemoni yang diterapkan semenjak zaman kanak-kanak melalui sistem pendidikan. Bukankah matlamat utama pendidikan itu untuk membentuk masyarakat yang ideal? Syed Naguib Al-Attas (1980:1) dalam karyanya ‘The Concept of Education in Islam’ menjelaskan bahawa:

…”Education is a process of instilling something into human being”.

Bagaimanakah bentuk masyarakat yang melalui proses hegemoni yang buruk? Penyemaian doktrin yang memberikan ‘kebenaran’ hanya kepada satu pihak sahaja? Idea yang hanya bertujuan untuk meneruskan legasi sesebuah parti politik ? Melalui lagu ‘Another Brick in The Wall’, idea tentang betapa merbahayanya proses pembodohan ini telah disampaikan dalam bentuk yang begitu santai dan mudah difahami serta digemari orang ramai iaitu ‘muzik’.

Mungkin ramai daripada kalangan pembaca meminati karya seni mendiang John Lennon. Ketika era kemuncak bantahan massa ke atas perang yang terjadi di Vietnam dan keresahan dekad 70-an, timbul kesedaran dikalangan pemuzik untuk menghasilkan sebuah karya seni yang mampu menyemai nilai keamanan ke dalam diri pendengar. Di saat inilah munculnya mendiang John Lennon mengalunkan lagu yang begitu identikal dengan keamanan iaitu ‘imagine’ (walaupun Yoko Ono mengatakan ilham lagu ini tercetus berdasarkan pengalamannya ketika perang dunia ke dua).

Perlu saya tekankan disini, muzik merupakan satu saluran yang mudah untuk menyebarkan propaganda sesuatu ideologi, agama mahupun menyebar luaskan idea universal seperti keamanan, kedamaian, keadilan dan kesaksamaan. Tulisan ini akan membincangkan berkenaan muzik dan politik khususnya analisis ringkas tentang beberapa karya seni terpilih kumpulan Megadeth yang berbentuk politik dan menentang ketidakadilan sistem sosial dunia masakini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: