Interlok, Pariah dan Sikap Kita

 

Aku mula mengenali Abdullah Hussain bukan melalui Interlok, tapi Imam (yang aku rasa jauh lebih baik daripada Interlok-nya itu), malah aku lebih akrab dengan novelnya yang lebih lewat seperti Masuk ke dalam Cahaya dan pastinya aku sangat menyenangi Perjalanan Mencari Bahasa yang sangat membantu untuk membaca zamannya. Bagi aku Abdullah pandai bercerita. Ketika itu aku baru tingkatan dua, aku dengan mudah mencapai novel – novel Abdullah ini dari rak perpustakaan, dan tak siapa peduli, ya, sungguh, memang tiada siapa yang kisah, apatah lagi mahu membakarnya!

Seingat aku ini kali kedua sebuah novel dikecam sebegini hina, selepas Shit, Shahnon Ahmad tapi Shit jauh berbeza dengan karya Abdullah Hussain. Malah, membaca Shit buat aku sedikit mual, dan sejujurnya aku tidak pernah membacanya hingga tamat. Bagi aku, Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan, Seluang Menodak Baung, dan Prostes lebih mudah untuk dicernakan dan sangat mengesankan. Lagi pula aku rasa karya Shahnon Ahmad jauh lebih political, keras dan berterus-terang jika mahu dibandingkan dengan Abdullah Hussain – yang bagi aku sangat romantis meskipun tidak se-romantis Usman Awang dan Hamka!

Lalu mengapa tiba – tiba Interlok menjadi sangat ‘gergasi’ di Malaysia, hingga sebahagian dari kita membakarnya?! Aku yakin, tidak semua yang ikut marah – marah itu membaca Interlok, apatah lagi mengenali Abdullah hussain sebelumnya. Reaksi terhadap Interlok sangat berlebih –lebihan. Tambah menjengkelkan dengan sikap politikus oportunis yang menahan lukah di air keruh. Tapi itu cerita lain.

Menilai karya 1970an (Interlok adalah kisah sebelum perang) dengan situasi kini amat tidak adil malah sering pula mengelirukan. Jika mahu marah, aku rasa orang Cina harus marah dulu kerana Interlok juga menyentuh bagaimana tanah orang kampung (pastinya Melayu) tergadai kepada orang (bukan kaum) Cina dengan muslihat yang sedikit licik. Tapi sekali lagi, jangan kita mudah terperangkap dengan jebak perkauman. Setiap karya harus dibaca mengikut konteks zamannya dengan analisa yang lebih kritis.

Abdul Rahim Kajai pasti akan dilabel sebagai etno-nasionalis Melayu jika kita membaca cerpen –cerpennya yang sangat kejap dengan persoalan identiti Melayu dan sikap persimisnya terhadap keturunan Syed dan Sharifah. Tapi pasti kita akan lebih memaafkan jika kita memahami gelojak zaman baru merdeka ketika mana bangsa ini mula berusaha mencari bentuknya.

Baik, mari kita lihat contoh yang jauh lebih awal, Hikayat Merong Mahawangsa (ditulis setelah 1630), mengatakan Phra Ong Mahawangsa diIslamkan oleh Syaikh Abdullah Yamani dari Makkah. Kedatangan Islam digambarkan dengan penuh mitos, ajaib, magis dan mengujakan. Penggunaan naratif ini dapat difahami kerana kedatangan Islam itu merupakan transisi besar dalam jalan sejarah tamadun Melayu seluruhnya. Akan tetapi kedatangan Islam tidak mengakibatkan perpisahan daripada masa lalu yang total dan radikal. Sungguhpun Islam meninggalkan kesan besar, maka begitu juga halnya dengan agama pra-Islam yang lain. Maka sebenarnya penulisan hikayat yang begini adalah suatu proses mendamaikan perubahan pandangan dunia tersebut. Kekaburan pada teks merupakan kekaburan pada zaman itu juga – dapat dicerap bagaimana watak mitos hinduisme saling bertingkah dengan nama Nabi dan Rasul. Andainya kita membaca tanpa memahami konteks zamannya pasti kita akan mengatakan Hikayat Merong Mahawangsa ini tidak lain hanya kurafat yang menyesatkan!

Demikiannya juga jika kita meneliti dengan cermat Hikayat Abdullah (1840) dan Kisah Pelayaran Abdullah (1838). Kita mungkin dengan mudah akan terjun dengan kesimpulan bahwa Abdullah Munsyi adalah pengampu Raffles dan pemuja Eropah (anglophile) jika kita menggunakan logik tahun 2011! Hakikatnya, beliau adalah antara penulis terawal yang keluar daripada langgam bahasa hikayat klasik dan sastera Arab yang pekat. Sikap anti-feudalnya juga melangkaui zamannya. Segalanya memerlukan pembacaan yang lebih luas yang harus melangkau sekadar teks.

Benar, reaksi dan emosi berlebihan terhadap Interlok dipacu sama oleh media dan politikus yang mencari sensasi dan populariti tapi persoalannya mengapa bangsa kita ini masih dengan mudahnya termakan dengan provokasi murah ini? Sentimen ini merupakan limpahan prasangka yang tidak mampu dibendung sejak sekian lama dan masalahnya kita tidak pernah benar-benar mahu menyelesaikannya. Kita sering berlindung dengan segala macam slogan bagi menutup kegagalan sendiri. Terlalu angkuh untuk mengakuinya.

Di Malaysia ini, masyarakatnya terpisah secara ‘sistematik’ mengikut kaum. Lalu membentuk cara pandang yang sangat rasis. Setiap dari kita hampir tidak berbicara antara satu sama lain. Segala macam perkataan dibebankan dengan sentimen, prasangka perkauman. Keadaan inilah yang membuatkan idea-idea perkauman mudah terbeli. Kita menanggapi kaum lain hanya melalui prasangka yang dibina sejak sekian lama, tanpa ada usaha untuk memeriksa kesahihannya. Melayu berprasangka terhadap Cina, Cina berprasangka terhadap Melayu, begitu juga dengan India. Sebenarnya siapa yang kita mahu percaya dalam negara ini?

Interlok hanya sebuah novel, membakarnya tidak akan membuatkan segala punca masalah bangsa ini ikut hangus, malah bahangnya hanya akan menambah pedih luka yang sedia parah. Kita harus mula berinteraksi dengan penuh kesedaran bahawa negara ini sudah lelah dengan benci dan prasangka.

5 Responses

  1. Sdr Haris,

    Saya tertarik dengan wacana anda dan secara princip dan keobjektifan saya bersetuju buku Interlok harusnya diterus digunakan sebagai bahan bacaan sekolah dan tidak dibakar.

    Akan tetapi saya difahamkan bahawa Interlok mengandungi perkataan2 dan frasa2 seperti “pariah” dan “cina sebagai kaki perampas harta setelah memberi hutang” dsb. Walaupun tidak dinafikan bahawa perkataan2 dan frasa2 sedemikian telah digunakan dalam kontek yg munasabah, saya berpendapat bahawa Interlok memang tidak sesuai untuk digunakan sebagai bahan utama di sekolah2 (berdepan murid2 yang masih muda), namun ia boleh digunakan sebagai bahan rujukan. Sesungguhnya, saya tidak menyokong kebakaran buku2, baik buku Interlok mahupun buku2 lain. Ambil perhatian orang2 Islam yang sudah terkenal dalam dunia masakini dengan keminatan mereka untuk membakar buku2 yang ditanggapi menghina Islam, seperti garapan Salman Rushdie, “Satanic Verses”.

    Tambahan pula, pengunaan istilah2 seperti “pariah” dan “cina panjang” secara kasual dalam suasana pelajaran dan sekolah boleh membawa padah yang tidak dingini.

    Izinkan saya mencuba membuat orang2 Melayu memahami perasaan yang dialami oleh orang2 India Malaysia bila istilah2 seperti “pariah” dan “keling” kerap kali digunakan, khususnya dalam suasana persekolahan. Bila saya membesar di Kuala Lumpur pada masa 1960’an (sebenarnya tidak begitu jauh dari Kampung Baru dan Kampung Dato’ Keramat) kata2 dan rujukan2 yang kita melemparkan ke atas budak2 Melayu sungguh dahsyat. Saya menyedari sekarang perkara macam itu sungguh teruk, tetapi pada masa itu kami semuanya kanak2 dan hanya bergurau senda. Dua atau tiga perkataan2 dan rujukan2 itu memang tidak boleh di menyebutkan, malahan sampai hari ini kerana begitu dahsyatnya.

    Tetapi biar saya, dengan segala hormat, sebutkan sesetengah daripadanya: “budak amok”, “konek (pelir) tiga suku”, “sunat” (“Itu sunat datang!”), “kaki malas”, “orang hutan (yakni “budak kampong”)” dan “belacan”. Tambahan pula, sesungguhnya kita selalu memperolok-olokkan bacaan azan dalam radio zaman itu dan menganggap kemalasan budak2 Melayu diakibatkan makan nasi lemak untuk serapan pagi.

    Sekarang mengandaikan saya mengarang suatu novel yang berunsur kesusasteraan mengingati zaman kanak2 saya dan buat rujukan kepada perkataan2 dan istilah2 yang saya pernah mengunakaan terhadap budak2 Melayu kejiranan saya dan mengingati kelakuan2 saya dan kawan2 seperti memperolok-olokkan bacaan azan dan sebagainya, takkan orang Melayu/Islam terenjat dan takkan mereka menuntut dan mendesak supaya novel it diharamkan dan dibakar? Sebenarnya, saya percaya saya akan digantung tanpa perbicaraan (lynched)!

    Jadi saya berharap pembaca2 akan mempertimbangkang semula reasksi mereka secara tenang dan dengan matang. Dan harap juga pesanan saya diterima dengan ikhlas. Tolong memikir dengan lebih luas. Pengetahuan esoteric kesejahrahan, etimologi dan ilmu linguistic sahaja tidaklah mencukupi. Hati yang bersimpati dan berempati semestinya mengawasi fikiran kita. Kesusteraan dalam negara majmuk dan pelbagai agama mesti didasarkan atas princip mencuba, sedaya upaya, untuk (jika boleh) mengelak membawa kelukann perasaan dan maruah semua insan, baik kaum kita mahupun kaum asing.

    Salam,

    LJ

  2. 1response?

    Pernah ke India? “Pariah” itu reality atau khayalan? Tidak keterlaluan kalu dikatakan rmai golongan “Pariah’ memeluk Islam atau Kristian supaya keluar dari kasta.

    Orang German malu ke dengan Holocaust?
    Orang Amerika malu ke dengan penipuan pada kumpulan Red Indian?

  3. Sedara L_J,

    itu jugak yang aku khuathirkan.. risau jika istilah ini tidak diterjemah dan dihurai baik oleh guru2 di sekolah. Apatah lagi novel tersebut menggambakan betapa orang Melayu ramai yang fatalistik, sehingga rumah dan sawah bendang tegadai. Aku tidak risaukan isunya tapi risaukan bagaimana guru2 di sekolah menyampaikannya pada anak2 murid.

    Sedangkan belajar sejarah pun disempitkan dengan politik perkauman…ini pengalaman akulah..

  4. Tulisan yang baik

  5. Perkataan2 dan phrasa2 “Keling” “Pariah” “kaki putar” lidah bercabang” “lidah biawak” “kaki todi” “kaki belasah bini” ” kaki mabuk” “kalau jumpa ular dan keling bunuh keling dulu” dan banyak lagi yang lebih sensitif memang digunakan zaman saya kecil2 dahulu. Saya sekarang berumur 60 tahun. Kaum India pada masa itu sudah dan amat faham istilah ini dan tidak pernak menidakkannya kerana ia memang ada kebenarannya. Sekarang hanya sebahagian kecil saja bangsa India yang layak dilabel sedemikian. Tengok saja beberapa pemimpin MIC yang lepas bagaimana sikap dan lidah mereka bila menjawab soalan dan memberi penafian. Nilailah sendiri. Namun dan demi perpaduan negara dan relevans semasa istilah ini tidak perlu digunakan lagi dan apa salahnya novel Interlok ditarik dari menjadi buku teks. Ia masih boleh dijadikan buku rujukan dan juga tidak perlu diubah bahasa dan perkataan penulis di dalam buku tersebut. Mereka yang bertindak membakar atau membuat isu adalah berunsurkan politik, mencari cheap publisiti, tidak bertemadun atau makan cili berasa pedas.
    Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: