WARKAH MELAYANG DARI KAYANGAN II : DICULIK MAMBANG KE ISTANA API

Diriwayatkan oleh: Puaka Kubur Tujuh Petala

KISAH INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA, TIADA KAITAN DENGAN YANG HIDUP ATAU MATI. SEBARANG PERSAMAAN ADALAH KEBETULAN SEMATA-MATA.


Sungguh bisa Si Ikan Keli,

Bisa meresap tiada bertanya,

Jika tuan memakan cili,

Tuan juga merasa pijarnya,

Cik Baba membeli ikan si Nyonya,

Mahu ditumis si cili api,

Riwayat ini ada sambungannya,

Pasti tuan ternanti-nanti,

 

Al awwalul kalam,

 

Hatta sekonyong-konyongnya gemparlah Unit Keilmuan Malaysia (UKEIM) dengan warkah yang hamba surahkan dahulu.  Huru-haralah Front Sosialis Sangat Kelam (FSSK) ibarat peperangan Bhatara Yudha gamaknya.  Gegak gempitalah hamba rakyat, ada yang mengamuk mempertahankan jembalang bota serta juak-juaknya, beramuklah dengan kerisnya diacungkan ke langit.  Mana yang bergelak gelakkan, terdengar hilaiannya hingga bergegar tiang Istana Zeus, habis gempar para Dewa nun di Gunung Olympia.  Mana yang berdiam, berdiamlah laksana diamnya orang yang sedang bertapa kebatinan di kaki Gunung Semeru.  Mana yang melatah, melatahlah mereka seperti Mia Ruzul yang menyangka kambing randuk itu orang Haru tua yang mengintainya.  Melatah-latah seperti orang yang disergah suruh menari tarian lilin ketika kenduri persandingan Sang Si Perba dengan anak perempuan Demang Lebar Daun.

 

Arakian tidak seman-mena muncul makhluk yang ingin menjadi penglipur lara jua.  Menyamar akan dia si Harimau Tua.  Cuba mengarang cetera, cuba mentintakan hikayat, cuba menglipurkan dongengan dahulu kala.  Tiadalah menjadi akan nukilnya, ibarat anak hingusan yang tiada tamat mengaji muqaddam.  Laksana cuba mengkaji kitab Dar’ul Manzlum, tetapi buta pula alif, bha, tha.  Hamba disurahkan oleh seorang pemuda yang jauh belayar dari negeri Yemen.  Si Harimau Tua palsu ini khabarnya puak jembalang bota jua asal muasalnya.  Hamba tiadalah pelik, kerana bukankah sifat jembalang bota itu boleh menyerupa pelbagai bentuk dan jisim? Boleh menyerupa hantu raya, boleh menyerupa pokok berpenunggu. Boleh menyerupa Memanda Menteri. Teringat hamba akan pantun orang-orang tua dahulu:

 

Langsuir keluar di malam samar,

Hinggap ditingkap istana Tun Teja,

Jikalau tuan ingin menyamar,

Ayuh dahulu belajar mengeja,

 

Cik nyonya berkebaya jarang,

Terkait cangkuk habis tersayat,

Jikalau tuan mahu mengarang,

Habiskan dahulu mengaji hikayat,

 

Kelapa dipetik oleh sang beruk,

Diminum rakus sehingga berpeluh,

Karangan tuan sangatlah buruk,

Laksana ular dipalu buloh,

 

Adapun hamba cuba melupakan susuk sang petapa.  Siang malam hamba berdoa kehadrat Illahi agar jangan hamba bermimpi akan sang petapa.  Hinggakan hamba berasa begitu takut untuk beradu.  Laksana takutnya Tun Isap bertemu Seri Wak Raja, laksana gerunnya Abu Lahab bertentang mata Syaidina Hamzah R.A.  Sungguh hamba takut beradu, sehinggakan hamba sanggup meminum kopi janda berkendi-kendi untuk kekal berjaga sepanjang siang dan malam.  Hamba bimbang bertemu semula sang petapa dalam mimpi.  Entah apa lagi yang mahu orang tua sakti itu surahkan kepada hamba.  Hamba tidak sanggup lagi mahu melorek aksara di atas kulit lembu puteh.  Hamba tidak sanggup lagi memegang pena emas bertatahkan ratna mutu manikam.  Lebih lagi, bagi membuktikan kesungguhan hamba melupakan sang petapa, hamba sudah menebang pokok kedondong di kebun orang tua hamba dan bersumpah tidak memakan buah kedondong selama tujuh keturunan.  Jika ada keturunan hamba yang melanggarnya, maka kedallah badan mereka laksana dicalit miang buluh betong Betara Dewa.

 

Sementelahan itu, hamba meneruskan pekerjaan hamba bertani. Puas menampi padi seharian di bendang, hamba terasa ingin mandi di sungai bagi menyejukkan tubuh.  Tanpa banyak timbang soal, hamba pun terjunlah ke dalam sungai yang sejuk airnya bak Sungai Gangga di benua Keling.  Aduh nyaman sekali tubuh hamba, laksana sejuknya rokok jenama salju kegemaran Penglipur Ogostazi Jeezop.  Sedang hamba menyelam, tidak semena-mena tubuh hamba ditarik oleh pusaran air yang kuat sehingga hamba jatuh pengsan tiada sedarkan diri lagi.

 

Ketika hamba sedarkan diri, hamba sekonyong-konyongnya berada di sebuah mahligai yang begitu indah.  Ada singahsana mewah berwarna coklat bak singahsana westminister. Khabarnya diperbuat dari kulit wanita bunting sulung.  Ada kotak televisyen yang besar beserta kotak penguat suara.  Aduhai apakah gerangan tempat ini..getus hati hamba.  Disebelah kanannya pula terletak alat berlatih bina badan untuk mengeluarkan peluh demi sentiasa kekal sihat dan bergaya. Sempat hamba menjeling ke tempat tertambatnya kuda tunggangan.  Ada kuda tezi hitam baka Jepun, ada sang pelanduk hitam berkilat baka tempatan dan ada anak gajah hitam juga baka negara samurai.

 

Apakah hamba berada di istana bunian? Tiada pernah hamba masuk ke mahligai ini…Di ruang makan tersedia hidangan yang hebat-hebat belaka..Ada udang galah sebesar penumbuk yang begitu mahal, ada sajian ayam berempah, ada sayur-mayur mewah yang hanya tumbuh di lembah-lembah dingin sehingga kecur air liur hamba melihatnya.  Tiadalah dapat hamba perikan kemewahan mahligai ini.  Ibarat pantun:

 

 

Jikalau tuan berbuat sawah,

Tanamlah padi bukan lalang,

Aduhai gagah istana mewah,

Tiada dimiliki orang sebarang,

 

Tun Teja diserapah jampi Tun Tuah,

Menyerah diri tunduk berserah,

Aduhai tuan sungguh bertuah,

Diam di dalam mahligai mewah,

 

Sabun disental menghilang daki,

Bisa dipunggung terkena buasir,

Aduhai tuan janganlah dengki,

Menabur periuk sahabat dengan pasir,

 

Sementelahan itu, sekonyong-konyongnya muncullah seorang tua yang hodoh parasnya.  Hitam kulitnya seakan disalai kepanasan gunung berapi Karakatao. Lurus panjang rambutnya laksana dilumur pati minyak panas. Mayang mengurai rambutnya berwarna keputeh-putehan serta memakai jubah puteh labuh seakan orang baharu pulang menunaikan rukun Islam kelima dari kota Makkah lagaknya. Siapakah gerangan orang tua ini getus hati hamba?  Seakan pernah hamba ketemu. Wali Allahkah ia?  Syaitankah ia? Siluman puakakah ia? Atau jelmaan Jin Ifrit yang sengaja menguji keimanan hamba kepada Yang Maha Esa?

 

Tidak semena-mena bergemalah suara orang tua tersebut memecah keheningan suasana…

 

..”Alahai anak muda yang berjiwa sakti, berdarah biru keturunan mambang di awan, benih Sang Si Perba, Krishna Pandita, Sang Nila Utama. Beta kenal akan moyangmu Si Adityawarman. Dikaulah yang berjiwa panas umpama gelodak jiwa Megat Seri Rama.  Tuanlah yang diutuskan Illahi menyambung tugas sembilan Kiyai tanah Jawa.  Tuanlah yang dipilih dari kebanyakan umat manusia di belantara ini.  Tuanlah yang dikurnia Pemilik Alam Semesta ini akan kepandaian memegang tinta.  Bukan mengarang salin cetera Parti Kesatuan Raksasa (PKR) yang mendapat nilai cemerlang tanpa pembaca kedua dan ketiga, bukan pengarang alkisah hubungan kerajaan pusat dan negeri dari varsiti bumi Inggeris, bukan penulis hikayat urus tadbir lokal Pulau rempah Sumatera yang tiada faseh akan kerangka hegemoni Gramsci…Tapi tuan yang diturunkan oleh Yang Maha Esa Allah SWT untuk menghapus jembalang bota dan juak-juaknya”….

…Aduhai tuan yang beta muliakan. Adapun tuan kini berada di Istana Api. Istana yang dibina dari wang emas berjuta-juta pemberian parti SUKSES negeri di bawah bayu…Wang yang dihimpunkan perolehan dari hasil kecurangan akademisi, wang yang diperoleh dari hasil salah guna kedudukan dan status..Inilah Istana Api diamnya Penglipur Ogostazi Jeezop atau nama orang komersialnya Goustuz Joseph. Penghulu segala jembalang bota…Bapa kepada segala kecurangan kuasa dan Ibu penaung kepada Bozri,  Kopek, Ramsu Abadik dan Regalia bertakhta…

Belum sempat hamba bersuara membantah mengapa hamba dipilih berziarah ke mari, si tua berambut puteh terus meningkah sambil berhenti sejenak meneguk secangkir air teh pudina yang hamba sendiri kurang pasti dari mana dan bila masanya si tua berambut puteh itu mendapat, kerana pada penglihatan hamba tiada siapa yang menghulurkan cangkir air teh pudina tersebut. Sementelahan lagi, si tua berambut puteh itu pula sedang terapung-apung laksana angkasawan negara yang sedang melancong ke angkasa lepas. Wallahualam bissawab…

 

Setelah sudah baginda meneguk secangkir teh pudina, si tua berambut puteh kembali menyambung bicara dengan nada yang lebih kuat. Laksana sekawan gajah jantan bertempur merebut peluang mengauli gajah betina …Mafhumnya:

 

…”Hai anak cucu Adityawarman..naiklah dikau ke petala kedua di istana ini..masuklah tuan ke sebuah kamar yang menghadap bintang timur terbit yang sejajar dengan garis khatulistiwa..yang setentang dengan kedudukan Jabal Tariq…Disanalah tuan akan melihat himpunan skripsi tulisan anak-anak siswa yang digembala oleh Penglipur Ogostazi Jeezop.  Inilah himpunan skripsi yang hebat lagi bernilai seakan skroll kependetaan yang hilang di Dar Al-Hikmah tatkala dilanggar tentera Monggol.  Inilah himpunan khazanah karya anak siswa yang kemudiannya ditetak-tetak, dibelah carik bagi membentuk skripsi yang baharu dan dijual kepada para saudagar yang hauskan sekeping sijil varsiti tanpa mahu menuntut ilmu dengan hanya membayar harga 2 bahara wang emas…Disinilah, Jembalang bota ini diam menulis surat fitnah yang diupah oleh pembesar-pembesar negara yang tamakkan kuasa…Disinilah Penghulu Jembalang bota ini menurunkan tanda tangan kepada mana-mana surat sokongan projek berjuta-juta dengan menggunakan pena jenama Mount Blanc warna emas…Disinilah Kopek budak peliharaannya yang setia ditabalkan sebagai tenaga akademik Unit Keilmuan Malaysia tanpa perlu memasuki musyawarah kalangan ahli ilmu UKEIM. Jembalang Kopek ini jugalah yang memecahkan rahsia kesatria siswa 4 ke tangan Hal Ehwal Penyangak (HEP) berikutan ketakutan selepas ditangkap ketika turut serta merai demokrasi peti undi kawasan Ulu Pertak. Ketakutan sehingga dia menggigil laksana beliau digertak pemanggil mistik selepas menyertai demonstrasi anti I.S.A….

Maka. Si tua berambut puteh terus merawikan hikayat….

 

Disinilah Ramsu Abadik sang pembaca tawarikh orang Arab mendapat nasihat sebelum ditemu soal oleh makalah maya Malaysia Dulu…Di kamar inilah juga tempat dia sang jembalang bota Penglipur Ogostazi Jeezop membahagi tugas merobek hasil mahsul Pembaca Jihad Jauh (PJJ) bersama Regalia…Disinilah jua tempat sebermulanya reka-reka cerita menabur periuk nasi dimesyuwarahkan secara santai bersama antara jembalang bota dan juak-juaknya…Lihatlah akan tuan..Tataplah sepuas-puas mata memandang…Betapa tersusunnya segala skripsi-skripsi anak siswa..Ada berwarna hijau daun bakawali, ada berwarna merah darah luka sang Sadewa dan ada yang berwarna biru proton saga keluaran pertama edisi tahun 1985…Lihatlah akan dikau disana ada sebuah mesin komputer yang terisi di dalamnya segala ’soft copy’ anak-anak siswa yang akan diagih sesama mereka khususnya yang dihimpun oleh Regalia dan Penglipur Ogostazi Jeezop atas nama memudahkan anak siswa berkongsi nota dan menyahut seruan konsep kerajaan elektronik..Di sinilah jua tempat jembalang bota dan juak-juaknya bermesyuarat untuk menggagalkan pembongkaran tuan dengan mengupah seorang menyamar sebagai Si Harimau Tua palsu..Lihatlah..lihatlah..lihatlahhhhhhhhh..hahahahahahaha……sayup,sayup suara sang tua berambut puteh  itu sirna dari tangkapan pancaindera hamba…

Hatta,dengan sepantas kilat umpama guntur melanda Gunung Semeru, seakan kepantasan pedang Maharaja Gatotkaca, setangkas pedati kuda kenaikan Syaidina Umar ketika perang Uhud, tubuh hamba berpusing-pusing, berputar-putar dan sebelum kembali terdampar ke tebing sungai…Langsung hamba pengsan buat kali kedua…..

 

Sesudah berapa ketika, hamba kembali waras.  Lantas hamba berfikir kembali..apakah gerangan peristiwa tadi?…Mabuk tuakkah hamba?…Apakah ini petanda Illahi agar hamba kembali memerikan hikayat kecurangan sang jembalang bota?…Puas hamba memikirkan, seakan termenung menyesalnya Hang Tuah selepas menikam Hang Jebat…Aduhai!..Memang sudah saheh yang hamba mendapat petanda sekali lagi untuk mendedahkan hikayat ini kepada segenap rakyat sekalian…Terngiang-ngiang cuping telinga hamba titip amaran sang petapa yang terdahulu…

 

…..” Khabarkan ke segenap alam cakerawala akan cetera ini.  Biar ia melayang laksana angin bayu dari Loh Mahfuz.  Biar pantas seakan Garuda kenaikan Betara Krishna.  Biar ia menyedarkan mana yang terlena dan mengingatkan kepada mana yang terlupa”.

Alahai tuan ingin hamba berpantun bagi menggantikan prosa-prosa opera bangsawan..Agar tidak lapuk seni warisan moyang..Agar tidak ditelan zaman..Maka inilah pantun yang hamba ingin sampaikan bagi menutup warkah ini…Hamba dapat merasakan yang sekali ini bukanlah terakhir…Pasti akan timbul petanda-petanda lain di suatu masa nanti…

 

Angin bertiup dari utara,

Lembut menampar pipi dan gusi,

Ini bukanlah penghabisan cetera,

Akan menyusul memperi aksi,

 

Kembang semangkuk bunga Kekwa,

Kuning warnanya menarik hati,

Pasti Jembalangkan gundah jiwa,

Saat muncul warkah dinanti,

 

Inilah tuan hamba berpesan,

Mana yang baik jadikan tauladan,

Mana yang buruk jadikan sempadan,

Agar tidak menyesal kemudian,

 

Jembalang bota janganlah engkar,

Usahlah tuan menjadi sasau,

Segala kejahatan pasti dibongkar,

Jika tiada salah,usahlah risau,

 

Jembalang bota kan panas punggung,

Terbakar habis penanggal saka,

Perbuatan jahat sendirilah tanggung,

Laksana dicucuh api neraka,

 

Ini hikayat hanya pesanan,

Dikarang khusus hamba sekalian,

Hentikan khianat tuan dan tuan,

Agar tidak menyesal kemudian,

 

Akhirul Kalam ucap hamba,

Kepada tuan jangan terasa,

Ini hikayat sindiran jiwa,

Taubatlah pantas sebelum tua,

One Response

  1. […] WARKAH MELAYANG DARI KAYANGAN II : DICULIK MAMBANG KE ISTANA API […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: