Ulasan Terhadap Pilihanraya Kecil Galas & Batu Sapi

Setelah meneliti keputusan pilihanraya kecil baru-baru ini dan beberapa peristiwa kebelakangan ini, saya terpaksa akur bahawa Barisan Nasional adalah parti yang hebat. Ini adalah kerana saya tidak dapat memahami logik disebalik kemenangan mereka di pilihanraya Dewan Undangan Negeri Galas dan Parlimen Batu Sapi. Kemenangan berganda ini telah dijadikan kayu ukur terhadap keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional. Barangkali masalahnya bukanlah dengan Barisan Nasional, mungkin rakyat yang harus dipersalahkan bagi semua tindak tanduk kerajaan yang tidak masuk akal.

Saya sungguh binggung memikirkan mengapa rakyat masih memilih Barisan Nasional di Batu Sapi dan Galas, walaupun setelah kerajaan memperlihatkan tindak tanduk yang tidak masuk akal. Ada yang mendakwa kemenangan di Batu Sapi adalah kerana undi belas kasihan rakyat di Batu Sapi atas kematian mendiang Edmund Chong Ket Wah yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Adakah pengundi di Batu Sapi tidak perihatin atau kasihan terhadap mendiang Teoh Beng Hock yang mayatnya ditemui berhampiran ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Bagaimana pula dengan allahyarham adik Aminul Rashid yang mati ditembak polis? Tidakkah pengundi di Batu Sapi kasihan kepada anak muda yang menjadi korban tindakan tidak masuk akal pihak polis? Apa pengundi di Batu Sapi tidak parwah akan kematian Kugan dalam tahanan? Bagaimana agaknya keluarga Kugan meyambut Deepavali tahun ini?

Mungkin pengundi Batu Sapi ada logik mereka sendiri, tetapi apa pula alasan pengundi di Galas? Adakah pengundi Galas tidak dapat menerima calon Orang Asli? Mungkinkah pengundi Galas masih dibelenggu mentaliti perkauman yang kuat? Barangkali saya yang tersilap, mungkin Barisan Nasional sememangnya layak untuk menang di Galas. Hebat parti yang dikepalai United Malays National Organisation, masih mampu menang walaupun setelah Johari Abdul Ghani dengan terbukanya menyatakan “kita tidak perlu undi Cina dan India”. Katanya jangan disembah orang Cina dan India semata-mata mahu menang di Titiwangsa, tetapi pada waktu yang sama Kerajaan menjemput Perdana Menteri India Manmohan Singh yang berdiam diri tatkala orang Tamil di Sri Lanka dibunuh dengan kejam, untuk merasmikan Little India atau nama sebenarnya Brickfields. Tanpa sebarang rasa malu Datuk M. Saravanan yang berbangsa Tamil menafikan bahawa tindakan yang memalukan Tanah Air itu suatu strategi untuk memancing undi.

Tidak salah mahu memancing undi, tapi adakah Datuk M. Saravanan tidak cukup layak untuk merasmikan Little India? Apakah tidak ada seorang jejaka Melayu tampan, segak, bergaya seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang layak untuk merasmikan Little India? Apa salah jika Little India dirasmikan oleh Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim? Hebat Barisan Nasional, masih mendapat sokongan Malaysian Indian Congress walaupun menghina rakyat berketurunan Tamil dengan begitu halus sekali. Saya kagum dengan semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh Malaysian Indian Congress dan Malaysian Chinese Association yang tanpa rasa malu sanggup diperlekehkan oleh United Malays national Organisation. Barangkali saya tidak memahami hubungan yang suci diantara tiga parti berlandaskan perjuangan etnik ini.

Sekali pandang saya lihat Malaysia masih terbelenggu dengan politik perkauman, tapi dua kali pandang saya keliru dengan Malaysian Indian Congress dan Malaysian Chinese Association yang tidak pernah mahu bersuara menjaga kepentingan masyarakat India atau Cina di Malaysia. Sebagai contoh, presiden Malaysian Chinese Association, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek enggan memohon maaf bagi serangan ganas terhadap Soh Cher Hai, ipar kepada mendiang Teoh Beng Hock oleh penyokong partinya. Kata beliau, mahu mendengar dan melihat bukti kejadian ganas itu sebelum mengulas lanjut. Bagi beliau bukti rakaman video aksi keganasan itu tidak memadai. Bagi saya, rakyat marhaen kenyataan beliau itu agak angkuh dan tidak perihatin terhadap kesengsaraan yang sedang dirasai keluarga mendiang Teoh Beng Hock. Namun saya yakin, masyarakat Cina akan terus setia menyokong Malaysian Chinese Association yang tidak mampu untuk memohon maaf atas perkara sekecil itu demi menjaga sentimen dan perasaan keluarga rakyat Malaysia yang merasakan mereka dianiaya.

Mengikut rentak yang sama, timbalan presiden Malaysian Chinese Association Datuk Seri Dr Ng Yen Yen telah menekankan bahawa pilihanraya kecil bukanlah tempat untuk para aktivis kumpulan “Malaysians for Beng Hock movement” untuk mencari keadilan. Saya yakin, kalau kumpulan tersebut adalah terdiri daripada rakyat Malaysia berketurunan Cina yang percaya, taat, setia, dan patut pada Barisan Nasional pasti boleh beraktivisme di Galas. Saya juga pasti Universiti Kebangsaan Malaysia juga akan menggalakkan pelajar-pelajarnya menyertai aktivisme seperti itu. Barangkali Datuk Seri Dr Ng Yen Yen boleh mengaturkan supaya aktivis-aktivis seperti itu diterbangkan bersama beliau untuk melawat tempat-tempat peranginan di seluruh dunia untuk beraktivisme, sementara “specialist” dalam industri pelancongan ini dapat menjalankan urusan rasmi beliau. Sanggup beliau menikam jiran kita di utara dengan menyatakan bahawa Thailand ada masalah politik sementara Malaysia tiada sebarang masalah, untuk mempromosikan pelancongan di Malaysia.

Saya akur, mungkin saya budak hingusan yang tidak mengerti politik rumit parti pemerintah, tapi saya tidak dapat menerima apabila Datin Seri Rosmah Mansor beria-ria mahu mengantikan Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak ketika beliau sakit. Apa kekurangan Datuk Seri Tuan Haji Muhyidin bin Haji Mohammad Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia? Saya terkesima memerhati gelagat tidak tahu malu Datin Seri Rosmah Mansor yang mengenepikan peranan timbalan perdana menteri dalam urusan rasmi. Saya sudah terkelu lidah dalam mengkritik tindak-tanduk parti pemerintah, kadang-kadang agak menghiburkan juga lawak-lawak bodoh yang ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin kita. Barangkali inilah nasib Negara tercinta, dipimpin pemimpin-pemimpin hebat yang terus mendapat sokongan walaupun rakyat dikelentong, ditindas dan dihina.

One Response

  1. Penulis ni …..mmg SAH JADI PENCACAI untuk PEMBANGKANG.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: