Bertanyakan erti falsafah di Malaysia

Semasa pelan tindakan Wawasan 2020 diumumkan dan dipegang sebagai ideologi nasional pada masa 1990an, ia diletakkan sebagai landasan oleh kerajaan Barisan Nasional yang dapat membawa Malaysia ke tahap negara moden. Pengagihan ekonomi yang saksama dan pembentukan bangsa Malaysia menjadi objektif utama. Pertumbuhan industri-teknologi dan pencapaian fizikal-infrastruktur menjadi pertaruhan kerajaan Mahathir.

Tidak dibicarakan di mana harus letaknya falsafah atau sains manusia.

Melihat kembali sejarah negara ini sememangnya kekosongan ini tidak pernah diperlihatkan. Tidak pernah di penuhi, tidak pernah ditanyakan, dan tidak pernah dibahaskan.  Seolah-olah kekosongan ini harus dibiarkan dan boleh diabaikan. Sepanjang pemerintahan Perikatan kemudiannya Barisan Nasional, daripada Tunku Abdul Rahman hingga Mahathir Mohamad ke Abdullah Badawi dan kini Najib Razak ‘ketiadaan’ ini dipelihara sehingga menjadi ‘kebodohan’ yang kemudiannya sekarang telah menjadi ‘kelupaan’. Kenyataan Mahathir bahawa Melayu mudah lupa ada kebenarannya. Cuma dalam wacana yang lebih universal dan kompleks, bukan sahaja Melayu yang dibelenggu tetapi juga masyarakat Malaysia secara amnya.

Ini akibatnya membiarkan negara ini ditadbir mereka yang diangkat oleh British. Mereka yang diajar, dibela dan disokong oleh kuasa kolonial.

Hasilnya pemimpin-pemimpin negara, dan parti-parti politik yang tidak dapat berfikir dan membahas ertinya negara moden.

Bukan hanya tidak dapat menjawab. Tetapi yang lebih penting lagi tidak dapat bertanya. Persoalan-persoalan yang asas tidak dibangkitkan. Termasuk persoalan;

Apa itu falsafah? Apakah hubungan falsafah dan Malaysia? Apakah erti falsafah dalam konteks Malaysia?

Masyarakat Malaysia pada tahun 2010 ini adalah masyarakat yang sakit. Masyarakat yang tenat. Masyarakat yang telah dijangkiti dengan penyakit lupa. Kelupaan.

Masyarakat yang telah lupa bagaimana untuk berfikir. Masyarakat yang telah lupa bagaimana untuk bertindak. Masyarakat yang telah lupa dirinya. Mereka, kita, kamu, menjalankan kehidupan seharian seolah-olah kita mempunyai kepercayaan. Mempunyai pegangan. Mempunyai ideologi. Mempunyai agama. Kita berkelakuan seolah-olah hidup kita, kamu ini mempunyai makna. Sebenarnya tidak. Kita tidak faham, tidak mengetahui makna apa-apa.

Masyarakat kita tidak mempunyai apa-apa pegangan. Apakah pegangan kamu? Kamu hanya percayai yang kamu mempunyai kepercayaan. Sebenarnya tidak. Kamu hanya percaya yang kamu mempercayai. Mereka ingat mereka hidup? Mereka ingat mereka mempunyai kehidupan? Tidak. Kehidupan ini hanya satu pembohongan. Satu pembohongan kepada kita sendiri. Satu pembohongan kepada kamu sendiri. Satu pembohongan kepada mereka sendiri.

Masyarakat kita, masyarakat Malaysia memerlukan pembohongan ini. Tanpa pembohongan ini kewujudan kita tidak dapat difahami. Tidak dapat diterima. Kehidupan tidak dapat diteruskan. Pembohongan adalah satu keperluan. Satu keperluan untuk mengatasi kelupaan. Tetapi pembohongan ini juga yang menyebabkan penyakit lupa ini. Pembohongan dihasilkan – terjadi – supaya dapat berhadapan dengan kelupaan tetapi pada masa sama juga merupakan punca kepada berlakunya kelupaan.

Jadi masyarakat kita ini – kamu – adalah golongon manusia yang penuh dengan pembohongan dan kelupaan. Memerlukan pembohongan. Menghasilkan pembohongan. Bagi menguruskan, menerima dan mempertahankan kelupaan.

Itu kerananya kuasa negara – Barisan Nasional – tidak pernah membawa wacana falsafah, dialektika idea, ke ruang awam. Falsafah tidak diberi tempat di ruang nasional.

Falsafah tidak diletakkan atau dimasukkan sebagai sebahagian daripada jiwa nasional.

Kuasa ini ingin kita – kamu – lupa.

Oleh itu kita harus ingat kembali. Ingat bagaimana untuk kembali berfikir. Ingat bagimana untuk kembali bertindak. Ingat bagaimana untuk bertanya.

Jangan berharap kepada agama. Jangan berharap kepada kaum. Jangan berharap kepada parti politik. Semua ini telah diambil, dimiliki kuasa negara.

Yang hanya tinggal adalah falsafah. Jadi apakah ertinya falsafah di Malaysia?

Falsafah semestinya menjadi satu usaha untuk ingat semula. Untuk kembali mengetahui siapa kita? Apakah kita? Di mana kita? Falsafah mesti menjadi satu analisa tentang ontologi kita, kamu, dan mereka. Falsafah sebagai satu usaha ontologi kritikal – satu cara pemikiran yang diperkenalkan oleh Friedrich Nietzsche dan kemudiannya dikembangkan lagi oleh Michel Foucault – apa yang dipanggil sebagai ‘the critical ontology of the present’.

Zaman ini, masa kita, masa kamu, bukan masa untuk membina. Keperluan zaman ini, generasi ini, adalah untuk memusnahkan. Merobohkan dogma-dogma yang menyebabkan kita lupa. Mencerobohi dinding-dinding yang telah dibina sebelum ini untuk menghadkan kebolehan kita untuk berfikir, untuk bertanya, untuk bertindak.

Falsafah bererti usaha untuk mengetahui siapa diri kita, memahami kenapa dan bagaimana kita berada di sini, dan apakah batas keupayaan kita dan bagaimana dan kenapa batasan ini wujud.

Yang utamanya batasan kita untuk berfikir dan batas-batas yang dikenakan ke atas keupayaan kita untuk berfikir.

Contoh kegilaan proses pembedahan UKM4.

Mesti dikenalpasti, sejak bilakah menjadi kesalahan untuk berfikir?

Menjalankan kehidupan maknanya berfikir.

Kebolehan dan pilihan untuk pergi ke satu tempat – sama ada berkempen atau tidak, atau untuk apa sekalipun tujuan, dan tidak kira apa undang-undang yang dikanunkan – adalah sebahagian daripada menjalankan kehidupan.

Jika pilihan untuk pergi ke satu tempat – yang semestinya salah satu cara kita menjalankan, dan meneruskan kehidupan kita – adalah satu kesalahan, ini bermakna untuk hidup dan berfikir adalah satu kesalahan!

Kita mesti bertanya dan kemudiannya menunjukkan secara spesifik kenapa  dan bagaimana kesalahan sebegini boleh terbentuk, dan faktor-faktor agensi dan struktural yang menyebabkan pembentukan ini supayanya ia boleh dilawan.

Lawan kita mesti berdasarkan terma-terma yang kita tetapkan sendiri dan yang kita dapat pengaruhi, dan pada masa sama mesti dielakkan sama sekali daripada berlawan di tempat kuasa musuh.

Media, parti politik, dan badan kehakiman harus dilihat secara skeptikal.

Gelanggang untuk lawan seharusnya, dan semestinya, berada dan tertumpu, di kawasan universiti.

Hanya melalui satu inkuiri genealogi akan kita dapat memahami secara khusus bagaimana wacana hidup-dan-berfikir-sebagai-kesalahan ini dibentuk dan dilaksanakan. Bukan hanya setakat menceritakan sejarah perjuangan dan kawalan ke atas mahasiswa tetapi melihat proses pembentukan mahasiswa sebagai subjek sepertimana yang kita faham pada masa ini. Mahasiswa yang perlu minta izin untuk berfikir tidak wujud 50 atau 60 tahun dahulu. Hanya sekarang untuk berfikir perlu dapat izin manusia lain.

Hidup-dan-berfikir-sebagai-kesalahan ini berkait rapat dengan keperluan-untuk-mendapat-keizinan.

Mahasiswa, kesalahan, keizinan dan kebebasan adalah konsep dan kejadian yang dihasilkan  wacana yang terbentuk melalui dinamik kuasa dan pengetahuan, keadaan sosial, institusi-institusi, rejim kebenaran dan ruang episteme.

Dengan menunjukkan titik-titik tumpu kuasa-pengetahuan ini dapat kita lawan batas-batas konsepsual dan existential yang diletakkan ke atas kita.

Mungkin barangkali dalam aspek ini pemikiran Habermas kekurangan. Rasionaliti komunikatif, antara idea tunjang pemikir ini – yang boleh dikatakan antara tokoh yang terpenting pada abad ke-20 dan awal 21 – walaupun sangat penting dalam pembentukan negara dan masyarakat dan proses serta visi yang ingin dicapai, tidak menolak kita ke arah inkuiri genealogi dan mengenal pasti kepelbagaian titik petentangan kuasa dan konflik.

Oleh itu falsafah digerakkan oleh apa yang dipanggil sebagai intelektual universal.

Tetapi mungkin dalam konteks Malaysia, apa yang lebih penting bukan intelektual universal, tetapi intelektual spesifik seperti yang ungkapkan oleh Foucault, dan militan falsafah yang dijelaskan oleh Alain Badiou.

Mereka yang dapat menggabungkan falsafah konsep dan falsafah kehidupan, supaya falsafah menjadi tindakan politik seharian.

3 Responses

  1. jgn kita lupa setiap yg bernyawa pasti akn menemui mati…..allah maha adil keatas setiap umatnya…hanya ALLAH yang mengetahui setiap sesuatu…

    oleh itu, buat si fitnah janganlah lupa , setiap perkara yang di lakukan kebenaran akan di ketahui akhirnya.

    buat yg di fitnah : teruskan berjuang…kerana setiap perjuangan menjanjikan kebahagian…andai rebah bangkitlah semula,..andai terluka ingat janjinya.. Teruskan berjuang demi anak bangsa…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: