WARKAH MELAYANG DARI KAYANGAN

Diriwayatkan oleh: Puaka Kubur Tujuh Petala

KISAH INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA, TIADA KAITAN DENGAN YANG HIDUP ATAU MATI. SEBARANG PERSAMAAN ADALAH KEBETULAN SEMATA-MATA.


Awalul Kalam,

Sahibul hikayat.  Baratul Istihlal….Hikayat bermula pabila hamba duduk-duduk beristirehat di bawah pohon kedondong setelah penat seharian membanting tulang.  Angin sepoi-sepoi bahasa menjelang musim tengkujuh seakan-akan mengelus-ngelus lembut pipi hamba, laksana jari-jemari kasihnya Dewi Siti Sundari mengusap rambut Sang Bimanyu seperti diperihalkan dalam Hikayat Seri Rama.  Aduhai, kerana panahan kenikmatan yang tidak terhingga itu, hamba pun terlena seketika.  Sedetik, dua detik terlena, sekonyong-konyongnya hamba didatangi oleh seorang tua yang terlalu sangat saktinya dalam mimpi.  Lagaknya laksana seorang petapa yang baharu turun dari Bukit Seguntang Mahamiru.  Air mukanya bercahaya laksana Maharaja Darmawangsa yang baharu turun dari keinderaan.  Bersimpuhlah dia seakan seorang Batara Guru di hadapan hamba.

 

Belum sempat hamba membuka bicara, Sang petapa sudah terlebih dahulu menutur kata..Aduhai, fasih sungguh butir bicaranya seakan Sang Kelembai tatkala menyumpah sekawan amani (kaum hawa jalang yang gemar cerita angin) yang sedang bermain congkak menjadi batu.  Arakian, Sang petapa yang terlalu saktinya itu bersabda:

 

”Aduhai Ya Mukaram, anak muda berjisim sakti, berdarah biru, titis baik baka molek, ingin beta sabdakan kepada tuan peri kecabulan yang berlaku dalam alam keilmuan di negara 1Malaysialah.  Beta berhajat memperikan kelaku jahanam seorang manusia separuh jembalang bota yang menyamar seakan pendeta.  Tiadalah lain pekerjaannya selain membuat cedera kepada ilmu dan rakyat jelata.  Tiada terperi buas akan manusia separuh jembalang bota ini sehingga ia tiada mengenal mangsa, baik para petapa ilmu mahupun saudara seangkatannya.  Tiadalah lain pekerjaan manusia separuh jembalang bota ini selain menjahanamkan anak bangsa dan menyelewengkan ilmu yang diturunkan Illahi untuk sekalian umat manusia.

 

Aduhai anak yang dikasihi, beta harap sesudah tamat bicara ini, tuan sampaikan kepada segala handai taulan, adik kakak serta keponakan mu.  Biar mereka semua sedar dari lamunan khayal dan bangkit menentang kerosakan yang dilakukan oleh manusia separuh jembalang bota ini kepada nusa bangsa.  Jika tidak menjadi kendala (halangan) kepada tuan, sebarkanlah sabda beta ini dalam bentuk warkah yang mudah dibaca dan dihadam oleh segala manusia.  Khabarkan ke segenap alam cakerawala akan cetera ini.  Biar ia melayang laksana angin bayu dari Loh Mahfuz.  Biar pantas seakan Garuda kenaikan Betara Krishna.  Biar ia menyedarkan mana yang terlena dan mengingatkan kepada mana yang terlupa.

 

Sayugia, sang petapa pun membisikkan hikayat manusia separuh jembalang bota serta kerosakan yang dilakukan olehnya ketelinga hamba, begitu rinci dan tersusun ceteranya seperti seorang Tok Selampit mendendangkan dongeng  lagaknya.  Sesudah sahaja tamat ceteranya, sang petapa pun sekonyong-konyongnya hilang daripada pandangan pancaindera hamba, namun masih tergiang-ngiang pantunnya sebelum menutup akhirul kalam kepada hamba.  Pantunnya berbunyi,

 

Mengganti pisang dengan kedondong,

Lain dikunyah, lain dirasa,

Memanglah Musang guru si Jadong,

Rosak amanah, cita binasa,

 

Jika diturut seperti kata,

Tiadalah jadi yang punya melata,

Turutlah tuan seperti kata,

Tiadalah tuan menjadi nista.

 

Syahdan terjagalah hamba daripada lena yang panjang.  Merecik-recik peluh di dahi seperti mana keadaan Baginda Rasulallah S.A.W setelah menerima wahyu Illahi melalui Jibrail A.S di gua Hiraq., basah pakaian, lenguh sendi badan.  Awalnya hamba menganggap mimpi yang datang itu hanya mainan tidur. Jangan dikisah, kelak membawa susah.  Namun, tanpa disangka-sangka terjatuh sekajang kulit lembu putih dan pena bersalut emas bertakhtakan ratna mutu manikam dari dahan pokok Kedondong, tempat hamba berteduh, seakan sama peristiwa buah epal yang jatuh ke ribaan Issac Newton lantas mengilhamkan hukum graviti..

 

Ah, apa permainankah ini? Pekerjaan Iblis laknatullahkah atau sememangnya ilham yang diutus oleh Illahi kepada ku untuk menulis semula apa yang diceterakan oleh Sang Petapa kepadaku sebentar tadi?  Berhari-hari hamba bermuram durja, gundah gulana tiada terperi.  Duduk tidak kena, berlunjur terasa seksa, berbaring berasa sengal, mahu santap lagikan tiada selera, mandi lagikan tiada basah, seakan keadaan manusia yang bakal menerima hukuman di Padang Masyar.  Berdebar-debar seluruh jiwa raga hamba.  Masa berlalu perlahan, laksana keadaan hamba manusia meniti titian Siratul mustakim perinya.

 

Aduhai pungguk rindukan bulan,

Menanti-nanti tiada kesudahan,

Sudahlah lama hamba timbangkan,

Tibalah masa untuk kebenaran,

 

Terlentang salah, mengiring salah,

Kedal badan tercalit miang,

Didiam salah, dibiar kalah,

Lagi ditelinga terngiang-ngiang,

 

Sesudah mandi lalu santap,sesudah santap lalu mengunyah sireh, sesudah sireh meminum kopi, maka bulatlah tekad hamba untuk menukilkan hikayat amaran yang diceterakan oleh sang petapa.  Seakan-akan tugas Sang Petanda untuk melaksanakan titah hukuman DiRaja.   Perlahan-lahan, dengan penuh cermat, tertib seakan-akan Hamzah Fansuri tatkala mengarang Syair Perahu, hamba mulakan melorek aksara dan menyusun ayat sebaik mungkin dengan pena emas di atas kulit lembu puteh, agar mudah dibaca dan difahami oleh setiap yang menatapnya.  Biar dibaca sebanyak mungkin rakyat jelata.  Agar dikhabarkan cetera amaran sang petapa dalam mimpi hamba keseluruh pelusuk cakerawala.  Biar yang tua datang bertongkat, yang pipih datang melayang, yang capik datang mengengkang, yang buta teraba-raba dan yang kurap tergaru-garu.  Biar mereka semua tahu akan peri kejahatan manusia separuh jembalang bota yang menyamar pendeta.  Biar mereka semua bangkit dari terus dibodoh dan ditindas oleh sang jembalang bota demi menyelamatkan alam keilmuan dari pekerjaan durja sang jembalang bota serta juak-juaknya.  Hatta warkah hamba kepada semua tuan sekalian……..

 

Sadarul Kalam,

Tuan-tuan, adik kakak, ayah bonda yang dihormati,

 

Tujuan warkah ini hamba nukilkan bukanlah untuk mengaibkan sesiapa, jauh sekali bertujuan meraih untung politik.  Namun di atas nama kebenaran dan demi masa hadapan ilmu anak bangsa adanya.  Hamba telah bermimpi bertemu seorang Cendekiawan (Sang Petapa) yang menyampaikan kepada hamba tentang kedurjanaan seorang yang diperihalkan separuh manusia separuh jembalang bota yang menyamar sebagai pendeta di UKEIM (Unit Keilmuan Malaysia).  Adapun manusia separuh jembalang bota ini digelar sesetengah siswa (yang suka mengampu beralas tangan, bersusun jemari,bersulam kata) dengan gelar Prof (sama erti makam Mahaguru jurus persilatan tertinggi) walaupun pada hakikinya beliau tidak layak menyandang gelar kependetaan tersebut.  Arakian, sang petapa dalam mimpi hamba menjelaskan susuk tubuh manusia separa jembalang bota ini tidaklah menarik bahkan seakan perwatakan Jerudeh dalam Hikayat Seri Rama.  Kulitnya agak kehitam-hitaman seakan dibakar api biara Majusi dan berambut kekerintingan seperti puak sakai Gua Musang.  Gemar akan ia memakai pakaian jenis baik, mahal lagi bermutu, namun tiada langsung tampak bergaya.  Kadangkala sarung kakinya dipakai sehingga menelan kaki seluar, baju besar mengeleber yang berwarna garang serta dipadankan dengan seluar yang tidak menarik gabungan warnanya.  Seakan pantun orang-orang tua dahulu:

 

Merah jangan dipadan jingga,

Kelakkan tubuh tampak suram,

Rupa hodoh tiada terhingga,

Seakan Langsuir keluar malam,

 

Jumaat keliwon malam puaka,

Kala bulan mengambang terang,

Perasan tampan laksana jejaka,

Tiada perasan diketawakan orang,

 

Hatta, manusia separuh jembalang bota ini bernama Penglipur Ogostazi Jeezop.  Tiadalah lain pekerjaannya selain menabur fitnah kepada sesiapa yang dikenalpasti mampu memberikan saingan kepadanya.  Persaingan itukan satu yang bagus dalam alam keilmuan? Namun, oleh kerana tahap cendekia ia yang tiada mencapai piawaian kaum cendekiawan seluruhnya, maka difitnah sahabat bersama-samanya mengaji di varsiti Inggeris (yang kelab bola sepaknya begitu terkenal dikalangan anak muda).  Diperihalkan bahawa angkara surat beracun yang beliau tintakan menyebabkan sahabatnya itu diberhentikan pengajian dan bertukar kerja membawa diri ke negeri bawah angin.  Hamba kurang periksa pula apakah kandungan surat beracun yang beliau kirimkan kepada pentadbir UKEIM, kerana sang petapa tidak pula menceritakan secara rinci kepada hamba dalam mimpi tersebut.

 

Hamba dimaklumkan dalam mimpi tersebut, Penglipur Ogostazi Jeezop ini merupakan seorang yang suka benar akan pekerjaan menikam belakang orang.  Maksud hamba, ”depan bermanis muka, belakang tangan berselaput racun berbisa”.  Mungkin sang petapa yang bersabda kepada hamba dalam mimpi itu salah seorang bekas siswanya, kerana terlalu rinci dibisikkan kepada hamba bagaimana Penglipur Ogostazi Jeezop ini mencaci rakan cendekiawannya yang lain ketika kuliah talaqi.  Mempersenda orang itu licin atas kepalanya, orang ini bujang terlajak, orang itu kononnya bijak mengaji kotak undi tetapi gagap berbicara bahkan keceluparannya ini sehingga ke tahap meremehkan sahabat cendekianya yang lain kononya kurang intelek berbanding beliau yang sering muncul di kotak televisyen.  Walhal, semua yang dibeberkan dalam kotak televisyen itu temberang belaka menurut sang petapa dalam mimpi hamba.

 

Sang petapa juga menceritakan secara jelas bagaimana Penglipur Ogostazi Jeezop ini menceritakan hal ehwal lucah sahaja dalam setiap waktu kuliah talaqinya kepada siswa.  Mana yang suka mengampu bukan main besar gelaknya, sehingga gempar sidang Malaikat di langit ketujuh.  Paling hamba terkesan bila mana sang petapa menceritakan yang Penglipur Ogostazi Jeezop ini tiada pernah akan ia menyudahkan kuliah talaqi mengikut masa yang ditetapkan.  Kadangkala kurang daripada suku waktu sebenar. Kadangkala diperintahkan anak didiknya dari kepulauan rempah Sumatera yang dalam pengajian tahap Guru Filsafat untuk mengantikan beliau berkuliah.  Alasannya beliau kurang sihat, sedangkan pada waktu yang sama ada sebilangan siswa terlihat beliau bersuka-sukaan teramat sangat menyedut tembakau berjenama salju di kamar kantornya sambil berbuih-buih mencarut dan menjual temberang kepada tamu yang berkunjung ziarahnya.  Sikap curang sebeginilah yang beliau tonjolkan kepada anak-anak siswa yang mengaji pelajarannya.  Ibarat ”ketam mengajar anaknya berjalan lurus”, tanpa silu beliau bersabda agar anak-anak siswa menjadikan beliau sebagai tauladan baik jika mahu berjaya di masa hadapan.  Seakan pantun:

 

Indah sekali keroncong Gesang,

Alun irama tiada sumbing,

Ibarat seperti kelaku sang Musang,

Disuruh jaga sekandang kambing,

 

Sang petapa ketika dalam mimpi hamba juga ada menceritakan bagaimana sikap Penglipur Ogostazi Jeezop ini memberi nilai cemerlang kepada seorang siswa hawa jagaannya.  Siswa hawa ini sememangnya baik rupa parasnya, namun dungu tiada terhingga.  Disurahkan bahawa Penglipur Ogostazi Jeezop kerana terpesona dengan rupa paras sang hawa telah memberikan nilai cemerlang walaupun sudah terang lagi bersuluh siswa hawa ini sekadar meniru kajian orang lain dengan banal sekali.  Paling mengejutkan, Penglipur Ogostazi Jeezop sendiri yang memberikan kajian cendekiawan lain untuk siswa hawa ini menyalin tanpa segan silu.  Tanpa pembaca kedua dan ketiga seperti aturan varsiti, siswa hawa ini menikmati nilai cemerlang!

 

Sang Petapa juga ada membisikkan kepada hamba tentang kisah Penglipur Ogostazi Jeezop memberikan nilai cemerlang kepada siswa juaknya yang bernama En Bozri dan En Kopek.  Sang siswa juak pula tanpa rasa malu menceritakan kepada rakyat jelata tentang nilai cemerlangnya walaupun ramai yang tahu kedua-dua siswa juak ini bebal dan tiadalah cerdik akal budinya.  En Kopek misalnya, kononnya mengkaji tentang riwayat Parti Kesatuan Raksasa (PKR) dalam peti undi, sang petapa bersurah kepada hamba tiadalah istimewanya kajian itu melainkan menyalin kembali tulisan cendekiawan lain yang terdahulu.  Namun, cemerlang nilaiannya!

 

Dengan nada sedih lagi sayu, sang petapa menyambung surahnya kepada hamba bagaimana Penglipur Ogostazi Jeezop memberikan nilai cemerlang kepada setiap bapak-bapak polisi yang berada dalam usia pencen walaupun jelas bapak-bapak polisi ini tiada upaya intelek untuk lulus cemerlang.  Khabarnya upah khidmat yang diterima oleh Penglipur Ogostazi Jeezop ini begitu lumayan sekali (kurang sedikit berbanding upah yang beliau terima dari negeri bawah angin suatu ketika dahulu).

 

Sang petapa juga menceritakan kepada hamba bagaimana setiap kali menjelang penilaian bertulis akhir penggal, Penglipur Ogostazi Jeezop akan membuat panggilan mistik kepada setiap siswa tua untuk meminta sebahara wang emas dan perak sebagai jaminan nilai cemerlang untuk pelajarannya.  Dalam mimpi hamba juga sang petapa dalam keadaan marah meriwayatkan Penglipur Ogostazi Jeezop membuat panggilan mistik kepada seorang saudagar Jawa untuk membiayai peralatan rumahnya yang sedang diubah suai.  Kerana saudagar Jawa ini seorang yang begitu amanah dan telus, ditolaknya mentah-mentah tawaran puaka tersebut.  Nah, hasilnya sang saudagar Jawa mendapat nilai gagal yang menyebabkan beliau dibuang daripada varsiti.  Khabarnya sehingga kini saudagar Jawa tersebut berdendam dan bersumpah pada setiap malam Jumaat keliwon untuk memberikan pengajaran kepada Penglipur Ogostazi Jeezop yang mana satu langit yang mana satu bumi suatu hari nanti.

 

Aduhai sungguh luluh hati hamba bila dikhabarkan sang petapa dalam mimpi bagaimana Penglipur Ogostazi Jezop dengan dibantu oleh siswa didiknya En Bozri mengambil upah menulis tugasan pelajaran dan kajian bagi siswa tua pelajaran jauh.  Dikhabarkan bahawa satu tugasan, En Bozri akan menerima habuan sebanyak 300 Riyal wang Kelantan (En Bazri ini tuan-tuan,menurut lagenda, tiada ia bekerja tetapi mewah hidupnya).  Sungguh lumayan…Sang Petapa juga ada membisikkan kepada hamba dalam mimpi tersebut bagaimana Penglipur Ogostazi Jeezop meminta setiap siswa yang mengambil pelajarannya memberikan pengeras kepada beliau berupa salinan lembut (soft copy) setiap tugasan mereka.  Khabarnya, salinan ini dijual kepada pelajar tua penggal pengajian hadapan dengan harga yang tertentu…Wallahualam..  Perkara yang paling keji sang petapa khabarkan mengenai Penglipur Ogostazi Jeezop ialah bagaimana beliau menggunakan peruntukan varsiti untuk ke sebarang persidangan luar negeri, namun tidak menghadirinya bahkan melencong pula untuk bercuti.

 

Sang petapa menceritakan dalam mimpi hamba dengan jelas bagaimana seorang taulannya yang belajar di negara Australi berpergian ke sidang para ilmuan di sana.  Beliau teruja kerana nama Penglipur Ogostazi Jeezop disenaraikan sebagai salah seorang pemakalah.  Malangnya, sepanjang persidangan tiada jua nampak kelibat Penglipur Ogostazi Jeezop.  Akhirnya kerana bosan, taulan sang petapa pun pergilah berlibur ke bandar.  Alangkah terkejutnya bila mana beliau terserempak dengan Penglipur Ogostazi Jeezop sedang enak-enak berlibur.  Sejauh mana kebenaran dakwa-dakwi ini, hamba minta tuan-tuan sekelian bertanya sendiri kepada empunya diri.  Cuma hamba ada teringat cetera sang petapa tentang Penglipur Ogostazi Jeezop tatkala dipanggil memberi kuliah di Pulau rempah Sumatera.  Untuk ke sana beliau meminta tiket Burung Besi kelas wahid, hotel penginapan terbaik dan pedati kuda Tezi siap supirnya sekali.  Malangnya, kuliah yang beliau sampaikan begitu jelek dan hanya bercerita tentang pengalaman liburnya ke luar negeri dan jenama persalinan yang beliau sukai.  Malang sungguh nasib anak-anak Pulau rempah Sumatera menjemput beliau…Laksana ikan tidak dapat, umpan pula hilang…

 

Alahai hamba bertambah pilu, sehingga menitis air mata hamba laksana 7 lautan tatkala diceterakan oleh sang petapa dalam mimpi tersebut bagaimana Penglipur Ogostazi Jeezop membeli harga diri seorang Timbalan Rektor Raden Mas Sugimin Sumainik untuk memudahkan perbuatan khianat beliau kepada nusa bangsa.  Dikatakan bahawa perlantikan beliau sebagai Kepala Cendekiawan di ilmu alam politik Unit Keilmuan Malaysia (UKEIM) dipermudahkan oleh sokongan manusia-manusia berkuasa di varsiti yang cabul kelakuan ilmunya.

 

Sang petapa juga bersurah bagaimana Penglipur Ogostazi Jeezop cuba membeli jiwa raga dan maruah diri Ketua Kepala Cendekiawan Front Sosialis Sangat Kelam (FSSK) dengan pemberian kain baju yang mahal.  Dengar kata ia bertujuan agar Ketua Kepala Cendekiawan itu menutup mulut jika terhidu kebejatan yang dilakukan beliau antaranya membawa masuk seorang ahli politik negara yang baru-baru ini bernikah dengan wanita opera yang sungguh bergetah.  Ahli politik ini menurut cakap-cakap angin tiada kelayakan akademik untuk mengaji di tahap Sarjana.  Namun dengan kuasa Illahi, Ketua Kepala Cendekiawan ini tersedar ada udang disebalik batu dan memulangkan semua barangan yang diterima dahulu.  Sebagai balasan, tidak sampai berapa purnama Ketua Kepala Cendekiawan ini tersingkir daripada varsiti.

 

Sayugia sang petapa menceritakan juga bagaimana Penglipur Ogostazi Jeezop mula menyulam jaringan kebodohannya dalam bahagian ilmu politik UKEIM.  Pertama-tamanya menyingkirkan segala halangan yang sedia ada.  Pakar peti undi Pendeta Ghazi tiada ditawarkan kontrak sebaik sahaja tempoh pencen menjelma.  Nasib sama menyusul kepada Pendeta Sali yang adapun seorang pakar filsafat.  Pendeta Niedzshem pula dihalau keluar ke Intitut penyelidikan dengan singkatan KITORANG melalui konspirasi jelek yang dipercayai beliau sebagai perancang utamanya.  Untuk mengukuhkan kuasanya, beliau melantik tanpa musyawarah seorang hamba Allah yang diam membaca tawarikh orang Arab sahaja kepandaiannya.  Dari cetera sang petapa dalam mimpi hamba, penbaca tawarikh orang Arab ini diberi nama Penglipur Ramsu Abadik.   Sambil berkahak dua tiga kali, sang petapa ketika bersurah kepada hamba dalam mimpi meluahkan bimbang akan nasib anak ilmu politik bilamana  Penglipur Ramsu Abadik dianugerahkan mengajar sosiologi politik (semacam ilmu politik tentang masyarakat agaknya).  Aduhai kesiannya anak muda mendapat guru seperti ini bila beliau acap kali menulis nama tokoh Marxisme, Karl Marx dengan ejaan Carl Mark.  Sementelahan disoal oleh anak murid yang masih ada saki baki kritis tentang dialektikal-materialisme, thesis Weber, super-struktur dan bagai-bagai lagi konsep awallul sosiologi politik, Penglipur Ramsu Abadik ini terkedu dan meminta anak-anak muridnya merujuk laman sesawang wikipedia.com untuk mengetahui lebih lanjut apa yang mereka ragukan itu.  Alahai…keluh sang petapa dalam mimpi hamba….

 

Hamba juga dimaklumi yang anak didiknya En Kopek dianugerahkan jawatan akademik, walaupun masih ramai yang lebih layak (En Kopek pun khabarnya seorang yang suka jawatan dan bermuka-muka serta acap kali membeli air minum kepada Penglipur Ogostazi Jeezop sebilang kuliah).  Adapun seorang pemuda yang jauh berlayar mensurahkan cerita angin bagaimana En Topek ini selalu tidak berupaya menjawap soalan anak siswa, jadi untuk dilihat lebih intelektual beliau berkata terpulang kepada anak-anak siswa untuk berfikir kritis mengenai jawapannya..Walhal En Kopek tidak tahu jawapan soalan yang diajukan anak siswa terbabit. Sang petapa bertanya kepada hamba dalam mimpi tersebut, inikah contoh ahli fikir yang akan mendidik anak bangsa masa akan datang? Semakin pandirlah keturunan kita keluh sang petapa….

 

Jaringan seterusnya ialah seorang pengajar yang juga punya sifat seperti Penglipur Ogostazi Jeezop.  Tiada ia mengajar siswa dan suka pegang jawatan sahaja kerjanya.  Diberitakan nama manusia ini Dokter Regalia.  Kepakarannya menyebarkan cerita angin dan fitnah kepada semua cendekiawan di varsiti.  Seakan penyambung lidah Penglipur Ogostazi Jeezop gamaknya.  Menurut khabar yang dibawa oleh Datu Semail sang sida-sida istana, Dokter Regalia ini telah menjadi Ketua Tok Batin di tempat kediaman siswa. Tentu lumayan ditambah biaya-biaya menyelidik oleh pihak luar…

 

Setelah sudah puas sang petapa bersurah kepada hamba dengan fasih bak sang kelembai, maka berhentilah ia…Lelah barangkali..Tetapi satu pesan yang ia titipkan kepada hamba sebelum sekonyong-konyongnya hilang.  Sang petapa meminta hamba menyedarkan semua anak-anak siswa politik akan kebejatan dan kerosakan yang sedang dilakukan oleh jembalang-jembalang ini.  Ilmu politik UKEIM menurut lagendanya tempat pilihan utama orang yang suka menyelidik ehwal politik dan administrasi.  Pernah lahirkan banyak sekali zamil cendekiawan laksana semut ribu lagaknya.  Cendekiawan pengajar zaman gemilangnya dulu jua orang yang terlalu sakti terkenal sehingga ke negeri antah berantah. Oleh kerja khianat Penglipur Ogostazi Jeezop beserta jembalang botanya yang lain, gemilang itu hanya tersisip dalam lipatan tawarikh sahaja.  Sang petapa meminta hamba menyeru sekalian siswa yang tahu akan kecurangan ilmu yang dilakukan oleh jembalang bota seperti yang diriwayatkan, untuk bangun menolak pimpinan dan ajaran mereka.  Khabarkan kepada semua rakyat jelata mengenai kecurangan ini demi mengilham harapan dan mencipta masa hadapan anak-anak cucu kita kemudian hari.  Sang petapa dalam mimpi hamba sebelum sirna ada berpantun:

 

Ikan sembilang, ikan patin,

Mari dimasak gulai asam,

Jangan diturut serakah batin,

Kelakkan hilang segala azam,

 

Memukat sepat di tepi paya,

Jaring terlekat terbelit tunggul,

Dedahkan kebatilan selagi terdaya,

Untuk lahirkan masyarakat unggul,

 

Guruh dilangit berdentam-dentum,

Kilat di awan sabung menyabung,

Kerja khianat mesti dihukum,

Tugas tuanlah untuk menyambung,

 

 

 

 

Akhirul kalam,

 

Aduhai penat hamba bersurah. Hilang gudah, hapus gelisah.  Jangan disangka ini penghabisan.  Pasti ada lagi sambungan.  Hamba kira tugas hamba seperti yang dipinta oleh sang petapa dalam mimpi telah terlaksana.  Terpulang pada akal budi tuan hamba sekalian untuk memikirkan benar atau tidak beberan sang petapa.  Hamba harap sang petapa muncul ke dalam mimpi tuan hamba pula untuk menyampaikan ilham seterusnya ketika tuan hamba semua sedang beristirehat di bawah pohon kedondong…Wallahualam bisawab…

 

9 Responses

  1. saya sokong EN TOPEK!!!!! hahahahahahahah….jo tulis masuk kosmo ke..berita harian ke…orang akan cakap…. “whatever~~~~~~~~da~~~~~~”

  2. sungguh pelik gelagat sang pensyarah berkepala botak licin ini. tak memelikkan wujud artikel ini kerana sang botak yg menjadikan anak murid sendiri sebagai habuan nafsu serakahnya. sebagai balasan dibuang dari pusat pengajian. Beliau juga yg menceritakan pelbagai dusta nestapa dan fitnah melarat sehingga anak murid taksub dan membuat perkara2 yg memalukan. Ada juga sepasang laki bini yg bininya mengajar politik turut dikudakan beliau. Sang suami umpama lelaki dayus. Sejak botak menjadi penasihat sebuah persatuan cum kelab politik di sebuah universiti terkemuka di Bangi, empat pelajar sampai nak dibuang. ini tidak terjadi sebelum ini. Sudah2 la wahai si botak..bertaubatlah atas keterlanjuran…tak adanya orang nak kenakan kamu…kamu terimalah sendiri akibat dari perbuatan kamu yang ditegah Tuhan. Ini baru hukuman dunia…di akhirat belum tentu. Sebab itu Firman Allah..wala taqrabuz zina…jgn kamu dekati zina…” Walaupun usia kamu sudah 50an namun belum terlambat utk bertaubah dan ingatlah Allah itu suka akan hambanya yang bertaubat. Hentikan semua fitnah2 secara online ini dan jangan sampai ramai lagi yg bangkit mengambil tindakan. Buat harimau Tua jgn terlalu konfiden…identiti anda telah diketahui dan anda hanya mengundang musibah

    • mmm sedarlah diri bahawa kamu itu atas pucuk api neraka, kerana menuduh orang yang beriman melakukan zina. Konspirasi jahat ini akan terbongkar, dan mmm kamu tidak akan terlepas.

  3. ni cerite khayalan kan..kenapa mmm nak melatah pulak? orang ramai dah tau la kau online dari mana….semue watak cerita ni kan rekaan..apasai pa nak melatah bagai.siapa pulak penysrah botak makan anak org? kalau gitu nanti ang minta puaka kubur tulis pasai dia pulak naa..aku pelik awat orang kata ni fitnah..padahai tak dak cerita pasai sapa pun .unit keilmuan malaysia bukannya institusi.siapa agoutuz?..ada betoi ka orang ni?.apa pasai nak melatah.ke apa semua yang dalam cerita ni betui? tak payah ang nak tunjuk alim la petik ayat quran.ang tu yang bodo sebenaqnya.pasai ang dah dedah kebodohan ang cegtiha pasai orang lain..ang punya identiti pun orang dah tau la.sikit masa lagi ang tau la ang sapa..

  4. betui ka en topek suka beli ayaq minum ke prof agoutuz setiap kali kuliah? ayo,bodek gila mamat ni.

  5. Diskopi bukan tempat anda mendapat maklumat penting tentang hidup dan masalah pokok dalam ekonomi. Di sini mereka hanya berguling-guling bersama bantal ayat di atas katil kebosanan sambil melahirkan rasa romantis ala-ala geram tentang apa, kenapa dan kekurangan daya fikir pemerintah yang tidak setaraf pemikirannya dengan mereka. Ialah, masing-masing muka tak cukup sifat simetri, ilmu pula sekadar dapat dipraktikkan di ruang maya dan beberapa meja diskusi sahaja. Maka bersimpatilah dengan mereka jika mereka terlalu lancang bersuara kerana ini sahajalah yang membuat mereka terasa hidup. Jangan sesekali anda berasa marah dengan kewujudan golongan seperti ini. Saya berbahagia mengenali mereka sebagai rakan.

    Justeru itu, kami menghargai penglibatan anda yang sama-sama berpatisipasi menyumbangkan komen di blog super cool ini. Diharap dapat berkunjung lagi di lain hari.😀

  6. Prof Samsu Abadi…pensyarah baru tu ke? handsome…sexynya …single ker? Ada sesiap ada no phone dia…yang berkenalan dgn dia…kalau selisih dgn dia mesti berdebar2….

  7. 4 thn lepas saya pernah mengambil 1 subjek yang diajar oleh prof Ogostazis…tugasan yang diberikan, saya siapkan tepat pada masanya, malah pembentangan saya juga mendapat pujian daripada beliau dan rakan-rakan sekelas…exam juga dapat saya jawab dengan jayanya, malah ketika keluar dari dewan exam, hati saya berkata, subjek ini lah yang dapat membantu saya nanti…namun, apabila result exam keluar, alangkah terkejutnya saya apabila hanya mendapat gred B-, saya ulangi..hanya B-..manakala bg subjek-subjek yang lain saya mendapat A- dan A…

    Timbul rasa curiga di sini, saya pun cuba menyiasat result kawan2 yang lain..namun kebanyakannya mendapat result yang hampir sama dengan saya iaitu B dan B+. Mendengar jawapan-jawapan tersebut, hati saya pun berkata, tak mengapalah..bkn rezeki saya kali ini. Kemudian, selang beberapa hari, dengan pertolongan kuasa Tuhan, datang seekor hamba ini berkata “Tgk lah aku, tak hantar assmnt Ogostazis pun boleh dapat A!! Hahaha..tu lah korang, tak pandai amik hati Ogostazis..tgk lah aku..exam pun aku main belasah jawab sahaja.”

    Akhirnya saya percayalah dgn apa yang diceritakan dari senior-senior dan super senior saya dahulu…pandai bodek & amik hati Ogostazis, A lah jawabnya…kalau tak ada kebolehan tersebut, jangan bermimpilah saudari!

    Jd apa yang saya nak simpulkan di sini ialah, sebelum anda hendak mengambil paper Ogostazis, pastikan anda ialah seorang :

    1) Polis Nak Pencen
    2) Kaki Bodek
    3) Pandai Memuji
    4)Budak Kelantan
    5) Muka “”Jambu””
    6) Indon-Aceh

    Sekiranya anda memiliki kelima-lima atau salah satu ciri-ciri yang disebutkan di atas, maka potensi anda mendapat A boleh dikatakan 100%!!!

    Sekian…terima kasih Prof Ogostazis dengan gred yang anda berikan kpd saya tersebut…krn kesannya cukup mendalam utk saya mendapat pekerjaan sehingga ke hari ini.

  8. […] WARKAH MELAYANG DARI KAYANGAN […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: