Usrah dan komunikasi

Usrah dilihat sebagai medan pemantapan idea dalam gerakan mahasiswa islam di Malaysia. Melalui temubual dengan soalan yang seragam kepada barisan kepimpinan gerakan mahasiswa Islam di Malaysia,  kesemuanya bersetuju bahawa usrah merupakan kaedah dan aktiviti paling penting dalam gerakan Islam.  Pentingnya aktiviti usrah ini dalam gerakan mahasiswa bukan sahaja pada awal kemunculan gerakan mahasiswa Islam malahan sehingga ke masa ini.

Perkataan usrah berasal dari kalimah Bahasa `Arab yang bererti keluarga. Penggunaan istilah usrah ini, pada umumnya adalah untuk menunjukkan adanya hubungan atau ikatan persaudaraan sesama manusia sama ada dalam hubungan rumahtangga, darah keturunan, suku bangsa atau puak. Mencontohi badan Ikhwanul Muslimin, kumpulan usrah menjadi unit asas dalam menyampaikan ideologi dan strategi perjuangan gerakan.  Usrah bertindak sebagai kumpulan kecil untuk membantu para mahasiswa Islam.  Ahli-ahli digalakkan mengemukakan masalah-masalah peribadi, membincangkan keraguan-keraguan tentang sejauhmana kursus yang mereka ambil di university mengikut lunas-lunas Islam, tentangan-tentangan yang mereka hadapi dalam kehidupan harian dan sebarang masalah lain.  Dengan ini, terbentuk perpaduan erat dalam kumpulan dan sebagai anggota pelajar berasa selamat dan bertempat.

Aktiviti usrah juga mempunyai tertib untuk dijalankan. Setiap organisasi mahasiswa Islam melakukan aktiviti yang sama dalam menjayakan aktiviti usrah ini.  Sesi usrah biasanya bermula dengan perbincangan tentang Islam.  Petikan Al-Quran akan dibaca atau kungkin juga dibincangkan iman,hokum-hakam dalam Islam atau kerajaan Islam dan perkara-perkara yang berlaku berdasarkan perspektif Islam.  Perbincangan ini diketuai oleh pemimpin usrah (Naqib atau Naqibah), biasanya berlangsung selama satu jam hingga satu setengah jam.  Ahli-ahli akan akan mengemukakan soalan dan membincangkan penerangan yang diberi, sehingga jelas.  Kemudian mereka beralih kepada kepada masalah-masalah peribadi, termasuk segala-galanya, daripada masalah akademik dan kewangan hinggalah masalah dengan keluarga dan kawan-kawan.

Bagi ahli-ahli yang baru, usrah memainkan peranan penting membentuk pengetahuan serta kefahaman tentang Islam.  Ramai antara mereka mengaku bahawa pengetahuan mereka masih cetek dan usrah yang diketuai oleh mahasiswa yang lebih tua dan lebih berpengalaman menolong, bukan sahaja menjawab soalan-soalan mereka yang baru, malahan soalan-soalan yang diutarakan oleh orang lain yang mencabar cara hidup serta kepercayaan mereka.

Secara ringkasnya, aktiviti usrah ini merupakan satu model pembelajaran atau pengukuhan ajaran Islam dalam gerakan.  Melalui aktiviti inilah pelbagai nilai dan budaya diserap oleh ahli-ahli gerakan Islam dalam membentukkefahaman sesuatu perkara.  Melihat rukun dan tujuan usrah ini, tidak dapat dinafikan fungsinya dalam gerakan,  namun setiap ajaran dalam gerakan berkecenderungan untuk melihat setiap perkara dengan satu pandangan yang tetap sama ada secara pemaksaan atau tidak.

Setelah dijelaskan serba sedikit mengenai aktiviti usrah ini,  idealnya dapat dilihat bahawa aktiviti ini merupakan langkah terbaik sebagai proses pengaliran ilmu.  Namun, perkara ini juga berkecenderungan untuk mewujudkan dominasi dalam gerakan melalui cara ajaran disampaikan.  Perkara yang ingin dikupas dalam melihat mekanisme pengaliran ilmu dalam kalangan ahli gerakan mahasiswa Islam Malaysia ialah berkenaan demokrasi yang wujud dalam gerakan.  Sebagaimana yang dimaklumkan, gerakan mahasiswa Islam merupakan antara salah satu kompenen dalam gerakan masyarakat sivil yang terdapat di Malaysia.  Maka,  gerakan mahasiswa ini merupakan salah satu pemangkin kepada proses pendemokrasian di Malaysia.  Sebagaimana definisi ringkas demokrasi yang dipertegaskan Habermas iaitu bebas kepada sebarang dominasi, gerakan mahasiswa Islam di Malaysia juga bertujuan dalam membebaskan masyarakat dari dominasi negara yang menindas, namun adakah struktur, nilai, budaya atau sistem yang terkandung dalam gerakan mahasiswa Islam ini juga bebas dari sebarang dominasi.  Oleh itu, penting untuk menilai kewujudan sebarang dominasi melalui aktiviti usrah.

Kritikan yang diberi dalam melihat nilai demokrasi yang ada dalam gerakan mahasiswa Islam di Malaysia bukan bertujuan menyanggah kebenaran fahaman Islam yang terkandung dalam ajaran, tetapi terhadap bagaimana sistem pembelajaran ini dijalankan.  Sebagaimana penolakan aliran Frankfurt terhadap demokrasi adalah penolakan terhadap mekanisme mencapai persetujuan kolektif lalu menyarankan mekanisme wacana atau deliberatif demokrasi, begitu juga dalam melihat bagaimana mekanisme dalam gerakan mahasiswa Islam di Malaysia, melalui kacamata deliberatif, sesuatu ilmu itu tidak dihukum sebagai salah atau betul, tetapi melihat kepada mekanisme bagaimana ilmu itu disalurkan.

Berdasarkan idea demokrasi deliberatif yang disarankan Habermas, penentuan terhadap sesuatu dasar bererti penentuan terhadap nasib diri masyarakat itu sendiri.  Maka, masyarakat itu sendiri yang menentukan perkara seperti undang-undang, polisi, budaya dan sebagainya  secara kolektif, bukan hanya sebagai penyemak kepada dasar-dasar yang telah dipaksa dari atas (top-down).  Begitu juga dalam aktiviti usrah yang dijalankan oleh gerakan mahasiswa Islam di Malaysia.  Usrah ini merupakan ruang awam bagi ahli-ahli gerakan yang mengikutinya.  Maka ruang-ruang ini tidak perlu didominasi oleh seorang atau sekelompok supaya semua idea yang lahir untuk diwacanakan tidak menyebelahi mana-mana pihak.  Berpandukan konsep deliberatif, kedudukan Naqib atau Naqibah merupakan penghalang menjalankan wacana seimbang.

Mengapa wacana seimbang tidak berlaku? Jawapannya ialah berbalik kepada kritikan Habermas terhadap idea-idea pembebasan sejak awal pencerahan sehingga idea yang lahir pada zaman moden, idea yang terbina tidak terlepas dari dikotomi objek dan subjek.  Selagi ada dikotomi objek dan subjek selagi itu manusia tidak akan terlepas daripada dominasi.  Dalam konteks aktiviti usrah, Naqib atau Naqibah merupakan subjek manakala ahlinya merupakan objek.  Hal ini kerana setiap ilmu disampaikan Naqib atau Naqibah dalam menanamkan kefahaman terhadap ahli-ahli usrah.  Proses ini berlaku dengan persoalan, pertanyaan, pengupasan tentang sesuatu isu namun ditutup atau disimpulkan oleh Naqib atau Naqibah.  Hal ini bukan bererti perkara yang disimpulkan oleh Naqib atau Naqibah itu sesuatu yang salah atau benar,  saranan terhadap rasional komunikatif Habermas tidak berperanan meletakkan hukum, namun mekanisme ini menyebabkan kuasa putus terhadap sesuatu perkara dimiliki oleh seorang atau sebahagiaan yang mempunyai wibawa. Perkara ini bercanggahan dengan tuntutan demokrasi yang meletakkan wibawa terhadap semua masyarakat, atau dalam konteks ini terhadap semua ahli yang menyertai usrah, bukan sebahagian atau seorang.

Dalam kerasionalan komunikatif ini, semua peribadi adalah sama rata, semua idea adalahsetingkat – tiada kasta, maka kedudukan seperti “subjek dan objek,” atau “agamawan (arif) dan bukan-agamawan (jahil)” tidak harus berlaku. Begitu juga dengan dikotomi yang terkandung dalam aktiviti usrah, seharusnya Naqib atau Naqibah tidak meletakkan mereka lebih tahu berbanding ahli-ahlinya atau mereka ialah pemegang kebenaran dan tugasnya dalam wacana ini adalah sebagai penyebar kebenaran.  Sebagaimana yang telah diterangkan oleh Habermas mengenai hubungan manusia sesama manusia perlu berdasarkan komunikasi, bukan berdasarkan kerja, maka tugas-tugas sebagai Naqib atau Naqibah perlu dilepaskan, supaya setiap idea yang diketengahkan dalam wacana diterima secara adil, tanpa memihak kepada mereka yang dilihat lebih tahu.

Mewujudkan hubungan komunikasi bebas dominasi ,komunikasi yang disarankan Habermas ini terkandung tiga idea dukungan, seperti yang disebut sebelumnya, iaitu diskursethik, lebenswelt, dan Moralprinzip.  Ketiga-tiga perkara ini saling bergandingan dan perlu ada dalam mewujudkan wacana bebas dominasi.  sebelum membincangkan tentang diskursethik atau etika wacana, perlu dilihat terlebih dahulu lebenswelt atau dunia kehidupan yang terdapat dalam ajaran Islam.

Lebenswelt atau dunia kehidupan bagi setiap manusia dalam meneliti, merenung atau memikirkan sesuatu perkara berbeza dengan manusia lain.  Dunia kehidupan yang berbeza ini dibentuk oleh pengalaman dan pengaruh alam sekeliling seseorang dalam mecapai pengetahuan.  Berbeza dengan sosialisasi, Lebenswelt ini bukan hanya membentuk peribadi, tetapi kerangka berfikir seseorang terhadap semua perkara.  Contohnya, seorang lelaki yang dibesarkan dengan ajaran Buddha dan menikmati pengalaman ajarannya sehingga berupayya melihat semua perkara yang berlaku disekelilingnya melalui perspektif ajaran Buddha.  Merujuk kembali kepada aktiviti usrah yang dijalankan, dalam usaha membina wacana yang seimbang, setiap ahli perlu menyedari bahawa mereka masing-masing mempunyai dunia kehidupan yang berbeza walaupun berasal dari latar tempat dan agama yang sama.  Oleh sebab agama Islam merupakan perkara yang trasenden, maka pengalaman dalam memahami agama ini berbeza.  Memetik kata daripada Goenawan Mohamad, ‘Sedangkan doa manusia miskin dan manusia kaya itu sudah berbeza’,  perkara ini mengingatkan bahawa perbezaan yang wujud adalah berpunca daripada keberagaman manusia dari segi aliran ajaran yang diterima, ekonomi, budaya dalam keluarga dan daya kefahaman dalam mendalami teks-teks agama.  Kesemua perkara ini tidak seragam antara seorang ahli dengan ahlinya yang lain.  Boleh jadi kefahaman seorang ahli baru tentang permasalahan gejala sosial dalam kalangan umat Islam sangat berbeza namun lebih tuntas berbanding Naqib atau Naqibah yang mengetuainya.  Namun, keberagaman yang wujud setiap ahli dalam usrah ini bukan bertujuan untuk meletakkan siapa yang lebih baik dari yang lain, tetapi keberagaman ini adalah usaha mencari jawapan bagi sesebuah masalah dengan lebih holistik.

Apabila sedar dan menerima dengan terbuka perbezaan fikiran antara setiap ahli, maka boleh dilanjutkan wacana dalam aktiviti usrah ini dengan diskursethik atau etika wacana.  Empat perkara yang ditampilkan Habermas dalam etika wacana pertamanya ialah kejelasan.  Sebagaimana yang telah diterangkan bahawa dunia kehidupan setiap ahli yang berbeza menyebabkan kefahaman terhadap sesuatu perkara juga berbeza.  Maka, kejelasan merujuk kepada kesediaan semua ahli yang terlibat dalam usrah mengemukakan apa yang mereka fahami.  Langkah awal ini penting untuk menghindarkan salah faham dan setiap ahli sedar mengapa ahlinya yang lain berpendapat sedemikian jika terdapat perbezaan pendapat.  Hal ini bagi mengelakkan kata hitam-putih atau betul salah lalu meletakkan hukum seperti “yang faham ana, yang salah anta.”

Kalau semua ini disepakati, baru ahli-ahli usrah beranjak ke persetujuan kedua, iaitu “kebenaran.” Kebenaran dalam makna komunikatif Habermas ini ada maksudnya, iaitu masing-masing mengemukakan perkara-perkara juga modus-modus untuk diwacanakan. Lalu, perlu ada juga “ketepatan,” iaitu keseimbangan tingkat antara peserta wacana. Selagi tidak ada kesetaraan pada normal-normal komunikatif ini, maka kesendengan wacana akan berlaku. Kemudian, terakhir memerlukan “kejujuran,” iaitu masing-masing harus mengakui bahawa setiap mereka tak mempunyai maksud tersembunyi, tidak bertaqiyyah, serta siap untuk menerima semua aturan wacana ini. Setelah empat syarat ini dipersetujui, maka wacana boleh dimulai.

Melalui struktur yang terkandung dalam aktiviti usrah, didapati wacana yang dijalankan tidak sekata akibat dikotomi yang terhasil dalam aktiviti tersebut.  Tambahan lagi idea dalam wacana tidak tumbuh dalam kalangan ahli-ahli usrah, semuanya bergantung kepada Naqib atau Naqibah untuk menentukan hala tuju wacana yang dijalankan.  Sebagaimana ditolak Habermas dalam melihat fungsi masyarakat di bawah sistem demokrasi yang berfungsi sebagai semak dan imbang kepada dasar, begitu juga yang terjadi dalam aktiviti usrah yang dijalankan oleh semua gerakan mahasiswa Islam di Malaysia, penglibatan ahli untuk berwacana dalam usrah sebagai tindakbalas terhadap isu yang dibangkitkan oleh Naqib atau Naqibah dan kata putus atau kesimpulannya terletak pada tangan  Naqib atau Naqibah. Perkara ini menunjukkan bahawa setiap keputusan telah dibuat sebelum bermulanya wacana.  Maka, boleh dikatakan usrah yang dijalankan bukanlah proses dialog atau wacana tentang sesuatu perkara, tetapi lebih tepat sebagai satu bentuk doktrinasi.

Meletakkan usrah sebagai satu bentuk doktrinasi agak kontroversional.  Namun jika diteliti, proses usrah yang dijalankan sudah dengan keputusan oleh Naqib atau Naqibah dalam melihat sesuatu perkara, usrah hanya sebagai medan untuk meletakkan kepercayaan mereka terhadap ahli-ahli usrah dan diperjelaskan rasionalnya.  Berbeza dengan dialog atau wacana, setiap ahli usrah termasuk Naqib atau Naqibah tidak hadir dalam ruang usrah itu dengan jawapan yang mutlak.  Setiap keputusan diperhalusi semasa wacana ini dijalankan.

Bagi menjelaskan perkara ini, boleh melihat contoh bagaimana wacana tentang isu penggunaan nama Allah yang telah dianjurkan dalam usaha mengupas masalah ini.  Sesi dialog yang disertai oleh golongan yang bersetuju dan tidak bersetuju penggunaan nama Allah oleh masyarakat bukan Islam.  Perkara yang diperhatikan menerusi kacamata komunikasi Habermas bukan meletakkan golongan mana yang benar dan golongan mana yang salah, tetapi sesi dialog ini bermasalah kerana setiap mereka sudah bermula dengan keputusan yang bulat terhadap isu penggunaan nama Allah.  Maka, tujuan diadakan ialah untuk memaksakan secara intelektual kepercayaan mereka terhadap isu ini.  Walhal, wacana yang diadakan untuk mencari jawapan perlulah ditemui keputusannya setelah selesai proses dialog, bukan hadir dengan keputusan yang tidak boleh diubah.  Melalui contoh di atas barulah dapat kita cungkil peranan moralprinzip dalam tindakan komunikasi yang disarankan Habermas. Jika kita melihat kepada etika tradisi, golongan mana yang berupaya merasionalkan hujahnya tentang sesuatu isu maka hujahnya yang paling rasional, hal ini makin mengukuhkan dominasi.  Maka moralprinzip mula dikembangkan. Baginya, “hanya norma-norma yang dipersetujui (atau dapat dipersetujui) di kalangan peserta wacana saja yang dianggap sahih,”dan di luar itu tak harus diterima supaya tidak ada pengetahuan (ideologi) yang mengatasi pengetahuan yang lain.  Maka, itulah sebab mengapa setiap keputusan perlu diambil sesudah wacana atau dialog dijalankan.

Tidak mengusik kepada pengisian usrah, tetapi bagaimana berlakunya proses pengaliran ilmu dalam proses ini menyebabkan berlakunya dominasi pengetahuan ke atas pengetahuan yang lain.  Sepertimana yang dilaungkan Paulo Freire tentang pendidikan – Pendidikan adalah alat pembebasan – namun malangnya proses perkongsian ilmu ini tidak membuka ruang-ruang kebebasan terhadap pendidikan.  Lalu, ilmu yang dinikmati hanyalah kitaran pngetahuan, yang meneguhkan kekuasaan.

One Response

  1. Salam saudara, Tahniah kerana berjaya membahas dengan baik fakta dan hujah. Namun sec peribadi, ada beberapa perkara yg saya kurang bersetuju ttg apa yg diperkatakan berhubung dengan amalan “Usrah”. Konsep “Naqib dan Naqibah” sebagai guru juga diragui. Dalam hal ini, org2 yg melakukan usrah adalah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat khasnya golongan Mahasiswa ataupun remaja2. Dan mereka itu pula boleh diklasifikasikan tahap ilmu kepada cetek, sederhana dan baik.
    Apabila melakukan Usrah, beberapa ayat drp kitab suci Al-quran akan diutarakan utk dibahas oleh ahli yg sememangnya bukan ahli dalam bidang agama. Dan sudah tentulah ketua yg membimbing dan mengawal perbincangan juga bukanlah orang yg selayaknya membincangkan ayat Al-quran. Apatah lagi berbicara ttg soal istinbat hukum drpnya. Sedang ahli pula, tidaklah boleh sewenang2nya atas dasar mendapatkan secebis ilmu agama melontarkan buah fikiran berkenaan dengan ayat yg dipetik oleh naqib atau naqibah. Itu ayat wahyu, bukan ayat bahasa yg jika tersalahpun tidak apa. Bercakap mengenainya secara tdk langsung akan bercakap tentang aqidah,hukum dan kebenaran tulin dalam Islam. Bagaimana mungkin seorang naqib atau naqibah yg barangkali seorang mahasiswa pengajian Islam(Degree) mampu menyentuh soal keagamaan secara lebih serius. Ini sesuatu yg dianggap bahaya dalam menuntut ilmu. Rujuklah pada ulama dan bukannya pelajar yg pointer pun mungkin tdk setinggi mana atau ustaz yg bahasa Arab pun boleh dpertikaikan. Jika mahu menambah ilmu, bukan ini cara yg sesuai, byk lagi saluran yg wajar seperti terus berjumpa alim atau menghadiri kuliah agama. Saya tdk memusuhi usrah dan orang yg melakukan usrah, tetapi yg saya tekankan adalah kaedah dalam menuntut ilmu sendiri. Janganlah hanya disebabkan persekitaran umur dan tempat usrah yg menarik dijadikan sbg alasan utk kita membicarakan soal hukum dalam Al-quran. Begitulah juga dalam soal tajwid dalam Al-quran, Belum tentu ketua itu betul bacaaannya, makhrajnya, ataupun adabnya terhadap Al-quran. Kalau begitu, kenapa tdk sahaj langsung rujuk kpd ulama yg arif ttg Al-quran utk pembacaan yg betul.

    Mengenai sepakat pimpinan mahasiswa menyatakan usrah sebagai baik pula. Soalan saya, atas kapasiti siapa dan apakah mereka mengeluarkan resolusi yg sedemikian? adakah dgn majoriti mereka bersetuju dgn usrah menandakan usrah sesuatu yg amat baik dan perlu terus hidup subur sebagai amalan menuntut lmu yg sahih? Sy menganggap kumpulan pemimpin tersebut sbg sekadar berjuang utk kepentingan mahasiswa yg berbeza fahaman ideology semata. Kita bercakap soal amalan dalam agama yg ada hubungan terusnya dengan akhirat, maka selayaknya kita terus bertanya kepada yg lebih alim dalam masalah tersebut.

    Kpd penulis, jika memang benar anda berminat utk memperjuangkan usrah yg dinisbahkan kepada agama, mengapa ulasan anda banyak cenderung kepada pendapat tokoh barat yang bersifat mementingkan akal?

    Janganlah hanya menari di atas bait kesedapan hujah, tapi berlarilah atas kebenaran dan ketulian fakta.

    Wallahu a’lam
    Sekadar pandangan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: