SUBKHIDDIN, PIALA DUNIA DAN MUFTI PERAK

Oleh mesincetak

Malaysia, aku sayang sangat pada Malaysia.  Malaysia membuatkan aku yakin untuk berjalan keseorangan ke pasar malam.  Malaysia juga membuatkan aku yakin untuk mengorat mana-mana awek yang berkeliaran di down-town.  Kerana Malaysia juga aku yakin makan di warung AZURA.  Sesungguhnya Malaysia memebri aku keyakinan untuk hidup.

Suatu pagi sebelum ke tempat kerja, dengan saiz lubang hidung sedikit mengembang akibat kesejukan aku langkah dengan berhati-hati ke gerai nasik lemak Mak Leha.  Sambil meraba-raba duit syiling di dalam poket, aku dikejutkan dengan satu suara.  “ Ooi! Makin hari aku nampak makin bangga ko, pehal dengan ko ni, nak kata makin kurus tak jugak, 2 pinggan nasik lemak aku ko bedal! ”,  jerit Mak Leha memecah kesunyian pagi yang hening.  Dengan bangganya aku menjawab, “mestilah bangga Mak Leha, saya kan rakyat Malaysia! ”, tegas aku sambil mempamerkan kad pengenalan ke mukanya. “ orang lain pon orang Malaysia jugak, tapi takdelah bangga macam ko ni”, sambung Mak Leha lagi.  Aku hanya tersengih mendengar kata-katanya sambil berbisik di dalam hati, “ sesungguhnya Mak Leha tak tahu, aku bangga sebagai rakyat Malaysia kerana ada dia, mak leha juga tak tahu betapa besarnya pengorbanan dia.  Yakinnya aku kerana dia.  Aku bernazar, akan aku beri nama anak lelaki aku dengan nama dia”.

Siapa beliau yang begitu mengujakan? Adakah beliau seorang menteri? Adakah beliau seorang kontraktor?  Adakah beliau seorang artis pujaan ramai? Tidak! Beliau bukan seorang menteri, sebab aku rasa beliau tak suka kelentong (kaedah bermesra dengan rakyat).  Beliau juga bukan seorang kontraktor, sebab aku tak pernah tengok beliau pakai songkok tinggi.  Beliau juga bukan artis walaupun rupanya mirip Aaron Aziz.  Jadi, siapa beliau yang benar-benar membuatkan aku bangga menjadi rakyat Malaysia?????

(Dengan nada serius)

Beliau dilahirkan di Parit Buntar, Kerian, Perak pada 17 November 1966.  Merupakan seorang pengadil bola sepak yang berasal dari Malaysia.  Beliau telah menjadi pengadil antarabangsa sejak tahun 2000.  Beliau juga seorang guru  di sebuah sekolah menengah di Nibong Tebal, Pulau Pinang.  Beliau telah mengadili beberapa pertandingan peringkat antarabangsa seperti Piala Tiger 2002, Olimpiade 2004, Piala Asia AFC 2004 Piala Suzuki AFF 2008.  Kini, beliau telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila menjadi pengadil dalam kejuaraan Piala Dunia 2010.. beliau tidak lain dan tidak bukan ialah ……….SUBKHIDDIN!!!

Mengapa aku teruja dengan Subkhiddin?  Sebab dia kadi pengadil Piala Dunia.  Apabila beliau menjadi pengadil Juara Dunia 2010 sudah semestinya sebagai rakyat Malaysia aku akan berasa bangga apabila sesuatu yang mempunyai nilai seperti Aku ditempelkan atas sesuatu yang besar, prestij, hebat seperti kejuaraan Piala Dunia.  Senang cerita begini, aku sebagai rakyat Malaysia, Subkhiddin juga sebagai rakyat Malaysia, maka apabila Subkhiddin ditempelkan dengan Piala Dunia, maka aku berasakan Subkhiddin juga mengangkat nama Malaysia, Melayu dan Islam.  Ketiga-tiga perkara ini (Malaysian, Melayu, Islam) juga terdapat pada aku.  Nah, tentu sekali aku bangga bila aku tahu seorang warganegara Malaysia, beragama Islam dan berbangsa Melayu dikaitkan dengan Piala Dunia.  Bagaikan Malaysia  juga turut mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Bila adanya Subkhiddin, barulah aku merasakan kaitannya Malaysia dan orang melayu dengan Piala Dunia. Mungkin memang begini cara pikir masyarakat tertindas, akan cuba menempelkan sebahagian nilai dirinya ke atas sesuatu perkara yang besar.  Contohnya terhadap apa yang berlaku ke atas aku dan kebanggaan terhadap subkhiddin.  Ya, subkhiddin menjadi hero dalam Piala Dunia, maka aku sedaya-upaya menegaskan keislaman dan kemelayuan subkhiddin agar nilai yang ada pada aku juga terkait dengan perkara yang dianggap besar itu.

Aku merasakan kerja tempel-menempel atau kait mengait ini bukan satu perkara yang baru, malahan sudah lama berlaku, sejak bermulanya masyarakat tertindas.  Bukan mahu perlekehkan agama Islam, tetapi masyarakat Islam yang sudah tidak mampu berpikir kritis dengan mudah yakin mitos Amstrong terdengar laungan azan semasa di bulan.  Lihat, hanya ini termampu bagi melegatimasikan bahawa Islam itu agama yang benar.   Seringkali aku terdengar, terbaca dan tertonton betapa ghairahnya kita mengait dan menempelkan antara agama dan sains.  Mungkin sains sudah lama kukuh sebagai sumber pengetahuan yang kuat autoritinya, maka agama seakan dilihat tumpang sekaki.  Aku merasakan cara berpikir seperti ini mendatangkan risiko yang amat besar.  Contohnya, beberapa tahun kebelakangan ini, seorang Pak Menteri yang berwajah Islamik telah berusaha mewujudkan satu kumpulan kajian tentang faedah solat dari sudut sains.  Kumpulan penyelidik ini terdiri daripada beberapa intelektual di university tempatan.  Antara hasil kajian menunjukkan solat berupaya mengubati mati pucuk.  Risikonya di sini ialah bagaimana jika ritual-ritual agama lain didapati berupaya menghilangkan terus masalah mati pucuk.  Nah, bukankah cara begini menyebabkan ritual agama lain lebih baik berbanding solat.

Aku rasa memang ramai yang tidak bersetuju dengan aku.  Mesti korang memikirkan mamat mana yang terlalu ortodoks berpikir seperti ini.  Bukankah sekarang merupakan zaman sains dan teknologi.  Lihat bagaimana hebatnya Madey meningkatkan kajian sains dan pembangunan di Malaysia.  Kita ada kereta sendiri, bangunan berkembar dan antara teknologi sains paling tinggi ialah menukarkan mamak menjadi Melayu..hahaha..tiba-tiba ada pulak mamat yang mirip Aaron Aziz merasakan mengaitkan sains dan agama satu perkara yang berisiko. ..hahaha

Begini kawan-kawan, Renaisans merupakan petanda masyarakat Eropah berpaling dari mengimami pengetahuan (mitos) dari gereja.  Masyarakat mula sedar bahawa mitos-mitos yang datang dari gereja adalah bertujuan mengukuhkan kekuasaan tuan tanah.  Maka, sifat dogmatik dan fatal semakin meluntur dari kalangan masyarakat Eropah.  Lahirnya karya dari Immnuel Kant tentang pencerahan menyebabkan masyarakat Eropah semakin tercerah.  Pengetahuan yang berbasiskan mitos kini diambil alih oleh rasionalisme.  Kata-kata Rene Descartes “ aku berpikir, maka aku ada” bagaikan wahyu pencerahan untuk umat Eropah.  ‘aku berpikir, maka aku ada’ juga sebagai lambang bahawa kebenaran hanya boleh diperolehi hasil daripada proses berpikir.  Kemudiaannya, setelah beberapa lama selepas ‘kelahiran semula’ Eropah, muncul pulak tokoh empirisme, John Locke dengan argument bahawa pengetahuan diperoleh melalui pancaindera dan pengalaman.  Kaedah pemerhatian dan berpikir ini dikembang, didebat dan diwacanakan sehingga melahirkan positivisme sebagai jalan menuju kebenaran.  Mudahnya, setiap pengetahuan perlu melalui proses saintifik untuk diuji kesahihan dan diangkat sebagai kebenaran.

Revolusi sains menandakan keberjayaan sains positivisme.  Masyarakat mula merasakan sains positivisme jalan terbaik mencapai kebenaran dan membawa ksejahteraan untuk umat manusia.  Lihat sahaja berapa banyak teknologi yang terbit dari cara berpikir berpandukan positivisme ini.

Dengan pesat, positivisme semakin kukuh dan terus berwibawa.  Pemikiran ini juga terus bertahan walaupun terdapat kritikan apabila melahirkan kapitalisme dan fasisme.  Penguasaan pengetahuan positivisme ini juga berlaku di bumi tercinta, Malaysia.  Apabila dunia meletakkan kemajuan negara bersandarkan kemajuan sains dan teknologi, maka meloncatlah Pak Menteri dengan segala macam dasar mahu meningkat ‘sains dan teknologi’.  Maka, muncullah Anugerah Sains Mahathir, petrosains, serta pertumbuhan pesat kolej-kolej beraliran sains.  Pakcik-pakcik dan makcik-makcik di kampong juga tidak ketinggalan bersorak riang membaca berita dalam Utusan tentang gahnya menara berkembar, hebatnya litar sepang, tingginya menara KL, dan indahnya putrajaya.

Maka, dalam kepala otak rakyat di Malaysia, sains (positivisme) merupakan lambang kepada tahap kemajuan masyarakat.  Lihat sahaja bagaimana munculnya dikotomi antara pelajar sains dan pelajar aliran sastera, pelajar aliran sains tulen lebih dilihat sebagai pelajar yang lebih maju daripada aliran sastera.  Aku percaya, memang terdapat perdebatan panjang dengan sains postivisme sebagai cara pikir manusia moden.  Tetapi aku ingin ceritakan tentang bagaimana respon manusia beragama yang ada di Malaysia dengan pengaruh sains yang diterima.

Apabila sains menunjukkan autoritinya yang kukuh terhadap capaian kebenaran, seolah-olah mencabar kewibawaan agama dalam ruang di Malaysia.  Lebih malang lagi apabila institusi-institusi agama termasuk mufti (kecuali mufti Perak..haha) tidak berupaya menangkis kewibawaan kaedah saintifik mencari kebenaran berbanding dengan agama.  Maka, jalan mudah ialah cuba memberi legitimasi agama menggunakan kaedah saintifik.  Di sinilah aku merasakan kebodohannya – membaca agama dengan menggunakan positivisme.

Apabila kita menyandarkan agama atau kepercayaan kepada positivism, seakan-akan kita sendiri meletakkan positivisme sebagai satu metodologi mencapai kebenaran secara mutlak.  Maknanya setiap pengetahuan yang dipegang perlulah ditempelkan kepada sains agar pengetahuan ini mencapai wibawa.  Jika pengetahuan ini tidak dapat disandarkan kepada sains positivism, maka itu kebenaran itu bukan kebenaran.  Maka, Islam kita tidak lagi dikukuhkan dengan iman terhadap Tuhan, tetapi disandarkan kepada sains postivisme.  Contohnya begini, kita solat atas khasiatnya yang mampu mengubati mati pucuk atau kita puasa kerana khasiatnya meningkatkan metabolisme.  Jika tiba-tiba, terdapatnya kopi keluaran syarikat Mak Janda  yang mampu menyelesaikan masalah mati pucuk dan meningkatkan kadar metabolism sekali gus, adakah aku boleh meninggalkan solat dan puasa, hanya menghirup kopi dengan tenang? Aku pelik kenapa kita tidak mampu menerangkan khasiat setiap ritual yang terdapat dalam kepercayaan yang kita pegang dengan falsafah.  Kita hanya menerima secara patuh seakan masih keras dengan feudalism.  Lalu berebut-rebut menempelkan agama dengan sains tanpa membaca terlebih dahulu faham falsafah di sebalik sains dan ritual-ritual yang dijalankan. Lalu, agama yang ditarik ke dalam sains bukannya bersifat falsafah, tetapi keras dengan sains postivisme. Maka  ritual agama kini saling tidak ubah seperti barangan sukan atau macam kopi keluaran Mak Janda yang aku sebutkan tadi.  Hanya melihat manfaat yang dicungkil melalui saintifik sebagai alasan atas kewajiban, dan perlahan-lahan meminggirkan nilai-nilai kekudusan dalam ibadah dan ritual.  Jika hanya ini kaedah untuk menghuraikan kewajiban solat, aku bimbang, hero Malaya seperti Subkhiddin dan rakyat Malaysia lain giat solat apabila disahkan mati pucuk!…hahaha

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: