KATA F

Kalau tidak ada sebab sesuatu yang penting,

tidaklah perempuan itu akan suka mempertukarkan

tepung yang telah halus dengan beras yang telah ditumbuk-

Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (HAMKA)

Dua -dua kepercayaan, cumanya satu dianut dahulu, lagi satu dianut kini. Itulah animisme dan feminisme. Mereka, satu golongan itu yakin merekalah yang bakal merubah nasib perempuan-perempuan lain, lalu berusahalah mereka melupus dikotomi yang wujud antara dua jantina, yang mana salah satunya telah melalui pensejarahan diskriminasi yang panjang. Tapi mereka juga lupa, bahwa mereka pula menjadi superior terhadap golongan mereka sendiri. Apabila asas perjuangan mereka ialah dominasi, maka tiada perubahan unggul yang bakal diraih, hanya pertukaran aktor, pengulangan sejarah.Yang membezakannya, kini, perempuan pula ‘mendominasi’ dunia. Mereka gagah melaungkan hak untuk ‘setara’ dengan lelaki. Ini permulaannya. Mereka mendakwa bukan ingin menjadi sama atau seperti lelaki tetapi ingin membuktikan mereka boleh melakukan pekerjaan yang mampu dilakukan lelaki, jantina yang dikutuk wujudnya. Tidakkah pelik jantina yang pernah dibenci itu kini dijadikan aras pula untuk mengukur kemampuan mereka sendiri? Di sinilah pergulatan dimulai! Bahwa patriarki itu bukan pada lelaki semata tapi juga perempuan. Patriarki itu tidak berjantina. Kenapa harus, perempuan itu perlu untuk melakukan perkara yang sama seperti orang lain semata-mata untuk membuktikan keberadaan dirinya. Berbeza itu bukan berlawanan. Tidak berdosa menjadi berbeza, tetapi menjadi yang bukan dirinya. Jika perempuan itu selesa di dapur, biarlah. Tetapi jika ia dipaksa, bangunlah. Jika perempuan itu rela diduakan, bukan atas sebab agama tetapi atas sebab yang tak mampu dijelaskannya, tapi dengan kesedarannya, izinkanlah, usah dicerca. Melainkan jika ia dianiaya, hukumlah hanya pada yang bersalah, jangan pula kejadian satu ini diangkat menjadi satu hukum untuk semua.

Adakah bersalah untuk menjadi PEREMPUAN? Kerana ada perempuan lain lagaknya yang tidak-tidak. Ahh, biasalah, kan manusia. Manusia juga bukan siapa-siapa, bukan malaikat harus sentiasa tunduk, juga bukan syaitan nir rajim yang selalu angkuh jalannya. Peraturan ini tidak hanya jatuh pada perempuan tetapi lelaki. Kanta itu harus dibetulkan tempatnya sebelum berani melihat lagi. Iya, memang perempuan itu makhluk berdarah, lalu kenapa? Tanyakan semula kepada mereka! Agar mereka tak lupa, tempat asal darah ini juga, tempat asal mereka dan semua. Jangan diherdik kepada kehidupan. Berbanggalah menjadi perempuan, kerna jika kamu malu dengan apa yang melekat di tubuhmu, jangan mengharap penghormatan dari orang terbanyak. Selagi perempuan itu menyangka mereka punca segala dosa, menjadi lubang maksiat, dunia itu takkan pernah berani berubah. Kenyataannya, penghuni syurga itu juga bukan hanya lelaki. Kamu bukan semulia hiasan di dunia seperti nyanyian agamawan palsu, tetapi kamu juga seperti manusia lainnya, mampu membuat keputusan sendiri tanpa dipaksakan.

Menggagas persekitaran sosial yang berkeadilan gender bukanlah pengulangan atas pembahasan persoalan perempuan melainkan sebagai bentuk kepedulian akan masa depan demokrasi yang juga berpihak pada perempuan kerana sistem sosial sedia ada bersifat machois dimana peranan tertumpu hanya pada lelaki dan tempang pada perempuan.

Feminisme dan gerakan pembebasan terus berlangsung dalam sejarah dan dapat ditemu akarnya dalam setiap bangsa, dan ini bukan gerakan orang Barat, Eropah atau Amerika sebagaimana yang digambarkan sebahagian orang dan tidak muncul pada abad ke-20 ini sahaja. Sejarah membuktikan perempuan di Mesir kuno, Afrika dan Asia telah terlebih dahulu melakukan perjuangan melawan sistem patriarki. Tambah Nawal lagi, tiada pembunuhan yang lebih dasyat melainkan ia berkaitan perempuan, agama dan moral. Setiap zaman mempunyai ciri-ciri tersendiri sesuai dengan tahap kesedaran dan perkembangannya. Sistem politik dan ekonomi yang berlangsung sehingga kini masih belum berfungsi membebaskan pemikiran atas majoriti yang tertindas dan ditindas daripada kalangan perempuan, lelaki dan hamba. Malah, cenderung mengaplikasikan falsafah yang kurang lebih sama dengan yang berkembang pada zaman perhambaan. Penggunaan istilah sangat menakjubkan dunia Barat dan Timur namun pengaruhnya tidak bermakna terhadap kaum miskin dan perempuan di seluruh dunia.

Setiap kebudayaan telah memilih bahagian tubuh yang berbeza untuk melambangkan konflik dan kesulitan. Leher, telinga dan keperawanan. Kaum lelaki menjadikan isteri yang mereka hormati terkurung dalam ruang domestik dan memilih wanita dari kelas bawahan; para pelacur untuk memuaskan nafsu. Apabila budaya masyarakat yang melihat perawan itu sebagai suatu kepentingan contohnya di negara Arab, pemikiran mereka hanya dikonstruk ke arah itu. Sikap patriarki telah memisahkan kasih sayang dan seksual. Solusinya, di bawah sistem kapitalisme, segalanya dikomoditikan termasuklah alat kelamin. Budaya seperti ini berterusan hasil daripada rasa takut lelaki sebab hanya wanitalah yang dapat menciptakan kehidupan di dalam (womb envy) dan melalui darahnya.

Kefahaman terhadap konsep gender dan pelaksanaan kesaksamaan gender adalah perlu. Di Eropah, masyarakatnya perlu berpisah daripada agama untuk maju kerana agama dan kitab suci mereka yang nyata bias gender yang memunculkan kesedaran kepada golongan wanita untuk berjuang mencapai keadilan dan mereka tidak didikriminasi atas perbezaan seks. Hal ini berbeza bagi komuniti Islam di Malaysia yang dirasakan perlu memahami ad-Din yang benar iaitu Agama Islam yang murni daripada pengaruh Israiliyat, Zoroasterism, Yunani kuno, ajaran Pagan dan sebagainya kerana Islam konvensional yang dimaksudkan memelihara status quo kelompok konservatif Islam yang telah merendahkan kaum perempuan lalu berlakunya character assassination. Oleh itu, anjuran kembali kepada kemurnian dan keaslian Islam akan dapat mencerdaskan pemikiran menerusi amalan ijtihad dan penolakan taklid. Lalu, wujudnya pertembungan fahaman ajaran antara golongan kelas menengah iaitu reformis dengan golongan bawahan yang masih berpegang kepada ajaran Islam yang dianggap ortodoks.

Hal yang sama juga cuba dijelaskan Naomi Weisstein dalam Woman in Sexiest Society iaitu masyarakat memperlekeh perempuan. Taraf perempuan di dapur itu lebih buruk daripada nasib pelacur kerana perempuan itu sifat semulajadinya adalah hamba yang ‘gembira’. Situasi begini yang diterangkan Naomi bahawa perempuan itu bukan dilahirkan melainkan ‘dijadikan’ melalui tanggapan-tanggapan masyarakat ke atasnya. Inferior perempuan bukan sebagai satu yang alami. Peranan dan status perempuan sebagai subordinat iaitu sebagai seks kedua kerana telah dikonstruk melalui jangka pensejarahan panjang. Yang kemudiannya disebut oleh Beauvoir sebagai the second sex. Ideologi yang bersumber daripada falsafah Yunani tentang manusia — Pithagoras misalnya menggambarkan bahawa Tuhan menciptakan manusia, lelaki dan perempuan secara binari seperti siang dan malam. Prinsip kebaikan mencipta kestabilan dan lelaki begitu juga sebaliknya. Namun, kedudukan binari yang mengunggulkan lelaki adalah konstruksi ideologi yang tidak alami. Hierarki kelas lelaki yang mengatasi kelas perempuan merupakan struktur kekufuran yang paling zalim. Walaupun patriarki itu dibenci dan tidak disukai namun kelas yang ditindas oleh patriarki tetap tertarik secara emosional terhadapnya.

Walaupun Islam membekalkan manusia dengan akidah tauhid yang membebaskannya daripada belenggu segala kepercayaan, mitos dan dongeng yang nonrasional namun disebabkan blind imitation dan stagnation, Umat islam pada ketika itu mengimani mazhab bukannya beriman kepada Tuhan. Masyarakat hanya menghafal pendapat ulama terdahulu tanpa mempersoalkan sebarang keraguan. Ali Shariati menekankan perlunya kembali pada “Islam yang benar” yang selama ini disalahtafsirkan ulama konservatif sebagai agama statik dan membisu; kembali kepada Islam yang sebenar harus dilakukan oleh rausyanfikr. Tidaklah cukup sekadar berseru bahawa kita harus kembali kepada Islam. Kita harus merujuk secara spesifik Islam yang mana: Islam Marwan penguasa atau Islam Abu Zarr dan bertitik tolak dari sini, Islam penguasa dikecam kerana penindasan yang dilakukannya, penguasa yang juga digelar sebagai the Patriarch. Dimana masing-masing miliki ciri serupa iaitu penindas. Syed Qutb mengatakan Islam muncul dan menegaskan kepada seluruh manusia bahawa manusia adalah sebangsa. Walaupun berbeza dari segi ras, geografi, dan sebagainya, namun kepelbagaian ini bukan penyebab bermusuhan dan tindas-menindas. Sebelum Islam datang, kemuliaan didasarkan pada kedudukan tertentu sehingga bagi golongan bawahan mereka adalah sampah masyarakat yang juga dipanggil Marx sebagai Lumpen Bourgeoisie, tiada nilai. Kemuliaan manusia adalah kerana ia manusia bukan kerana sifat lain. Islam sendiri telah ada kesetaraan gender. Al-Afghani misalnya menyatakan Islam memberikan harga diri kepada manusia (lelaki dan perempuan, tanpa dibezakan atas seks) sebagai makhluk terunggul di bumi. Cumanya, tafsiran itu kini ada lompangnya. Ijtihad memerlukan masyarakat mendobrak konservatisme Islam, jumud, dan taklid.  Seruan untuk kembali pada al-Quran sebagai kitab suci progresif; dan seruan tajdid dengan membuka kembali pintu ijtihad untuk menemukan kembali semangat al-Quran yang selaras dengan akal, kemajuan, dan peradaban.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: