Awek Kami Benci AUKU!!

Membaca tulisan di dada akhbar Utusan, Metro , Berita Harian dan sebagainya – medium pembawa berita terkini dan berinformasi membuatkan aku semakin  jelek dengan sebahagian pelajar  Universiti yang semakin hari semakin tidak mengenag budi.  Selepas membaca berita-berita yang maha tepat ini, aku mula berfikir, apakah yang mereka mahukan sebenarnya?  Tidak cukupkah lagi dengan peluang yang kerajaan berikan untuk mereka mendapat tempat di Institusi Pendidikan Tinggi?  Tidak puaskah mereka dengan keselesaan yang diberikan semasa di universiti? Tidak cukupkah pinjaman atau biasiswa yang diberikan? Betul kata bapa kemodenan Malaysia, Melayu mudah lupa (mamak ingat sikit-skit).

Membaca surat khabar seminggu lepas, pelajar universiti buat hal lagi.  Beberapa pelajar yang tidak berapa kacak dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).  Maka melompatlah pelajar-pelajar universiti dengan laungan kebebasan – mahu AUKU dimansuhkan.  Tidak cukup membuat kacau di ruang universiti, muncul pula ‘post’ menentang AUKU di facebook.  Ada yang tulis ‘ AUKU MEMANDULKAN MAHASISWA’ , ‘ AWEK SAYA BENCI AUKU’ , ’RANKING UNIVERSITI JATUH KERANA AUKU’.   Ada yang lebih dasyat lagi, mereka mengatakan ‘AUKU MELANGGAR HAK ASASI MANUSIA’ , ‘AUKU TIDAK DEMOKRASI‘, ‘ AUKU TIDAK ISLAMIK’.  Nah, pelajar sekarang sudah pandai mengaitkan isu AUKU  dengan agama.  Tidak sedarkah mereka yang layak bercakap tentang agama hanya Harussani, sebab dia seorang mufti yang sangat berkelayakan.

Cis! Sumpah, aku sungguh meluat membaca ‘post’ pelajar university yang tidak tahu mengenang budi.  Lebih menyedihkan lagi rata-rata dari mereka ialah bangsa Melayu.  Di benakku terbayang bagaimana susah payahnya rakan-rakan dari PERKASA bersengkang mata, membanting kudrat dan memerah keringat bagi memastikan nasib Melayu di Malaysia tidak dipinggirkan.  Namun sedikit pon tidak dihargai oleh segelintir pelajar Melayu di universiti.

Aku pelik bila pelajar menyalahkan AUKU sebab kelembapan mereka di universiti.  Aku juga pelik bila mereka mengatakan AUKU mengongkong kebebasan mereka.  Apakah AUKU menghalang untuk pelajar membaca buku?  Apakah AUKU menghalang pelajar berpartisipasi atau cakap-cakap dalam kelas dengan pensyarah?  Apakah AUKU menghalang pelajar masuk ke perpustakaan dan berbual-bual tentang ilmu?  Mudahnya, adakah budaya malas diskusi ini muncul apabila adanya AUKU?  Pelajar universiti paling lama terikat dengan AUKU selama 3 hingga 4 tahun.  Kalau baru 6 bulan masuk, maka baru 6 bulanlah duduk bawah  AUKU.  Maka, pengaruh AUKU terhadap pelajar bukanlah lama sangat.

Maka, aku rasa penting untuk lihat bagaimana sistem pendidikan masa pelajar ni kecik-kecik lagi.  Sebab sikap, budaya dan nilai-nilai yang ada pada pelajar university dibentuk dalam sistem pendidikan sebelumnya – sekolah.  Tempoh masa seorang warganegara Malaysia bersekolah adalah 11 tahun.  Itu belum masuk  tadika, tabika, taska, fardu ain, belajar mengaji dengan Imam harussani, tingkatan 6 dan sebagainya.  Maka tempoh masa yang panjang ini berupaya membentuk nilai dan sikap pelajar sebelum masok ke university.

Aku mahu tanya kawan-kawan, bagaimana di kelas  sepanjang zaman persekolah dari darjah 1 hingga tingkatan 5? Mengikut pandangan peribadi aku, selain selalu diperhatikan oleh Sally, Milah, Misha, Ayu dan rakan-rakan perempuan yang lain di dalam kelas, pengalaman pembelajaran di dalam kelas sangat membosankan.  Aku rasa bukan aku saja yang bosan, kawan-kawan lain seperti Khairul Anwar Kamaruzaman, Subkhiddin, Azhari Ahmat, Mubarak Majid dan yang lain juga turut merasa bosan.  Buktinya Khairul Anwar paling banyak mengumpul tahi mata berbanding rakan sekelasnya yang lain.  Sewaktu pembelajaran di dalam kelas, dari sekolah rendah hingga sekolah menengah, aku dapat rasakan bagaikan ada pembahagian antara cikgu, murid dan ilmu.  Hubungan antara murid dan cikgu dalam kelas tidak sekata, macam hubungan kerja.  Cikgu aku jadi bos, aku jadi pekerja.  Cikgu aku hanya mengarah, aku diarah.  Cikgu aku mengajar, aku diajar. Cikgu aku berpikir, aku dipikirkan.  Cikgu bicara, aku mendengar.  Cikgu mengatur, aku diaturkan. Cikgu tahu segalanya, aku tidak tahu apa-apa.  Senang cakap, cikgu subjek, aku objek.

Oleh kerana cikgu adalah pusat segala rujukan – tempat rujukan betul salah, baik jahat, hitam putih, dan sebagainya maka aku dan kawan sekelas akan dilihat baik jika menurut 100 peratus apa yang dipikirkan baik oleh cikgu – tidak boleh kurang 0.1 peratus pon.  Dengan sistem pembelajaran satu hala, tanpa perbincangan dan paradigma cikgu yang tahu segala-galanya, maka cikgu aku dipandang sebagai manusia ideal yang harus ditiru dan diteladani dalam semua hal.

Pola pendidikan seperti ini membuatkan aku hafal, bukan paham.  Aku menjadi penonton dan peniru, bukan manusia berpikir.  Segala macam ilmu yang disampaikan akan aku terima tanpa persoalkan atas anggapan hanya guru memiliki segala macam ilmu. Tingkat guru di atas dan aku di bawah – kami tidak setara. Maka, situasi ini akan melahirkan ‘budaya diam’.  Aku tidak terlibat dalam proses mencari kebenaran.  Kebenaran sudah ada – dalam poket seluar cikgu aku.  Aku hanya tunggu untuk menerima kebenaran ini dan hafal seterusnya akan aku sampaikan jika aku jadi pendidik kelak.  Sistem ini semakin menjadi budaya.  Aku dididik untuk patuh dan menerima setiap ajaran. Ditambah lagi dengan slogan ‘Murid patuh Cikgu pon sayang’.  Dalam sistem ini murid yang baik murid yang patoh tunduk mendiam.  Cikgu pon ada beritahu, ‘banyak cakap jadi macam tin kosong’.

Kesannya yang lebih jauh, aku dan kawan sekelas  akan ‘duplicate’ nilai yang ada pada cikgu aku dan pada masa itu akan lahirnya ‘bos’ dalam dunia pendidikan yang baru – yang mempunyai modal pengetahuan berbanding murid yang sengkek dengan pengetahuan.  Kemudian hari, jika aku dan kawan lain menjadi cikgu atau pendidik juga, ‘penindasan’ pemikiran akan berulang semula dalam dunia pendidikan dan seterusnya.  Sistem pendidikan sebegini merupakan jalan terbaik untuk memelihara keberlangsungan status-quo sepanjang masa – pendidikan bukan lagi sebagai tekanan dalam perubahan/pembaharuan.  Sistem pendidikan begini juga menjadikan aku dan manusia lain terasing dan tercabut dari reality diri sendiri dan reality dunia sekitarnya sebab aku sudah dididik menjadi ‘Ada’ dalam pengertian menjadi seperti orang lain, bukan menjadi diri sendiri.

11 tahun bertugas sebagai manusia yang tunduk patuh, menghafal tanpa soal dan didoktrinasikan bahawa diri ibarat cawan yang kosong, hanya tunduk dan berserah kepada cikgu, menanti bagaimana aku dibentuk.  Semakin lama hubungan sebegini semakin kukuh dalam sistem pendidikan.  Sistem pendidikan sebegini bagai membenarkan  pemahaman yang keliru tentang manusia sebagai objek, bukan sebagai subjek yang bertindak.  Lalu dikotomi yang wujud menyebabkan seseorang manusia yang ada di dunia bukan bersama dengan dunia atau manusia lain, tetapi sebagai penonton, pasif dan penyembah.  Sebagai makhluk pasif, lalu hidup diatur dan dikuasai sepenuhnya.

Lalu bagaimana suatu objek yang pasif dan diaturkan berupaya berpikir layak sebagai seorang pelajar universiti.  Lihat, bagaimana dari awal lagi sistem pendidikan ini melahirkan penindasan.  AUKU pula alat sebagai penerus kepada penindasan – bagi yang tidak sedar kegampangan AUKU, dominasi pada peringkat rendah Nampaknya sudah berjaya.  Jadi, kepada kawan-kawan, tidak baik rasanya mahu mansuhkan AUKU sahaja, mansuhkan terus sistem pendidikan sedia ada!

4 Responses

  1. aku juga terpikir begitu. apakah sekiranya AUKU ini dimansuhkan, budak U kini akan jadi lebih kritikal dan analitikal. tidak semudah itu.

    memang aku setuju punca masalah ada sangkut paut dengan sistem pendidikan yang sedia ada.

    persoalan, jika dimansuhkan, apakah bentuk sistem pendidikan yang akan digunakan?

  2. dan AUKU pun sudah dipinda (Pindaan 2009).. namun, apakah mahasiswa mampu kembali mengugat??/…

    aku rasa pasti lambat.. mungkin lambat…

    dan solidariti yang dimulakan oleh SMM adalah seperti biji-biji benih yang disemai,..

    dan yakinlah,…

    hasilnya akan dituai oleh mahasiswa sendiri, walaupun bukan pada zaman kita…

  3. sistem pendidikan yang terbaik ialah sistem pendidikan yang membangunkan keserataan di dalam hubungan kuasa di antara guru dan murid. di dalam hubungan kuasa yang serata proses pembelajaran adalah bersifat multi-hala iaitu antara guru-murid-alam (persekitaran).

    proses pembelajaran begini saya rasa lebih merangsang pemikiran untuk menjadi lebih kritikal. yang penting di dalam sistem pendidikan yang begini ialah perbezaan pandangan diterima dan dirayakan tidak ditolak dan dihukum.

    untuk berbeza pandangan diterima dan dirayakan, maka hubungan kuasa antara guru dan murid itu perlulah diseratakan. kalau tak serata pun sekurang-kurangnya jurang kuasa itu diminimakan.

    saya rasa hanya dengan sistem pendidikan yang sebegini, barulah rangsangan untuk berani berfikir di luar kerangka sistem dan berani berbeza pandangan dapat dilahirkan yang seterusnya hubungan yang bersifat dominasi dapat dielakkan.

  4. Tulisan yang sangat mengelirukan…sebab tulisan ini tidak ade perkaitan dengan gambar yang disiarkan (gambar Agus)..hahaha

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: