Masyarakat Madani Acuan Malaysia

Ernest Gellner memberi takrifan bahawa masyarakat sivil sebagai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai institusi bukan pemerintah yang cukup kuat untuk mengimbangi negara.  Walaupun ia bukan bertujuan menghalang negara memenuhi dan melaksanakan peranannya sebagai penjaga keamanan dan keselamatan serta bertindak sebagai hakim atau pengadil antara negara dan rakyat, masyarakat sivil tetap dapat menghalang usaha-usaha mendominasi warganya.  Model ini dikembangkan oleh Alexis De Tocqueville berdasarkan pengalaman demokrasi di Amerika Syarikat yang merupakan kewujudan kelompok-kelompok sukarela dalam masyarakat yang membuat keputusan di peringkat tempatan dan menghindari campur tangan pemerintah.  Gerakan masyarakat sivil dikenali sebagai saluran penyertaan rakyat dalam pelbagai perkara seperti politik, sosial dan ekonomi selain mampu memberi kesan kepada hubungan kerajaan dan rakyat.  Takrifan lain yang diberikan terhadap masyarakat sivil adalah kemampuan untuk hidup berpersatuan secara umumnya dan tabiat berkumpulan itu bagi menggalakkan ketertiban tindakan sesuatu masyarakat di dalam sebuah amalan politik yang demokratik.  Model ini dikemukakan oleh Adam Ferguson di pertengahan abad ke-18 dengan latar belakang kemunculan masyarakat kapitalisme yang mengalami penghakisan dari segi tanggung jawab sosial dan berkembangannya pengaruh individualisme. 

Dengan itu, Ferguson membayangkan masyarakat sivil sebagai masyarakat yang hidup dengan ciri-ciri solidariti sosial yang kuat, bermoral tinggi dan sebagainya. Jika melihat kepada rejim komunis di Poland pada awal 1980-an, terdapat pengkaji menyifatkan perjuangan menentang rejim tersebut menjadi inspirasi kepada tuntutan kebebasan dan pendemokrasian semula negara-negara di Amerika Latin.  Perjuangan itu mencerminkan masyarakat sivil di dalam kerangka anti-negara yang ingin memerdekakan negara daripada cengkaman pemerintahan komunis yang menyekat kebebasan dan hak asasi manusia.  Masyarakat sivil daripada kelompok ini dimulai oleh Thomas Paine yang melihat masyarakat sivil sebagai penentang kepada negara malah pemerintah perlu dibataskan sehingga sekecil-kecilnya dengan kemampuan masyarakat sivil mengawalnya. Bagi tradisi Marxis pula, masyarakat sivil adalah ideologi kelas dominan yang dikemukakan oleh Karl Marx selepas dicetuskan oleh Hegel.  Masyarakat sivil difahami sebagai masyarakat borjuis yang menjadi produk kapitalis dan harus dihapuskan untuk mewujudkan masyarakat tanpa kelas.

Di Malaysia, perkembangan masyarakat sivil boleh ditelusuri sejauh kebangkitan kemerdekaan meskipun pada peringkat awalnya bersifat agak elitis. Gerakan Islah ‘kaum Muda’, Seberkas, Pertubuhan Shabat Pena, Kesatuan Melayu Muda dan Partai Kebangsaan Melayu Malaya dengan tokoh –tokoh seperti Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Mohd. Tahir jalaludin, Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad dan lain – lain nama besar yang berperanan memperjuang, menggerak, menjadi pengantara dan pendesak kepada kerajaan pada waktu itu.  Sejak itu, masyarakat sivil terus berkembang bersama turun naiknya ekonomi, politik dan sosial negara ini.

Umumnya terdapat beberapa faktor yang mencorakkan perkembangan masyarakat sivil di Malaysia dan bahagian seterusnya essei ini akan berkisar mengenainya. Namun penulisan ini hendaklah dicernakan bersama kefahaman mengenai ciri demokrasi di Malaysia ini. Hal ini kerana, demokrasi di Malaysia berlainan sifatnya dengan demokrasi liberal, sosial dan demokrasi apa pun. Malaysia lebih menekankan pragmatisme dengan tumpuan terhadap kestabilan kuasa politik dan pembangunan ekonomi menurut acuannya sendiri (Sungguhpun perihal ‘acuan’ itu pun punya polemiknya yang juga serumit mentakrifkan bentuk demokrasi negara ini).  Hal ini dapat dicerap daripada ucapan Dr. Mahathir dalam Konvesyen UMNO sempena ulangtahun yang ke 50 (11 Mei 1996):

Ramai yang kononnya menerima demokrasi sebagai sistem politik tetapi kerana tidak faham apa ianya demokrasi, mereka telah menjadi mangsa demokrasi tanpa sedikit pun memperolehi manfaat. Harus diingat juga bahawa demokrasi bukan agama Tuhan. Demokrasi adalah ciptaan manusia dan sudah tentu ia jauh daripada sempurna. Bangsa-bangsa Barat cuba mendakwa bahawa demokrasi tidak cacat dan menganggapnya sebagai satu sistem yang tidak siapa boleh mempertikaikan atau mengubahnya.Mereka menciptakan slogan Vox populi, vox Dei iaitu suara ramai adalah suara Tuhan. Tetapi percayalah demokrasi bukan suara Tuhan dan jauh daripada sempurna, bahkan ia penuh dengan kecacatan dan yang boleh membinasakan pengamalnya dan menjadikan mereka mangsa kezaliman sistem demokrasi yang tidak kurang buruknya daripada kezaliman sistem feudal atau pun sistem dictator.

Antara faktor yang memberi bentuk kepada masyarakat sivil di Malaysia sebagaimana sedia ada kini, adalah perkembangan ekonomi negara. Hal ini kerana asasnya masyarakat sivil terdiri daripada  kelas menengah. Selepas pengamalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) struktur kelas masyarakat Malaysia telah berubah, berbeza dengan zaman pra-DEB di mana persoalan kelas dikaburi dengan isu perkauman (Husin Ali 1984). Dasar ini telah membantu kepada perkembangan kelas menengah yang berbilang kaum dan ini telah mengurangkan polarisasi kaum dan kelas sebelumnya. Perindustrian dan pertumbuhan ekonomi yang pesat ini telah mengembangkan kelas menengah baru yang terdiri daripada para pentadbir, pengurus, professional daripada perbagai kaum. Kelas ini telah berkembang daripada hanya 4.0 peratus  pada tahun 1957 kepada 7.7 peratus pada tahun 1980, 11.2 peratus pada1990, dan 15.3 peratus pada tahun 2000  (Abdul Rahman Embong  2000).

Secara teorinya, perkembangan kelas menengah yang lebih besar ini seharusnya membantu mewujudkan masyarakat sivil yang lebih kuat dan rentas etnik.  Namun, terdapat beberapa kekangan untuk mencapai keadaan ini. Meskipun DEB berjaya mewujudkan kelas menengah baru, namun umumnya mereka ini terdiri daripada kaum Melayu, yang terdiri daripada aristocrat kerajaan. Hal ini kerana polisi kerajaan yang mengutamakan orang Melayu untuk menjawat jawatan kerajaan. Aristocrat Melayu ini telah terserap dalam struktur kekuasaan negara yang menuntut kepatuhan kepada arahan yang rigid.

Kelas menengah yang dibangunkan berdasarkan bantuan ekonomi dan penswastaan juga menghasilkan kelas menengah yang gagal mandiri dan bertopangkan bantuan kerajaan. Di bawah dasar penswastaan, sejumlah besar kapitalis Bumiputera dan bukan Bumiputera telah berkembang dengan mendapat naungan dan projek kurnia daripada pemerintah. Andaian asasnya, elit yang dibantu ini akan membantu pula untuk mencairkan kekayaan tersebut kepada kelas menengah dan rendah melalui regulasi ekonomi (Abdul Rahman 2000). Namun, oleh sebab terdapatnya unsur – unsur ketirisan dan kronisme maka regulasi itu tidak berlaku dan hanya berjaya melahirkan cukong – cukong pasaran semata.

Kebergantungan ini juga  tidak memungkinkan birokrat yang berada di kelas menengah untuk menjadi kritikal terhadap kekuasaan malah makin mewujudkan hubungan partonis yang kuat. Oleh sebab itu, timbulnya pertubuhan kontraktor bumiputera, pertubuhan menjual alatan kesihatan bumiputera, pertubuhan perniaga pasar malam bumiputera, persatuan pemandu teksi bumiputera dal lain –lain nama pertubuhan yang menyelitkan kata ‘bumiputera’ bagi memperlihatkan betapa mereka ini kelompok yang harus sentiasa dibantu dan didahulukan. Sebagai balasan atas kurnia tersebut pertubuhan ini amat menumpahkn pula taatsetianya kepada kerajaan dengan tidak lagi bersifat objektif terhadap isu tetapi memihak yang melulu. Penubuhan secara tergesa – gesa  Barisan bertindak Perpaduan Melayu (BBPM)  oleh 25 badan bukan kerajaan Melayu-Muslim dan pelobi – pelobi politik  sedikit masa dahulu memperlihatkan betapa tidak mandirinya NGO sebegini. Kerna pada akhirnya, pertubuhan sebegini bukan lagi perjuang kepentingan ahli, tetapi alat mengukuh status quo (Farish Noor 2008). Contoh mudahnya, pertubuhan pemandu teksi, mengapa mereka tidak memperjuangkan untuk mengagihkan permit teksi kepada setiap pemandu, walhal itulah kepentingan mereka? Mengapa harus permit ini ‘dikurniakan’ pada individu dan bukannya persatuan?

tamat bahagian 1

One Response

  1. mcm bodo je madey kutty

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: