Kitaran Maha Bodoh

Oleh:  Gotos

Dasar pendidikan kita adalah kepatuhan.
Bukan pertukaran pikiran. Ilmu sekolah adalah ilmu hafalan,
dan bukan ilmu latihan menguraikan
– W.S Rendra (1935- 2009)

Beban kata ‘maha’ kerap kali terlalu besar untuk dipikul para siswa. Maha membawa makna agung, unggul dan terbaik sedangkan siswa tidak sering begitu. Siswa kini tidak lebih daripada bakal buruh – buruh dengan kepandaian menaip, menyusun fail dan mencatat minit mesyuarat. Jangan paksakan mereka dengan kerumitan lain kerana pasti itu tidak akan tertampung oleh mereka. Penyakit ini kini menjadi wabak nasional, tidak kira siswa dari universiti mana pun – baik universiti apex, penyelidik sampailah universiti sintok – semuanya tidak immune dengan wabak ini. Lebih haru lagi, penyakit ini bukan hanya hinggap pada siswa – siswa ‘biasa’ sahaja, malah menjangkiti sama ‘pimpinan tertinggi (maha)siswa’ juga. Continue reading

Masyarakat Madani Acuan Malaysia

Ernest Gellner memberi takrifan bahawa masyarakat sivil sebagai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai institusi bukan pemerintah yang cukup kuat untuk mengimbangi negara.  Walaupun ia bukan bertujuan menghalang negara memenuhi dan melaksanakan peranannya sebagai penjaga keamanan dan keselamatan serta bertindak sebagai hakim atau pengadil antara negara dan rakyat, masyarakat sivil tetap dapat menghalang usaha-usaha mendominasi warganya.  Model ini dikembangkan oleh Alexis De Tocqueville berdasarkan pengalaman demokrasi di Amerika Syarikat yang merupakan kewujudan kelompok-kelompok sukarela dalam masyarakat yang membuat keputusan di peringkat tempatan dan menghindari campur tangan pemerintah.  Gerakan masyarakat sivil dikenali sebagai saluran penyertaan rakyat dalam pelbagai perkara seperti politik, sosial dan ekonomi selain mampu memberi kesan kepada hubungan kerajaan dan rakyat.  Takrifan lain yang diberikan terhadap masyarakat sivil adalah kemampuan untuk hidup berpersatuan secara umumnya dan tabiat berkumpulan itu bagi menggalakkan ketertiban tindakan sesuatu masyarakat di dalam sebuah amalan politik yang demokratik.  Model ini dikemukakan oleh Adam Ferguson di pertengahan abad ke-18 dengan latar belakang kemunculan masyarakat kapitalisme yang mengalami penghakisan dari segi tanggung jawab sosial dan berkembangannya pengaruh individualisme. 

Dengan itu, Ferguson membayangkan masyarakat sivil sebagai masyarakat yang hidup dengan ciri-ciri solidariti sosial yang kuat, bermoral tinggi dan sebagainya. Jika melihat kepada rejim komunis di Poland pada awal 1980-an, terdapat pengkaji menyifatkan perjuangan menentang rejim tersebut menjadi inspirasi kepada tuntutan kebebasan dan pendemokrasian semula negara-negara di Amerika Latin.  Perjuangan itu mencerminkan masyarakat sivil di dalam kerangka anti-negara yang ingin memerdekakan negara daripada cengkaman pemerintahan komunis yang menyekat kebebasan dan hak asasi manusia.  Masyarakat sivil daripada kelompok ini dimulai oleh Thomas Paine yang melihat masyarakat sivil sebagai penentang kepada negara malah pemerintah perlu dibataskan sehingga sekecil-kecilnya dengan kemampuan masyarakat sivil mengawalnya. Bagi tradisi Marxis pula, masyarakat sivil adalah ideologi kelas dominan yang dikemukakan oleh Karl Marx selepas dicetuskan oleh Hegel.  Masyarakat sivil difahami sebagai masyarakat borjuis yang menjadi produk kapitalis dan harus dihapuskan untuk mewujudkan masyarakat tanpa kelas.

Continue reading