Pelanggan yang dihormati, untuk keselamatan anda sila berdiri di belakang garisan kuning..

oleh: Mat Rewang

Stesen KTM Komuter, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tren akan sampai 10 minit sahaja lagi. Sekarang 3.37 petang.
Titisan akhir air Milo kotak aku sedut sehingga tekanan di dalam kotak menjadi rendah. Kotak air itu kemek di bahagian tengah membentuk seperti pinggang.
05082008478 (Medium)
“Pelanggan yang dihormati, untuk keselamatan anda sila berdiri di belakang garisan kuning, sila beri laluan kepada penumpang untuk turun dari tren terlebih dahulu sebelum menaikinya, para penumpang dinasihatkan supaya berwaspada terhadap penyeluk saku dan menjaga barang-barang peribadi yang dibawa semasa berada di stesen dan juga di dalam tren, anda tidak dibenarkan merokok di dalam kawasan stesen dan juga di dalam tren. Terima kasih atas kerjasama anda.”
Beberapa hari sahaja lagi Ramadhan akan bermula. Masjid dan surau di Malaysia akan penuh dengan jemaah pada awal Ramadhan dan semakin berkurangan di akhir-akhir bulan. 31 Ogos juga akan menjelma. Jalur merah putih akan mula berkibar di Restoran Mamak seluruh negara, di institusi-institusi pendidikan dan dicetak pada botol-botol mineral untuk menunjukkan betapa patriotik dan merdekanya pengilang air mineral ini. Akan ada juga cubaan memecahkan rekod kebangsaan dan percubaan mencipta rekod kebangsaan. Bendera paling besar, kek Jalur Gemilang paling besar, kad ucapan Merdeka paling besar, lukisan paling besar, semuanya paling besar, paling gergasi boleh dicipta akan diusahakan untuk menunjukkan betapa merdekanya bangsa Malaysia kita ini. Stesen-stesen televisyen akan juga memutarkan filem-filem bercorak patriotik paling lazim seperti Sarjan Hassan dan Leftenan Adnan. Semuanya untuk membawa satu rasa dalam bulan ini. Rasa merdeka sebagai sebuah negara bangsa.
Kitalah bangsa yang merdeka.
Penyeluk saku masih berada di negara kita yang merdeka ini. Aku kurang senang dengan nama penyeluk saku. Bunyinya macam pekerjaan profesional. Ada eufemisme yang telah digarap dalam peringatan di stesen-stesen komuter terhadap para penumpang. Lebih baik kita panggil pencopet. Bunyinya lebih hina dan keji serta dikutuk sekalian umat manusia. Pencopet-pencopet pasca merdeka ini mencopet oleh kerana tak makan selain dia sudah ditakdirkan mencopet. Adalah lebih baik mereka mencipta rekod kebangsaan untuk dimasukkan dalam Malaysia Book of Record, lebih-lebih lagi bulan kemerdekaan ini.
Pencopet yang mencopet di kawasan stesen dan di dalam tren ialah penjenayah terhadap harta manusia lain. Jenayah yang dilakukan merekapun bukan satu pekerjaan yang sahaja mereka buat sebagai saja-saja. Menurut teori Marx, perbuatan copet ini ialah satu bentuk bantahan (form of revolt) ke atas golongan kapitalis yang menindas. Pencopet inilah golongan yang tertekan lalu keluar mencopet di stesen komuter. Ada sesetengah orang kampung saya yang kaya bertambah kaya. Tiap kali Aidilfitri, mereka akan membakar ribu-ribu ringgit untuk bunga api. Ada orang kampung saya miskin dan terus miskin. Setiap kali Aidilfitri mereka akan disedekahkan wang ringgit dan bekalan makanan. Tekanan kapitalislah yang telah membangkitkan golongan pencopet di stesen komuter.
“Para penumpang yang dihormati, anda dinasihatkan supaya berwaspada dengan mangsa-mangsa kapitalis dan menjaga barang-barang peribadi anda”
Sekarang 3.47 petang. Aku mula bergerak ke arah garisan kuning.
“Kepada para penumpang, tren ke Rawang akan sampai dalam masa 8 minit lagi, harap maklum”
Semuanya jadi hampeh. Harapan tren akan sampai dalam masa 10 minit sudah jadi 18 minit. Semuanya harapan yang palsu. Kita pun sentiasa diberi harapan palsu tak kira masa dan tempat. Dalam keadaan kita ditindas dan dibahayakan  mangsa-mangsa kapitalis serta diberi harapan-harapan palsu ini, sudah layak benarkah kita untuk memasak kek Jalur Gemilang terbesar sempena betapa Merdekanya kita?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: