Wacana Semula Pemikiran Syed Naqiub Al- Attas

23hb JULAI: Powerful Ideas: Perspectives on the Good Society yang diterbitkan di Melbourne oleh The Cranlana Programme menghimpunkan pemikiran dan sumbangan 45 pemikir besar sepanjang catatan sejarah manusia dan Syed Naqiub Al- Attas adalah satu – satunya Muslim antara nama Plato sehingga John Rawls. Apa yang istimewanya dengan pengasas Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) ini sehingga diberi penghormatan demikian rupa? Syed Naquib Al Attas

Persoalan di atas dikupas sekemas mungkin oleh gandingan Dr khalif Muamar, Dr Alinor Abdul Kadir, dan Dr Mat Rofa dalam program Wacana Semula Pemikiran Syed Naqiub Al- Attas anjuran Persatuan Mahasiswa Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (PMSP-UKM). Syed Naqiub memberi kritik tanpa selindung terus kepada dualisme dalam epistemologi Barat yang dakwa beliau menjadi punca kerosakan kepada ilmu. Bibit-bibit pemisahan berlaku dalam agama Kristian apabila dipisahkan antara sacred (suci) dan profane (tidak suci). Kemudian dalam sekularisme berlaku pemisahan antara spirit (ruh) dan matter (benda) lalu semua ini menjadi acuan pembancuh karakter worldview dan sistem nilai peradaban Barat. Malah menurut al-Attas pandangan alam sekular telah menjadikan alam tabii (benda) ini qadim. Seterusnya berlaku pemisahan antara wahyu (revelation) dan akal (reason), juga antara tradisi dengan modeniti. Daripada pemisahan ini maka manusia sekular – yang telah mengagungkan ilmu sains serta membataskan hakikat pada alam tabii – akan cenderung memilih akal daripada wahyu, benda daripada ruh, dunia daripada akhirat, modeniti daripada tradisi. Maka al-Attas menegaskan bahawa ketaksuban terhadap rasionalisme akal semata akan mengarah kepada deification of human being (pendewaan manusia). Demikian bagian buah fikiran Syed Naqiub ini dijadikan pembuka wacana malam tersebut oleh Dr Khalif Muamar, Zamil Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA).

Jika faham ilmu peradaban Barat ini dikrtik, lalu, bagaimana seharusnya ilmu itu ditanggapi? Apakah Islam menawarkan solusi terbijak? Maka dengan tutur yang hati – hati tetapi tetap tegas, Dr Mat Rofa dari Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyambung, menurutnya Syed Naqiub melihat mentakrifkan ilmu itu sebagai kedatangan makna dalam diri seseorang, dan ketibaan diri kepada makna. Asas terhadap sifat ilmu harus yakin dan benar. Dalam huraiannya, beliau menjelaskan bahawa taraf ilmu tertinggi Barat adalah untuk mencapai teknologi manakala matlamat ilmu dalam konteks Islam adalah untuk menyudahkan tanggungjawab Khalifah Allah – menguruskan dunia. Sebelum sekularisasi ilmunya (mudahnya sebelum zaman Copernicus), Barat meletakkan ilmu dalam empat tahap dengan lapisan terbawah ilmu sains tabii, diikuti matematik dan puncaknya diletak ilmu metafizik. Kini, metafizik ‘dipadamkan’ daripada sumber epistemologi Barat dan sains tabii dijulang menjadi puncak ilmu. Maka Barat kehilangan sisi spiritualnya. Walhal, ilmu harus pada akhirnya dapat mengukuhkan keimanan pada keesaan Tuhan. Hanya dengan ini yang akan memungkinkan untuk ilmu memandu manusia dalam mencapai akhlak yang mulia. Syed Naqiub menyusun indah peri pentingnya hubungan ilmu dan akhlak dengan mentamsilkan “ andainya ilmu sebagai pohon, akhlak sebagai buahnya”. Akhlak inilah yang dapat memelihara manusia daripada melakukan keburukan mesti pun tanpa pengawasan undang – undang. Hal inilah yang dikatakan sebagai kesepaduan ilmu.

Dengan separa berjenaka nadanya, Dr Alinor Abdul Kadir – penyelidik prasasti di INSPEM – menyifatkan faham ilmu Barat itu ‘ rabun jauh’ kerana melihat punca dan matlamat ilmu pada batasan yang sempit. Dr Alinor kemudiannya mengutarakan pula soal Islamisasi ilmu, satu konsep yang mengundang kritik yang bukan sedikit termasuklah daripada cendekiawan Muslim sendiri, seperti Fazlur Rahman dan Pervez Hoodboy, yang kuat berpegang pada kepercayaan bahawa ilmu itu bebas nilai (value-free) sifatnya. Mereka melihat bahawa ilmu-ilmu yang dihasilkan oleh Barat tidak mengandungi nilai-nilai yang bertentangan dengan pandangan alam Islam. Namun begitu, Syed Naqiub al-Attas tidak berseorangan apabila menyatakan bahawa ilmu itu sarat nilai (value laden). Antara ilmuan lain yang sealiran dengannya ialah Thomas S. Kuhn yang ideanya itu dicanai rapi dalam bukunya The Structure of Scientific Revolution dan Edward Said melalui makalah terkenalnya Orientalism dan Culture and Imperialism. Lalu Dr Alinor meringkaskan erti Islamisasi ilmu yang banyak dibicarakan oleh Syed Naqiub, iaitu proses membawa ilmu terkini (secara kasarnya selepas tahun 1600) ke dalam falsafah ilmu Islam. Hal ini kerana ilmu adalah hasil cerapan maklumat melalui worldview tertentu dan pastinya worldview Islam akan memberi makna yang berlainan terhadap maklumat yang sama.

Demikianlah antara yang sempat mengisi wacana yang bertempat di Pusat Pengajian Sejarah, Politik, dan Strategi, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusian UKM. Pada sesi diskusi dapat dicerap reaksi berbeza daripada hadirin. Buktinya apabila banyak soalan diajukan mengkritik padangan skeptik terhadap Barat hingga berlalu generalisasi, dan tidak kurang juga mohon penjelasan lanjut pada banyak sisi pemikiran Syed Naqiub Al Attas. Tuntasnya, hal ini membenarkan beberapa perkara, malam tersebut tidak seluruhnya dapat membentangkan idea Syed Naqiub Al Attas, dan pastinya tidak semua telah disudahkan oleh Syed Naqiub, maka adalah menjadi tugas kita untuk menyambung tanggungjawab yang tidak pernah selesai ini – membangun peradaban ilmu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: