Politik baru atau kebangkitan etnonasionalis Melayu?

Hang Tuah pasti tidak menyangka kata – kata ‘tak Melayu hilang di dunia ’ yang diungkapkannya dulu kini diulang teriak dengan suara yang lebih lantang serta emosi yang lebih getar. Kali ini bukan pahlawan berpencak keris, panglima gagah setia atau laksamana utusan raja yang melaungkannya melainkan para demogog politik konservatif kanan yang semakin terhimpit dengan faham politik primodial  mereka. Namun latarnya tetap serupa – setidaknya pada permukaan – ketika Melayu dilihat hilang kuasa politiknya. Hang Tuah menutur katanya waktu kapitalis menjajah negerinya lalu dia berkelana sufi dari Ayudhya hingga ke Turki (rujuk Kasssim Ahmad 1962). Kini, ayat yang sama dijeritkan dalam banyak akhbar etnonasionalis Melayu dan jerit itu makin menggugah selepas malam 8 Mac 2008.

Kata – kata lain dengan nada yang sama diulang sebagai modal memancing simpati politik. Perbuatan itu bukanlah terlalu ajaib untuk diwacanakan di sini. Jika sebelum ini, hanya soal Melayu yang dicanang kini apabila ia telah kebas di telinga orang Melayu  maka isu agama ikut dipalu dengan irama yang sama – ketuanan Melayu-Islam! Semua maklum bahawa parti politik bermatlamatkan kuasa dan akan melakukan apa sahaja untuk itu. Maka tidak hairanlah sentimen  perkauman yang bebal, kasar dan keras diguna buat sekian kalinya.  Namun, apabila umpan perkauman ini mula mendapat reaksi masyarakat – malah dalam kalangan parti poltik pembangkang yang selama ini mendakwa memperjuangkan Islam – maka di situ letak duduk  isunya. Mengapa soal perkauman ini masih ada tempat dalam politik Malaysia pada saat ramai yang percaya pasca 8 Mac adalah era politik baru? Mengapa isu Malayu-Islam ini mudah menggoncang emosi Lebai Usen di Kota Tinggi  walhal  sekelumit kuman pun belum tentu Lebai Usen dapat untung daripadanya. Tambah pula Lebai Usen bukan orang politik. Sekadar pernah sekali bersalam dengan Yang Berhormat, itu pun waktu Yang Berhormat datang merasmi mesyuarat tahunan Khairat Kematian Kampung Lukut. Itulah sekali, itu pun kebetulan dekat – dekat nak pilihan raya, kalau tak mesti Yang Berhormat sekadar hantar wakil. Ini bukan kisah Lebai Husin sahaja,  malah isu yang sama turut menggodak seluruh isi perut Wak sukiman di Parit Sulong, mengoncang jiwa Mak Nab di Felda Selancar dan sempat menjentik hati Mail yang berniaga nasi lemak di Kampung baru, Kuala lumpur.  Selut perkauman ini sukar sekali untuk tanggal daripada kulit orang Melayu.

Kaum Melayu pada pandang penulis berada dalam krisis identiti. Pertamanya dilemma dalam mentakrifkan Melayu itu sendiri. Siapakan Melayu itu sebenarnya?  Dalam banyak aspek, Melayu ini cuba diseragamkan hingga hilang perwatakan lokalnya (yang menjadi sebahagian daripada identiti mereka). Jika dipakai pendapat Farish A. Noor dalam bukunya Di balik Malaysia, kehilangan identiti local ini bermula dengan bancian penjajah yang pukul rata semua suku di Nusantara ini sebagai Melayu bagi memudahkan pemetaan lalu kaedah ini dipakai pula oleh pegawai dan cerdik pandai kita. Setelah merdeka, atas nama hendak menjaga ketuanan Melayu  maka perlembagaan cuba mentakrifkan Melayu. Makin kusutlah makna Melayu itu seperti mana yang banyak dibincangkan oleh banyak orang termasuk Syed Husin Ali dalam makalahnya Orang Melayu, Masalah dan masa Depannya (1979). Belum sempat menghuraikan apa – apa, datang pula istilah bumiputera, Melayu baru, dan kini Melayu glokal! Melayu makin keliru dan sesat dalam menemukan  identitinya lantaran mainan politik yang dangkal ini. Kesulitan ini bukanlah masalah eksklusif Melayu semata. Mana – mana bangasa khususnya yang pernah terjajah akan tercari – cari identiti nasionalnya dan dalam masa yang sama cuba memenuhi tuntutan membentuk negara- bangsa (dalam konteks ini bangsa Malaysia). Apatah lagi dalam masyarakat yang berjamak budaya,  polemik ini bukan mudah dicernakan jika tidak diurus dengan penuh sedar.

Dalam pada masa yang sama Islam dilihatkan sebagai tempat bersandar yang yang paling kukuh dalam memberi identiti Melayu. Kebangkitan Islam dalam kalangan kaum Melayu paling jelas pada dekad 70-an selari dengan proses industrilisasi negara pada waktu itu. Islamisasi (atau Arabisasi?) adalah respon apabila tercerakinnya unit keluarga Melayu tradisional akibat tuntutan industri dan perubahan lansung demografi tipikal  kaum Melayu. Pada waktu ini ramai kaum Melayu yang berhijrah ke bandar besar di pantai Barat Semenanjung Malaysia. Lalu migran Melayu kota yang rata – ratanya daripada kelas menengah rendah ini cuba mendepani cabaran nilai kosmopolitan yang mengetuk – ngetuk pintu tingkap ruang peribadi mereka. Nilai feudal-agrarian desa tidak akan berhasil untuk mendepani cabaran ini dan kekurangan ini diisi oleh faham Islam mereka. Islam telah dijadikan sebagai penampan bagi mengekalkan identiti Melayu kota pada waktu itu. Maka Islam pada satu sisi telah dijadikan sebagai satu unsur identiti dan untuk itu daripada suatu yang abstrak ia harus diperlihatkan dalam bentuk yang konkrit. Suatu simbol. Pada akhirnya apabila Islam disimbolkan kepada etika berpakaian dan tatacara sosial, hal ini telah meminggirkan dimensi Islam yang lebih fundamental seperti nilai serta falsafahnya. Lebih parah lagi,ini akan lebih membingungkan identiti Melayu itu sendiri. Apakah bukan Melayu jika bukan Islam, contohnya?   Apakah mesti Melayu itu sentiasa diasosiasikan dengan Islam? Serban, songkok atau destar yang dapat pahala? Remeh, namun ini cerminannya.

Kekacauan identiti inilah yang menyebabkan kaum Melayu kini mudah untuk dimanipulasi dengan sentiment emotif yang tebal rasisnya. Penubuhan secara tergesa – gesa  Barisan bertindak Perpaduan Melayu (BBPM)  oleh 25 badan bukan kerajaan Melayu-Muslim dan pelobi – pelobi agenda perkauman ini memperlihatkan betapa Melayu kini dalam ‘ketakutan’. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa cakap – cakap tentang kerajaan perpaduan oleh PAS juga adalah tindak balas kepada inferior ini. Akhar – akhbar Melayu-UMNO kini semakin berani dan lantang bercakap tentang ketuanan yang tercabar. Respon – respon terhadap cadangan untuk membawa pulang Chin Peng pun dilihat sebagai perbuatan mencabar ketuanan Melayu apatah lagi apabila cadangan ini diusulkan oleh MCA yang merupakan komponen dalam Barisan Nasional. Baca sahaja kenyataan ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee, Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Presiden Majlis Muafakat Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun mengenai isu ini. Semuanya bermain dengan emosi dan tidak rasional dan hal yang membimbangkan apabila ada yang bersetuju dengan alasan tuntutan sebegini di buat kerana kaum lain (lebih tepat lagi komponen lain dalam BN) merasakan UMNO tidak lagi  hegemonic dalam Barisan Nasional (BN) dan ini adalah pertanda kepada kejatuhan bangsa Melayu. UMNO pula menggunakan kesempatan ini untuk terus mengipas bara perkauman. Siapa yang memegang media akan dapat mencipta reality. UMNO menyedari hal ini dan memanfaatkan seoptimumnya. Maka, tidak menghairankan jika kita mendapati banyak keluhan akan kemerosotan kuasa politik Melayu ini bukan lagi datang daripada ahli UMNO malah turut terdengar daripada mulut ahli dan penyokong PAS dan PKR. Jika PAS benar ikhlas untuk berbincang, mengapa tidak bercakap agenda perpaduan nasional yang lebih inklusif?  Penulis tidak melihat adanya politik baru di Malaysia. Skrip lama masih berulang, malah makin meloyakan.  .Apa yang berlaku pada PRU12 lebih kepada keberhasilan percaturan elit politik, bukannya satu arus perubahan pemikiran yang datang daripada rakyat terbanyak. Kesedaran rakyat tidak bersifat ideological dan semu. Pakatan Rakyat harus menyedari hal ini dan berusaha untuk memperlihatkan perbezaan mereka dengan rejim sedia ada jika tidak mahu menjadi kerajaan hanya sepenggal.

Pasti akan terdengar hujah bahawa pengaruh ideolog dan demogog nasionalis yang revisionis selama lebih 50 tahun ini  tidak mungkin dikikis dalam satu malam tetapi hal yang sama tidak wajar ada dalam pemikiran mereka yang acap kali  mengacung tangan ke udara melaungkan perubahan.. Pada mereka harapan ini seharusnya di sandar. Parti politik –  kerajaan mahupun pembangkang – tetap parti politik yang siang malamnya hanya bertelingkah kuasa. Jadi pada kelompok masyarakat yang tercerah inilah yang kita harapkan.  Mereka adalah van guard bangsa bertuah ini Jangan sampai etnonasionalis Melayu ini menjadi penghalang kepada masa depan Malaysia yang lebih baik.

Hikayat Hang Tuah tidak terhenti setelah Jebat ditikam. Hang Tuah berjaya menemukan jalan hidupnya selepas dia mencampakkan Taming Sari dan meminggirkan feudalis yang korup nilai. Sejarah punya banyak sisi yang harus diterokai dan yang lebih penting, tugas besar anak bangsa ini bukan hanya untuk memahami sejarah malah untuk menentukan alur arahnya. Di tangan van guard, Hang Tuah hidup sebagai simbol perubahan dan pengharapan  bukan pengkhianatan.

5 Responses

  1. Tulisan yang sangat bagus!!

  2. lebai usen bru je mninggal dunia td..
    bru kejap ni..
    innalillah…..

  3. wakakakakak…. tulisan yg menonjolkan identiti penulis…hikhikhik. kepada aishah, btol ker bagus ????

  4. tulisannya bagus banget….
    salam kenal…

    stop dreaming start action

  5. Kami menjemput sekalian peminat Laksamana Hang Tuah ke Blog kami yang mengisahkan serba ringkas asal usul, lakaran wajah berpandukan pertemuan semuka, keris tamingsari dan lain lain. Silakan untuk memikirkan sendiri aoa yg terkandung di sebalik ini..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: