Apakah universiti ini pemikir, peneraju, atau pengikut?

wawancara sempena persaraan  Prof. Madya Ghazali Mahyudin

GMLatar belakang

Ijazah pertama di UKM pada tahun 1976. Sebelum peperiksaan akhir lagi saya sudah mendapat kerja di Wisma Putra.  Kemudiannya saya mohon cuti untuk menduduki peperiksaan akhir.  Major saya dalam bidang sejarah, ketika itu saya buat tajuk  Johor Semasa Pendudukan Jepun. Di Wisma Putra saya ditawarkan sebagai tutor. Kemudiannya saya menyambung pengajian di Leeds  dan pada 1978 saya terus berkhimat sebagai pensyarah di UKM.

32 tahun dalam dunia akademik dengan 30 tahun daripadanya sebagai pensyarah, apa yang membuatkan prof senang (selesa)  kekal di UKM?

Saya pernah berkhimat di jabatan kerajaan (wisma putra) tapi merasakan  tidak berapa sesuai  kerana  saya memerlukan kebebasan untuk berbeza pendapat, kebebasan berfikir dan kebebasan menyatakan pendirian dan saya merasakan ruang dalam akedemik itu ada dan lebih luas (berbanding jabatan kerajaan). Tambahan pula dalam displin Sains Politik. Bagi saya kebebasan amat penting untuk setiap individu dan harus  dibincangkan dengan lebih terbuka. Kebebasan juga tidak bermakna kacau bilau kerana kebebasan itu berbataskan kebebasan orang lain.  (contohnya) kita tidak bebas memfitnah orang lain. Kebebasan harus datang dengan tanggungjawab dan  bertujuankan kebenaran. Bagi saya inilah syarat untuk masyarakat kita maju. Segala yang bobrok itu harus dibetulkan, untuk ini kebebasan itu diperlukan untuk menegur (bukan fitnah).

Prof ke university kerana merasakan adanya kebebasan, satu penyataan yang agak kontradik jika melihat kondisi semasa. Apa pandangan prof mengenai kebebasan akedemik di university ?

Saya telah melalui zaman sebelum AUKU (Akta Universiti dan kojel universiti) dilaksanakan pada tahun 70-an dan selepasnya, saya juga memerhati perkembangan pelajar pada 80-an, 90-an hingga kini. Saya melihat tahap – tahap itu sebagai satu penurunan kualiti pelajar dari segi mutu kerja dan artikulasi idea mereka. Saya percaya ini ada kaitan (lansung) dengan cengkaman pemerintah terhadap lapangan akedemik kerana pada pengalaman saya pelajar pada dekat 70-an itu (waktu adanya kebebasan) lebih peka dengan persekitaran sosialnya.  Isu kemiskinan, kelaparan, setinggan seperti kes Tasik Utara, baling dan peneroka bandar. Mereka juga cukup peka dengan perkembangan antarabangsa seperti isu Selatan Thai, Perang Vietnam, dan lain – lainnya. Hal ini sudah tentu dapat menyediakan mereka untuk menjadi pemimpin yang matang pada masa depan. Pemimpin politik negara kini  dan akan datang tumbuhnya  daripada university  – berbeza dengan pemimpin awal kemerdekaan dulu yang tidak semua berlatarkan university – dan daripada mana latihan kepimpinan itu dibentuk kalau bukan di university? Malah pemimpin yang ada kini pun ramai datangnya daripada pemimpin pelajar. Namun apabila ada hujah yang mengatakan tugas pelajar hanya belajar (dalam dewan kuliah), saya rasa kenyataan ini tidak berasaskan fakta. Berpartisipasi dalam aktivis kemasyarakat tidak akan membuatkan mereka tercicir dalam pelajaran. Jika berlaku sekalipun pasti ada sebab lainnya. (malah) pelajar kini yang hanya diam dalam kampus pun ada yang gagal!

Sekatan ini bukan hanya kepada pelajar, ahli akedemik turut diikat dengan AUKU, university secara keseluruhannya hilang autonomi.  Jika sebelum ini (AUKU dilaksanakan) perlantikan jawatan – jawatan penting  banyak daripada dalam. Misalnya, pada 70-an ada usaha untuk menempatkan bekas ketua setiausaha negara Dato’ Abdullah Ayub sebagai naib canselor dan ini ditentang oleh ramai ahli akedemik. Hal ini penting dalam memastikan university ini kekal mandiri dan tidak akan dimanipulasi oleh pemerintah. Kawalan dan campur tangan kerajaan akan menyebabkan kualiti pendidikan merosot dan merencatkan potensi pelajar kerana semuanya telah dicaturkan buat mereka. Mereka hanya penerima yang pasif.  Jadi, jika kita ingin bercakap tentang modal insan, tenaga mahir, masyarakat sivil bukan dengan menyediakan program latihan kepimpinan dan motivasi tetapi perubahan terhadap struktur! Selain daripada itu kosmetik semata.

Prof menggambarkan sistem pendidikan tinggi sejak 30 tahun terakhir ini cukup gelap. Apakah tidak ada sebarang transisi positif yang dapat prof cerap?

Pastinya ada. Perkembangan internet cukup besar impaknya pada dunia pendidikan. Cabarannya pada kami – ahli akedemik. Suatu ketika dulu ketika zaman saya, kami harus mencari buku di perpustakaan, sentiasa menyelak akbar dan  mengetuk mesin taip lalu kemahiran menulis itu terbentuk.  Tugasan esei pada ketika itu tidak termasuk dalam markah akhir, hanya sebagai perlengkap perbentangan tutorial. Perperiksaan akhir adalah 100 peratus. Tetapi kami membuat esei dengan sungguh – sungguh. Keadaanya tidak sama lagi kini. Saya tidak faham mengapa keghairahan untuk mencerna ilmu dalam kalangan pelajar  semakin kurang. Mungkin juga salah pensyarah yang gagal mencetus minat. Mungkin juga kerana segalanya kini boleh di ‘copy and paste daripada internet. Buku – buku yang ratusan ribu di perpustakaan sudah tidak perlu lagi. Budaya copy-paste ini makin merebak sehingga peringkat yang lebih ‘atas’ lagi. Hal ini memberi kesan kepada kemahiran menulis, berwacana dan mencerakinkan fakta. Apabila mereka ini keluar bekerja nanti, pastinya akan menjadi masalah yang besar.

Bercakap mutu penulisan dan ketajaman pemikiran, bagaimana Prof menilai penulisan akedemik kini?

Banyak lagi yang boleh dipertingkat. Secara bandingannya terlihat sains tulen lebih terselah daripada sains sosial. Sains sosial agak terkebelakang sedikit. Hal ini ada beberapa punca. Dalam amalan penulisan sains tulen, apabila kajian dibuat bersama pelajar dan hasil kajian itu layak diterbitkan, penyelia tersebut boleh ada namanya juga dalam kajian tersebut walaupun kajian tersebut dilakukan oleh pelajar. Berbeza dengan sains sosial – pensyarah hanya menyelia.  Penulisan  sains tulen ini banyaknya berdasarkan kajian makmal, dapat hasil boleh publish dan selalunya group work. Jadi dalam list of publication itu tentulah kelihatan banyak kajiannya. Dan lain – lain alasan tipikal penyarah seperti kena mengajar, sibuk dan sebagainya.

Soal mutu pula adalah suatu yang subjektif. Namun jika diterbitkan di peringkat antarabangsa bolehlah dianggap bermutu kerana telah melalui banyak tapisan. Begitu juga dengan penulisan jurnal yang harus diwasid dan dinilai oleh pakar – pakar sebelum diterbitkan. Terdapat juga penulisan akedemik kita yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. Namun daripada segi jumlah penulisan yang mencapai tahap  itu perlu sangatlah dipertingkatkan.

Sepanjang perkhimatan Prof, Naib Canselor (NC) telah beberapa kali bertukar ganti. Tentunya Prof dapat melihat pembaharuan yang cuba di bawa oleh setiap kepimpinan pentadbiran, mungkin dapat Prof kongsikan di sini.

Antara yang saya rasa approaceble , popular, dan ada membawa pembaharuan seperti memulakan syarahan NC adalah Sam Sani. Mungkin saya bias kerana dia dekan. Tapi saya agak yakin jika ditanya akan orang lain jawapannya mungkin sama. NC ini adalah satu jawatan yang sukar kerana harus menangani ragam  fikiran dan permintaan/kehendak daripada berbagai fakulti. Mereka perlu untuk tidak hanya berada dalam pejabat sahaja. pada pengalaman saya, antara yang saya nampak sering  turun keluar melihat sekitaran kampus adalah Norramli Muslim, TNC Pembangunan yang bertanggungjawab membangunkan kemudahan dan keselesaan dalam kampus. Misalnya Tasik Kejuruteraan UKM yang lama terbiar, apakah yang dilakukan oleh TNC Pembangunan waktu itu?

Seharusnya seorang ahli akedemik  yang dikatakan baik itu bersifat neutral atau mesti mengambil posisi jelas dalam mana – mana polemic sosial atau politik?

Menyatakan pendirian itu tak ada masalah dan jika kebetulannya ia menyebelahi salah satu pihak tidak mengapa. Asalkan berdasarkan penilaian yang objektif dan rasional, tidak taksub. Bagaimana yang dikatakan neutral itu? Jika ahli parti sekali pun janganlah pendirian dalam sesuatu isu itu berdasarkan keahlian dalam parti semata. Persoalannya mampu atau tidak? Adakah parti itu terbuka?

Saya sendiri bukan ahli mana – mana parti dan penilaian saya tidak bersandarkan parti tetapi prinsip. Hal ini tidak bermakna saya tidak ada pendirian. Hal ini membolehkan saya jadi lebih objektif pada mana – mana pihak.

Contohnya konsep Satu Malaysia. Ramai orang yang masih tidak faham dan saya sendiri  tidak faham. Hanya retorik slogan, tanpa idea yang konkrit. Apa dah jadi dengan Islam Hadhari? Hanya untuk dilihat berbeza daripada pemimpin lain maka retorik politik ini dipakai.  Apabila hendak ditubuhkan Institut Hadhari dengan tergesa – gesanya UKM dipilih, malangnya  kita. Hal ini berbalik kepada persoalan asas, adakah university ini pemikir, peneraju, atau pengikut? Ahli akedemik yang begini hanya akan ‘memanjang – manjangkan’ retorik ahli politik. Ahli akedemik hanya mencantik, mengemaskan hujah retorik agar konsep itu kelihatan kukuh untuk diterima masyarakat. sepatutnya university pencetus idea, penggerak masyarakat bukan alat hegemoni.

Terlanjur menyinggung  soal  fungsional intelektual ini, boleh prof berikan sedikit nasihat kepada akademia muda dan mereka yang berminat menuruti jejak langkah yang Prof rintiskan?

Berani untuk berkata benar. To tell the truth is revolutionary kata Gramsci tapi ia perlu. Jangan menggadaikan kebenaran dan integrity untuk kepentingan tertentu kerana ia kan mencalarkan tradisi keilmiahan itu. Dalam keadaan yang konpetetif sekarang ini mereka  harus rajin membaca, menulis dan publish idea mereka. Semua itu haurus dilakukan tanpa mengabaikan pelajar. Jangan menjadikan alasan sibuk hingga mengelak daripada jumpa pelajar. jangan mengejar jawatan semata. Mereka mesti sedar bahawa tugas fundamental mereka adalah mendidik.

Kepada pelajar sains politik pula, gunakanlah kesempatan tiga tahun yang  singkat ini untuk meningkatkan ilmu. Bacalah apa- apa sahaja daripada pelbagai sumber. Rajin – rajin berfikir dan be critical. Jangan takut memberikan pendapat walaupun silap. Silap itu adalah tanda orang yang belajar. Cuma jika tersilap hendaklah mengakui dan membetulkannya. Peluang ini datang sekali. Selepas tiga tahun di sini janganlah termasuk dalam kalangan mereka yang menyesal. Masa muda ini adalah masa untuk bereksperimen dengan keragaman. Bagi mereka yang terlibat dengan persatuan, aktivis, kebudayaan sebagainya harus lebih cemerlang dalam akedemik.

Soalan terakhir, bagaiamana Prof akan mengisi masa Prof selepas ini?

Saya akan lebihkan masa dengan keluarga kerana saya ada urusan keluarga yang harus diselesaikan dan kemudian saya ingin meluangkan masa untuk perkara yang jarang dapat saya penuhi sebelum ini. Membaca bahan selain akademik. Memoir, novel, bibliografi dan sebagainya. Saya ingin membaca sepuas mungkin.

Terima kasih Prof

One Response

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: