Perlembagaan dan Kematangan Demokrasi

oleh hilmanidham,

a8040bcaded45408Negara hari ini berdepan pelbagai permasalahan dan konflik dalam politik tanah air khususnya arena pendemokrasian negara. Sudah hampir 52 tahun kita merdeka dengan garapan sistem kolonial yang tidak pernah berubah. Apa tidaknya, segala konstruksi masyarakat, politik dan ekonomi semuanya terangkum dalam satu kerangka yang begitu sukses dalam memasung minda dan pemikiran rakyat dan masyarakat. Ditambah pula dengan corak hegemoni pemerintah dan para politikus yang bijak mengekspolitasi keadaan dan semuanya atas kepentingan dan agenda masing-masing. Soalnya, mengapa sesudah sekian lama kita merdeka, konflik itu masih berlaku? Konflik politik sememangnya sesuatu yang alami dalam negara demokrasi. Namun setiap permasalahan perlu ada penyelesaiannya. Soal pendemokrasian yang berbangkit lantas negara ini yang dilabel sebagai pengamal quasi-demokrasi harus diteliti semula. Adakah negara ini benar-benar berada di atas landasan sistem demokrasi yang tulen dan apa signifikansi pengalaman politik kepada arena pendemokrasian negara?

Demokrasi yang terkenal dalam sejarah Amerika diberi oleh Abraham Lincoln yang banyak menggabungkan idea dengan Jefferson dalam perkembangan pemikiran politik Amerika. “Pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.” Istilah tulen pula datang hasil idea Herodotus yakni dari gabungan dua perkataan Greek iaitu Demos dan Kratia yang bermaksud; Rakyat dan Pemerintahan. Pemerintahan oleh rakyat adalah asas bagi terma dan konsep demokrasi. Namun, demokrasi yang sebenar perlu berasaskan beberapa pencirian; soal kuasa terakhir membuat keputusan, peluang yang adil, mengambil kira kepentingan semua, kemenangan bagi yang majoriti semuanya harus diambil kira. Konflik politik yang berlaku seringkali dijadikan alasan demokrasi tidak dapat diteruskan bagi mengekalkan kestabilan negara. Hal ini yang sama berlaku di negara ini tatkala reformasi 1998  beransur deras membawa gelombang demokrasi tulen. Letusan itu akhirnya gagal hasil alasan pemerintah lantas membunuh pendewasaan amalan berpolitik bagi mematangkan arena pendemokrasian.

Perlembagaan adalah antara kunci utama demokrasi yang seringkali diperihalkan dalam hujah sama ada yang menghambat atau mendukung demokrasi tulen. Undang-undang dan perlembagaan sebagai salah satu elemen demokrasi adalah hasil daripada gagasan demokrasi Rome selepas kejatuhan demokrasi Athens. Kemudian, muncul sistem undang-undang yang memelihara norma pemerintah dan yang diperintah. Pertikaian dalam politik lebih-lebih lagi dalam kerangka pasca 8 Mac 2008 begitu mencabar proses pendewasaan demokrasi negara kerana timbulnya persoalan undang-undang dalam perlembagaan. Jika dahulu persoalan undang-undang khususnya perlembagaan jarang timbul, kini hal ini seringkali diperkatakan. Kisah krisis politik di Kelantan dan Sarawak dahulu hanya membangkitkan derauan buat seketika dan isu-isu yang bermain hari ini terus-menerus membangkitkan persoalan undang-undang. Inilah hal yang bakal mematangkan demokrasi negara lantas politik negara akan lebih dinamik dan stabil.

Kita harus objektif dengan melihat dari pelbagai sudut terutama bila bicara berkenaan demokrasi dan perlembagaan. Kedua-dua entiti ini sama sekali berbeda intipatinya. Demokrasi itu adalah sistem yang partisipasinya bebas dan harus dari semua pihak manakala politik dirujuk sebagai suatu berseni sifatnya. Politic is the art of the possible dan Politic is the art of compromise. Hal ini yang menjadikan politik itu begitu unik kerana segalanya mungkin berlaku dan hanya yang bijak mampu memenanginya. Namun, undang-undang tetap menggariskan panduan tentang bagaimana amalan berpolitik itu seharusnya dijalankan. Hal ini yang menjadi titik tolak mengapa perlembagaan begitu signifikan dalam mencorakkan arena pendemokrasian.

Ramai yang memperbahaskan tentang tahap ‘matang’ demokrasi dan kaitannya dengan perlembagaan. Soalnya, apa yang dimaksudkan dengan kematangan demokrasi dan apakah ukuran bagi kita menilai tahap demokrasi bagi sesebuah negara itu? Secara umumnya, cukup sekadar sistem kita ini benar-benar merangkumi ciri-ciri demokrasi yang baik. Kebebasan, keadilan, kesamarataan dan berlandaskan undang-undang serta keperluan entiti ini dinilai semula bagi mewujudkan demokrasi yang syumul dan natijahnya demokrasi itu akan dilihat matang dari kaca mata rakyat.

Bagaimana kita mengukur sejauh mana tahap kematangan demokrasi tanah air? Segala permulaan seharusnya diteliti melalui sejarah kerana sejarah adalah sebaik-baik pendeta dalam kehidupan. Sejarah negara hasil konstuksi kolonialisasi British dilihat begitu mengehad corak kehidupan rakyat. Cengkaman hasil konstruk itu terpasak kukuh sehingga ke akar umbi struktur kemasyarakatan. Semuanya seperti sudah diaturkan dan dicorakkan. Maka, kesenian itu tidak langsung wujud sehingga perubahan itu terlalu sukar untuk berlaku. Pengalaman politik negara juga tidak begitu mematangkan. Setelah hampir 52 tahun hari pembebasan itu barulah perubahan lanskap politik itu dilihat sedikit kejelasan.

Gelombang politik baru hanya muncul pada akhir 1998 dan manifestasinya pada PRU 1999 walaupun ia hampir lenyap selepas kemenangan besar BN dalam PRU 2004. Sebelum itu, keadaan politik negara tidak ada yang istimewanya dengan kemenangan pasti ditangan BN. Sedikit perubahan politik di Kelantan itu tidak begitu menonjol walaupun bangkit seketika soal itu. Perlembagaan negara juga masih tiada evolusinya kesan ketiadaan faktor yang memaksa segala perkara dalam kitab itu diperbahaskan. Apa yang berlaku ketika itu hanyalah perubahan-perubahan yang semakin mencengkam dan melumpuhkan demokrasi. Wacana-wacana akademik tentang hal perlembagaan juga tidak berlangsung bagi mencetuskan perbedaan pendapat yang menuntut kemunculan nilai intelektual dan faham masyarakat tentang perlembagaan. Kita mahukan kepelbagaian idea dalam merealisasikan sistem yang bersifat merakyat dan tidak jumud. Maka rakyat tidak akan terpinga-pingan soal demokrasi, hak asasi, kontrak sosial dan sebagainya yang diperihalkan dalam perlembagaan.

Hari ini kita baru melihat sedikit sebanyak tercabarnya perlembagaan itu bila berlaku perubahan lanskap politik tanah air. Cabaran itu sepatutnya dilihat dari satu sudut yang positif bagi mencapai tahap kematangan dan bukannya di bahaskan dengan begitu emosional. Pasca 8 Mac dan selepas beberapa pilihanraya kecil berlangsung serta krisis politik di Perak, kita saksikan bagaimana kemunculan para akademia dan intelektual dalam membicarakan hal-hal demokrasi dan perlembagaan. Contohnya, tentang perlantikan Menteri Besar, sistem negara persekutuan, krisis politik di Perak dan sebagainya. Hal ini terjadi bila berlakunya perubahan dalam lanskap politik dengan kejatuhan beberapa negeri kepada Pakatan Rakyat dan pelbagai persoalan undang-undang yang muncul bila krisis itu berlaku. Segala perkara yang termaktub dalam perlembagaan itu baru benar-benar teruji setelah sekian lama kitab undang-undang itu kaku.

Hari ini, negara kita masih lagi mengorak langkah ke arah kematangan arena pendemokrasian dan proses ini baru sahaja bermula. Penekanannya, penilaian semula perkara-perkara dalam perlembagaan dan pandangan-pandangan dari sudut perundangan berkenaan itu perlu. Hal ini sangat efisyen dalam membantu kematangan demokrasi yang memandu perjalanan politik yang berlangsung. Hujahnya, hanya dengan situasi yang mendesak kini perkembangan perlembagaan itu akan berlaku dan sejarah itu akan mengikat permainan politik untuk tidak melampaui batasan kebebasan pada masa mendatang. Perubahan-perubahan seperti inilah yang membawa negara ke arah satu proses kematangan berpolitik yang sangat dituntut oleh rakyat. Keterbukaan pemerintah untuk mengizinkan rakyat berbicara soal demokrasi, hak asasi dan lain-lain secara kritikal akan membantu meningkatkan lagi tahap kematangan demokrasi negara. Bukan sahaja membantu pendewasaan dan kematangan arena pendemokrasian tetapi juga mampu melenyapkan nilai kepandiran dikalangan rakyat disamping menuntut rakyat bersikap kritikal terhadap pemerintah lantas mewujudkan masyarakat, politik dan demokrasi yang lebih ideal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: