Menilai Perkongsian Kuasa di Malaysia

satu MalaysiaDemokrasi seakan satu kata wajib pada setiap negara. Hampir tidak ada satu rejim pun di dunia ini – baik di negara-negara kapitalis maupun komunis, maju maupun berkembang, timur mau pun barat, utara maupun selatan – yang enggan mencantumkan, baik eksplisit maupun implisit, kata ‘demokrasi’ pada sistem politik yang dianut negaranya . semenjak perkataan Greek ‘Demos’ (rakyat) dan Kratia (pemerintahan) dikonsepkan hingga saat ini sistem ini telah melalui banyak perubahan. Demokarsi bukan lembu suci yang tiada cacatnya, namun ia masih pilihan terbaik setakat ini (begitulah yang ramai percaya) hingga terbit kata– kata Vox populi, vox Dei!

Namun begitu, pratik demokrasi adalah berbeza. Contohnya ialah apabila rejim komunis yang memerintah Kemboja sekitar 1960-an hingga 1970-an yang diketuai oleh Pol Pot turut menamakan Negara Kemboja sebagai Negara Demokratik Kemboja walhal pemerintahannya bersistemkan autoritarian. Hal ini menggambarkan demokrasi sebagai system yang tidak dapat dielakkan dan diingini semua masyarakat. Hal ini juga digunakan oleh pemerintah untuk menunjukkan kononnya dasar pemerintahan mereka adalah berpandukan suara rakyat. Malaysia juga mengangkat demokrasi dan dalam kondisi masyarakat yang beragam ini, model demokrasi permuafakatan dilihat satu kaedah perkongsian kuasa yang terbaik. Malah Malaysia pernah (suatu ketika dulu) dijadikan contoh antara negara yang berjaya dalam hal ini. Apa yang dimaknakan dengan politik permuafakatan?

Demokrasi totok seperti di Athens kuno tidak akan mampu berjalan tegap dalam negara yang plural hampir seluruhnya seperti Malaysia. Maka bagaimana untuk memastikan suara ramai masih menjadi asas kuasa dan pemerintah dapat mewakili semua? Maka seorang professor dalam bidang sains politik daripada Universiti Yale, Arend Lijphart merumuskan terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan dalam sesebuah negara yang majmuk untuk menjalankan demokrasi. Pertamanya mereka mesti bergabung dalam pemerintahan. Maknanya wujud perkongsian kuasa antara kaum. Selain itu, perlu ada autonomi kawasan di mana setiap kawasan di wakili oleh wakil kaum yang dominan di kawasan tersebut. Kuasa veto pada hal – hal yang melibatkan kepentingan kaum juga menjadi perkara yang penting dalam perlaksanaan politik permuafakatan. Menurut pakar politik perbandingan ini, kuasa veto ini adalah perlu bagi kaum minoriti untuk menjaga hak dan sensitiviti kaum masing-masing. Perwakilan dalam politik juga harus seimbang mengikut nisbah kaum, dengan ini setiap etnik dan kaum berasa diwakili dan suara mereka didengar. Itu dari segi teorinya, bagaimana dengan praktiknya di negara ini?

Di Malaysia, kerjasama politik antara kaum yang dilakukan oleh Barisan Nasional adalah contoh yang baik. Kerjasama antara kaum memungkinkan untuk satu pemerintahan yang kuat dengan majoriti di dewan rakyat melebihi 2/3. Persoalannya, adakan kerjasama yang dilaksanakan itu merupakan kerjasama atas dasar perpaduan atau kuasa politik semata-mata? Dan kini politik permuafakatan dalam Barisan Nasional mula kabur. Adakah kerjasama yang serupa dapat dilihat di peringkat akar umbi? Perwakilan tidak lagi mengikut cerminan komposisi kaum.
Selepas pilihan raya ke-12 mula timbul soal kuasa politik Melayu yang semakin terjejas. Adakah ini benar? Hal ini hanya benar jika kita merasakan hanya UMNO yang mewakili Melayu. Sebenarnya jumlah kerusi antara Melayu dan bukan Melayu di dewan rakyat kini tidaklah berbeza sangat dengan sebelumnya. Kini timbul pula soal kerajaan perpaduan yang sering pemancing debat yang panjang dalam kalangan Melayu sendiri. Tambah kalut lagi apabila persoalan survival politik Melayu ini diikat sama dengan survival Islam. Pertamanya kita harus cuba memahami mengapa terjadinya hal ini. Kesedaran beragama yang meningkat kini dipengaruhi unsur-unsur perkauman menjadi halangan utama proses pendemokrasian di Malaysia. Banyak masalah dengan usaha-usaha Islamisasi, tetapi bukan Islam di peringkat falsafah atau konsep tapi lebih kepada ritual dan symbol Islam semata yang menimbulkan prasangka dan keretakan antara kaum. Hal ini mungkin bukan soal utama dalam perbincangan mengenai perpaduan kaum di Malaysia, namun hal ini tidak harus dipandang remeh kerana ia akan menjejaskan perlaksanaan demokrasi. Malah keadaan ini juga akan menyebabkan sisi ideologis, nilai dan falsafah Islam itu akan terhijab lantara keresahan kita untuk mengangkat symbol bukannya makna.

Tuntutan perkauman yang berlebihan sudah semestinya memberi tekanan kepada sifat demokrasi permuafakatan itu sendiri. Menurut pengamatan yang dilakukan oleh Mauzy (1982) mengandaikan tahap permuafakatan di Malaysia selepas tahun 1969 hanya berada di tahap yang sederhana. Lijpahart yang mengasaskan teori permuafakatan ini pula mendakwa permuafakatan di Malaysia tidak lagi berfungsi selepas 13 Mei 1969. Sudah tentu pandangan ini diperdebatkan, namun secara umumnya, para sarjana yang mengkaji demokrasi permuafakatan di Malaysia bersependapat bahawa Tragedi 13 Mei merupakan titik hitam dalam sejarah negara dan telah menjejaskan perjalanan demokrasi permuafakatan.

Bertolak dengan alasan inilah lahirnya pandangan yang mengatakan demokrasi gagal dimajukan di negara ini akibat masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan. Rakyat Malaysia tidak bersatu untuk menyuarakan kepentingan bersama. Sebaliknya isu-isu yang berbangkit dalam sesuatu kaum diperjuangkan oleh kaum itu sendiri tanpa keprihatinan etnik lain. Sebarang tuntutan ke arah amalan yang lebih demokratis di Malaysia selalu disuarakan oleh sesuatu etnik sahaja dalam etnik masing-masing. Etnik-etnik lain tidak prihatin dan tidak membincangkannya. Isu-isu yang menyentuh kepentingan komuniti Cina dibincangkan dalam akhbar Cina, orang India membangkitkannya dalam akhbar Tamil. Melayu pula tidak faham dan tidak ambil peduli. Begitulah sebaliknya. Hal ini yang menyebabkan rakyat Malaysia berada dalam keadaan terpisah-pisah dalam setiap tindakan dan lapangan, baik politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Malaysia tidak pernah mencapai proses reformasi kerana jumlah pendukungnya tidak mencukupi kerana sifat terpisah-pisah ini.

Memetik kata – kata Rustan Sani dalam seminar ‘Demokrasi Selepas 50 Tahun Kemerdekaan: Cabaran dan Hala Tuju’:

Dalam keadaan tertentu kepelbagaian sosial boleh pula dijadikan alasan untuk melemahkan demokrasi itu sendiri. Sejak mencapai kemerdekaan, sesuatu etnik itu berada dalam kelompok terasing daripada etnik-etnik lain dan membangkitkan isu-isu kaum mereka sendiri melalui parti, pertubuhan masyarakat dan media masing-masing. Kita tidak pernah bertindak sebagai suatu bangsa dan buktinya kegagalan Parti Negara pimpinan Dato Onn.

Sejak kegagalan parti Datuk Onn Jaafar itu, parti-parti politik pelbagai kaum yang pada awalnya berasaskan ideologi tetapi gagal kekal lama, sebaliknya parti itu akhirnya bertukar menjadi organisasi politik berasaskan kepentingan kaum.oleh itu untuk memperbaiki masyarakat, adalah mustahak mengubah mentaliti dan cara berfikir yang berasaskan kaum dalam menangani isu-isu demokrasi. Pakatan Rakyat dilihat cuba membawa aras politik Malaysia ke satu tingkat lagi dengan mengetengahkan persoalan yang tidak lagi bersifat primodial dan tidak lagi terikat dengan politik permuafakatan. Namun usaha ini tidak konsisten dalam bebarapa aspek. Pas contohnya seakan dalam dilemma apabila membincangkan polemic antara Melayu dan Islam. Hal ini tidak seharusnya berlaku kerana Pas dalah parti yang matang dan mempunyai ideology yang lebih jelas berbanding lain – lain parti politik di Malaysia.

Demokrasi adalah satu kaedah untuk membuat keputusan. Maka, ia tidak sahaja harus berperanan pada peringkat politik tetapi seharusnya mampu untuk berasimilasi di peringkat sosial. Oleh sebab demokrasi bukan satu sistem yang lahir, berkembang dan seterusnya matang di negara ini maka nilai – nilai dan amalan demokrasi itu pastinya memerlukan ruang dalam masyarakat dan politik negara untuk difahami, dihayati dan seterusnya dilaksanakan. Adalah sesuatu yang tidak adil untuk terus membandingkan Malaysia dengan Amerika kerana demokrasi di Malaysia tidak sama acuannya dengan mana – mana negara di dunia. Demokrasi di Malaysia dicanai dengan sejarahnya, system sosialnya yang sedia ada, politik dan banyak lagi factor – factor lain. Namun perkara ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak komitmen ke arah menjadikan negara ini lebih demokratik. Demokrasi unggul adalah satu proses maka tidak ada negara di dunia ini boleh mengaku mengamalkan demokrasi unggul tetapi kita mampu untuk menjadi lebih demokratik tanpa perlu meninggalkan nilai – nilai dan latar sejarah tradisi kita, asalkan saja ia dilakukan dengan jujur tanpa agenda tersembunyi. Sesungguhnya terlalu banyak ruang dalam sistem demokrasi di Malaysia ini untuk diperbaiki.

2 Responses

  1. Hurm… dalam-dalam…

  2. ^_^ Salam Haris,

    ‘simbol bukan makna’..apa yg dimaksudkan dengan “simbol”?

    boleh tak saudara pengarang jelaskan secara detail satu atau dua langkah yg boleh diambil untuk berdakwah secara sistematik kepada golongan Non-Muslim dalam corak perjuangan sedemikian? (yg mementingkan makna tanpa dikaitkan dengan simbol Islam) *pemahaman simbol saya mungkin silap,bergantung kpd penjelasan saudara pengarang utk soalan pertama tadi*

    boleh tak berikan contoh bagi membuktikan PAS dalam dilema dalam polemik melayu dan Islam? apa maksudnya sebenarnya? hehe..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: