Surat Buat Madihah

nik-nur4Asalnya, tak terfikir untuk menulis tentang ini. Waktu itu, apa yang terlintas pada saya, ini adalah soal remeh. Walau bagaimanapun, rasanya perlu juga. Ini tak hanya tentang Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal seorang. Malah, juga tak hanya tentang masa depannya. Tapi, tentang fizik. Dan, juga tentang kesendengan sistem pendidikan negara.

Pertama, biarpun agak terlewat, tahniah buat Madihah atas kejayaan! Sudah tentu, waktu sekarang sangat sulit untuk menentukan pilihan. Bila datangnya banyak peluang, kesukaran seperti ini memang tak dapat dielakkan. Maka, harus cermat.

Sejujurnya, saya menulis secara spontan ini kerana dua sebab. Pertama, hasrat Madihah untuk menuntut dalam bidang fizik. Jika memang Madihah punya minat dalam bidang ini, itu satu permulaan yang amat bagus. Minat sering saja membawa kepada keghairahan untuk memperoleh kejayaan. Langkah pertama yang tepat. Kedua, adalah usulan saya buat Madihah dalam merungkai lambakan tempat pengajian fizik.

Saya mendengar ada tawaran untuk Madihah melanjutkan pelajaran fizik di Jordan. Jelas, saya fikir Madihah tak perlu berfikir panjang untuk menolak tawaran sedemikian. Berdasarkan kepada pencapaian yang Madihah peroleh, ada tempat yang lebih baik dari Jordan, mahupun mana-mana negara Arab. Mahu atau tidak, diakui negara Arab bukanlah tempat sesuai untuk menjadi ahli fizik yang cemerlang.

Lalu, saya cadangkan Jerman, atau Switzerland, atau Austria, atau Amerika Syarikat. Negara-negara ini punya lebih alasan untuk Madihah berkembang menjadi ahli fizik yang berpenyelidikan perdana.

Sebab, bagi menjadi ahli fizik yang baik, Madihah juga perlukan tempat yang baik. Dalam bidang fizik, disepakati Max Planck Institute (Max Planck Gesellschaft) atau ETH Zürich merupakan dua tempat pendidikan fizik yang terbaik di dunia hari ini. Boleh cuba juga di Universität Wien, Austria. Ataupun pilihan yang berikutnya di Princeton University, Massachusetts Institute of Technology (MIT) atau California Institute of Technology (Caltech) di Amerika Syarikat.

Justeru, kita tak perlu terseret dengan tanggapan persekitaran. Tak perlu takut pada Eropah. Malah, persekitaran Arab belum tentu Islamik, berbanding dengan persekitaran Eropah. Jadi, usah resah pada sebuah kata: barat. Yang seharusnya lebih dirisaukan ialah “tak tahu,” dan kesedaran untuk mencari “tahu.” Budaya barat adalah cabaran. Lantas, yang patut diselesaikan ialah soal menguruskan beza budaya tersebut. Bukan melarikan.

Tampak, betapa herotnya wajah kita pada barat, atau Barat. Ini sama juga herotnya citra fizik di Malaysia. Selama ini, khalayak sering memikirkan bahawa bidang fizik adalah lekeh, ringan, dan sebagainya. Barangkali mereka turut merasakan bidang fizik tak punya harapan. Tiada masa depan. Memang, tak salah juga percaya demikian. Apatah lagi, sebelum ini, fikiran khalayak sering saja terseret dengan dasar materialisme/instrumentalisme yang disumbat oleh kerajaan.

Mithal saja kecenderungan universiti-universiti di negara kita. Lebih kurang sedekad yang lepas, apa yang kerajaan utamakan ialah bidang kejuruteraan. Hujah ramai, kita akan lebih mudah memperoleh pekerjaan. Sementara, pihak industri juga dikatakan lebih condong pada pelajar dari aliran kejuruteraan. Hasilnya, bidang sains tulen—seperti fizik, kimia, matematik, dan biologi—di universiti-universiti telah kehilangan penuntut yang bermutu. Lalu, bidang sains tulen terpinggir dan jatuh ke taraf “menjadi guru sekolah.”

Pendekatan kerajaan ini amat senget! Kesannya, kita boleh lihat sekarang. Semak saja jabatan fizik di universiti-universiti di Malaysia, rata-ratanya sudah berdepan dengan kepupusan ahli fizik yang berkebolehan. Tiada pelapis yang berwibawa.

Memang, kita mampu menghasilkan ahli fizik, atau akademia fizik, setelah kerajaan hantar mereka ke luar negara. Tapi sebaik manapun ahli fizik yang kita ada dewasa ini, tetap saja kita tak mampu nak melahirkan ahli fizik teori. Sampai hari ini, kita maseh tiada lagi ahli fizik lulusan dari institusi bergengsi seperti Max Planck Institute dan ETH Zürich. Ini tambah-tambah lagi corak penyelidikan fizik di universiti kita sekarang lebih banyak tertumpu pada fizik ujikaji.

Tampak, bidang fizik teori begitu lompong di Malaysia. Di Universiti Malaya kita ada Keshav N. Shrivastava. Itu pun terpaksa pinjam dari India. Di UPM, kita ada Hishamuddin Zainuddin, yang pernah menuntut dengan Christopher Isham. Tapi di sana tak pula dibekalkan dengan pasukan teori yang berkesan. Manakala di UKM, ada Lim Swee Cheng. Walau bagaimanapun, kemudian bersama murid hebatnya, Sithi V. Muniandy, mereka ‘terpaksa’ mengundur diri—gara-gara budaya penyelidikan fizik teori yang tak disambut baik.

Malah, kursus matematik-fizik peringkat sarjana yang pernah dijalankan di UKM pun akhirnya turut dimansuhkan kerana ketiadaan pengajar. Walhal, bukanlah kerana ketiadaan pengajar sangat pun. Sebaleknya, lebih kerana ketaksenangan permainan politik terhadap individu tertentu. Akhirnya, pendidik matematik-fizik sebaik Shaharir Mohamad Zain—yang memulakan kursus tersebut—pun tak dipedulikannya.

Bahkan, saya percaya UTM yang memiliki Institut Ibn Sina, juga mengalami masalah yang sama, sampai superkomputer yang amat mahal dibeli mereka, akhirnya terbengkalai begitu saja. USM, meskipun sebagai Universiti Apex, belum lagi terserlah dalam bidang fizik teori.

Justeru, kita memang tandus ahli fizik teori. Saya fikir Madihah perlu mengisi kekosongan tersebut, jika memang bidang fizik yang diminatinya. Tapi, untuk berjaya sebagai ahli fizik teori yang baik, itu pasti tak terdapat di Jordan, atau di negara-negara Arab, atau di Malaysia sekalipun! Madihah, atau mereka yang berminat dengan fizik, mesti ditawarkan ke negara-negara yang serius dalam penyelidikan fizik tinggi.

Saya usulkan Jerman sebagai pilihan pertama kerana beberapa faktor. Tak nafi, jerman adalah antara pemuka bidang fizik berbanding negara-negara lain. Fizik kuantum dan fizik kenisbian, kedua-duanya adalah fizik moden, yang terasas dari tradisi sains negara tersebut. Dewasa ini, penyelidikan fizik sudah menjadi asasi di Max Planck Institute. Begitu juga ETH Zürich dan Universität Wien yang tak kurang hebatnya.

Kemudian Amerika Syarikat. Bukan Britain. Siapa yang arif sistem pendidikan, pasti akan lihat ada beza besar antara sistem pendidikan dua buah negara Anglo-Saxon ini. Dua benua, dua mutu.

Tentunya, sistem pendidikan di Amerika, bukan saja lebih ikhtisas, tapi turut memperkenalkan umbaian bidang yang mengukuhkan kursus utama yang ditekuni. Saya ambil contoh di MIT. Di sana, mereka yang menekuni matematik, boleh saja turut menekuni bidang falsafah dalam waktu yang sama. Dan, hujungnya kita boleh memperoleh ijazah dalam dua-dua bidang secara serentak—major dan minor.

Tentu ada yang bertanya. Kenapa perlu disibukkan dengan pelajaran falsafah pula? Sedangkan kita mahu belajar matematik, atau fizik saja?

Sebabnya, untuk setiap perkara yang mencetuskan penyelidikan yang hebat-hebat, itu tidaklah bermula dari bilek makmal semata. Hadiah Nobel bermula dari berfikir. Terbukti, kebanyakan penemuan adalah terhasil daripada daya intuisi. Untuk menajamkan intuisi, budaya kefalsafahan sangatlah membantu. Kerana itu, sistem pendidikan kebelakaan (holistic) amat ditekankan di Amerika Syarikat, juga di negara bernuansa Jerman.

Kelemahan di Malaysia, kita terlalu berbau Britain. Segalanya seperti Britain semata, seolah-olah dunia fizik hanya ada Isaac Newton. Tidak Gottfried Leibniz. Barangkali ini tempiasnya daripada dampak penjajahan; minda tertawan dan jiwa abdi. Mungkin belajar di Cambridge University juga bagus. Penyelidikan teori tetali di sana juga hangat. Tapi saya tak fikir di peringkat sarjana muda fizik, universiti tersebut adalah sebagus dengan Max Planck Institute atau dengan ETH Zürich.

Demikian masalahnya di Malaysia. Masalah bukan sekadar berakar di universiti, tapi berumbi hingga ke sekolah. Di universiti, hampir tiada penekanan pada fizik moden. Kandungan matapelajaran fizik di kuliah-kuliah lebih bercorak status quo, sampai mengabaikan jalur-jalur fizik yang lain. Kalau di sekolah pula, semua buku teks fizik di sekolah tersudut pada Newtonian sahaja, dan para pelajar langsung tak diperkenalkan dengan fizik moden.

Jadi, jika pelajar tak diasah lebih awal dengan perbezaan pemikiran dalam fizik, maka tak mungkin kelak lahirnya ahli fizik yang bermutu di Malaysia.

Negara kita, dengan budayanya, memang bukan tempat menjadi ahli fizik yang cemerlang. Sama juga dengan negara-negara Arab. Sebenarnya, pendidikan di negara-negara dunia ketiga sudah terlalu lama dicengkam paternalistik, dan tak dibudayakan sikap kritis dalam penerokaan sains. Lalu, kita harus menuntut pencerahan baru. Barangkali surat ini adalah sebentuk pencerahan buat semua. Bukan untuk Madihah seorang.

Tapi khusus buat Madihah, pesannya mudah. Memileh harus cermat. Tapi, saya yakin, dengan memileh Jordan, atau mana-mana negara-negara Arab sekalipun, itu bukanlah sebuah pilihan yang bijak. Di sana, bukan untuk tempat subur untuk menjadi ahli fizik yang cemerlang. Tengok saja, penerbitan saintifik di seluruh negara-negara Arab adalah jauh lebih rendah dari sebuah negara Portugal. Sedangkan, jumlah penerbitan Portugal adalah terendah sekali di Eropah. Malah, Israel jauh lebih baik!

Hal ini mungkin tak lerai di sini. Nanti, ASASI, atau Akademi Sains Islam Malaysia akan menganjurkan Seminar Pemikiran Fizik Semasa. Menarik jika dapat hadhir. Di sana terdapat ramai ahli fizik teori yang berhimpun. Maka, sudah tentu pandangan-pandangan ini dapat diranumkan lagi. Sekian, selamat memileh!

18 Responses

  1. dalam masyarakat melayu-islam kat malaysia ni memang terdapat kekeliruan yang nyata. majoriti orang melayu-islam kat malaysia menganggap yang arab sama dengan islam dan barat sama dengan kafir. jadi, tak menghairankanlah kalau adik nik nur madihah kita turut terperangkap dalam persepsi yang sebegitu rupa.

    apa yang sebenarnya menyebabkan ramai daripada kita mempunyai persepsi sebegitu rupa ialah mereka gagal untuk melihat nilai-nilai dasar islam. apa yang mereka nampak hanyalah simbol dan ritual islam. negara-negara yang tak ada simbol dan ritual islam dianggap tidak islamik.

    tetapi mereka lupa bahawa apabila islam tumbuh di negara arab, simbol-simbol budaya dan ritual-ritual arab yang memang telah lama ada di dalam masyarakat arab diserap ke dalam islam. islam pada waktu permulaannya perlu menyerap beberapa simbol dan ritual tok-tok arab ni supaya islam lebih mudah diterima oleh masyarakat arab pada waktu itu.

    walau bagaimana pun, memandangkan orang-orang melayu-islam kat malaysia ni adalah jenis islam yang mengikut bukan jenis islam yang membaca dan berfikir maka simbol-simbol dan ritual-ritual itulah yang dianggap sebagai mewakili agama Islam sepenuhnya. tak ada simbol dan ritual, maknanya tak islamik. sedangkan selain daripada simbol dan ritual ini, terangkum jugak di dalamnya adalah nilai-nilai yang islami yang orang melayu-islam kat malaysia ni tak nampak.

    jadi, memang tak hairan kenapa adik nik nur madihah kita ni tertarik untuk ke jordan walau pun jordan adalah negara yang tidak pernah terkenal dalam penemuan dan penciptaan baru atau penting dalam sains dan teknologi apatah lagi dalam bidang fizik. tambahan pulak jordan ni adalah antara negara-negara arab yang tidak demokratik. kebebasan bersuara, berbeza pandangan, berekspresi, berhimpun, kebebasan media dan lain-lain kebebasan penting untuk kreativiti dan inovasi manusia amat kurang ruangnya di jordan. negara jordan ni bawah sikit saja daripada negara arab saudi yang pilihanraya pun tidak ada.

    negara seperti jordan tu memang ramai muslim yang menjadi warganegara di situ dan dipenuhi dengan simbol dan ritual islam tapi tidak punya nilai-nilai islam. tetapi jerman yang dilihat sebagai negara kafir itulah yang sebenarnya punya nilai-nilai islam yang tinggi.

    diharapkan adik nik nur madihah dpat membuat keputusan yan tepat di dalam hal ini.

  2. memang tak dapat dinafikan bahawa negara-negara arab memang tidak terkenal dalam penemuan-penemuan sains yang baru. salah satu sebabnya adalah negara-negara arab ini agak tidak kondusif persekitarannya kerana tiada ruang yang bebas.

    kebebasan adalah kunci kepada keupayaan inovasi dan kreativiti manusia. tanpa kebebasan inovasi dan kreativiti sukar untuk mencapai tahap yang optimum. tidak menghairankan kepada kita pada akhirnya ramai saintis-saintis arab yang hebat dan berpotensi besar yang akhirnya berhijrah dan berpindah ke barat untuk meneruskan kajian dan penyelidikan sains mereka.

    jika para saintis arab sendiri berhijrah ke barat untuk meneruskan usaha-usaha mencari ilmu di dalam bidang sains dan teknologi, saya tidak nampak kenapa adik nik nur madihah perlu untuk ke jordan. barat khususnya jerman, adalah pilihan yang tepat untuk mendalami bidang fizik.

  3. macam maner ngan pengajian fizik di iran? iran kan hebat gak dalam fizik sampai boleh challange israel ngan amerika. siap bole buat loji nuklear lagi tanpa bantuan daripada teknologi barat. kalo madihah ni takut sangat gi eropah, gi jer la iran. iran pon islam gak aper…

  4. takleh ar pi iran beb. yang maha mulia prof kayu dah cakap kan dah, iran tuh gagal mencipta masa depan, hahaha

    prof ngok bongok!!! hahaha!!!

  5. iran kan syiah..bahaye..nanti kite sesat..takooooot mak!!!

  6. Kita memang banyak melakukan pembaziran. Sebagai contoh pelajar kejuruteraan yg ditaja kerajaan keluar negara kemudian balik ke Malaysia dan memasuki alam pekerjaan pada usia 26/27 thn. Sedangkan jika belajar di malaysia 23 tahun sudah boleh bekerja.

    Ia bukan soal masa yang terbuang, tetapi ia soal pembaziran tenaga. Skop kerja mereka ini sama sprti mereka yg graduate di IPT tempatan, melakukan perkara yang sama, dan mengikut arahan yang sama.Syarikat berteknologi tinggi yang membuka cawangan di malaysia tidak menyediakan RnD dan hasilnya semua pelajar kejuruteraan ini hanya melakukan tugas “memetik suis” di mesin-mesin, itu pun atas arahan “orang putih”.

    Jika kita mahu maju, bukan melalui belajar bidang kejuruteraan dan IT, tetapi kembali kepada di mana ilmu itu bermula, matematik-fizik!

    p/s: sdr aqil, suatu surat terbuka yg sgt baik utk semua rakyat malaysia!

  7. saya cadangkan pihak ASASI pergi berjumpa sendiri dengan madihah. mungkin suatu surat jemputan boleh dihantar kepada madihah untuk datang ke seminar pemikiran fizik yang akan diadakan di UKM nanti. pihak ASASI jika serius di dalam hal pendidikan madihah, perlu mengambil inisiatif pro-aktif. menulis surat sahaja tidak mencukupi. mungkin inisiatif untuk berjumpa terus dengan madihah perlu diatur segera.

    permata yang ditemui jika tidak digilap akan pudar juga akhirnya. dan saya setuju bahawa max planck institute adalah tempat yang terbaik dalam bidang fizik untuk menggilap bakat dan kecerdasan madihah.

  8. Max Planck Institute memang gempaq giler! Hebat tak hebat Max Panck Institute ni, sejak dia ditubuhkan pada tahun 1948, 15 orang pemenang hadiah nobel dalam sains, datang daripada Max Planck Institute. Hebat giler!

    sila baca petikan di bawah:

    “The Noble Prize is the most prestigious of all scientific prizes. Since the founding of the Max Planck Society in 1948, there have been 17 Nobel Prize winners among its ranks. Furthermore, 15 Noble Prizes were awarded to scientists from the predecessor of the Max Planck Society, the Kaiser Wilhelm Society, between 1914 and 1948.”

    petikan diambil daripada: http://www.mpg.de/english/aboutTheSociety/aboutUs/scientificAwards/awardsToMPResearchers/nobelPrize/index.html

    Memang hebat! Max Plack Institut adalah tempat yang terbaik untuk madihah jika, beliau serius untuk mendalami pengajiannya dalam bidang fizik.

  9. Sejak bila UKM jadi Malaysien Nationaluniversitat ni? Ada tendency anti-amerika dan pro-jerman ni. Achtung!… Max Planck Institute ni bukan universiti lah, ia institut research, tak terima pelajar 1st degree…. kah kah kah………… cakap kosong….

    Sorry lah tapi saya memang pro-amerika skit (dari segi amerika), saya rasa dik madihah patut pergi MIT, nobelnya setakat fizik pun dah 28 dah, tak termasuk pula ekonomi, fisiologi dan kimia. 16 nobel dlm 6 thn yg lepas! lagi gempak!

    tambahan lagi MIT ni seakan komuniti antarabangsa, mempunyai pelajar asing yg ramai… bleh buka career madihah…. MIT memang best in the world, Kizmit, OLPC dan banyak lagi inovasi revolusionari merupakan hasil MIT.

    lagi pun prosedur apply MIT tak susah payah, ambil SAT, pass TOEFL je. SAT ni bukan STP, tak perlu hadir kelas, daftar terus ambil terus. Kalo pergi Jerman atau UK, payah lah…. kena ambil A-level 2 tahun, Jerman lagi payah…. kena pass jerman goethe institut…

    korang ingat bahasa ni nak command senang ke? belajar lah sikit tentang teori linguistik dulu, baca teori Eric Lenneberg tentang critical period hypothesis… dik madihah sampai stage ni hanya dpt kuasai Jerman tahap conversation je, nak command samapi tahap utk pemikiran kritis nak berapa tahun?

    Korang ni nak bantu dik madihah atau tunjuk jalan sesat ni? Ala…

    tapi saya faham niat inisiatif budak diskopi memang baik… tapi kena bagi advice yg tepat…… dik blum dapat degree korang suruh dia pergi apply researcher apa pulak? Dik madihah ni berasal dari sekolah agama perempuan …. konservatif tu…. sebab tu skeptik tentang budaya barat… tu sebab madihah sesuai pergi MIT yg etnik pelajarnya bercorak antarabangsa…. dpt dia jumpa pelajar2 muslim… Kalo Jerman tu lagi homogenous, semua orang aryan je…. dik kat sane berasa sunyi…mcm nak tumpu prlajaran?

    Dik Madihah, jgn pergi Jordan, tapi jgn pulak ambil STP, lagi-lagi jgn apply UKM…. orang nak apply degree, dia pulak nak orang apply fellowship…

  10. saya bagi sikit latar saya lah… payah pulak orang attack saya bukan-bukan … apa tak pass SPM lah… Bi fail lah…

    saya budak KL, sbab tu liberal skit. umur tak tua sgt, baru miss skali peluang undi pertama… saya skarang lepak kat Bolehland, tengah cuti inter-semester LT dan ST… belajar kat LSE, London school of economics and political science, ipt sains sosial yg paling gah di dunia, ipt yg paling left-wing di britain… di sana ada pelajar dari 150 negara… majoriti bukan british… sbab tu saya agung BI, saya anggapnya bahasa yg teragung separas dgn Arab… dpt menyatukan berbagai-bagai bangsa… pelajar LSE ni paling taksub politik… masa Vietnam war mereka yg pertama protes… masa Thatcher jadi PM mereka mogok… takkan belajar di sini saya seorang pro-krajaan gi?

    saya kenal diskopi melalui facebook… saya gembira sebab budaya sains sosial kurang di malaysia skarang saya temui satu …bila jumpa saya kecewa…. ni ke standard mahasiswa? bias, kesat, mentah….

  11. saya (bukan mewakili budak diskopi yang lain, tetapi mewakili diri saya sendiri) dengan rasa rendah hati menerima pandangan mamat salleh. saya rasa ada betulnya beberapa pandangan yang diutarakan oleh mamat salleh dalam hal ini. mungkin MIT adalah pilihan yang lebih baik.

  12. saya juga sepakat dengan budak diskopi. ada juga benarnya pandangan mamat salleh dalam hal ini.

  13. salaam,

    terima kaseh mamat salleh!

    saya fikir semakan anda tentang mpg yang tak menawarkan tempat untuk sarjana muda itu benar. meskipun begitu, saya tahu bahawa mpg sudahpun mempunyai rangkaian dengan universiti-universiti jerman tertentu sebagai rakan kongsi strategik pengajian+penyelidikan untuk pelajar-pelajar sarjana muda.

    tentang MIT, saya fikir tak bermasalah. MIT juga salah satu contoh yang bagus dalam fizik, dan sudah pasti lebih bagus dari universiti-universiti di britain. walau bagaimanapun, bolehkah saudara membantu untuk saya mendapatkan sumber bahawa MIT telah menghasilkan 28 nobel fizik? sebab saya keliru, adakah penyelidikan mereka itu dibuat atas nama MIT, atau mereka hanyalah alumni MIT sahaja? ini berbeza dgn mpg, belasan mereka yang memperoleh nobel tersebut adalah dibuat sepenuhnya di mpg. jika data sdr salah, jadi berapakah jumlah sebenar penyelidikan di MIT yang menghasilkan anugerah nobel fizik?

    apapun, saya fikir mamat salleh memang banyak membantu dalam memperbaiki beberapa kesilapan dalam artikel ini.

    terima kaseh banyak-banyak atas perhatian! saya amat menghargainya.

  14. Orang yang belajar sains sosial baik dok jauh-jauh dan toksah nak berbincang pasal fizik klasik atau fizik moden(fizik Jerman).Segala teknologi serta penemuan fizik hebat semuanya berpunca dari bangsa Jerman,Perancis dan Jepun saja.Bukan bangsa Inggeris(kecuali Newton).

    Nota sampingan:Cukup menyampah dengan golongan yang pro-PPSMI padahal mereka bukannya terlibat dengan falsafah dan pemikiran sains tulen.Ingat belajar sains fizik macam belajar akaun atau ekonomi agaknya,asal boleh menghafal terus boleh faham.

  15. woit mamat salleh, nak melebong lagi ker?

    woit, cakap jangan tergantung aahhh. melompat….melompat…mana kajian impirikal beb? mana? data impirikal nak wat ppsmi tak wi wi, terus nak rembat isu baru?

    takkanlah org LSE cakap tak abis. malulah sket kat paul krugman tuh… wakakakaka!

  16. sy setuju dgn kenyataan penulis…..pelajar kita kurang didedahkan dgn fizik moden, terutamanya peringkat uni…peringkat uni pun kita msih lagi belajar classical fizik… adeh…sedihnya….sepatutnya uni kita dh belajar fizik moden…yg tertanya lebih berkait rapat dgn zaman moden…

    sy setuju juga bahawa utk belajar fizik, JGN SEKALI2 PERGI UK……UK is the worst place to learn physics….system dia org sama je dgn sistem di msia…..

    oleh itu, nk belajar, pergilah jerman atau US atau CANADA…ini antara negara yg plg byk membuat kajian physics…terutamanya, US…malah, tnpa mengira agama, pihak US akan merekrut mana2 pelajar yg hebat dlm physics utk bekerja dgn dia org..harap2 adik madinah dpt pergi ke US…..dan betul, jgn tkut dgn perkataan barat, org2 islam barat lebih islamik dri org ARAB….tak percaya, tgk sendiri……..

  17. Salam..
    Ya, saya sangat bersetuju dengan artikel ini. Saya berfikir adalah lebih baik sekiranya kita mempunyai satu cita-cita yang sangat besar, kita cuba untuk menjadi yang terbaik. Dan dalam kes ini, tidak dinafikan bahawa terdapat banyak tempat yang lebih baik untuk adik Madihah sekiranya hendak dibandingkan dengan Jordan. MIT sebagai universiti terbaik di dunia dalam bidang kejuruteraan dan TEKNOLOGI semestinya dapat membantu adik Madihah merealisasikan impiannya..

    Pelajar University of Michigan
    Amerika Syarikat

  18. Buat adik madihah,
    Akak dulu pun student mmp jgk.
    Mungkin trlewat akak bg nasihat ni, tp xpe lar.
    bg buat pilihan yg lbih tpat, istikharahlah dik, mog Allah tunjuk jalan yer..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: