Kenapa Adun Bota Lompat Dua Kali?

Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim membuat dua kali kejutan. Kejutan pertama ialah apabila dia membuat pengumuman untuk meninggalkan UMNO dan menyertai PKR. Kejutan yang kedua, hanya seminggu selepas itu, dia mengumumkan bahawa dia telah meninggalkan PKR dan kembali semula ke pangkuan UMNO. Pengumumannya ini berserta dengan pembelotan yang dilakukan oleh dua Adun PKR dan satu Adun DAP, telah menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Kemungkinan besar, sebelum Nasarudin membuat lompatan pertamanya dengan menyertai PKR, persetujuan dari tiga lagi Adun dalam Pakatan (Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang) untuk meninggalkan Pakatan Rakyat telah hampir diperolehi oleh Najib. Justeru itu, apakah tujuan lompatan pertama (masuk ke PKR) yang dilakukan oleh Nasaruddin, Adun Bota ini ? Apakah maknanya ? Apakah analisanya dari sudut strategi politik ?

Satu, untuk melekakan Anwar dan Pakatan Rakyat. Supaya Anwar dan Pakatan Rakyat menurunkan senjata dan perisai mereka. Di dalam pertarungan politik, apabila senjata dan perisai telah diturunkan, maka akan lebih mudah untuk lawan memukul balik. Ternyata Anwar dan Pakatan termakan umpanan Najib, dan menurunkan senjata dan perisai mereka. Apabila Nasarudin melompat masuk ke PKR, Anwar dan Pakatan merasakan seolah-olah kedudukan mereka lebih selamat. Dari kelebihan hanya 3 kerusi, kini dengan penyeberangan Nasarudin, kerusi Pakatan bertambah menjadi 4 kerusi. Kedudukan kerusi yang lebih selamat.

Rasa selamat inilah yang menyebabkan, Anwar dan Pakatan terleka, seolah-olah lompatan Nasarudin ini akan mendorong pula anggota-anggota Adun dan Parlimen BN yang lain untuk turut melompat masuk ke dalam Pakatan Rakyat. Anwar dan Pakatan bergembira dan bersukaria dengan lompatan pertama Nasarudin sehingga mereka terleka dan menurunkan senjata dan perisai mereka. Anwar dan Pakatan terleka untuk memantau dan mendekati 3 Adun mereka yang bermasalah ini.

Dalam kelekaan inilah Najib bijak bertindak. Tiga Adun Pakatan iaitu 2 dari PKR yang memang sedang menghadapi masalah skandal rasuah, dan 1 Adun DAP yang memang sedang tidak berpuashati dengan kepimpinan DAP Perak, telah didekati oleh Najib. Kelekaan Anwar dan Pakatan akibat daripada penyeberangan Nasarudin ini, telah digunakan sepenuhnya oleh Najib untuk “menculik” dan meyakinkan ketiga-tiga Adun Pakatan ini untuk meninggalkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Strategi Najib ini mengena, apabila ketiga-tiga Adun Pakatan ini berjaya didekati dan diyakinkan. Apabila ketiga-tiga Adun ini sudah memberi kepastian untuk meninggalkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, Nasarudin melakukan lompatan kedua yang terus menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Manakala tujuan kedua lompatan pertama Nasarudin ini pula ialah untuk memusnahkan sebarang kredibiliti moral yang ada pada Anwar dan Pakatan Rakyat. Apabila Anwar dan Pakatan menerima masuk Nasarudin ke dalam PKR dan ke dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, maknanya Anwar dan Pakatan telah memberi legitimasi kepada kaedah lompat parti ini. Sebelum ini Anwar dan Pakatan hanya bercakap dimulut. Tetapi kali ini Anwar dan Pakatan telah melaksanakannya melalui tindakan iaitu dengan menerima Nasarudin, Adun Bota, yang melompat masuk ke dalam PKR. Memang kaedah lompat parti adalah kaedah yang tidak beretika dan tidak bermoral. Tetapi memandangkan Anwar dan Pakatan sudah menerima lompatan pertama Nasarudin ke dalam parti mereka, bermakna Anwar dan Pakatan bersetuju dengan kaedah yang tidak beretika dan tidak bermoral ini.

Oleh kerana itu, jika Anwar dan Pakatan sendiri sudah menerima kaedah tidak beretika dan tidak bermoral ini, maknanya Anwar dan Pakatan tidak boleh meletakkan diri mereka di kedudukan moral yang lebih tinggi daripada Najib dan UMNO, jika Najib dan UMNO turut melakukan perkara yang sama. Kredibiliti moral Anwar dan Pakatan dengan sendirinya termusnah apabila mereka sendiri turut melegitimasikan tindakan lompat parti dengan menerima kemasukan Nasarudin ke dalam parti mereka. Dalam keadaan sekarang, apabila ketiga-tiga Adun Pakatan dan Nasarudin melompat masuk ke dalam kerajaan BN di Perak, Anwar dan Pakatan tidak mempunyai kredibiliti moral untuk mengutuk kaedah yang digunakan oleh Najib dan UMNO kerana Anwar dan Pakatan turut menggunakan kaedah yang sama.

Di atas adalah makna kepada soalan kenapa Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim melompat masuk ke dalam PKR pada mulanya.

Dan kenapa pula Adun Bota ini membuat lompatan kedua dengan masuk semula ke dalam UMNO, jawapannya sudah jelas di depan mata kita iaitu untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak. Apabila musuh sudah dilekakan, alasan sudah disediakan, media sudah siap untuk memutar cerita, maka pukulan maut akan lebih mudah dilakukan dan alasan pula akan lebih senang untuk dijustifikasikan kepada rakyat jelata melalui media massa.

Cumanya, Pakatan Rakyat di Perak memang terpukul, tetapi tidak maut. Istilah maut memang tiada di dalam kamus mereka yang bertarung di gelanggang politik. Selagi hayat dikandung badan, selagi kudrat ada untuk melawan, selagi itu pertarungan akan berterusan. DUN Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang akan menentukan siapa pula yang akan terpukul kali ini. Najib dan BN atau Anwar dan PR ?

5 Responses

  1. erm….boleh diterima…
    banyak lagi tu kene bongkar….

  2. bro, aku rasa lain sikit.

    aku rasa Dato’ Nasa dah tau kerja jahat UMNO-BN lalu cepat2 lompat ke PKR utk menghalang pertukaran kerajaan berlaku.

    ini lebih jelas kerana beliau ‘diculik’ kemudiannya atas nama Raja Muda oleh kelompok tertentu.

    lompat parti sah, walaupun mungkin sebahagian melihatnya tidak beretika. pada aku tgkla apa causes lompat parti ni.

    cara terbaik ialah benarkan org lompat parti dan secara automatik jawatan YB lucut dan diadakan Pilihan Raya semua dengan membenarkan bekas YB tu bertanding (macam skrg kalau letak jawatan atau lucut, tak dibenarkan bertanding semula utk satu tempoh).

    di sana kita boleh tahu rakyat pilih parti atau individu.

  3. koyapun, kenapa nasa tak ngaku depan pemberita yang dia diculik dan dipaksa. susah sgt ker

  4. sah tidak semestinya bermoral. sah di sisi undang-undang tidak semestinya adil. banyak contoh-contoh tindakan yang sah di sisi undang-undan tetapi jelas tidak adil. boleh lihat sahaja undang-undang seperti auku, isa, osa, akta buruh, akta kesatuan sekerja dsb.

    dalam konteks di mana tiada perlucutan jawatan dan tiada pilihanraya semula di kawasan di mana seseorang anggota adun atau mp itu melompat parti, tindakan lompat parti adalah tetap tidak bermoral dan tidak beretika.

    aku di sini mengambil posisi prinsip. prinsipnya, di dalam sistem demokrasi tulen, kuasa mesti dikembalikan semula kepada rakyat. memandangkan senario yang sedia ada yang wujud sekarang ini di malaysia ialah pilihanraya tidak akan diadakan semula dan kuasa tidak dikembalikan kepada rakyat, maka mereka yang sedar akan senario ini tetapi masih bertindak untuk lompat parti, maka tindakan tersebut bagi aku tetap merupakan tindakan yang tidak bermoral dan tidak beretika.

    p/s: kalaulah anwar ibrahim bertindak secara berprinsip di waktu adun bota mahu melompat masuk ke dalam pkr dengan menolak kemasukan adun bota tersebut ke dalam pkr, bayangkanlah betapa melonjak dan meningkatnya kredibiliti anwar di mata rakyat.

    dan bayangkanlah bagaimana najib langsung tiada peluru untuk menembak balas apabila dia berjaya menarik 3 adun pakatan keluar dari pakatan. dan bayangkanlah jika anwar mengambil posisi prinsip, bagaimana sokongan rakyat akan bertambah-tambah kepadanya apabila najib merampas kuasa kerajaan perak dengan cara yang tidak bermoral dan tidak beretika itu. tetapi ternyata anwar mengambil posisi pragmatik yang berjangka pendek daripada posisi prinsip yang berjangka panjang

    dan anwar akhirnya terperangkap di dalam posisi pragmatik yang diambilnya itu yang akhirnya memerangkap dirinya sendiri.

    tetapi ini bukan akhir untuk anwar dan pakatan. pilihanraya kecil bukit selambau dan bukit gantang akan menentukan samada semua ini memberi kesan atau tidak terhadap persepsi rakyat ke atas anwar dan pakatan.

  5. dengan terjadinya masalah ini, kita boleh meneroka kaedah baru dalam peraturan.

    pada aku kita boleh wujudkan undang2 begini:

    1) YB yg nak lompat parti secara automatik tergugur jawatan YBnya.
    2) namun, beliau boleh bertanding semula dlm Pilihan Raya kecil yang akan diadakan semula (ikut undang2 sekarang kalau letak jawatan dah x boleh bertanding semula utk 1 tempoh tertentu).

    so, di sana kita akan tahu rakyat sokong individu atau causes…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: