Akademia

ukm-logo

Dewasa ini, hukum di universiti kita, “yang terbaik adalah statik.”

Biarpun universiti itu “menara gading”—tanda kemuncak kelimuan—tapi yang sebenarnya bukan begitu. Sudah berapa banyak senat universiti memashyurkan taraf keprofessoran dan melahirkan lambakan akademia, tapi kebanyakan darinya hanyalah mempertahankan malar pengetahuan tertinggi yang pernah diperolehnya sebelum itu.

Dalam martabat pendidikan universiti, sudah tentu tingkat yang tertinggi adalah ijazah kedoktoran. Apatah lagi, kita belum ada budaya pasca-kedoktoran, malahan budaya penyelidikan pun agak baru. Justeru, usah hairan sekiranya ada kalangan akademia kita hanya geger soal yang serupa saja selama pulohan tahun perkhidmatannya di universiti. Hakikatnya, kebanyakan mereka ini takkan membaca lebih berat dari apa yang berkait dengan bidangnya yang mikro itu.

Semak saja beberapa contoh. Barangkali konteks Syarahan Perdana sebagai mithalan yang baik. Syarahan Perdana, atau Inaugural Lecture—sesuai dengan namanya—sepatutnya adalah sebuah syarahan yang hebat; sebuah syarahan yang ditunggu-tunggu. Sebaleknya, hari ini, syarahan yang dikatakan perdana itu sebenarnya tidaklah bermutu sangat, dan tidaklah ditunggu-tunggu pun.

Kalau benar-benar syarahan itu bertaraf perdana, seharusnya syarahan tersebut menjadi medan melontarkan suatu idea yang raksasa, serta cuba mengagaskan hubungan antara bidangnya dengan bidang-bidang yang lain. Hanya pendekatan demikian saja yang memberi makna kepada sebuah pengetahuan yang mementingkan kebelakaan (holistic), seperti yang kita faham dalam takrif kesempurnaan pendidikan. Tapi, kalau sekadar mengulang-semula beberan thesis PhD masing-masing, apa maknanya?

Ini belum disentuh lagi mutu kuliah-kuliah yang disampaikan di university. Rata-ratanya adalah amat mengecewakan. Kuliah yang menarik haruslah dinamik, dan menghiburkan, ibaratnya kuliah Richard Feynman yang menarik banyak kalangan untuk menghadhirinya. Lebih menarik lagi kalau dihimbau wibawa kuliah Ali Shariati di Universiti Mashhad, di mana penyampaiannya mampu menarik mahasiswa-mahasiswa di luar subjek kuliahnya.

Tapi, kuliah di universiti-universiti kita sekarang kebanyakannya sangat membosankan! Sungguhpun akademia tersebut sudah bertahun-tahun mengajar dalam bidang yang serupa, tapi sebenarnya hanya sedikit saja pengetahuan mereka yang bertumpuk dari semester ke semester.

Memang, kita menekuni kuliah tersebut barangkali akan merasa terpersona—dengan semangat serta gegaran kuliahnya. Hadhirin kuliah tersebut pasti akan merasa bertambah ilmu, jika kali pertama mendengarnya.

Tapi persoalannya, adakah ilmu para akademia tersebut turut bertambah, seandainya mereka hanya mengitar bahan-bahan yang sama saja setiap semester? Seorang akademia yang bagus sewajarnya, “boleh mengajar subjek yang sama, dengan bahan yang sentiasa berbeza, sesuai dengan bergulirnya semester.” Inilah jiwa seorang akademia yang dinamik!

Namun, apa yang bagusnya akademia kita, jika ada siswa yang ingin berbeza idea, mereka sudah melenting?

Sebab itu kita merasakan universiti jauh dari tingkat untuk mencapai piawai yang terpuji. Tampaknya, universiti kita yang tercermin hari ini bukan lagi ukiran keilmuan, tapi adalah gedung untuk menebalkan lagi keimanan—tanpa kritis—pada status quo. Tatkala sistem atasan mahukan dasar baru, bingkas saja universiti dan akademia-akademia palsu ini menyambutnya—tanpa bantah, senyap, dan kadang-kadang tidak mahu berfikir. Inilah akademia ketuanan!

Sebab itu, para akademia kita sudah banyak yang terhakis daya pengaryaannya. Mereka kebanyakannya sudah kontang idea. Mereka tidak lagi menerjemah, semata-mata itu tiada indeks dalam Key Performance Indicators (KPI) universiti. Malah, untuk membina silibus pengajian baru pun bukan main resah lagi. Kalau sekadar mempertahankan haktula (stereotype) dan tradisi silibus, itu adalah terlalu mudah, dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang akademia yang terpandang.

Seorang akademia terpandang, harus membina wibawa sendiri. Bahkan, sebolehnya bentuklah mazhab yang kukuh dalam ikhtisasnya. Hasrat ini, bukan saja untuknya menambah pengetahuan semasa, tapi juga untuk meneroka aspek-aspek yang boleh mencabar bidangnya sendiri. Mereka harus pergi ke bidang-bidang lain, dan kemudian kembali melihat hubung-kaitnya dengan bidang-bidang yang ditekuninya itu. Barulah ilmu bertambah. Tapi ternyata, proses kamiran sebegini memang tidak dilakukan!

Sebab itu, jangan hairan, jika ada akademia kita yang bersebati mengajar subjeknya, tiba-tiba maseh lagi gagal mendefinisikan bidangnya sendiri. Mereka lebih gemar ke hulur dan ke hilir, sembari beralasan untuk memaafkan dirinya. Walhal alasan tersebut hanyalah kerana kesukaran mereka untuk mengolah ayat-ayat baru di hadapan hadhirin yang berbeza. Cuba tanya pada akademia sains sekitar kita, apa itu definisi sains? Kebanyakannya mereka pun akan teraba-raba, sesetengahnya gugup dan mengelak untuk menakrifkan jawapan.

Atau, tanya saja pada akademia matematik, apa itu definisi matematik? Tentu ada pula yang menjawab sebatas pada aritmetik dan geometri sahaja. Terlalu ringkas! Inilah wajah lumrah akademia kita dewasa ini, yang sebahagiannya bertaraf professor. Amat menyedihkan! Wajah-wajah yang kononnya ingin mendidik generasi masa depan kita, memugar aspirasi bangsa, membangun tamadun hebat dalam satu dekad lagi, tapi akhirnya jiwa mereka terkulai pada kehendak di luar intelektualisme.

Tidak ketinggalan para akademia di sains sosial. Soroti saja penyelidikan yang dilakukan mereka yang kebanyakannya hanyalah bertaraf runcitan semata, dan berdauran tema dan kaedah yang hampir sama. Jarang sekali dapat dilihat hasil dari penyelidikan mereka yang benar-benar asasi, serta berani mengugat ilmu semasa. Tiada idea asli.

Umpamanya, kajian antropologi dan sosiologi kalangan akademia kita, tidak pernah ada yang sampai untuk meneroka ke peringkat terdalam asal-usul dan bentuk perkembangan bangsa sendiri sepanjang zaman. Linguistik juga begitu. Biarpun sekurang-kurangnya 28% peratus bahasa Malagasy dan Bahasa Rohingya semirip Bahasa Melayu—sesuai dengan teori leksikostatistik dalam linguistik—tapi mana ada ahli bahasa kita yang serius melakukan kajian? Selalunya, mereka hanya bermain dengan soal-selidik yang terapung kejituan datanya.

Memanglah tidak salah melakukan penyelidikan sebegitu. Namun, itu bukanlah konsep penyelidikan yang asasi. Yang benar-benar dinamakan penyelidikan ialah meneroka suatu idea-idea baru, atau dalam bahasa agama, untuk mencipta bida’ah! Anehnya, yang sedang akademia lakukan hanyalah mengulang idea-idea luar yang belum tentu paling serasi dengan kumpulan data-data yang diperolehnya.

Hanya sedikit intelektual kita yang boleh dipuji. Itu sebab, dalam tradisi kita, panggilan professor barangkali disesuaikan dengan nama tukang. Tukang itu, kalau dikorek makna terdalamnya, adalah bermakna yang amat arif. Tapi, tukang-tukang kita di universiti hari ini barangkali hampir semuanya sudah boleh diduga ketohoran ilmunya. Jika bidang sediri pun tidak dapat ditakrifkan dengan jelas, jadi bagaimana?

Kita boleh kemukakan contoh mudah. Kelih saja Fakulti Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam, atau beberapa lagi fakulti yang bernama Islam. Sampai sejauh mana mereka telah menyelidik Futuhat al-Makiyyah? Sampai sejauh mana mereka mengkritik Islam Liberal? Sampai sejauh mana mereka menggali tasawwuf? Sampai sejauh mana mereka masuk ke ruang teologi klasik? Atau, sampai sejauh mana mereka membandingkan antara falsafah Islam dengan falsafah barat?

Semua jawapannya adalah hampa! Tak perlu kita bayangkan untuk mereka menyaingi Claude Addas. Malah, takkan terfikir mereka untuk menundukkan hujah-hujah nyah-sisabina (deconstruction) Jacques Derrida. Apatah lagi, takkan termimpi mereka untuk menyelidik seperti Annemarie Schimmel, atau menulis secerdas Karen Armstrong. Itu belum termasuk lagi untuk disejajarkan dengan Murtadha Muthahhari.

Rata-ratanya, bila akademia di Fakulti Islam ini memandang barat atau yang berbeza dengan mereka, wajah yang sering terpalit adalah ¨sesat dan menyesatkan.¨ Samalah juga sewaktu mereka melihat mazhab-mazhab yang lain. Hakikatnya, agamawan yang berkubu di kampus tampaknya hanya berminat untuk menyalin pengetahuan, tapi tiada daya untuk menyanggah semua idea-idea luar itu secara tuntas!

Ekoran itu, para akademia kita ini—sama ada sains tabii, sains sosial, mahupun agamawan—hampir kesemuanya adalah mengekor saja ilmu luar, dan langsung tidak membangun mazhab pemikiran yang sendiri atau yang tersendiri. Inilah barangkali kesannya dari ilmu yang mereka miliki secara tidak ikhlas, walaupun secara keras mereka mendakwa telah beramal atas nama ketauhidan dan kemanusiaan!

Lantas, kita perlu ajar akademia-akademia palsu ini. Semua akademia-akademia di menara gading ini wajar direndahkan sepertimana yang dilakukan oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh terhadap Universiti al-Azhar, atau sepertimana yang ditunjukkan oleh beberapa mazhab falsafah di Jerman, Perancis, dll. Mungkin sudah tiba detiknya untuk kita memulakan kempen: “jangan lagi percaya pada sistem universiti kita.”

Sebab, sistem universiti kita selama ini hampir tidak berbuat apa-apa untuk membangun budaya yang benar-benar intelektual. Bila akademia ini tidak diketuk dengan tekanan luar, pasti mereka terus berteleku pada di zon selasa. Dan, inilah yang terpampang hari ini, di mana mereka hanya sekadar bertakuk saja—sesuai dengan azimat bawah sedar mereka—¨yang terbaik adalah statik.¨

2 Responses

  1. tajammm… tajammm…

  2. Proses pembaculan ilmu dan nilai intelektual di universiti seharusnya disedari sejak awal oleh setiap mahasiswa yang hari ini hanya berbangga dengan nilai CGPA dan PNGK yang tinggi dan hebat. Proses ini digagahi lagi oleh sikap mahasiswa sendiri apabila tidak tersemai budaya membaca dan berfikir secara kritis juga budaya berani mencuba kerana ketakutan dengan risiko yang tidak pasti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: