Kenapa Pro-M UM Menang dan Kenapa GM UKM Kalah ?

GMUKM

GMUKM

Kedua-dua kelompok mahasiswa ini, Pro-M dan GM lahir dari acuan yang sama. Kedua-duanya adalah front pilihanraya kampus bagi PMI (Persatuan Mahasiswa Islam) di UM dan Ikatan Studi Islam (ISI) di UKM. Tarbiyah yang diberikan kepada kepimpinan dan anggota kedua-dua kelompok ini juga adalah hampir sama. Pendek kata proses yang dilalui oleh pimpinan dan anggota kedua-dua kelompok ini di dalam membentuk keperibadian harakah Islamiyah adalah juga hampir sama. Akan tetapi jika mereka lahir dari acuan yang sama serta proses yang sama, kenapa pula yang satu berjaya dan yang satu lagi gagal di dalam pilihanraya kampus baru-baru ini. Pro-M menang di UM tetapi GM kalah di UKM. Kenapa ?
Begitu juga dengan kekangan, larangan, tekanan dan penindasan yang dilakukan oleh alat-alat kekuasaan universiti ke atas GM mahu pun Pro-M, adalah juga hampir sama. Malahan menurut beberapa teman dari PMI UM, tekanan dan penindasan yang dikenakan oleh alat-alat kekuasaan universiti ke atas Pro-M UM adalah lebih teruk daripada apa yang dialami oleh GM di UKM. Walau pun kekangan, larangan, tekanan dan penindasan yang dialami oleh Pro-M UM dan GM UKM adalah hampir sama malahan lebih teruk bagi Pro-M UM, tetapi kenapa Pro-M di UM menang dan GM di UKM kalah ? Kenapa ?

Analisa ini merupakan analisa secara kasar berasaskan kepada pemerhatian dari luar dan kuitipan maklumat daripada beberapa teman yang terlibat di dalam pilihanraya kampus di UKM dan di UM baru-baru ini. Kutipan data dan maklumat secara lebih mendalam serta menyeluruh diperlukan jika analisa yang terperinci ingin dibuat. Memandangkan ini merupaka analisa tanpa kutipan data dan maklumat secara terus dari pemain-pemain utamanya, maka pastilah banyak kelemahan dan kekurangan di dalam analisa kasar ini. Namun apa sahaja analisa, baik yang kasar mahupun halus tetap diperlukan untuk memahami kenapa Pro-M UM menang dan GM UKM kalah.

Memandangkan penulisan blog umumnya perlu pendek, ringkas dan padat (sebab kalau terlalu panjang orang malas nak baca), maka huraian yang panjang tidak akan diberikan. Analisa perbandingan ini disediakan secara “point form” sahaja. Kenapa Pro-M di UM menang dan GM di UKM kalah? Di bawah adalah analisa kasarnya dalam bentuk “point form”:

1. Kepimpinan Pro-M di UM lebih berani, radikal dan agresif. Mereka mengambil pendekatan secara konfrontasi terbuka. Alat-alat kekuasaan yang wujud di Universiti di hadapi mereka secara berhadapan. Mereka mengambil strategi “taking the bull by the horn” iaitu alat-alat kekuasaan Universiti dilawan secara terbuka, konfrontasional dan kombatif. Ini berbeza dengan kepimpinan GM di UKM yang lebih mengambil pendekatan sederhana, lembut dan kurang agresif.

2. Oleh kerana pendekatan yang berbeza, maka suasana yang terbentuk juga berbeza. Pendekatan yang berani, radikal dan agresif membentuk suasana pilihanraya kampus yang lebih hidup, “lively”, panas, hangat dan menaikkan semangat anggota-anggota yang berkempen. Sebaliknya pendekatan yang sederhana, lembut dan kurang agresif membentuk pula suasana pilihanraya kampus yang hambar, tidak hidup, tidak “lively”, suram dan pasif.

3. Kepimpinan yang berani, radikal dan agresif akan mempengaruhi pemikiran, tindakan, motivasi dan semangat juang pengikut dan penyokong. Jika kepimpinan berani, radikal, agresif dan tidak takut, penyokong dan pengikut juga umumnya akan turut menjadi berani dan tidak takut. Tetapi jika kepimpinan tidak berani dan takut, kebarangkalian besar penyokong dan pengikut akan turut menjadi takut dan kurang berani untuk melawan kekangan dan penindasan yang wujud.

4. Keberanian kepimpinan Pro-M di UM bukan sahaja terdapat di figur-figur kepimpinan tingkat atas sahaja, malahan kepimpinan di tingkat tengah dan juga kepimpinan di tingkat bawah turut sama berani. Jadi unsur keberanian itu bukan sahaja terdapat pada seorang dua pemimpin tapi ramai barisan kepimpinan Pro-M dari tingkat atas sampai tingkat bawah yang juga berani. Kepimpinan GM di UKM juga memang tidak dapat dinafikan ada yang berani dan tidak takut untuk melawan, tetapi jumlahnya kecil, hanya terdiri daripada beberapa individu sahaja. Unsur keberanian itu tidak menyerap kepada kepimpinan di tingkat tengah dan bawah.

5. Keberanian kepimpinan Pro-M di UM membentuk pengikut dan penyokong untuk turut menjadi berani. Menurut beberapa teman dari PMI UM, untuk kempen pilihanraya kali ini, mereka redah dan langgar sahaja peraturan-peraturan kempen yang mereka lihat menindas dan tidak adil. Kempen dari kolej ke kolej dan fakulti ke fakulti dilakukan di dalam kelompok yang besar yang menyukarkan pihak lawan dan alat-alat kekuasaan di kolej-kolej untuk menghentikan kempen mereka kerana jumlah yang datang untuk berkempen itu terlalu ramai.

6. Di sini kita dapat lihat, kepimpinan Pro-M di UM berjaya menggembeling dan memobilisasi pengikut dan penyokong-penyokong mereka untuk turun berkempen secara agresif di dalam kelompok-kelompok yang besar. Ini juga merupakan kekurangan GM di UKM. Walaupun GM melalui ISI dan persatuan-persatuan mahasiswa Islam yang lain mempunyai keanggotaan yang ramai, tetapi GM kurang berjaya untuk melakukan mobilisasi anggota secara maksimum.

7. Pro-M juga berjaya memudakan kempen pilihanraya kampus di UM dengan membentuk suasana yang muda. Muda di sini bermaksud berani, radikal, agresif, meriah, riuh-rendah, berwarna-warni, kreatif, inovatif, dinamik dan fun atau menyeronokkan. Ini dapat dilihat dengan pelbagai banner yang berwarna warni, sepanduk-sepanduk besar dengan tulisan yang “catchy”, kain rentang yang besar, poster-poster yang kreatif, bahan-bahan risalah propaganda yang panas, bendera-bendera, lambang dan simbol Pro-M, slogan yang “catchy”, lagu-lagu yang menaikkan semangat, kain ikat lilit kepala yang “kool” yang dipakai beramai-ramai – ini semua adalah elemen-elemen muda yang wujud semasa kempen pilihanraya kampus di UM. Kemudaan seperti inilah yang tidak wujud di UKM. Pilihanraya kampus di UKM agak tidak bermaya, pasif, hambar dan suram. Atau dengan kata lain sudah dituakan.

8. Semangat dan suasana kemudaan yang dicipta oleh Pro-M di UM itu membentuk suatu suasana yang muda, positif dan optimis, memberi gambaran seolah-olah perubahan pasti berlaku. Suasana muda dan optimis yang sebegini tentunya sangat mempengaruhi psiki para pengundi. Suasana tidak akan muncul dengan sendirinya. Suasana dicipta oleh mereka yang berani, agresif, kreatif dan pro-aktif.

9. Unsur kemudaan ini menjadikan pilihanraya kampus di UM sebagai suatu pesta demokrasi yang dirayakan secara riuh dan meriah setahun sekali oleh anak-anak muda mahasiswa dengan penuh jiwa kemudaan, kreativiti dan keberanian untuk mencabar dan melanggar sebarang peraturan yang tidak adil dan menindas. Semangat kemudaan sebeginilah yang gagal dibentuk dan dicipta oleh GM di pilihanraya kampus UKM ini.

10. Kegagalan yang paling ketara buat GM UKM adalah ketidakupayaan GM untuk membariskan calon dari pelbagai kaum dengan komposisi yang seimbang. Keadaan ini berbeza dengan Pro-M UM yang mana daripada 33 orang calon yang mereka letakkan, 8 daripadanya terdiri daripada calon bukan Melayu (7 Cina dan 1 India). Manakala GM UKM hanya berupaya untuk meletakkan hanya 2 orang sahaja calon bukan Melayu daripada 33 calon mereka. Kedua-dua calon bukan Melayu itu pula adalah calon daripada kaum Cina dan tidak ada calon dari kaum India yang bertanding di bawah GM. Barisan calon kepimpinan dengan komposisi kaum yang seimbang adalah sangat penting untuk memperlihatkan bahawa kepimpinan yang akan menerajui itu nanti diwakili oleh kepentingan pelbagai kaum secara seimbang dan tidak didominasi oleh satu kaum sahaja.

11. Menurut seorang teman, bekas anggota PMI UM, kemenangan Pro-M di UM bukan hanya disebabkan oleh kepimpinan yang ada sekarang. Landasan atau batu-bata keberanian, keradikalan, semangat melawan dan perasaan tidak takut untuk melakukan penentangan secara terbuka terhadap alat-alat kekuasaan universiti yang menindas ini telah disemai, dibaja dan diperkukuhkan dari satu generasi kepimpinan ke generasi kepimpinan yang baru. Menurut beliau lagi tradisi radikal dan melawan secara terbuka ini sudah ditanam sejak dari kepimpinan yang terdahulu, dimulai dari tahun 2004 dan hasilnya diperolehi di tahun 2009 ini dengan kemenangan dengan mandat yang besar. Mungkin tradisi radikal dan melawan secara terbuka inilah yang kurang di dalam GM UKM. Seharusnyalah tradisi radikal dan berani melawan ini dibangunkan semula agar kampus UKM kita ini dapat kita selamatkan dari proses pembodohan yang semakin tenat.

Analisa di atas hanyalah merupakan analisa kasar yang berasaskan pemerhatian sepintas lalu dan kutipan maklumat daripada beberapa orang teman di UKM dan di UM. Tujuan analisa ini dibuat adalah untuk kita sama-sama melakukan muhasabah diri, refleksi dan juga kritik diri agar pada pilihanraya kampus yang akan datang GM UKM dapat memperbaiki lagi pencapaiannya dan seterusnya merebut kembali kepimpinan kampus di UKM ini. Tugas untuk merebut kembali kepimpinan kampus UKM ini adalah tugas yang amat mendesak kerana pembodohan yang sedang berlangsung di UKM sekarang ini perlu kita sama-sama hentikan dengan segera.

Hanya ada satu kata untuk penindasan: LAWAN !!!

P/S: Analisa di atas diakui banyak kelemahan dan kekurangannya. Jika ada sebarang kritik, komen atau penambahan silalah sampaikan di ruangan komen agar kita sama-sama dapat memperbaiki dan memperkuatkan lagi gerakan melawan penindasan dan pembodohan di kampus kita ini.

12 Responses

  1. GM kalah sbb Aspirasi ada si Safar. Si poyo tuh hebat siok!

    kalau takda dye, pasti GM dah menang besar dah!

  2. Analisis santai yang perlu diberi perhatian oleh kepimpina mahasiswa

  3. Kerana penindasan dan kekangan yang lebih hebat di UM lah yang menyebabkan UM menang. Sememangnya manusia itu dilahirkan dengan satu sikap yakni suka menyanggah. Siapa saja punya sikap itu. Contoh mudah, mengapa himpunan bersih sebelum pilhanraya 12 mampu menurunkan ratusan ribu rakyat sedangkan polis telah mengeluarkan berbagai-bagai arahan, notis dan sebagainya. Kerana nilai dan sifat inkuiri manusia yang ingin tahu dan melawan apa yang diarahkan. Hal ini yang menjadikan kepimpinan Pro M di UM lebih matang, agresif dan berani. Di UKM hal sebegini tidak berlaku. Kepimpinan GMUKM sendiri tetap dengan cara diplomasi dengan pengetua kolej walaupun dibuli setiap tahun dengan tidak dibenarkan berkempen dan sebagainya.

  4. jika dihalusi dr sudut yg lbh positif GMUKM tidak kalah..malah menang dalam usaha utk menyedarkan mahasiswa/i di UKM yg masih berada dalam keadaan yg selesa, berpeluk tubuh dan bersenang-senang..ALLAH maha mengetahui segala-galanya, mungkin kita tidak diberi kemenangan kerana kita belum cukup mantap lagi atau ilmu didada masih kurang..oleh itu sahabat2, marilah kita bersatu hati..tepuk dada tanya iman..salam ziarah:-)

  5. alaa.. secara matematik gm dah kalah…kalahlah…

    kalau nak memaafkan diri sendiri, kita katalah ¨sebenarnya gm menang, tapi…¨

    biasalah… bahasa orang kalah…

  6. Oi senak, matematik kepala hotak kau. Alaa.. secara ko*eH senak dah banggang. Bangangla, kalau nak memaafkan diri sendiri, kau katalah “sebenarnya senak pandai, tapi..” biasalah.. kepala hotak orang bangang.

  7. aku setuju dengan pandangan hilmanidham itu. secara alamiahnya manusia memang seperti begitu.
    tetapi jika kita lihat sekarang mahasiswa semakin berani berjuang dan kita lihat sendiri di um mereka menang walaupun menang tipis tetapi itu hasil susah payah mereka menentang pihak yang sekian lama mencabuli hak mereka sebagai pelajar universiti. aku rasakan pihak gmukm perlu lebih agresif dalam memperjuangkan hak mereka. memang benar cara diplomasi itu baik tetapi kita perlu lihat bagaimana situasinya. kalau menggunakan kaedah diplomasi masih tidak menyelesaikan masalah apakata kita ambil cara yang lebih agresifiaitu melawan habis-habisan pihak yang menindas mahasiswa. sampai bila kita mahu menggunakan cara yang sama tidak ada gunanya slogan yang dibuat gmukm ‘bersatu berubah’ jika cara perjuangan gmukm masih lesu dan hanya berada di takuk yang sama. ini pandangan aku jika tidak bersetuju aku tidak kisah. lg satu kepada en senak memang secara matematik mereka kalah tetapi kalau dilihat peratusan undi aku rasa mahasiswa semakin terbuka mindanya untuk memilih calon yang sesuai. kali ini mungkin kalah tetapi taun hadapan aku dapat pastikan yang mereka akan berjaya jua memegang tampuk pemerintahan pmukm dengan adnya muka baru yang lebih idealis,agresif dan radikal. kita tunggu dan lihat saje.tq

  8. mungkin suatu sesi perkongsian boleh diadakan antara kepimpinan PRO-M UM dan GMUKM untuk mengetahui dengan lebih terperinci bagaimana PRO-M UM boleh menang.

  9. bangi bukan kuala lumpur. kuala lumpur sering menjadi pusat dimana tindakan-tindakan politik radikal seperti demontrasi jalanan, diadakan. dan UM berada ditengah-tengah kuala lumpur.

    maknanya, mahasiswa UM lebih terdedah dengan politik radikal memandangkan kedudukan UM yang berada ditengah-tengah medan pertarungan politik radikal. berhadapan dengan polis dan fru adalah lumrah bagi sesiapa yang sering turun ke demontrasi jalanan di kuala lumpur. kalau polis dan fru boleh dihadapi dengan tanpa rasa takut inikan pula pak guard!

    jadi, mahasiswa UM sudah terdidik dengan suasana kuala lumpur yang sentiasa panas dengan tindakan-tindakan politik radikal.

    ini berbeza dengan mahasiswa UKM di bangi. bangi hanyalah sebuah kampung melayu. bangi bukan kota yang sentiasa hangat dengan pelbagai tindakan politik radikal. paling politik pun di bangi ini ialah ceramah ADUN PAS di stadium. sungguh selamat dan langsung tidak mencabar keberanian mahasiswa UKM.

    suasana di bangi yang suram dan lemau, turut mempengaruhi psiki dan tindakan politik mahasiswa UKM yang turut lemau dan suram.

  10. herm…artikel yang menarik…
    berikut saya berikan rentetan sepanjang tempoh prk um yang menarik untuk dikongsi.

    1) isu rasuah dan pembelian calon ( saudari ayuni) dari pihak pentadbiran HEP. kemudian diikuti laporan polis berhubung kes tersebut. tak kurang juga kenyataan umum TNC untuk membersih namanya di sebuah majlis di hadapan ratusan mahasiswa. laporan polis atas tuduhan fitnah yg dibuat TNC ke atas ayuni.

    2) skandel pulau tioman + pulau pangkor …..diorang yg kantoikan diri

    3) polis menyerbu dan menyelongkar rumah PMI kerana mendapat aduan pemalsuan dokumen. ks surat beli calon ler tu

    4) kes kereta penyokong ProM disimbah cat…kereta jiran2 yang tak de kene mengena pun turut menjadi mangsa.

    5) kes kepala babi di surau APIUM pada hari jumaat. siap dengan tulisan PMI & ProM. senyap sampai hari ni.

    6) Rumah UMANY. ..aktivis ProM (cina) diselongkar kerana disyaki menjadi dalang kepada kes kepala babi…

    7) calon umum ( hafiz ilyas) diugut di hadapan kolej kediaman dan nyaris dipukul semasa proses berkempen.

    8) kain rentang di kolej kediaman 11 => ProM = Pro israel… walhal bebudak proM ler yg sebok dok turn demo kat kedutaan b4 tu.

    9) artikel tentang design yg ade d bangunan APIUM menyerupai lambang yahudi…. huhu, ni kes tak de idea…

    semua ini alhamdulillah cuba ditangani sebaik mungkin oleh pihak bertanggungjawab.

    tak kurang jentera proM yang tak pernah penat dgn kije2 diorang.

    1) speaker corner

    2)kempen besar-besaran

    3) malam munajat 400 mahasiswa di perkarangan DTC

    4) yang berkempen dalam media elektronik…sprt blog, friendster, dll

    ini pulak tindakan dari pihak HEP

    1) menukar no kod calon ProM di saat2 akhir @ pagi hari membuang undi.

    2) menolak cadangan supaya mahasiswa membuang undi di fakulti. sebaliknya mengekalkan tpt membuang undi di kolej2 kediaman.

    3) membuat keputusan untuk menangguhkan pengumuman keputusan rasmi prk um kpada keesokan hari dengan alasan sudah terlalu lewat pagi itu (sekitar kul 0400am) .

    …herm…rentetan ini cukup menarik untuk menjadi tauladan kite semua. apapun menang atau kalah, perjuangan tetap perlu diteruskan. biarlah kite kalah kalau kekalahan ltu berada di landasan yang benar. jangan kite menang kalau kemenangan itu bukan demi sebuah perjuangan…. mahasiswa harus berani. keberanian itu tak boleh ditunggu tp perlu dibina.

  11. Berani tak semestinya kita di pihak yang benar.
    (Orang yang buat salah berani menjerit-jerit mengatakan dia tak bersalah, supaya dia dilihat berada di pihak yang benar)

    Berani takkan menjamin kemenangan kalau tak punya strategi yang ampuh.
    (Rakyat Palestin memang berani lawan Israel, tapi tak menang juga sampai sekarang sebab lawan dengan batu. Tentera Israel akan buat simulasi peperangan sebelum menyerang rakyat Palestin)

    Kesimpulannya, orang yang berani langgar peraturan tapi takde kepintaran (contohnya pelajar Melayu yang lulus 3rd class dalam bidang Pengajian Melayu), perjuangan takkan kemana. Isi dada dengan ilmu sains, isi hati dengan ilmu agama & sejarah, isi kelaku dengan tata adat & budaya.

    GM-UKM mungkin memilih bermain dengan mengikut peraturan kerana mereka masih mengekalkan identiti Melayu dan Islam yang mentaati arahan pemimpin, i.e. pihak atasan UKM.
    Mereka mungkin kalah, tapi mereka kalah bermaruah.
    Pro-M mungkin menang, tapi menang dengan gaya barbarian.

    Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

  12. Tahun ni, PRK di UKM sangat hambar. 2 hari berkempen macam takde apa. BOSAN.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: