Hariszuan Jaharudin: Mahasiswa Menuntut Politik Idea!

hariszuan

Diskopi: Mengapa anda bertanding dalam pilihanraya kampus ukm ini?

Hariszuan Jaharudin: Saya fikir peluang untuk bertanding tidak mudah, dan juga tidak banyak. Tapi, ruang untuk melakukan perubahan adalah lagi tidak mudah, dan lagi tidak banyak. Justeru, menerusi pilihanraya kampus kali ini, saya ingin mengambil ruang yang sedikit ini untuk membawa satu gaya politik kampus baru, yang saya fikirkan merupakan keperluan buat mahasiswa dewasa ini yang amat-amat memerlukan suatu kepimpinan yang dinamik.

Saya sekarang tahun dua di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM. Selama dua tahun di sini, saya jelas bahawa kepimpinan mahasiswa yang sedia ada masih belum lagi mampu untuk bertahan bila diuji dalam medan intelektual, mahupun medan aktivisme. Hingga setakat ini, saya yakin dan percaya, masyarakat yang menghantar kita ke dalam menara gading ini masih belum merasai sumbangan yang bermakna dari mahasiswa itu sendiri. Justeru, kehadiran saya dalam gelanggang politik kampus ini bukan hanya untuk mahasiswa semata, tapi adalah untuk masyarakat umumnya. Hasrat saya, adalah mahu mencipta satu keadaan, di mana tiada jarak jauh antara mahasiswa dengan masyarakat.

Diskopi: Tapi, anda hanya bertanding atas tiket fakulti, bukan tiket umum. Jadi, tidakkah itu membataskan sumbangan anda dalam kepimpinan PMUKM nanti?

HJ: Memang, lazimnya mereka yang bertanding tiket umum akan mendapat tempat yang lebih tinggi dalam kepimpinan PMUKM yang bakal dibentuk nanti. Tapi, suatu kepimpinan takkan bertahan sekiranya kita hanya bergantung kepada ketuanya sahaja. Saya percaya, kepimpinan PMUKM yang bakal dibentuk nanti bukanlah kepimpinan sehala. Itu adalah kepimpinan kolektif. Justeru, sudah tentu sumbangan saya sebagai ahli fakulti ini tetap dikira sebagai suatu sumbangan dalam gerakan kepimpinan mahasiswa yang besar. Malah, dengan bertanding peringkat fakulti, kedekatan saya dengan mahasiswa fakulti saya semakin bertambah, dan ini menjiwai  konsep kepimpinan yang  bersifat “mesra mahasiswa.” Saya percaya, keputusan bertanding ini menyebabkan saya lebih fokus dan beragenda!

Diskopi: Adakah anda bertanding atas tiket Aspirasi, atau Gabungan Mahasiswa (GM)?

HJ: Saya menghargai teman-teman dalam Aspirasi. Begitu juga saya sangat menghormati teman-teman dalam GM yang sudi melapangkan kerusi di FSSK ini kepada saya. Terima kasih kepada GM. Walau bagaimanapun, saya tegaskan bahawa saya bertanding di sini adalah berdasarkan kepada dukungan teman-teman Diskopi (www.diskopi.wordpress.com) yang tidak partisan, yang mahukan saya maju sebagai calon bebas, dan yang mahukan sesuatu yang berbeza sama sekali dengan kelaziman politik kampus sebelum ini.

Diskopi: Tapi persoalannya, kenapa memilih bebas?

HJ: Saya fikir sudah tiba masanya mahasiswa perlu menolak budaya politik kampus lama. Politik kampus lama adalah politik ikut-ikutan, yang kadang-kala banyak terperangkap dengan rentak politik luar kampus. Semua orang tahu, mahasiswa adalah kumpulan yang tidak berkepentingan, kumpulan yang penuh idealism, dan kumpulan yang harus bebas. Jadi, tidak perlu kita bubuh kepentingan dan bunuh idealism e, serta mengikat dengan kita congak-congak politik luaran. Kita mahasiswa sudah boleh berfikir. Dan, memang kita boleh berfikir! Sebab itu, saya seru biarkan mahasiswa beridealisme secara bebas. Biar mahasiswa melakukan ujikaji politik sendiri, meskipun ujikaji politik itu gagal! Paling penting, jangan sesekali rendahkan mutu berfikir mahasiswa dengan pemaksaan idealogi—yang bukan terbit dari dalam diri mahasiwa itu sendiri. Jangan!

Diskopi: Baiklah, apa harapan anda dari pilihanraya kampus UKM kali ini?

HJ: Jika berbicara soal harapan, ia memang indah. Semua pihak boleh bercakap soal harapan. Malah, kita boleh memasang harapan, meskipun realitinya belum tentu seindah itu. Realiti saya di sini adalah berdepan dengan suatu persekitaran yang menuntut kepada pembinaan semangat intelektual. Itu konsep university yang hakiki. Tapi, saya tahu, untuk menerjemahkan konsep universiti itu bukanlah usaha mudah. Apatah lagi, zaman sekarang mahasiswa terhimpit dengan asakan banyak sudut yang kian merumitkan. Justeru, apa yang saya harap ialah sekurang-kurangnya untuk menumbuhkan semangat keberanian di kalangan mahasiwa untuk berfikir sendiri. Itu sudah memadai. Jika wujud keberanian ini, saya anggap itulah hasil yang bermakna buat saya secara peribadinya. Malah, kalau saya kalah sekalipun, atas undi dari kesedaran mahasiswa itu sendiri, tanpa sebarang momokan luar, maka saya amat berbangga dengan kekalahan tersebut. Yang penting, mahasiswa sesekali tidak boleh berhenti berfikir. Kita mahasiswa, dan kita mampu membuat keputusan sendiri, sekurang-kurangnya dalam soal menentukan undi kita yang dikatakan “rahsia” itu!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: