Operasi Oktober: Kritik Buat Orang Muda Pasca-Moden

Emergency Festival

Emergency Festival

Buntu, celaru dan kabur. Itu tanggapan yang terhasil setelah menonton teater Operasi Oktober. Teater arahan Fahmi Fadzil, pengarah muda berpotensi besar ini dipersembahkan sempena Festival Darurat a.k.a Emergency Festival yang diadakan di Annex Central Market, Kuala Lumpur dari 16 hingga 26 Oktober ini. Teater adalah sebahagian daripada beberapa siri program seni yang merangkumi tayangan filem, diskusi seni, pameran seni, tarian kontemporari, diskusi darurat, siri syarahan Sekolah Revolusi Malaya dan pelbagai acara seni yang lain telah diatur di festival ini.

Buntu, celaru dan kabur yang dimaksudkan itu mungkin juga sengaja dikonstruk sebagai tema persembahan. Lagi pun di zaman pasca-moden ini kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan adalah ciri-ciri utama masyarakatnya. Atau mungkin sahaja kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan itu tidak dikonstruk tetapi ianya adalah realiti yang sebenar. Baik di dalam fikiran sang pengarahnya, mahu pun para pelakonnya sendiri.

Di dalam kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan, teater ini masih cukup menarik untuk didiskusikan. Operasi Oktober memang sebuah teater yang santai. Tidak memerlukan pentas atau prop yang berlebih-lebihan. Boleh sahaja dimainkan di kaki lima, di bilik kuliah, di jalanan, di tanah lapang di kampung-kampung, di dewan serbaguna dan di sebarang tapak kosong di tengah komuniti-komuniti bandar.

Suatu teater yang cukup merakyat. Bukan harganya yang merakyat (kerana harga tiketnya agak kurang merakyat – RM20.00 untuk dewasa dan RM10.00 untuk pelajar) tetapi dari sudut struktur persembahannya. Cukup merakyat. Suatu teater yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja dan tidak memerlukan pentas khusus, make-up, kostum, prop dan sebagainya. Cukup dengan batang tubuh pelakonnya sahaja. Dan para pelakonnyalah yang memberi nafas dan kekuatan kepada Operasi Oktober.

Dibarisi oleh Lim Chung Wei, Mohammad Hariry, Janet Moo Tein Ni dan Mislina Mustafa – kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan Operasi Oktober diselamatkan oleh kemantapan lakonan para pelakonnya. Keempat-empat mereka sungguh meyakinkan. Keempat-empat mereka saling memperkukuh antara satu sama lain. Keempat-empat mereka membawa watak-watak yang berbeza-beza tapi cukup serasi bila digandingkan bersama. Pertukaran watak yang harus dilakukan di dalam babak yang berbeza dilakukan oleh mereka dengan bersahaja. Tiada terasa sebarang kekok. Transisi watak yang licin menunjukkan keupayaan setiap seorang dari mereka untuk mempelbagaikan lakonan mereka.

Tidak dapat untuk dikutip yang mana antara mereka yang terbaik kerana, semuanya terbaik belaka. Baik Chung Wei, Hariry, Janet mahu pun Mislina, watak-watak yang dibawa oleh mereka dilakonkan dengan cukup mantap dan realist walaupun kita tahu teater bukanlah realiti sebenar, melainkan suatu lakonan.

Operasi Oktober dimulakan dengan peristiharan darurat yang keluar dari corong radio. Keempat-empat pelakon tersebut mengambil posisi penyampai berita radio, membacakan berita dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin tentang pembunuhan tiga orang Pengurus Ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput dan British mengistiharkan darurat satu Malaya.

Babak yang berikutnya di fast forward ke masa kini – empat orang pelakon muda diminta hadir ke mesyuarat bagi membincangkan tentang sebuah pementasan teater berhubung dengan darurat. Dari sini kita dipersembahkan dengan kebuntuan, kecelaruan, kekaburan dan penantian yang tak kunjung tiba. Kebuntuan tentang apa yang hendak dipersembahkan. Kecelaruan tentang darurat itu sendiri. Kekaburan tentang idea yang dibincangkan mereka. Dan penantian yang tiada pengakhiran kemunculan figur atau sosok yang boleh memecahkan kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan yang melanda.

Dari satu sisi, Operasi Oktober adalah teater mengenai proses membuat teater tentang darurat. Kebuntuan, kecelaruan, kekaburan dan penantian adalah sebahagian dari proses yang dialami. Dari satu sisi lagi, kecelaruan dan kekaburan orang-orang muda sendiri tentang apa sebenarnya darurat itu, apa motif di sebaliknya, apa tujuannya, apa yang benar-benar difahami tentang darurat, apa peristiwa-peristiwa yang mendasarinya, apa yang tersurat dan tersirat – semua ini merupakan pertanyaan-pertanyaan yang menanti jawapan. Tetapi jawapan yang ditemui hanyalah kecelaruan dan kekaburan. Mungkin kerana sejarah tanahair kita ini dipersembahkan hanya melalui satu perspektif sahaja (iaitu perspektif rasmi kerajaan Barisan Nasional), maka sisi-sisi lain kelihatan kabur dan tak terungkapkan.

Maklumat sejarah yang baru misalnya tentang penubuhan Kem Gerilya Se-Malaya untuk melatih pemuda-pemuda Melayu mengangkat senjata berjuang menentang British tidak menemui garapan yang konkrit, jelas dan solid. Ia dilontarkan hanya sebagai sebuah pertanyaan tanpa adanya jawapan yang boleh menjadi garapan. Akhirnya keempat-empat pelakon itu sendiri tercari-cari tentang makna darurat, tersurat dan tersirat. Berbagai-bagai perkara dilontarkan di dalam lakonan mereka. Dari komunisme, sosialisme, marxisme, kapitalisme, orang cina, orang melayu, selamat datang ke dunia babi, orang muda, boestamam, bergerilya, mengangkat senjata, program realiti TV, keseragaman, kepatuhan, kepelbagaian dan bermacam-macam perkara yang terpencar-pencar sehingga sukar untuk mencari satu kesatuan idea untuk dilakar. Kerana masing-masing punya tafsiran yang berbeza-beza. Atau masing-masing sebenarnya kabur, buntu dan celaru.

Atau mungkin juga suatu kekaburan, kebuntuan dan kecelaruan sang pengarahnya sendiri, Fahmi Fadzil untuk mencari jawapan. Kerana di akhir teater ini, setelah melalui babak-babak yang penuh hirup-pikuk yang ekspresif, tegang, komedi, gurau-senda, serius, ketawa, marah – keempat-empat pelakon muda ini menunggu dan menunggu. Di dalam suasana yang hening dan senyap jauh dari hiruk-pikuk babak-babak sebelumnya, mereka terus menanti dan menanti. Menanti di dalam suasana yang sepi. Penantian yang tiada jawapan. Yang ada hanya kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan.

Inilah tema yang diusung oleh pasca-moden. Segalanya buntu, segalanya celaru, segalanya kabur. Tiada lagi jawapan mutlak. Mungkin kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan orang muda di zaman pasca-moden inilah yang cuba disampaikan oleh Fahmi Fadzil. Tetapi kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan yang dipersembahkan ini tidak menghalang kita dari menimbulkan persoalan.

Persoalan yang muncul setelah menonton teater Operasi Oktober ini ialah bagaimana untuk kita memecahkan kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan kita? Adakah dengan mempersembahkan kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan itu sudah mencukupi tugas dan tanggungjawab sebagai seorang seniman? Atau tugas dan tanggungjawab seorang seniman melebihi dari itu?

Adakah tugas dan tanggungjawab seorang seniman turut merangkumi usaha untuk memecahkan kebuntuan, kecelaruan dan kekaburan yang dihadapi itu? Perlukah seniman mengambil posisi atau hanya berdiam diri? Bagaimana pula tugas dan tanggungjawab seniman yang berkarya di negara-negara dunia ketiga seperti Malaysia ini yang mana sejarah dari sisi-sisi lain dikuburkan begitu sahaja? Adakah menjadi tugas dan tanggungjawab seniman di Malaysia ini untuk membongkar kembali sejarah yang telah dikubur atau hanya sekadar mempersembahkan sebuah teater yang kabur?

Mungkin hanya Fahmi Fadzil yang boleh menjawabnya.

5 Responses

  1. Jawapan: Datanglah ke Lecture-Demonstration Operasi Oktober pada 1 & 2 November 2008 jam 5ptg di Galeri Petronas, KLCC (harga cukup mesra rakyat: percuma!).

    Dan sama-sama kita bertanya apakah langkah seterusnya?

  2. terlepas tayangan. Fahmi bila mau bikin lagi?

  3. Ini Fahmi F, bukan Fahmi R. Tapi Revolusi ’48 masih tunjuk sampai ahad, 26hb Okt. Lawati http://www.fiveartscentre.org untuk jadual tayangan + event2 yg lain.

  4. Fuhyoooo! fahmi the man himself! thanks dude for visiting our “poyo” blog. hehehe. U the man, fahmi!

  5. haha kau terlupa wonderpets, tu yang mahal..tapi makcik plkn tu memang hebat, jauh gila masa dia berlakon iklan plkn

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: