Universiti-Universiti Kita GAGAL Lagi!

Gagal Lagi

Gagal Lagi

Gagal lagi? Tidak menghairankan. Apa yang perlu kita hairankan dengan laporan terbaru oleh THES. Setiap tahun THES akan nengeluarkan laporan tentang senarai kedudukan atau ranking universiti-universiti terbaik dunia. Dan setiap tahun juga kedudukan universiti-universiti tempatan Malaysia makin lama makin jatuh. Tahun 2008 ini semua universiti-universiti tempatan di Malaysia sekali lagi telah ditendang keluar dari Top 200 ranking THES!

Apa itu THES? THES ialah kata singkatan daripada Times Higher Education Supplement. Bagi mereka yang prihatin dan peduli tentang kualiti pendidikan universiti, laporan terbaru THES ini memang ditunggu-tunggu. THES ialah sebuah badan bebas yang beribupejabat di London yang ditubuhkan untuk mengkaji, menganalisa dan seterusnya menilai universiti-universiti di seluruh dunia. Hasil dari penilaian yang dibuat oleh THES itu, kedudukan atau ranking universiti-universiti dari seluruh dunia akan ditetapkan. Penilaian untuk tahun 2008 yang terbaru dari THES ini tidaklah memeranjatkan tetapi telah memalukan kita semua. Malahan Universiti Chulalongkorn dari Thailand berkedudukan lebih tinggi dari kita di tangga 166. Manakala bagi kita di Malaysia pula, tidak ada satu pun universiti-universiti tempatan kita yang menduduki Top 200. Tidak ada satu pun!

Sungguh memalukan. Sebagai pelaksana dasar pendidikan negara, kerajaan Barisan Nasional perlu bertanggungjawab di atas kedudukan yang memalukan ini. Semua universiti-universiti tempatan, baik USM yang mendapat taraf universiti Apex baru-baru ini, UM, UTM, UPM, UUM, UIA, UiTM, UKM dan semua IPTA-IPTA yang lain gagal di dalam menempatkan kedudukan mereka di tangga Top 200. Tidak ada satu pun yang berjaya. Semuanya GAGAL !

Tidak menghairankan jika selepas berita ini keluar akan ramailah NC, TNC dan pensyarah-pensyarah kaki bodek dari universiti-universiti tempatan kita yang akan cuba mempertikaikan metodologi yang digunakan oleh THES ini. Akan banyaklah pandangan yang akan mengatakan bahawa metodologi yang digunakan tidak tepat dan kurang boleh dipercayai. Ini merupakan denial syndrome atau sindrom tak nak mengaku yang kualiti universiti kita sebenarnya sudah berada ditahap yang sangat parah.

Parahnya kualiti universiti-universiti tempatan kita berhubung rapat dengan kondisi demokrasi di kampus. Kampus di universiti-universiti tempatan (bagi sesiapa yang datang dari universiti tempatan tentu sudah sedia maklum tentang perkara ini) tidak lagi menjadi medan pertarungan idea, wacana dan gagasan-gagasan baru yang besar. Sebaliknya kampus-kampus di universiti-universiti tempatan sekarang ini hanya menjadi medan membuat bendera terbesar, ketupat terbesar, konvoi terbesar, pesta konvo terhebat, konsert terhebat, majlis makan malam terhebat dan yang tak besar-besar dan tak hebat-hebat ialah pemikiran mahasiswanya – tumpul dan tidak kritis.

Tetapi mahasiswa universiti-universiti tempatan ini tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Mereka hidup di bawah suatu sistem dan struktur di dalam universiti yang paternalistik, tidak demokratik dan tidak kondusif untuk melahirkan mahasiswa yang berfikiran tajam dan kritis. Semua aktiviti kemahasiswaan dikawal ketat oleh HEP (Hal Ehwal Pelajar – Bahagian Pentadbiran Universiti yang mengawal aktiviti Mahasiswa). Mahasiswa langsung tidak ada autonomi untuk membuat aktiviti kemahasiswaan sendiri kerana semuanya wajib mendapat kelulusan HEP. Kesemua aktiviti-aktiviti mahasiswa dipantau dan dikawal dengan ketat oleh HEP. Mana-mana program yang dilihat sebagai kritis atau anti-establishment akan dihalang dan disekat.

HEP ibarat raja di dalam kampus. Perbezaan pandangan tidak dibenarkan. Semuanya mesti ikut telunjuk HEP. Yang berbeza pandangan, yang melawan dan yang menentang akan ditindas, ditakut-takutkan dan diugut dibuang kolej (hostel) atau universiti. Kepada mereka yang tidak pernah menjalani pengajian di universiti-universiti tempatan mungkin tidak akan memahami keadaan ini. Tetapi inilah realiti yang berlaku di universiti-universiti tempatan sekarang ini.

Sila klik secebis kisah yang dilaporkan oleh Malaysiakini untuk mendapat gambaran umum tentang apa yang sedang berlaku di universiti-universiti tempatan sekarang ini. Dan ini pula kritik daripada salah seorang Pensyarah Sains Politik UKM terhadap keadaan yang berlaku di universiti-universiti tempatan sekarang ini.

Ini hanyalah secebis dari banyak lagi kisah-kisah yang tidak dilaporkan yang sungguh memalukan yang terjadi di universiti-universiti tempatan sekarang ini.

Bermaharajalelanya HEP di dalam mengekang kebebasan mahasiswa dan demokrasi kampus sangat berkait rapat dengan struktur sistem pendidikan tinggi yang wujud sekarang ini. Struktur pendidikan tinggi di Malaysia ini dikawal melalui AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti). AUKU memberi kuasa penuh kepada Menteri untuk melantik NC, TNC dan juga jawatan-jawatan pentadbiran kanan yang lain. AUKU juga menghalang mahasiswa dari terlibat dengan politik. Jadi, apa yang berlaku ialah universiti kehilangan autonominya. Universiti kehilangan kebebasan dan kemandiriannya. Dan mahasiswa pula kehilangan keberanian dan pemikiran kritisnya.

Bebaskan Mahasiswa

Bebaskan Mahasiswa!

Memandangkan jawatan-jawatan di posisi kuasa di dalam universiti adalah merupakan lantikan politik oleh kerajaan Barisan Nasional, maka tidak hairanlah jika universiti-universiti tempatan sekarang ini hanya menjadi alat eksekutif (iaitu alat kerajaan Barisan Nasional) untuk meraih sokongan generasi muda dari kalangan mahasiswa untuk mendukung kerajaan Barisan Nasional. Manakala kelompok-kelompok mahasiswa yang dilihat sebagai kritis terhadap kerajaan Barisan Nasional, umumnya akan ditekan dan ditindas. Keadaan ini bukan sahaja berlaku ke atas mahasiswa tetapi juga ke atas ahli-ahli akademik dan pensyarah-pensyarah yang kritis terhadap kerajaan Barisan Nasional. Universiti-universiti tempatan kita kini tidak lagi menghambakan dirinya kepada usaha mencari keadilan dan kebenaran sebaliknya menghambakan dirinya kepada kerajaan Barisan Nasional.

Di dalam suasana yang mengongkong sebegini, adakah mungkin untuk kita membangunkan universiti-universiti yang berkualiti dan bertaraf dunia? Di dalam suasana yang tidak demokratik sebegini, adakah mungkin untuk universiti-universiti kita melahirkan mahasiswa-mahasiswa yang kritis dan berani? Di dalam suasana yang tiada autonomi sebegini, adakah mungkin untuk universiti-universiti kita menghasilkan kajian dan penyelidikan yang bermutu tinggi ? Di dalam suasana yang tiada kemandirian dan kebebasan sebegini, adakah mungkin untuk universiti-universiti kita melahirkan idea-idea dan gagasan-gagasan besar?

Apa yang membezakan antara universiti-universiti tempatan kita dengan universiti-universiti yang tersenarai dalam Top 10 THES ialah mereka tidak dikongkong, demokratik, bebas, mandiri, dan punya autonomi sendiri manakala universiti-universiti tempatan kita pula adalah sebaliknya.

Jadi, tidak hairanlah universiti-universiti kita GAGAL untuk disenaraikan di dalam kedudukan terbaik THES pada tahun 2008 ini.

Jika kerajaan Barisan Nasional serius untuk memulihkan kembali kedudukan universiti-universiti tempatan kita yang berada di dalam kondisi yang parah sekarang ini, AUKU perlu dimansuhkan, autonomi universiti harus dikembalikan, HEP perlu berhenti dari campurtangan di dalam aktiviti kemahasiswaan, demokrasi kampus perlu dibangunkan dan kebebasan akademik serta kebebasan mahasiswa mesti diberi jaminan. Tetapi soalannya adakah kerajaan Barisan Nasional mahu melakukan ini semua?

Jika kerajaan Barisan Nasional tidak mahu memberi autonomi kepada universiti dan tidak mahu mendemokrasikan kampus serta enggan memberi jaminan kebebasan akademik dan kebebasan mahasiswa, tidak mustahil kalau universiti-universiti tempatan kita akan terkeluar terus daripada sebarang senarai THES di tahun hadapan! Terkeluar dari senarai THES masih tidak apa, yang paling kita takuti ialah graduan-graduan yang keluar dari universiti-universiti tempatan kita nanti hanyalah sampah belaka!

Justeru itu, soalan yang terpenting untuk kita jawab ialah apakah tindakan kita untuk memulihkan kembali keadaan universiti-universiti tempatan kita dari terus menjadi lebih parah lagi?

3 Responses

  1. aku rasa kita harus kembalikan autonomi universiti dan pulangkannya kepada anak muda. bukankah universiti ini tempat segala macam idea, wacana dan pikiran bertembung? jadi mengapa fungsinya yang utama itu dimatikan?

  2. kita kena buat sistem tukar suka sama suka…baru dapat nombor ‘ong’…

  3. kalo macam tu gua nak nombor 666. nombor setan. gerenti ong punye! hehehe

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: