Rahmah Seorang Konduktor Bas: Hanya Secebis Cerita Biasa

Dalam Bas
Dalam Bas

Aku masih membawa cerita hari raya. Tetapi kali ini bukan cerita tentang lagu raya. Ini kali, cerita aku cerita biasa cuma. Cerita yang aku kutip dari seorang rakyat biasa yang aku temui ketika pulang ke kampungku untuk berhari raya. Rahmah namanya. Seorang konduktor bas. Tapi di kampungku orang tak panggil konduktor bas. Orang panggil “kolek bas”. Kolek itu diambil dari perkataan Inggeris – “collect”.

Ini bukanlah bermakna orang kampungku sudah pandai bahasa Inggerisnya sejak matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Tetapi ini adalah kerana syarikat bas itu di zaman penjajahan dahulu, dimiliki oleh orang putih. Oleh kerana bosnya orang putih, jadi pekerja-pekerjanya juga turut dipengaruhi oleh beberapa perkataan Inggeris yang keluar dari mulut bos mat saleh mereka. Beberapa perkataan Inggeris yang didengar keluar dari mulut bos mat salleh mereka itu turut digunakan di dalam menjalankan pekerjaan mereka, termasuklah perkataan “collect”.

Mengikut ceritanya lagi di waktu itu konduktor bas akan melaungkan “Collect ticket! Collect ticket!” ketika dia ingin mengoyak tiket dari papan kayu tempat tiket-tiket pelbagai harga dilekatkan dengan lilitan getah. Kemungkinan juga oleh kerana perkataan konduktor itu terlalu sukar untuk disebut oleh lidah orang kampung, maka lama-kelamaan perkataan “kolek bas” itulah yang lekat dan diterima-pakai di kampungku sebagai perkataan yang memperihalkan pekerjaan memberi tiket di atas bas. Itulah pekerjaan Rahmah. Seorang “kolek bas” yang aku tegur dan sembang-sembang sewaktu perjalanan pulang ke kampungku hari raya yang lepas.

Sebenarnya, kampungku ini agak jauh ke dalam dari bandar yang terdekat. Bandar di mana bas ekspress berhenti. Dari hentian stesyen bas ekspress untuk ke kampungku, aku harus menaiki sebuah lagi bas. Bas lompat. Perjalanannya pula mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Melalui hutan simpan, rancangan tanah felda, estet-estet getah dan sawit serta penempatan kampung baru ketika zaman darurat dahulu. Monyet dan kera pasti akan kelihatan di kiri kanan jalan terutamanya ketika melalui hutan simpan. Jalan ke kampungku ini bagai ular kena palu. Berbelit-belit. Bengkang-bengkok. Kalau tak biasa, pasti akan muntah atau pening kepala. Bas pula hanya sejam sekali. Itu pun tak tentu. Kalau orang sudah ramai baru bas jalan. Kalau orang sedikit harus tunggu sampai cukup korumnya, baru bas akan jalan. Kondisi basnya pula, tayar sahaja yang nampak okey. Bahagian lainnya macam nak tertanggal. Kus semangat!

Di dalam perjalanan hampir satu jam setengah menaiki bas lompat inilah aku bertemu Rahmah seorang “kolek” bas. Dia duduk di sebelahku selepas kerja-kerja memberi tiket dan mengutip wang dari penumpang selesai. “Raya macam mana kak? Dah bersiap dah kot?”, aku menyapanya di dalam loghat kampungku sambil memberi senyuman kepadanya untuk memulakan perbualan. “Huh! Tahun ni raya berat sikit. Semua naik. Minyak naik. Barang naik. Gaji ja tak naik-naik! Hang ni anak sapa ?”, tanya Rahmah kepadaku. Selepas mengenalkan diriku dan bertanya namanya, kami berbual agak panjang.

Perbualan kami hanya terhenti setelah bas tersebut sampai di stesyen bas kampungku. Tapi perbualan kami itu tidak lancar. Tidak penuh. Separuh-separuh dan terhenti-henti serta berselerak isinya. Bermacam-macam hal. Banyak yang tak habis dibualkan kerana setiap kali bas berhenti mengambil penumpang, Rahmah harus meninggalkan tempat duduknya di sebelahku untuk menjalankan tugas “kolek bas”nya.

Dari perbualan yang berselerak dan terhenti-henti itu aku dapat mengumpulkan beberapa maklumat tentang dirinya. Umurnya sudah menjangkau 58 tahun. Taraf pendidikan darjah 6 sekolah kebangsaan. Tak dapat menyambung pelajaran ke sekolah menengah kerana keluarganya miskin. Jadi dia harus bekerja membantu orang tuanya menoreh getah di sebuah estet getah di kampungku untuk menampung keperluan hidup mereka. Bekerja sebagai kolek bas sejak hampir dua puluh tahun yang lalu. Dulu mengikut ceritanya sepertimana juga orang tuanya, dia bekerja di estet getah kepunyaan sebuah syarikat mat saleh dekat dengan kampungku.

Kolek Getah

Kolek Getah

Selepas getah jatuh harga, majikannya menjual estet tersebut kepada pengusaha tempatan. Selepas kurang lebih 6 bulan di bawah majikan baru, dia serta ratusan pekerja-pekerja estet yang lain diberhentikan kerja oleh majikan baru untuk mengurangkan kos pengurusan. Waktu itu, menurutnya dia hanya menerima pampasan pemberhentian kerja sebanyak RM1000 sahaja walaupun dia telah bekerja di estet tersebut hampir 20 tahun lamanya. Selepas diberhentikan, dia membuat kerja-kerja buruh yang lain sehinggalah dia diterima sebagai “kolek bas”.

“Berapa gaji depa bayaq kolek bas?”, aku bertanya kepada Rahmah. “Empat belas ringgit sehari. Sepuluh hari sekali tokey bagi gaji. Dalam sebulan tu, kami dapat la tiga kali gaji. Dulu depa bayaq bulan-bulan. Tapi lepas kami mintak suruh bayaq kerap, depa bagi sepuluh hari sekali. Senang sikit nak bayaq bil ka, sekolah anak ka, belanja dapoq ka. Sakit demam ka. Tak payah nak tunggu hujung bulan. La ni bukan macam dulu. Semua main duit.”, jawab Rahmah kepada pertanyaanku.

“Cukup ka empat ratus dua puluh ringgit sebulan?” tanyaku lagi. “Mana nak cukup. Tu yang kena buat overtime tu. Depa bayaq overtime baguih jugak. Tiga ringgit sejam. Tokey ni bukan lalu kot jalan ni ja. Depa ada banyak laluan lain lagi kat merata tempat nuh. Kadang-kadang kita buat 4 jam ot ikut bas lain yang jalan sampai malam”, begitulah jawapan Rahmah kepadaku. Bas terakhir ke kampungku ialah pada jam 6.30 petang. Tiada bas yang jalan malam di kampungku. Dari cerita Rahmah baru aku tahu bahawa syarikat bas kampungku itu bukan sahaja menguasai jalan dari bandar terdekat ke kampungku tetapi juga turut menguasai jalan-jalan lain ke beberapa buah bandar lagi dan bas ke bandar-bandar lain itu operasinya sampai malam.

Menurut Rahmah suaminya sudah 3 tahun meninggal. Suaminya dulu sama seperti dia bekerja di estet kemudian jadi tukang kebun di salah sebuah sekolah rendah di kampungku. Dia punya 7 orang anak. Tiga masih bersekolah dan empat lagi sudah bekerja. Dua bekerja kilang di Kulim. Seorang menjadi guru sekolah rendah. Dan seorang lagi bekerja di Ipoh sebagai juruteknik di Jabatan Ukur. Dia sekarang menyara hidupnya dan anak-anak yang masih di bawah tanggungannya dengan gajinya sebagai “kolek bas” dan wang pencen arwah suaminya. Lebih kurang tiga bulan yang lepas dia terpaksa meminjam RM10,000 dari sebuah bank untuk membiayai pendidikan anak ke limanya yang dapat masuk ke Universiti Selangor – UNISEL.

Banyak sebenarnya yang ingin aku tanyakan dari Rahmah. Banyak yang ingin aku ketahui. Banyak yang ingin aku cungkil dari dirinya. Tapi bas yang sering berhenti mengambil penumpang, menyebabkan perbualan kami tidak lancar dan banyak persoalan yang bermain-main di fikiranku, tergantung tanpa jawapan. Masa pula berlalu begitu pantas. Banyak pertanyaanku tak terjawab dengan tuntas.

Rakyat biasa ceritanya biasa-biasa. Bahasanya juga biasa-biasa. Tapi aku tidak fikir susahnya itu biasa-biasa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Rahmah yang aku temui itu hanya seorang dari jutaan Rahmah yang lain. Mungkin jutaan Rahmah yang lain itu kehidupannya sedikit lebih senang atau mungkin juga jauh lebih susah lagi. Rahmah-Rahmah ini berada di mana-mana. Rahmah-Rahmah ini akan sentiasa wujud selagi jurang miskin-kaya tidak dikecilkan. Rahmah-Rahmah ini akan terus lahir di setiap kampung, desa, daerah, negeri dan negara selagi sistem yang menghasilkan ketaksamaan ini masih terus berjalan.

“Macam mana la ni kerajaan baru kita?”, salah satu dari beberapa soalan yang aku tanyakan kepada Rahmah. “Tak dak beza apa pon. Orang biasa macam kak ni sama ja. Hidup macam dulu gak. Susah macam tu jugak la. Harap-harap ke depan ni, anak-anak semua dah besaq. Dah keja. Dapat la depa bantu kita sikit. Harap-harap hidup kita senang la sikit masa tu.” Rakyat biasa harapannya juga biasa-biasa sahaja sepertimana rakyat biasa yang lainnya.

Sedikit kesenangan hidup yang diharap-harapkan oleh Rahmah dan jutaan Rahmah-Rahmah yang lain adalah kesenangan yang biasa-biasa sahaja. Entahkan tercapai entahkan tidak. Entahkan berderai sebelum ke puncak.

3 Responses

  1. ini hanya sekelumit kisah kehidupan rakyat biasa yang hidup sekadar untuk membayar hutang dan membeli makanan.semoga puan rahmah tabah dan redha dengan dugaan ini.

  2. sedih…tapi itulah realiti

  3. ini realiti kehidupan, ada yang senang dan ada yang susah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: