Lagu Raya Paling “Tangkap Stim”

Ketupat Raya

Ketupat Raya

Perjalanan dari Petaling Jaya ke rumahku di kampung memakan masa lebih kurang lapan jam. Harus bertukar 4 kenderaan awam sebelum tiba ke stesyen bas kampungku. Selepas itu harus pula menapak dalam 20 minit untuk sampai ke rumah ibuku. Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, kenderaan awam menjadi pilihanku kerana aku memang tidak punya kereta sendiri kecuali motor kapcai yang kubeli 5 tahun dahulu. Tetapi bila ada teman-teman yang bertanya, “Wei, apsal ko tak pakai keter?”, jawapan poyo aku ialah itu adalah tindakan politik. Kereta tidak mesra alam sekitar dan aku tidak mahu menyumbang kepada penipisan lapisan ozon. Jawapan biar nampak intelektual walau pun poket kosong. Hahaha

Dalam perjalanan menaiki bas ekspress selama hampir 6 jam itu, aku dihidangkan dengan pelbagai lagu-lagu hari raya sehinggakan mimpi aku pun mimpi lagu raya di waktu lena yang sekejap di atas bas ekspress tersebut. Di dalam bas waktu melayan lagu-lagu hari raya itu aku memikir-mikir apa yang membuatkan hari raya itu adalah hari raya? Atau dengan kata lain kalau tak ada benda-benda ni, tak sempurnalah hari raya tu. Adakah ianya takbir raya? Sembahyang raya? Lemang? Ketupat? Rendang? Baju melayu siap bersamping? Ziarah kubur leluhur? Konvoi ziarah saudara mara? Rancangan hari raya kat TV? Lagu raya? Hantu raya? Atau apa? Apa yang menjadikan hari raya itu adalah hari raya?

Dan aku tidak dapat menafikan, untuk diri aku sendiri, lagu raya adalah salah satu komponen yang sangat penting yang menjadikan hari raya adalah hari raya. Mungkin bagi orang lain tidak tetapi bagi aku tanpa lagu raya, suasana, atmosfera, ambien dan jiwa hari raya itu tidak hidup. Tanpa lagu raya tentunya hari raya tetap berjalan seperti biasa tetapi jiwanya itu seperti ada yang “kureng” dan tidak lengkap. Lagu raya yang dipasang dari corong radio, gemersik, mendayu, merdu dan mengundang pinggul untuk bergerak mengikut irama lagu adalah halwa untuk kalbu. Tambahan pula bila ia berkumandang ketika tamu datang dan menjamu. Tidak terlalu kuat, tidak terlalu perlahan. Sederhana bunyinya menggamit irama di tapak kaki untuk mengetuk-ngetuk lantai. Memang santai!

Tapi lagu raya mana yang paling best? Lain padang lain belalang, lain orang lain citarasanya. Aku ada tiga lagu raya favourite. Tiap kali balik raya, itu lagu raya aku mesti pasang berulang-ulang kali sampai ibuku melaung “Cukup la pasang lagu tu. Cuba hang bertakbir ka. Baca Quran ka. Dapat jugak pahala. Dok dengaq lagu macam tu, buat tambah dosa ja.” Hahaha. Jawapan standard aku ialah, “Dosa? Pahala? Menatang apa tu mak? Cuba mak tunjuk mana dosa dan pahala tu. Sepanjang umoq saya, saya tak pernah jumpa pahala dengan dosa. Kalau jumpa saya nak simpan la menatang dosa dan pahala tu.” Hahaha. Dalam mimpi boleh la bagi jawapan yang macam tu! Itu jawapan yang diangan-angankan tetapi tak pernah kesampaian untuk diucapkan. Terkejut biawak kalau ibuku mendengar jawapan seperti itu. Biasanya aku akan memperlahankan radio atau pun aku akan jawap, “Sat ja. Satgi saya tutup la.” Sat lagi tu bermaksud dua tiga jam lagi sampai sudah cukup layaaaaaannnnn!

Aku punya 3 lagi raya yang aku cukup layaaaaannnnn! Anuar dan Elina – Suasana Di Hari Raya; Uji Rashid dan Hail Amir – Seloka Hari Raya dan Ahmad Jais – Selamat Hari Raya.

Irama lagu yang paling membuatkan kepala aku terhangguk-hangguk dan tapak kaki aku mengetuk-ngetuk ialah lagu Suasana Di Hari Raya – Anuar dan Elina. Suara Anuar Zain yang masih belum pecah (sebab waktu tu dia baru umur 12 tahun, belum baligh lagi kot) dan suara Elina yang keremajaan belum nak dewasa lagi tu, betul-betul merangsang berahi telinga untuk mendengar berulang-ulang kali. Liriknya pula ala-ala perantau. Maksudnya anak muda di rantauan yang kerinduan untuk pulang menghirup udara kampung dan bertemu ibu-bapa handai dan taulan. Inilah antara lagu hari raya yang aku boleh pasang 10-30 kali non-stop, dan aku tak akan bosan. Irama lagu ni memang cukup “menangkap”. Irama muzik yang cukup catchy dengan suara gemersik remaja yang belum dewasa mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak. Puuurrrfect 10 untuk lagu ini!

Lagu Selamat Hari Raya dari Ahmad Jais pula, melodinya sederhana, tidak terlalu berlebih-lebihan tetapi cukup lengkap untuk membuat nikmat kepada telinga yang mendengar. Tambahan pula liriknya cukup sesuai untuk aku yang balik kampung hanya setahun sekali sahaja. Hahaha. Plus point lagu ini berbanding dua lagu yang lain yang aku senaraikan itu ialah suara Ahmad Jais. Untuk aku antara penyanyi kat Malaysia ni yang suara dia cukup sedap dari dulu, kini dan selama-lamanya ialah suara Ahmad Jais. Bagi apa sahaja lagu-lagu Melayu asli, tak ada orang boleh lawan suara Ahmad Jais. Ahmad Jais boleh mencairkan hati perempuan (dan juga lelaki) hanya dengan suaranya sahaja!

Uji Rashid dan Hail Amir pula memang pasangan yang sangat cocok. Cantuman kimia yang cukup serasi. Hail Amir waktu muda memang hensem dan bergaya. Manakala Uji Rashid pula di waktu muda (dan juga di waktu tua sekarang) cukup “tangkap leleh”!. Merpati dua sejoli. Bagai pinang dibelah dua. Apabila kedua-duanya mendendangkan lagu Seloka Hari Raya, terus bunga api pun meluncur ke udara dan pecah memancar juraian cahaya beraneka warna. Perrrrghhhhh! Memang berahi! Ini lagu kategori berahi yang bersopan. Lagu mengurat cara Melayu lama. Berahi dan mengurat ala Melayu “dolu-dolu”. Hahaha. Ini adalah antara sebab kenapa aku suka lagu ni. Bukan sebab aku berahi atau aku ni kaki mengurat (Macam mana nak mengurat, muka pun tak hensem). Tapi sebab lagu ni ada elemen-elemen “gatal tapi tersipu-sipu malu dan mahu”. Sungguh Melayu lama. Melayu sebelum gerakan dakwah bermula dengan pesat. Melayu yang masih innocent tapi tahu. Unsur-unsur sopan, malu, tersipu-sipu tetapi mahu itu cukup menggamit ghairah telingaku untuk mendengar lagu ini. Berahi lagu ini dengan kedua-dua penyanyinya yang kacak dan cantik disulam dengan rentak joget yang catchy membuatkan lagu ini memang “tangkap stim”.

Antara ketiga-tiga lagu favourite aku ni, ketiga-tiganya setara dengan keunikan masing-masing yang tersendiri. Ketiga-tiganya sama indah, sama gagah. Sukar untuk aku memilih yang mana satu yang paling aku suka. Ketiga-tiganya aku suka. Ketiga-tiganya aku berahi. Ketiga-tiganya aku “stim”. Dalam memilih lagu raya, aku seorang yang polygamous. Aku nak tiga-tiga sekali. Tetapi dalam bercinta aku seorang yang monogamous! Hehehe….Sumpah aku tak tipu!

2 Responses

  1. hehe..fuh.. mesti tengah seronok beraye kat kampung tu kan??? Semoga Syawal ini membawa kesedaran kepada semua.

  2. Setuju.

    Gua pun suka maa..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: