Kacau..

Terdahulu perlu aku nyatakan di sini bahawa tulisan aku yang serba daif dan kering dari segi jalan cerita dan nilai sasteranya ini tidaklah merujuk kepada mana- mana orang. Hanya sekadar tulisan orang yang baharu belajar..

Tak perlu dipujuk – pujuk lagi, tak payah diterang – terangkan lagi. Kalau sudah hitam, tetap hitam juga katanya. Entah setan jembalang mana yang merasuk anaknya itu, dia sendiri tidak mengerti. Tidak faham akan tindak anaknya itu. Lain benar lakunya kini. Tidak macam dulu – dulu. Tidak macam waktu sebelum anaknya itu ke Kuala Lumpur. Tapi masakan ada jembalang yang diam di tengah kota! Waktu anaknya belajar di Kuala Kangsar dulu dia tidaklah seperti kini, mungkin waktu itu fikirnya tidak cukup panjang lagi – masih terhalang dengan peraturan sekolah asrama mungkin- gaulnya tidak cukup recam sangat – kawannya dulu hanya lelaki. Tapi berubahnya kini bukan sebab perempuan, bukan sebab nak berbini. Kan dia sendiri yang keras – keras membangkang waktu soal kahwin itu dibangkitkan, sejak gemulah bapanya hidup lagi. Kempunan orang tua itu nak melihat anak jantannya yang seorang ini berbini, berkeluarga macam anak – anak Kamali, anak Haji Daros, anak Lebai Molan – ah, dah bercucu pun Lebai Molan .

Namun, soal nak berbini itu bukan pokok kerunsingannya sekarang. Anaknya berubah bukan kerana hilang selera pada perempuan – minta dijauhkan Tuhan – hal yang serupa itu dibuangnya jauh – jauh dari fikirannya. Kalau dipakai cakap Roslan, anak Kamali yang kerja drebar DO tu, anaknya sekarang dah masuk jadi orang pembangkang. Kerja asyik membangkang, semuanya salah, semuanya tak kena, tak betul, tak sah ! Kerajaan tak berehati perut, tak bela rakyat, rasuah. Ekonomi tak adil, kenyangkan orang kaya, seleweng. Ah, dia tidak faham hal orang politik – hal orang jantan. Sejak anak dara sampai tua berkedut ini dia tidak pernak ambil pusing perkara dunia. Dunianya hanya kampung Carek, Hulu Selama itulah. Jauh – jauh sekalipun itulah sekali ke Bagan Serai dululah, waktu mengkahwinkan Sabilah. Hal politik itu biarlah orang – orang jantan yang setiap pagi dan petang duduk bergebang kat kedai kopi Salleh yang bincangkan hujung pangkalnya, salah silapnya, tonggang – tonggeknya. Dia tak ambil pusing, tak ikut peduli, tak endah! Tu kerja orang jantan. Kerja orang betina, jaga rumah, besarkan anak – anak.

Ya, besarkan anak – anak. Membesarkan kelapan – lapan zuriat yang diteran dari rahimnya itu. Itulah yang menggigit – gigit tangkai jantungnya sejak Sharil balik dari Kuala Lumpur. Balik setelah bertahun – tahun ghaib tanpa khabar. Lama benar rajuk anaknya itu dengan gemulah bapanya.

Keturunan.

Sama degil, sama keras.

***

“ Apa lagi kurangnya?” keras suara Sharil. Anaknya itu jarang – jarang menjawab kata – kata Haji Kasban. Apatah lagi berkeras suara. Bukan sebab Haji Kasban itu imam Jumaat kampung Sungai Carek, guru agama tempat anak kariah Sungai Carek putus hukum, orang yang dijemput setiap kali ada tahlil, ada yassin, ada orang mati. Bukan sebab itu. Tapi sebab anaknya itu bernazabkan Haji Kasban. Berbapakkan Haji Kasban.

“Apa pula kurangnya jadi peguam tu, kalau mahu berhenti jadi peguam, apalah maknanya kamu mengaji bertahun – tahun di UIA tu?”haji Kasban tak mahu mengalah. Pantang benar bila katanya dibantah.

“yang minta saya mengaji undang – undang itu kan bapak, yang dulu atur saya belajar di MCKK itu jugak bapak, semuanya dah saya turut, dah saya ikut. Apa salahnya untuk sekali ini biarkan dengan keputusan saya? Adakah saya ni sudah tidak lebih dari penyambung cita – cita bapak yang bapak sendiri tak dapat capai?” bergetar tangan Haji Kasban mendengan ayat terakhir anaknya itu.

“Anak tak sadar di untung!” si ayah bertempik, si anak tergetar, ibu diam.

“ Selama ni yang aku kerjakan bendang sekangkang tu untuk sekolahkan kau semata – mata nak puaskan hati aku? Biar aku dapat makan duit kau nanti? Biar aku dapat bermegah ?” lelah Haji Kasban sampai. Pendek – pendek nafasnya. Entah sebabkan lelah atau menahan marahnya. Entahlah, saat begitu tak siapa yang kuasa nak memikirkannya. Namun Haji Kasban belum puas.

“ Kecik kau lagi, aku yang menanggung, kalau kau tak yang pandai lagi nak berterima kasih pada orang tua yang besarkan kau ni, apalah gunanya kau di rumah ni. Soal kerja kau, aku tak campur. Nak berhenti, berhentilah”. Suara Haji Kasban mula mengendur. Lelah.

Makin laju air mata si ibu bila mendengar kata putus lakinya itu. Tapi bukan tempatnya nak bersuara. Anak – anaknya yang lain ikut terjelepuk di tepi rumah ibu itu. Bagai anak ayam diancam helang. Mereka pun ikut menangis dan air matanya tak tertahan – tahan lagi bila melihat pula Sharil membungkus kain bajunya. Sharil mendapatkan ibunya. Dipeluknya tubuh tua itu. Murah benar air mata waktu itu.

“ Jangan nak, jangan…” hanya itu yang terucap, yang lainnya hanya tertampan di kerongkongnya. Adik – adik Sharil yang tadinya menikus tak bersuara mula merayu memujuk. Meniru laku ibunya.

“ Ampunkan Sharil mak,” Sharil nekad. Dilepaskannya rangkulan ibunya perlahan – lahan. Sharil terus ke tanah tak memandang – mandang lagi bapaknya itu. Hilang.

***

Itulah kali penghabisan dia melihat anaknya sehinggalah malam Khamis lepas anaknya itu tiba – tiba muncul di tangga rumah.

“Lama sangat Rel, tujuh tahun. Lansung tak tau khabar, mana aku pergi nak?” tuturnya tetap sarat dengan rasa keibuaan. Esom hela nafas. Entah tanda syukur, entah tanda kesal.

“ Bila bapak pergi mak?” tidak diacuhnya soalan maknya tadi. Lama perempuan tua itu senyap, seakan mengorek kembali ingatannya jauh ke dalam hati, jauh ke dalam jiwa dan rasanya. Jauh sekali. Dia Diam.

Diam.

Diam.

Dan Sharil ikut diam. Antara mengerti dan simpati.

Jam berdetik. Angin mati. Sebak.

“Musim menuai lepas, sakit lelahnya itulah”, kendur jawapannya – membayang perasaannya. Mungkin sama kendur dengan kulit tua pipinya. Sharil perasan akan itu. Ya, tujuh telah memakan banyak benda. Terpencil di jiwanya dia rasa terkilan. Terkialan antara tidak sempat ketemu bapanya dan terkilan kerana tidak sempat membuktikan pada bapanya yang dia benar.

Soal mengaku benar inilah yang menjadi punca dia jauh hati dengan bapanya. Ah, hal begini tidak apa – apa, kan sepanjang sejarah manusia itu padat dengan pembunuhan, penindasan dan perperangan hanya kerana perkataan benar itu sahaja. Semua dakwa perkataan itu milik mereka. Aneh sekali manusia ini, membunuh hanya kerana berasa benar. Apakah hanya dengan berasa benar cukup untuk menafikan yang lainnya? Tapi Sharil tidak menafikan bapanya, bapanya yang menafikan hal yang benar. Dan itu tidak benar baginya. Bapanya tidak pernah membenarkan dirinya untuk meneroka dan menerobos kebenaran. Toh, kacau sekali!

***

“ Si Sabilah dapat orang Bagan Serai, sama mengajar kat sekolahnya tu,” hajah Esom buka cerita.

Pidah dah kat Perak, ditukarkan ke sana, naik pangkat katanya, Milah dah masuk UiTM, buat undang – undang”, sengaja Hajah Esom keras – keraskan perkataan undang – undang itu. “

Tinggallah mak tiga beranak dengan Ramlah, dengan Busu. Ramlah itu pun dah ada yang bertanya”, hajah Esom sambung cerita lagi.

Hujung mata Sharil kalih pada Ramlah yang sedang mengacau air di dapur. Tujuh tahun telah menjadikannya asing di rumah sendiri. Ramlah berubah. Busu berubah. Dan dia sendiri sudah banyak berubah. Ramlah seakan menjauhkan diri darinya. Busu lagi kurang bertegur dengannya. Dia sedar semua itu. Dia sedar adik – adiknya menganggapnya kambing hitam dalam keluarga ini. Biarlah, mereka tak akan mengerti. Emaknya sendiri tidak mengerti. Gemulah bapanya tak mengerti .Semua tidak mengerti. Barangkali Tuhan pun tidak mengerti. Ya, barangkali.

“Jangan kau pergi – pergi lagi, apa yang meracik kau di Bandar tu?” Hajah Esom meminta separuh memujuk.

“saya orang perjuangan mak,” pendek dan sedikit mengjengkelkan bagi Ramlah yang mendengarnya dari dalam bilik.

Malam makin lewat, hitam makin pekat, tapi pagi tetap pasti..

8 Responses

  1. Salam…

    Hermm… Bau-bau macam kenal jer Sharil tu… Hermm… very familiar feeling. Herm… UIA? MCKK? Hermm…

    *harimau tua pun menguap.

    Herm… Tuk… tahu…hehe.

    *harimau tua pun tersenggih.

    Herm… mengantuk la.

    *harimau tua pun terlena, sambil mengigau… ‘penindasan tak boleh dibiarkan… perjuangan tak akan tamat…’

    Kamsiah

  2. cerpen yang klise. cerita anak konflik dengan bapak, anak lari rumah, anak balik, bapak dah meninggal. sama standad dengan cerpen-cerpen kat dalam utusan meloya, urtv, berita hairan, majalah hai dan seumpamanya.

    tak ubah sepertimana cerita dalam drama-drama melayu dalam drama swasta, drama minggu ini, celakarama, slot drama melayu pukul 2 petang dan yang sealiran dengannya.

    tidak ada kedalaman watak. watak-watak yang diletakkan di dalam cerita cetek, satu dimensi, tidak kompleks dan tipikal stereotaip watak melayu kampung. kebanyakan watak gambaran yang dihasilkan sangat tidak tepat.

    tidak ada analisa sosio-psiko watak dan persekitaran. psiki melayu yang wujud di dalam tubuh watak-watak ini tidak real. terlalu dipengaruhi oleh rancangan tv drama minggu ini dan celakarama.

    manusia adalah makhluk yang kompleks. manusia adalah kewujudan sosial. dan hidup pula adalah jalinan kompleksiti interaksi sosial manusia dengan kewujudan sosialnya untuk membentuk diri. penulis gagal untuk menggarap kekompleksitian ini secara intelektual.

    ini adalah kelemahan yang nyata. kemungkinan penulis sendiri adalah seorang manusia yang cetek dan tidak kompleks kerana itu penulis gagal untuk menenun penceritaan dan perwatakan untuk menjadi sebidang cerita yang baik.

    sila baca cerita dari blora karya pramoedya ananta toer sebagai rujukan untuk menulis cerpen di masa hadapan. walaubagaimanapun, suatu usaha yang sangat baik. terus menulis dan menulis. ketajaman idea atau cerita hanya dapat dihasilkan melalui kerja buat menulis yang berterusan!

    ciao!

  3. terima kasih atas kritikan yang amat penulis hargai itu. semoga kritika ini akan membantu penulis dalam menajamkan penulisan saya.

    mengenai soal kedalaman watak dan kedangkalan jalan cerita itu, sejujurnya memang sengaja penulis bikin begitu. tujuannya cuma hendak menampakkan bahawa kisah yang penulis dengar – dengar itu sebenarnya tidak jauh beza dengan carekarama tv3. (maksudnya hal ini adalah polimik tipikal melayu) namun tidaklah niat penulis ingin perlekehkan cerita yang penulis dengar itu, sekadar ingin memperlihatkan polimik itu dari perspektif yang mudak – mungkin juga dangkal.

    walau apa pun terima kasih pada kawan – kawan yang sudi membaca dan memabntu penulis agar layak hendaknya suatu hari nanti benar – benar layak memakai nama penulis itu.

    tq..

  4. ya, aku kenal watak itu🙂 sahabat yang mengujakan dari segi kemampuan mengartikulasikan idea..

  5. Sastera hanya sekadar omongan dalam karya yang tidak seberapa ini. Tiada plot yang mampu menarik manusia membacanya. Tulisan yang hanya lahir dari emosi untuk menulis…

  6. cuma kurang jelas. di mana letaknya ‘kacau’ di sini

  7. ok ler tuh… dari aku yang buat ayat melayu pun tergantung lagi….nak kene gerburu jugak nih!!!

    ( dari aku yang buat ayat melayu pun tergantung lagi ) perkataan dari pun dah salah…sepatutnye daripada untuk menunjukkan perbandingan….hayyoooo….lemah betul tatabahasa aku. sape nak ajar ni? tolog!!!!!!!!

  8. silap tuh..,bukan gerburu …. berguru ( sabkul-lisan)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: