Mahasiswa Kini Pasca Reformasi 1998: Suatu Analisa Kasar

Tulisan saya ini adalah bertujuan untuk menyediakan garis panduan kasar terhadap perbincangan tentang analisa mahasiswa kini. Memandangkan ianya hanya analisa kasar, makanya suatu perbincangan yang lebih mendalam adalah perlu supaya analisa yang dibuat adalah lebih halus dan tuntas. Bersesuaian dengan sifatnya yang kasar dan umum, makanya tulisan ini bukanlah merupakan suatu tulisan yang didasari oleh fakta-fakta ilmiah santifik dengan kajian dan data-data yang impirikal. Ia hanya merupakan suatu pemerhatian kasar terhadap lanskap aktivisme politik anak-anak muda khususnya aktivisme politik kampus.

Sebelum kita melakukan analisa, eloklah kiranya kita menoleh sebentar ke belakang untuk meninjau secara ringkas perkara-perkara yang melatari analisa terhadap mahasiswa paska-reformasi ini.

Reformasi merupakan suatu kebangkitan rakyat yang meletus secara spontan dan tidak tersusun, samada secara organisasinya, strateginya ataupun inti intelektualnya. Ianya meletus hasil daripada ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Walaupun terdapat sisi-sisi yang serba kekurangan di dalam gerakan reformasi ini, namun yang jelas ianya telah meradikalisasikan sebahagian besar anak-anak muda dan mahasiswa yang ada pada waktu itu. Kesannya dapat kita rasakan hingga sekarang apabila gerakan reformasi sering dijadikan batu tanda atau sumber rujukan kepada gerakan-gerakan mahasiswa dan anak muda sekarang ini.

Namun begitu bukan sahaja mahasiswa dan anak muda yang terasa kesannya tetapi juga pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) turut merasa terpanggang oleh bahang panasnya api reformasi ini. Sokongan dan dukungan mahasiswa serta anak-anak muda terhadap BN semakin merosot dan berkurangan. Justeru itu, sokongan dari mahasiswa serta anak-anak muda ini harus diraih dan direbut kembali. Dan untuk menawan kembali sokongan dan dukungan anak-anak muda ini pelbagai tindakan yang strategik harus dilaksanakan dengan menjurus kepada penyusunan semula kelompok-kelompok anak muda dan mahasiswa di seluruh Malaysia ini. Dengan kuasa, modal dan jentera yang ada kerajaan Barisan Nasional telah melancarkan gerakan yang sistemetik untuk menawan kembali kelompok mahasiswa dan anak muda ini.

Antara tindakan yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional ialah menafikan hak mengundi 680,000 orang-orang muda di dalam pilihanraya 1999, menubuhkan puteri dan putera UMNO, membangunkan skim-skim keusahawanan muda (untuk putera dan puteri UMNO khususnya), membentuk organisasi-organisasi kelas professional muda dan kelas menengah melayu muda, melaksanakan program latihan khidmat negara, menstrukturkan semula program-program Biro Tatanegara (BTN), melantik TNC-TNC yang akan bermati-matian mengukuhkan kekuatan BN di setiap universiti, melaksanakan akujanji, mewajibkan pengundian untuk setiap mahasiswa kampus, melakukan ugutan, menjalankan pilihanraya kampus yang berat sebelah dan tidak demokratik dan pelbagai-bagai lagi tindakan-tindakan lainnya untuk memastikan dominasi total terhadap kelompok-kelompok anak muda terutamanya kelompok mahasiswa di kampus-kampus universiti.

Hasilnya pada pilihanraya umum 2004 yang lepas undi orang-orang muda untuk Barisan Nasional telah meningkat dan BN telah mencapai kejayaan cemerlang di hampir setiap kerusi yang dipertandingkan di seluruh negara dengan Terengganu berjaya dirampas kembali dari PAS dan Kelantan hampir-hampir tumbang. Begitu juga pada pilihanraya kampus 2005 tahun lepas, kelompok-kelompok mahasiswa pro-kerajaan Barisan Nasional telah menguasai semua kampus-kampus universiti di seluruh Malaysia.

Setelah puluhan tahun kelompok-kelompok mahasiswa yang dilabel “anti-establishment” (selepas ini disebut gerakan mahasiswa Islam) yang ditunjangi oleh Persatuan-persatuan Mahasiswa Islam (PMI) ini menguasai kepimpinan kampus di seluruh Malaysia, akhirnya pada tahun lepas mereka tumbang dan tersungkur, bukan di satu dua universiti, malahan di seluruh universiti yang ada di Malaysia ini! Di sini kita dapat melihat betapa mudahnya kelompok gerakan mahasiswa Islam ini ditundukkan iaitu dalam tempoh masa yang kurang dari 5 tahun selepas reformasi 1998. Fenomena perubahan politik di kalangan mahasiswa yang berlaku secara mendadak dengan jangkawaktu yang sangat singkat ini wajib dikaji dan dianalisa.

Untuk memahami perubahan politik yang berlaku itu, eloklah kiranya kita membuat analisa ringkas terhadap mahasiswa itu sendiri dan keadaan mereka sekarang ini. Untuk diskusi kali ini tidak perlulah untuk kita membuat analisa tentang undang-undang menindas, AUKU, pilihanraya yang tidak adil, telus dan demokratik, TNC, HEP, jentera-jentera pentadbiran universiti, politik wang, rasuah, ugutan universiti dan sebagainya kerana perkara-perkara ini sudah pun kita ketahui. Oleh itu untuk diskusi pada hari ini, elok kita tumpukan hanya kepada diskusi tentang analisa warga mahasiswa itu sendiri.

Pada pandangan saya masyarakat mahasiswa secara kasarnya dapat kita bahagikan kepada 3 kelompok utama. Kelompok yang pertama ialah kelompok yang pro-kerajaan BN dan pada anggaran saya mereka ini hanya dalam sekitar 10% sahaja dari keseluruhan populasi kampus. Kelompok yang kedua ialah kelompok gerakan mahasiswa Islam yang majoritinya terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa yang berorientasikan Islam yang juga merupakan sayap mahasiswa untuk organisasi Islam luar universiti seperti PAS, ABIM dan JIM dengan anggaran jumlah 15% daripada jumlah keseluruhan populasi kampus. Dan kelompok yang ketiga ialah kelompok mahasiswa yang “tak kisah”, “tak peduli”, “kaki enjoy”, “kaki studi” dan mereka ini saya anggarkan merangkumi 75% dari jumlah populasi kampus.

Sebelum kita menganalisa satu persatu ketiga-tiga kelompok mahasiswa yang wujud di universiti-universiti ini, eloklah juga jika sekiranya kita menganalisa secara umum situasi mahasiswa kini.

Agak sukar untuk menganalisa mahasiswa hari ini tanpa melihat secara keseluruhan proses pendidikan yang dilaluinya sejak dari kecil terutamanya sistem persekolahan rendah dan menengah yang ditempuhi sebelum mereka memasuki universiti. Lahirnya karektor, ciri-ciri, perwatakan, kecenderungan dan pemikiran mahasiswa kini sangat dipengaruhi oleh proses sosialisasi persekolahan rendah dan menengah serta lingkungan sosial mereka. Untuk membuat penilaian dan analisa terhadap sistem persekolahan mereka tentulah akan mengambil masa yang panjang dan mungkin tidak cukup lengkap untuk dihuraikan di dalam tulisan ini. Cukuplah jika sekiranya kita merumuskan bahawa sistem pendidikan awal pra-universiti (rendah dan menengah) yang ditempuhi oleh mahasiswa-mahasiswa kini adalah suatu sistem pendidikan yang tidak menggalakkan pelajar menjadi manusia yang berfikiran kritikal.

Sistem pendidikan yang berbentuk sehala, mengikut tanpa soal, hanya menyalin nota tanpa proses perbincangan kritikal, tiada proses dialog dan engagement guru-murid, tiada proses untuk melahirkan kreativiti dan inovasi dalam berfikir, menyuap maklumat dan menghafal serta memuntahkan semula ke dalam peperiksaan, penumpuan akademik semata-mata tanpa menghubungkannya dengan realiti kehidupan sebenar di luar, pertanyaan-pertanyaan yang sukar tidak digalakkan, perbezaan pandangan tidak dibenarkan; pendek kata sistem pendidikan yang mereka tempuhi selama 10 tahun itu hanyalah menghasilkan pelajar-pelajar yang tumpul otak. Mereka mungkin cemerlang di dalam peperiksaan akademik mendapat 20 A dan sebagainya tetapi hakikat yang wujud di universiti-universiti sekarang ini ialah mereka tidak punya keupayaan berfikir secara kritikal.

Kerana itu mahasiswa yang wujud di universiti sekarang ini adalah juga hasil daripada kesinambungan suatu sistem pendidikan awal yang banyak kelemahannya. Dan ini ditambah pula dengan perubahan masyarakat yang berlaku dengan pantas hasil dari perkembangan ekonomi kapitalisme yang pesat yang melahirkan pula nilai-nilai baru yang tak terjawab oleh sistem pendidikan yang sedia ada kini. Nilai-nilai baru yang sudah pun menjadi budaya masa kini seperti konsumerisme, materialisme, hiburanisme, self-centred dan individualisme (akibat perkembangan ekonomi super-kapitalisme yang wujud sekarang ini) turut memberi pengaruh yang besar dalam mencorakkan karektor, ciri-ciri, perwatakan, kecenderungan dan pemikiran mahasiswa-mahasiswa masa kini.

Perkembangan ekonomi tahap super-kapitalisme sekarang ini jugalah yang mendorong kepada pengkomoditian pendidikan di mana universiti dikoporat dan diswastakan. Atau dengan kata lain pendidikan sepertimana kereta, ikan kembung, jeans levis, handfone nokia adalah bahan komoditi yang diperdagangkan untuk meraih keuntungan semaksima mungkin. Apa yang wujud sekarang ini ialah tiada lagi pendidikan di peringkat kolej atau universiti yang percuma, tidak seperti di tahun-tahun 70an dahulu atau ditahun 80an dan 90an dimana wujud pinjaman boleh ubah. Semuanya harus dibayar dengan biaya yang mahal. Untuk menamatkan pengajian dan mendapatkan segulung ijazah seseorang mahasiswa itu harus membayar antara RM25,000 – RM50,000 yang didahulukan (atau diikat) oleh kerajaan melalui skim pinjaman pendidikan. Beban hutang pendidikan ini telah melahirkan rasa takut di kalangan ramai mahasiswa-mahasiswa untuk bergiat aktif di dalam kegiatan-kegiatan yang bersifat politikal.

Dengan beban hutang yang sebegitu besar ianya juga memberi tekanan kepada ramai mahasiswa untuk tidak menghampakan harapan ibu-bapa dan keluraga mereka kerana jika sekiranya mereka dibuang universiti kerena terlibat di dalam aktiviti-aktiviti politikal, selain dari menanggung malu, keluarga dan ibu-bapa merekalah nanti yang perlu menanggung beban hutang tersebut. Tekanan keluarga dan tekanan hutang pendidikan yang terhasil dari pengkomoditian pendidikan di peringkat universiti turut mempengaruhi perwatakan dan pemikiran mahasiswa kini. Dan pastinya pula bayaran untuk universiti swasta adalah lebih mahal dan beban hutangnya pula lebih parah (kerana itu hampir tidak ada kita dengar tentang aktivisme politik dilingkungan mahasiswa-mahasiswa universiti atau kolej swasta).

Pengkomoditian pendidikan universiti sebagai suatu perniagaan yang berorientasikan keuntungan telah juga menyebabkan kemasukan pelajar-pelajar baru ditambah, course-course baru diperkenalkan, tempoh pengajian dipendekkan, yuran-yuran baru diwajibkan dan pelbagai inisiatif lain untuk menambah keuntungan universiti. Lebih pendek tempoh pengajian, semakin kurang perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh universiti. Lebih pendek tempoh pengajian, lebih ramai dan lebih segera pelajar baru dapat dimasukkan. Lebih ramai pelajar masuk, lebih banyaklah juga wang masuk ke kantung perniagaan universiti. Walaubagaimana pun penambahan pelajar-pelajar universiti ini tidak pula seiring dengan penambahan kemudahan-kemudahan dan fasiliti-fasiliti di dalam universiti. Ini tidaklah menghairankan kerana apabila pendidikan telah menjadi komoditi perdagangan untuk meraih keuntungan, pastilah pembinaan lebih banyak fasiliti dan kemudahan hanya akan menambah perbelanjaan universiti (baca: mengurangkan keuntungan universiti).

Pelajar bertambah tetapi kemudahan dan fasiliti universiti (seperti kelas, asrama, lab, komputer dan sebagainya) tak bertambah serta tempoh pengajian yang dipendekkan menjadikan jadual kuliah seseorang mahasiswa itu sentiasa sibuk dan padat dimana kelas pada waktu malam dan pada hari minggu sekarang ini adalah suatu perkara yang biasa dan diterima oleh setiap mahasiswa walaupun pada 5-6 tahun lepas kelas-kelas di waktu-waktu yang tak munbasabah seperti sekarang ini tidak pernah pun wujud. Dan ada universiti di Malaysia ini yang menjalankan kuliahnya di padang rumput dan di stadium! Ini belum ditambah dengan pelbagai assignment, thesis, homework, kajian, praktikal dan sebagainya yang memenuhi jadual harian seorang mahasiswa pada hari ini. Jadual harian yang sentiasa sibuk dan padat juga menyebabkan lebih banyak tekanan yang harus mereka hadapi untuk menyelesaikan kuliah mereka supaya harapan ibu-bapa dan keluarga dapat mereka tunaikan serta hutang pendidikan yang berjumlah puluhan ribu itu dapat mereka bayar kembali setelah mereka “berjaya” memperolehi ijazah dan mendapat kerja yang baik.

Dengan jadual kehidupan mahasiswa kini yang padat dan ketat ditambah pula dengan tekanan-tekanan kewangan dan sosial, maka tidak hairanlah semakin lama semakin kurang mahasiswa yang aktif di dalam kegiatan-kegiatan aktivisme mahasiswa yang bersifat politikal. Dan pastilah dengan tekanan-tekanan yang sebegitu rupa, lebih ramai mahasiswa yang bergiat aktif di dalam aktiviti-aktiviti yang dapat meringankan tekanan seperti aktiviti seni, budaya, teater, rekreasi, sukan, hiburan dan aktiviti ringan yang lain.serta menjauhkan diri mereka dari terlibat di dalam apa sahaja aktiviti yang berisiko yang membolehkan mereka dibuang atau digantung asrama, kolej dan universiti.

Begitulah secara umumnya gambaran kasar tentang mahasiswa kini. Walaubagaimana pun gambaran di atas hanyalah hasil dari pemerhatian secara kasar semata-mata tanpa kajian yang saitifik dengan sokongan data-data impirikal. Dari analisa umum ini, marilah pula kita bergerak sedikit ke hadapan untuk menganalisa satu persatu kelompok-kelompok mahasiswa yang telah saya bahagikan kepada 3 kelompok utama di bahagian awal tulisan saya tadi. Ketiga-tiga kelompok ini pastilah mempunyai karektor-karektor dan kecenderungan serta pemikiran yang berbeza pula.

Bagi kelompok mahasiswa yang pro-kerajaan, walaupun jumlah mereka kecil tetapi mereka mendapat sokongan dan dukungan daripada TNC, HEP dan pihak pentadbiran universiti. Memandangkan pada pilihanraya universiti baru-baru ini mereka telah berjaya menguasai struktur kepimpinan kampus, ini bermakna akses terhadap fasiliti kampus dan juga akses kepada mahasiswa adalah lebih mudah. Ruang untuk mereka bergerak dan mendekati mahsiswa di peringkat akarumbi juga lebih luas. Penguasaan penuh terhadap struktur kepimpinan di universiti membolehkan mereka untuk meletakkan orang-orang mereka sendiri di tingkat kepimpinan di pelbagai persatuan, kolej dan fakulti yang ada di universiti. Tambahan pula dengan sokongan daripada pihak pentadbir universiti, TNC dan HEP, mereka terkecuali daripada menerima tekanan, ugutan dan penindasan. Kemungkinan besar juga usaha-usaha mereka untuk mengadakan program dan aktiviti untuk mahasiswa lebih mudah untuk diluluskan.

Begitu juga dengan hal-hal kebajikan mahasiswa lebih mudah untuk ditimbang oleh pihak pentadbiran universiti jika mereka yang membawanya. Dengan ruang, akses, fasiliti, kemudahan dan sokongan dari pihak pentadbir, secara kasarnya kelihatan kelompok mereka ini mempunyai potensi yang besar untuk mempengaruhi sebahagian besar dari masyarakat mahasiswa untuk menyokong mereka. Secara perwatakan pula mereka ini lebih cenderung aktif di dalam persatuan-persatuan kampus atau aktiviti-aktiviti yang berorientasikan rekreasi, seni, budaya, sukan, hiburan dan sedikit sebanyak program-program ilmiah yang dikawal isinya oleh pihak universiti. Sebahagian besar dari mereka adalah mahasiswa Melayu tetapi mereka juga mempunyai hubungan kerjasama dengan persatuan-persatuan mahasiswa bukan Melayu (Cina dan India) yang juga cenderung pro-BN.

Kemungkinan keberpihakan mereka kepada kerajaan adalah kerana mereka melihat cara yang terbaik dan efektif untuk memperjuangkan kebajikan mahasiswa ialah melalui jalan rundingan dan kerjasama dengan pihak pentadbir universiti yang tentunya mendukung aspirasi Kerajaan BN. Kemungkinan juga mereka (terutamanya pimpinan-pimpinan) bersikap pro-kerajaan kerana melihat peluang-peluang politik (di dalam UMNO khususnya) atau ekonomi (pekerjaan dan karear) yang mungkin lebih mudah untuk mereka perolehi selepas tamat pengajian jika sekiranya mereka menyebelahi pihak kerajaan.

Tidak kurang juga yang menyertai kelompok mahasiswa pro-kerajaan ini kerana habuan-habuan yang berupa material seperti jawatan, trip ke dalam dan luar negeri, projek-projek kecil, makan-makan besar di restoren atau hotel, penginapan di asrama yang lebih mewah, peluang untuk berjumpa tokoh-tokoh UMNO dan kerajaan, handfone, wang poket untuk kerja-kerja pilihanraya dan pelbagai habuan-habuan material yang lainnya. Pendek kata, perjuangan mereka tidak bersandarkan kepada suatu ideologi atau kepercayaan yang kukuh, yang menjadi sandaran mereka ialah habuan material semata-mata baik kuasa, jawatan, karear masa hadapan, kemewahan, wang ringgit atau pun sebuah handfone nokia yang berkamera!

Secara kasarnya kelompok mahasiswa ini berfikiran UMNO dan mewarisi perangai, tabiat dan tingkahlaku UMNO. Keupayaan intelektual mereka sangat terbatas sekali. Hujah-hujah mereka lemah dan tidak meyakinkan. Pemikiran mereka tertutup, tidak kritikal dan cenderung dogmatik serta sukar untuk mereka menerima pandangan-pandangan lain. Jika mereka dikemukakan dengan idea atau hujah yang berlawanan dengan pandangan mereka, biasanya mereka terus menolak hujah tersebut tanpa memikir dan menghalusinya secara rasional.

Walaupun tahap pemikiran dan keupayaan intelektual mereka rendah tetapi memandangkan majoriti dari masyarakat mahasiswa itu sendiri juga telah mandul fikirannya (akibat dari suatu sistem pendidikan yang juga mandul), maka dengan sebab itulah mudah untuk mereka menguasai kepimpinan kampus tanpa saingan (di tambah pula mereka disokong penuh oleh pihak pentadbir universiti beserta dengan jentera-jenteranya).

Manakala kelompok yang kedua pula iaitu kelompok mahasiswa gerakan Islam (yang sering dilabelkan sebagai “anti-establishment”) tidak kurang juga lemahnya. Sepertimana halnya dengan kelompok mahasiswa pro-kerajaan BN, kelompok mahasiswa gerakan Islam ini juga secara umumnya berfikiran tertutup, cenderung dogmatik dengan keupayaan intelektual yang terbatas serta sukar untuk menerima pandangan-pandangan lain walaupun pandangan-pandangan lain itu mungkin lebih rasional. Kelompok mahasiswa ini yang sebenar-benarnya adalah cawangan-cawangan di dalam universiti kepada PAS, ABIM dan JIM.

Memandangkan mereka sudah terlalu lama hidup di dalam suatu sistem gerakan Islam yang feudal, dogmatik, tidak demokratik dan tiada toleransi terhadap perbezaan pandangan ditambah pula dengan puluhan tahun bergantung dengan idea-idea, syallabus-syallabus, pandangan dan pemikiran bapak-bapak mereka (PAS, ABIM dan JIM), menyebabkan mereka telah kehilangan kemandirian untuk berfikir secara kritikal dan bergerak secara kreatif dan inovatif. Fikiran mereka tumpul baik dari segi idea pemikiran mahu pun strategi gerakan. Kelemahan mereka dengan jelas terbongkar apabila pihak universiti mewajibkan setiap mahasiswa turun mengundi.

Sebelum ini apabila mahasiswa tidak diwajibkan mengundi, mereka dengan mudah memenangi setiap pilihanraya kampus yang diadakan. Mudah untuk mereka menang kerana kelompok-kelompok mereka sahajalah yang turun mengundi manakala sebahagian besar lagi tidak peduli langsung terhadap pilihanraya kampus ini. Tetapi apabila mengundi diwajibkan ke atas setiap mahasiswa, barulah mereka sedar tinggi rendahnya langit ini. Bukan sahaja terbongkar kelemahan mereka, tetapi juga terburai kenyataan bahawa yang sebenarnya mereka tidak begitu disukai oleh sebahagian besar masyarakat mahasiswa yang lain. Dengan hanya 15% daripada jumlah masyarakat mahasiswa, logiknya tidak akan mungkin mereka akan dapat merebut kembali struktur kepimpinan kampus selagi setiap mahasiswa diwajibkan turun mengundi!

Dengan posisi mereka yang sekarang ini hampir tiada kedudukan di dalam struktur kepimpinan kampus, masa depan mereka semakin malap dan gelap. Bukan sahaja kelompok mereka tidak disukai oleh mahasiswa-mahasiswa lain tetapi juga ruang dan akses terhadap fasiliti dan kemudahan kampus serta akses terhadap mahasiswa akarumbi juga telah hampir-hampir tertutup kecuali mungkin di UIA atau di fakulti-fakulti pengajian Islam semata-mata. Di tambah pula dengan penutupan segala macam ruang, penindasan, ugutan dan tekanan yang harus mereka hadapi dari pihak pentadbir universiti dan jentera-jenteranya, peluang untuk mereka merebut kembali kekuasaan di kampus amatlah kabur sekali. Walaupun begitu, pada pandangan saya mereka tidak seharusnya menyalahkan pihak pentadbiran Universiti, HEP dan TNC semata-mata. Sebaliknya, lebih elok mereka mencermin diri sendiri, merenung dan menganalisa kembali diri mereka dengan melakukan kritik-diri.

Secara peribadi saya melihat kelompok mahasiswa gerakan Islam ini sebagai suatu kelompok mahasiswa yang bersifat sektarian dan eksklusif. Sektarian di sini membawa maksud mereka hanya bergaul, beraktiviti dan bergerak bersama-sama mereka sahaja. Mereka mungkin ada membuat jaringan dengan kelompok-kelompok bukan Melayu/Islam yang lain yang juga dilabel “anti-establisment” tetapi hubungan mereka hanyalah bersifat superfisial. Hubungan mereka hanyalah setakat mengadakan aktiviti demontrasi bersama, menyertai forum bersama atau membuat petisyen bersama tetapi tidak ada hubungan yang bersifat pemikiran yang lebih dalam dijalin dengan kelompok-kelompok bukan Melayu/Islam ini.

Manakala eksklusif pula membawa maksud tidak ada kepelbagaian fikiran dan kepelbagaian orang di dalam kelompok mereka. Mereka eksklusif orang-orang yang berfikiran dan berperwatakan Islamik ala-PAS, ABIM atau JIM semata-mata. Tahap toleransi dan penerimaan mereka terhadap kelompok-kelompok mahasiswa yang lain terutamanya yang “tak peduli” “tak kisah” “kaki enjoy” dan “kaki party” adalah sangat rendah. Mereka memandang kelompok-kelompok mahasiswa seperti ini sebagai rosak akhlak dan tidak bermoral.

Lantaran itu mereka mengambil sikap untuk tidak cuba merapati dan memahami. Kalau mereka rapati pun tujuan mereka adalah untuk mendakwah kelompok-kelompok ini menjadi seperti mereka. Kepelbagaian cara hidup dan gaya hidup manusia tidak ada di dalam kamus fikiran mereka. Kalau boleh mereka mahu semua manusia Melayu-Islam semuanya seragam seperti mereka semata-mata atau dari hujung rambut sampai hujung kaki –sepesen dengan mereka. Inilah sifat sektarian dan eksklusif yang saya perhatikan wujud dengan berleluasa di kalangan kelompok-kelompok mahasiswa gerakan Islam ini. Kesan dari sikap mereka yang tidak mahu menerima kepelbagaian gaya hidup ini dan tindak tanduk mereka yang memusuhi kelompok yang mempunyai pandangan hidup yang berbeza menyebabkan mereka tidak begitu disukai oleh kelompok-kelompok mahasiswa lain.

Tindakan memprotes konsert-konsert, menjadi polis moral di kampus, penjaga aurat manusia, obses untuk menutup tubuh wanita dan sebagainya telah menjauhkan mereka daripada masyarakat mahasiswa yang lain. Sikap mereka ini sebenarnya terhasil dari ketidakupayaan mereka untuk memahami perubahan-perubahan yang berlaku dengan pesatnya di dalam masyarakat sekarang ini. Mereka beranggapan bahawa masyarakat masih lagi di tahun 80an (tahap tertinggi pencapaian gerakan Islam dan tak akan mungkin akan tercapai lagi selepas ini) sedangkan lebih 20 tahun sudah berlalu dan asas-asas serta nilai-nilai masyarakat telah pun berubah dengan kepesatan ekonomi yang berlangsung.

Ketakutan terhadap perubahan-perubahan yang sedang berlaku pesat ini tidak ditanggapi dengan analisa yang kritis dan mendalam sebaliknya direspon dengan penolakan terus tanpa perbahasan yang rasional dan teliti. Ini tidaklah menghairankan kerana kelompok ini juga malas membaca. Bahan-bahan bacaan yang mereka ulang baca masih lagi bahan-bahan bacaan lama tahun 60an terbitan Pustaka Salam dan Pustaka Fajar dengan Hassan al-Bana, Fathi Yakan, Said Hawwa, Said Qutb masih menjadi sumber rujukan tersohor yang tak boleh dikritik langsung sedangkan sekarang ini sudah tahun 2006, lebih 40 tahun sudah berlalu yang mana permasalahan-permasalahan yang wujud pada hari ini tentulah juga berbeza. Dengan perubahan-perubahan baru yang terjadi, analisanya juga tentulah berbeza tetapi bagi kelompok-kelompok mahasiswa gerakan Islam ini mereka masih tetap berpegang kepada buku-buku lama dan dogmatik pula terhadap idea-ideanya yang tak boleh dicabar langsung.

Kerana itu idea-idea dan pandangan-pandangan di tahun 60an itu sampai sekarang masih mereka usung dan jaja walaupun konteks keadaan masyarakat sudah jauh berbeza. Ketidaupayaan mereka untuk menyesuaikan diri dan pemikiran dengan perubahan yang berlaku menyebabkan kelompok mahasiswa gerakan Islam ini semakin ketinggalan dan dipinggirkan, semakin lama kelompok mereka menjadi semakin kecil. Ini terbukti dengan pilihanraya kampus baru-baru ini di mana mereka tersungkur jatuh di seluruh universiti di Malaysia ini. Begitu juga dengan proses penambahan anggota baru (rekrutment) yang semakin lama semakin kecil jumlahnya dan semakin sukar pula.

Sepertimana dengan kelompok mahasiswa pro-kerajaan, kelompok mahasiswa “anti-establisment” ini juga tidak mempunyai pemikiran yang terbuka, tidak kritikal, tahap keupayaan intelektual yang rendah, sangat dogmatik dan cenderung untuk menolak idea-idea lain yang dilihat bertentangan dengan pandangannya atau pandangan bapak-bapak mereka (PAS, ABIM dan JIM). Proses untuk menganalisa dan menghalusi secara rasional pandangan-pandangan yang berbeza hampir tidak ada sama sekali. Ini mungkin hasil dari sifat dogmatiknya yanglahir dari suatu sistem yang feudal dan tidak demokratik dan tidak membenarkan perbezaan pandangan atau mungkin juga hasil dari malas membaca dan malas mencari jawapan-jawapan baru (mungkin sudah berpuas hati dengan jawapan yang telah dihadamnya melaui usrah-usrah dan tamrin-tamrin). Kerana kemalasannya untuk membaca dan menelaah bahan-bahan bacaan baru masakini, menyebabkan pengartikulasian hujahnya juga lemah dan tidak meyakinkan serta mudah pula dibidas. Kelemahan dan kedangkalan hujah ini juga menyebabkan mereka menghamburkan, balik-balik hujah yang sama dan dihamburkan dengan penuh emosi pula tanpa penjelasan yang rasional dan meyakinkan.

Pengartikulasian mereka terhadap isu-isu yang diangkat juga lemah dan lembik. Ini menyebabkan isu-isu yang cuba dibawa tidak berupaya untuk mempengaruhi mahasiswa-mahasiswa yang lain. Kelemahan di dalam pengartikulasian isu adalah kesan dari kurang membaca dan kurang diskusi dan justeru itu analisa yang dihasilkan tentulah cetek dan tidak mendalam. Kelompok mahasiswa gerakan Islam ini juga cenderung mengangkat isu-isu moral dan isu-isu kulit seperti isu konsert, isu percampuran lelaki perempuan, isu aurat, isu tubuh perempuan, isu tudung, isu muzik, isu gaya hidup dan yang lainnya sebagai isu utama. Sedangkan isu-isu isi yang lebih mustahak seperti isu keadilan, isu kebajikan mahasiswa, isu rakyat, isu demokrasi, isu pendidikan, isu hak asasi dan isu-isu yang melibatkan semua mahasiswa dari pelbagai kaum, agama dan budaya sering gagal diartikulasikan dengan baik. Terdapat suatu obsesi di kalangan mahasiswa gerakan Islam ini untuk membawa mahasiswa-mahasiswa lain ke arah ketaatan penuh terhadap ritual-ritual dan simbol-simbol Islam sedangkan permasalahan dunia pada hari ini tidak mungkin boleh selesai hanya dengan menarik lebih ramai orang untuk taat pada ritual dan simbol Islam semata-mata.

Gerakan mahasiswa Islam gagal untuk membarengi simbol-simbol dan ritual-ritual Islam yang bersifat kulit ini dengan falsafah atau isi Islam itu sendiri di dalam kerangka perjuangannya. Kerana itu perjuangan gerakan mahasiswa Islam cenderung sektarian dan eksklusif dan hanya merangkumi mahasiswa Melayu-Islam sahaja sedangkan realiti di dalam kampus universiti (dan juga negara Malaysia) terdapat pelbagai kelompok lain seperti Cina, India, Iban, Kadazan, Serani, Orang Asli dan sebagainya yang juga merupakan kelompok yang harus dirangkumkan di dalam gagasan perjuangan yang lebih bersifat inklusif (Harus diingat orang Islam di negara ini hanya 54% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia!). Kegagalan untuk mengemukakan pemikiran dan gagagasan-gagasan perjuangan yang sesuai dengan konteks masyarakat Malaysia yang plural ini, kelemahan mengartikulasi isu-isu isi dengan baik dan kecenderungan untuk membawa isu-isu moral dan kulit serta obsesi berlebih-lebihan terhadap ritual dan simbol agama adalah antara faktor-faktor kenapa kelompok mahasiswa gerakan Islam ini semakin terpinggir dan menjauh dari masyarakat mahasiswa yang lain.

Secara jujur saya berpandangan bahawa kelompok mahasiswa gerakan Islam ini sudah pun sampai ke kemuncak kehebatannya di tahun 80an dahulu dan sekarang adalah zaman kejatuhannya. Kejatuhan kelompok mahasiswa Islam ini tidak akan berhenti, malah semakin lama ia akan semakin jatuh dan tidak akan naik-naik lagi kecuali beberapa perubahan radikal berlaku di tahap pemikiran dan gagasannya. Atau dengan kata lain kejatuhan kelompok mahasiswa ini hanya akan dapat dihentikan jika berlakunya perubahan paradigma pemikiran di kalangan pimpinan dan anggota-anggotanya di mana pemikiran-pemikiran lama dinilai kembali, dikritik dan digantikan dengan pemikiran-pemikiran baru yang lebih bersesuaian dengan perubahan zaman serta gagasan-gagasan baru yang berupaya menjawab permasalahan-permasalahan masyarakat kampus yang melintasi batas-batas kaum, agama dan budaya dengan teras keadilan (justice) untuk semua tidak kira Melayu, Cina atau India.

Manakala kelompok yang terakhir di dalam masyarakat mahasiswa ialah kelompok ketiga atau kelompok mahasiswa yang “tak kisah”, “tak peduli”, “kaki enjoy”, “kaki party” dan “kaki studi”. Kelompok ini pada perkiraan saya adalah kelompok majoriti dengan anggaran 75% dari jumlah keseluruhan mahasiswa. Kelompok ini dikatakan “tidak peduli” atau “tidak kisah” kerana kita sendiri tidak pernah berusaha untuk pergi dan mendekati mereka. Secara kasarnya kelompok ini adalah kelompok mahasiswa yang multi-rasial dengan majoritinya adalah mahasiswa Melayu. Mereka memang tidak peduli dengan politik kampus. Bagi mereka politik kampus adalah membuang masa dan tidak ada hasil. Ini kerana dari pandangan mereka MPP bertukar-ganti tetapi tiada perubahan yang mereka perolehi. Oleh sebab itu baik tidak peduli. Lebih baik enjoy, studi, dating, lepak kat mid valley, tengok vcd, main game, bersukan, kerja part-time, join persatuan-persatuan seni, budaya dan rekreasi adalah lebih berfaedah dan membawa keuntungan. Dengan kata lain mereka melihat aktiviti-aktiviti yang bersifat politikal ini berisiko tinggi, boleh dibuang universiti, tak “kool”, skema, hanya untuk mat dan minah surau dan tidak akan membawa apa-apa perubahan di dalam hidup mereka.

Tetapi walaupun mereka tidak suka kepada politik kampus tetapi memandangkan mengundi adalah wajib, maka terpaksa jugalah mereka turun mengundi. Dan dalam memilih calon adalah lebih baik memilih calon yang telah dipersetujui oleh universiti kerana mereka tidak mahu kehilangan kemudahan-kemudahan yang telah diberi contohnya kemudahan untuk tinggal di asrama kolej. Tetapi kemungkinan juga mereka memilih calon bukan dari kelompok gerakan mahasiswa Islam kerana mereka tidak mahu ada polis moral yang mengganggu kehidupan mereka di kampus. Namun begitu, kelompok ini bukanlah kelompok yang bodoh dan mengikut telunjuk sahaja. Saya percaya mereka adalah kelompok yang mampu berfikir jika usaha-usaha mendekati dan mengartikulasi idea dengan strategi yang kreatif dilakukan terhadap kelompok mereka. Untuk saya ketidakpedulian mereka itu adalah sebahagian dari protes mereka terhadap politik kampus itu sendiri yang mereka lihat tidak membawa apa-apa perubahan. Ketidakpedulian mereka itu bersebab. Dan kita perlu mencari sebab untuk menjadikan mereka kembali peduli.

Selama ini kelompok ini jarang didekati, dirapati dan diajak sembang-sembang serta diskusi. Memandangkan mereka adalah kelompok majoriti (75%) maka wajarlah mereka ini yang dijadikan sasaran untuk disedarkan dan diorganisasi. Namun tidak mungkin mereka dapat kita sedarkan jika kita masih menggunakan kaedah-kaedah lama dengan pemikiran-pemikiran yang lama juga. Suatu kaedah, gagasan dan pemikiran baru perlu dicari dan didiskusi dengan rinci. Justeru itu, langkah yang paling mendesak dan menjadi prioriti utama masa kini ialah pembentukan satu wadah baru untuk menyusun kelompok mahasiswa yang “tidak peduli” ini.

Menyedarkan dan membawa mereka ke dalam kelompok gerakan mahasiswa Islam bukanlah suatu langkah yang baik terutamanya pada ketika masayarakat mahasiswa yang lainnya tidak menyukai kelompok gerakan mahasiswa Islam ini ditambah pula dengan label-label yang banyak melekat ditubuh gerakan mahasiswa Islam yang sukar untuk dikikis sama sekali. Lagi pun fikiran, gaya hidup dan tingkahlaku yang berbeza pastinya menyukarkan proses penyesuaian diri mereka. Tambahan pula kelompok gerakan mahasiswa Islam ini pada pandangan mereka hanyalah penyambung tangan parti politik luar semata-mata dan hanya peduli dan berjuang tentang masalah moral sahaja. Kerana itulah langkah yang paling wajar dilakukan ialah menyediakan satu wadah baru untuk mereka kerana sehingga kini masih belum ada wadah yang dibangunkan untuk menempatkan kelompok mahasiswa ketiga ini.

Wadah baru haruslah diisi pula dengan pemikiran-pemikiran baru dan gagasan-gagasan baru. Dan untuk mengisi wadah baru dengan pemikiran dan gagasan baru, tidak ada jalan lain kecuali dengan banyak membaca, banyak menganalisa, banyak berdiskusi dengan diskusi-diskusi yang mendalam dan teliti dan banyak berfikir tentunya. Apakah bentuk wadahnya, apakah isi-isi pemikirannya, apakah gagasan-gagasannya, apakah strategi-strateginya dan bagaimana untuk membangunkan wadah baru ini – inilah yang sepatutnya menjadi tugas dan tanggungjawab kita yang paling mendesak sekarang ini untuk kita fikirkan dalam-dalam, bersama-sama.

Selamat Berfikir!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: