Meninjau PRU13 Siri 5: 77% Melayu Atas Pagar Penentu Kemenangan

Image

Berikut adalah petikan dari laporan terkini sebuah kajian pilihanraya yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang dilaporkan oleh portal berita The Malaysian Insider:

The UMCEDEL survey, which polled 1,407 voters in the peninsula from the day Parliament was dissolved (April 3) to nomination day (April 20), showed that the percentage of Malay fence-sitters increased from 53 per cent in March to 77 per cent in April, while the percentage of Chinese fence-sitters fell to just 17 per cent this month from 35 per cent last month.

Terjemahannya: “Kajian UMCEDEL yang melibatkan 1,407 pengundi di Semenanjung Malaysia dari hari Parlimen dibubarkan (3 April 2013) sehinggalah ke hari penamaan calon (20 April 2013) menunjukkan peratus pengundi Melayu atas pagar meningkat daripada 53% di bulan March kepada 77% di bulan April. Manakala peratus pengundi Cina atas pagar menurun daripada 35% kepada 17% di dalam tempoh yang sama”.

Pengundi Cina nampaknya sudah menetapkan pendirian mereka siapa yang akan mereka undi pada 5 Mei 2013 nanti. Pada pandangan saya, kalau tiada apa-apa kejadian besar dan memeranjatkan berlaku yg boleh mengubah pendirian masyarakat Cina sehingga hari mengundi, 70-80% undi masyarakat Cina akan masuk ke dalam peti undi Pakatan Rakyat.

Nampaknya sebahagian besar daripada masyarakat Cina sudah pun berjumpa parti yang mereka percaya boleh menjaga, mempertahankan, melindungi dan memperbaiki kepentingan-kepentingan mereka. Parti ini ialah Pakatan Rakyat. Pada pandangan saya masyarakat Cina memilih Pakatan Rakyat kerana di dalam Pakatan Rakyat ada parti yang mereka lihat dan percaya akan memperjuangkan kepentingan-kepentingan etnik mereka iaitu DAP.

Jika Pakatan Rakyat hanya terdiri daripada PAS dan PKR, apakah sebahagian besar daripada masyarakat Cina ini akan memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat? Di dalam masyarakat majmuk Malaysia yang relatifnya terpisah secara struktural mengikut garis etnik, agama dan bahasa, agak sukar untuk saya membayangkan masyarakat Cina memberikan undinya kepada Pakatan Rakyat jika tiada parti DAP di dalamnya. Oleh kerana itu saya masih lagi berfikiran bahawa kita belum merentasi garis etnik sepenuhnya.

Begitu juga kalau PAS menarik diri daripada Pakatan Rakyat, apakah majoriti daripada orang Melayu-Islam yang menyokong Pakatan Rakyat akan tetap memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat tanpa PAS? Apakah orang Melayu akan memberi undi kepada Pakatan Rakyat yang hanya dianggotai oleh DAP dan PKR?

Ujian untuk menentukan sama ada kita sebagai rakyat Malaysia sudah merentasi garis etnik atau tidak ialah apabila kita langsung tidak mengambil-kira persoalan etnik sewaktu kita membuang undi. Maknanya, kalau kita seorang Cina kita masih akan mengundi Pakatan Rakyat kerana kita yakin dan percaya PAS dan PKR akan tetap memperjuangkan kepentingan-kepentingan kita walau pun tiada parti DAP di dalamnya. Begitu juga kalau kita seorang Melayu yang beragama Islam, kita masih akan terus mengundi Pakatan Rakyat walau pun parti PAS tiada di dalamnya.

Dari hipotesis yang saya kemukakan di atas, saya agak yakin yang kita masih lagi melihat persoalan etnik dan/atau agama (baca: keetnikan) sebagai persoalan penting di dalam membuat pilihan politik khususnya untuk memilih parti mana yang akan kita undi pada PRU13 nanti. Kita masih memperkirakan tentang keperluan adanya parti yang kita lihat didominasi dan dipimpin oleh etnik kita sendiri sebelum kita menyokong parti-parti lain di dalam koalisi politik tersebut.

Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana tingkat integrasi antara etnik di negara kita ini umumnya masih rendah disebabkan pemisahan struktural mengikut garis etnik, agama dan bahasa yang kita sendiri pilih secara sukarela contohnya penubuhan persatuan-persatuan perniagaan mengikut etnik, pemisahan sekolah-sekolah mengikut bahasa vernakular, keanggotaan di dalam persatuan-persatuan sosial mengikut agama dan etnik, konsumsi media dan budaya popular mengikut garis etnik dan bahasa serta tidak ketinggalan pemisahan yang bukan sukarela yang diwarisi oleh kita melalui perlembagaan yang memberikan keistimewaan serta layanan yang berbeza kepada etnik dan agama tertentu.

Di dalam kondisi masyarakat majmuk yang relatifnya terpisah sebegini rupa, keputusan untuk memilih siapa atau parti mana yang akan diberi kuasa memerintah cenderung dibuat dengan mengambil perkiraan-perkiraan keetnikan.

Daripada dapatan-dapatan kajian UMCEDEL ini menunjukkan bahawa masyarakat Cina sudah pun hampir selesai membuat perkiraan-perkiraan keetnikan dan bukan keetnikan mereka. Kerana itu peratus pengundi Cina atas pagar telah menurun dengan drastik sekali dari 35% kepada 17% hanya dalam tempoh sebulan sahaja. Sebahagian besar daripada mereka telah meletakkan kepercayaan secara umumnya kepada parti DAP sebagai wakil untuk memperjuangkan kepentingan-kepentingan mereka di dalam koalisi Pakatan Rakyat.

Hanya masyarakat Melayu sahaja nampaknya belum menemui wakil yang mereka percaya boleh menjaga, mempertahankan, melindungi dan memperbaiki kepentingan-kepentingan mereka. Hanya pengundi Melayu sahaja yang masih teragak-agak. Hanya pengundi Melayu sahaja yang masih mengambil pendirian tunggu dan lihat.

Malahan dari kajian UMCEDEL ini kita boleh tafsirkan bahawa kemungkinan sebahagian daripada masyarakat Melayu yang dulunya sudah membuat pendirian kini menarik balik pendirian tersebut dan mengambil keputusan untuk berdiri di atas pagar. Kerana itu jumlah orang Melayu yang berada di atas pagar meningkat daripada 53% ke 77% hanya di dalam tempoh sebulan sahaja. Suatu peningkatan mendadak yang jumlahnya sangat tinggi. Persoalannya ialah kenapa?

Pada pandangan saya ramainya Melayu di atas pagar ini adalah kerana mereka masih belum selesai membuat perkiraan-perkiraan keetnikan dan bukan keetnikan mereka. Tidak seperti etnik Cina yang majoritinya sudah menyatakaan sikap dengan menolak parti-parti yang mewakili mereka di dalam koalisi Barisan Nasional seperti parti MCA dan Gerakan, majoriti etnik Melayu (77% menurut kajian UMCEDEL) masih belum dapat membuat keputusan sama ada mereka akan mengundi Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.

Penolakan besar-besaran masyarakat Cina terhadap parti MCA dan Gerakan sebahagian besarnya adalah kerana MCA dan Gerakan dilihat sudah tidak mampu untuk menjaga, melindungi, mempertahan dan memperjuangkan kepentingan-kepentingan mereka sama ada yang berbentuk keetnikan atau pun bukan keetnikan. MCA dan Gerakan dilihat terlalu tunduk kepada dominasi UMNO hingga menjejaskan kepentingan-kepentingan etnik Cina. Pendek kata majoriti masyarakat Cina sudah hilang kepercayaan kepada MCA dan Gerakan.

Manakala bagi masyarakat Melayu pula berdasarkan kajian terkini UMCEDEL ini sebahagian besar daripada mereka masih belum pasti siapa yang akan mereka pilih untuk mewakili kepentingan-kepentingan mereka. Ketidakpastian mereka ini adalah manifestasi kepada berbelah-baginya fikiran mereka.

Kemungkinan mereka belum yakin sepenuhnya kepada Pakatan Rakyat. Kemungkinan juga mereka masih lagi punya sedikit kepercayaan kepada UMNO. Kemungkinan besar mereka melihat UMNO tidak seperti masyarakat Cina melihat MCA.

Jika majoriti masyarakat Cina melihat MCA sebagai wakil yang gagal untuk melindungi dan memperjuangkan kepentingan Cina, masyarakat Melayu yang di atas pagar ini mungkin melihat UMNO tidaklah gagal sepenuhnya di dalam melindungi dan memperjuangkan kepentingan-kepentingan Melayu.

Kerana itu mereka tidak menolak UMNO seperti mana masyarakat Cina menolak MCA. Kepercayaan terhadap UMNO belum hilang sepenuhnya lagi. Atau dengan kata lain kemarahan mereka terhadap UMNO belum cukup maksima seperti mana kemarahan majoriti masyarakat Cina terhadap MCA khususnya. Justeru itu majoriti daripada orang Melayu ini mengambil keputusan untuk berada di atas pagar dan melihat dahulu di sebelah pagar mana yang lebih meyakinkan mereka dan sebelah pagar mana marah mereka lebih tercurah.

Justeru itu bagi saya, fenomena Melayu atas pagar ini adalah suatu manifestasi kemarahan kepada UMNO yang masih belum maksima.

Kenapa kemarahan sebahagian besar daripada masyarakat Melayu kepada UMNO masih tidak cukup maksima lagi adalah kerana perkiraan-perkiraan keetnikan mereka masih belum selesai untuk mereka menyatakan sikap politik mereka dengan tegas. Kerana itu mereka lebih selesa buat masa ini berada di atas pagar untuk menunggu dan melihat sebelum membuat keputusan yang mungkin paling penting di dalam sejarah politik Malaysia.

Apakah perkiraan-perkiraan keetnikan mereka ini? Sebenarnya terlalu banyak perkiraan-perkiraan etnik yang boleh dibincangkan di sini seperti peluang perniagaan orang Melayu, kedudukan ekonomi orang Melayu, peluang pendidikan tinggi orang Melayu, biasiswa untuk orang Melayu, kontrek dan projek untuk orang Melayu, pekerjaan untuk orang Melayu, perumahan mampu-milik untuk orang Melayu, masalah kemiskinan orang Melayu, kedudukan Islam di negara ini dan segala macam perkara lain yang saya yakin menjadi perkiraan majoriti orang Melayu.

Akan tetapi di dalam tulisan ini saya hanya akan memfokuskannnya kepada satu sahaja iaitu ketakutan terhadap kehilangan kuasa politik bangsa Melayu.

Ketakutan terhadap kehilangan kuasa politik ini bukanlah perkara baru di dalam masyarakat Melayu. Ia menjadi tema yang berterusan diangkat di dalam perjalanan sejarah bangsa Melayu. Menelusuri garis sejarah kita akan bertemu dengan ungkapan terkenal Hang Tuah “takkan Melayu hilang di dunia”.

Ungkapan “takkan Melayu hilang di dunia” ini adalah suatu manifestasi kepada kerisauan, kegusaran dan ketakutan akan kehilangan Melayu. Ketakutan kepada kemungkinan pupusnya bangsa Melayu pada suatu hari nanti. Dari pembacaan saya ungkapan ini sebenarnya tidak dapat dikesan di mana atau di dalam situasi apakah ianya diucapkan oleh Hang Tuah.

Oleh kerana itu, saya berandaian ianya diungkapkan oleh Hang Tuah ketika masyarakat Melayu Melaka berhadapan dengan krisis politik yang tenat ketika menghadapi serangan daripada penjajah asing. Di dalam keadaan kerajaan Melayu Melaka diserang bertalu-talu, kuasa politik dilihat sebagai alat penting yang perlu dikekalkan untuk memastikan wujudiah bangsa Melayu terus berlangsung dan tidak hilang sampai bila-bila.

Ketakutan terhadap kehilangan kuasa politik Melayu yang dimanifestasikan melalui kata-kata Hang Tuah, “takkan Melayu hilang di dunia”, adalah ketakutan yang masih lagi belum lenyap sehingga sekarang.

Kerana itulah saya yakin kalau ditanya kepada orang Melayu dari kedua belah pihak siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, hanya nama-nama Melayu-Islam yang akan muncul dibibir mereka – Najib Razak, Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Nik Aziz, Muhyiddin Yassin sehingga kepada nama pemimpin politik muda Rafizi Ramli turut dicalonkan.

Namun tidak ada seorang pun nama pemimpin politik bukan Melayu yang disebut. Nama Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng yang juga merupakan pemimpin politik Malaysia yang cukup berwibawa, berintegriti, bersih dan bebas rasuah tidak terbayang difikiran mereka untuk dijadikan Perdana Menteri.

Ini menunjukkan sentimen keetnikan yang diluahkan melalui rasa takut terhadap kehilangan kuasa politik Melayu (kerana itu Perdana Menteri Malaysia mestilah seorang Melayu atau Muslim) masih merupakan perkara penting yang diperkirakan oleh sebahagian besar daripada masyarakat Melayu.

Inilah yang saya fikir menjadi perkiraan dan persoalan pokok kepada Melayu atas pagar ini – apakah kuasa politik Melayu akan hilang jika sekiranya undi diberikan kepada Pakatan Rakyat.

Bagaimana kuasa politik Melayu ini dilihat?

Kuasa politik Melayu ini dilihat oleh mereka melalui pengisian jawatan-jawatan kekuasaan politik yang penting oleh individu dari etnik Melayu. Jawatan yang dilihat penting ini adalah seperti jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Selain daripada itu mereka turut memperkirakan tentang pengisian etnik Melayu di dalam jawatan-jawatan kekuasaan di kementerian yang strategik seperti kewangan, pendidikan, pengajian tinggi, industri dan asas tani, keusahawanan, perdagangan luar negara, kebudayaan dan warisan, hal ehwal dalam negeri, pertahanan negara dan seumpamanya.

Kenapa kuasa politik yang dimanifestasikan melalui pengisian jawatan politik yang strategik oleh etnik Melayu dianggap penting oleh mereka?

Pada pandangan saya ini adalah kerana realiti kedudukan ekonomi mereka sebagai sebuah kumpulan yang mereka lihat masih lemah dan terkebelakang. Kedudukan ekonomi mereka ini biasanya akan mereka bandingkan dengan bangsa Cina yang mereka lihat punya kedudukan ekonomi yang lebih kuat dan mapan.

Justeru itu, kuasa politik melalui pengisian jawatan-jawatan yang strategik oleh etnik Melayu dilihat oleh orang Melayu sebagai alat yang boleh digunakan untuk memperbaiki dan meningkatkan kedudukan ekonomi mereka yang lemah dan terkebelakang itu.

Sama ada dengan pengisian jawatan-jawatan yang strategik oleh etnik Melayu ini benar-benar dapat memperbaiki dan mempertingkatkan kedudukan ekonomi mereka adalah satu perkara yang lain. Yang penting di dalam psyche (psiki) mereka ialah orang Melayu harus mengisi jawatan-jawatan strategik ini di atas kepercayaan solidarity seetnik bahawa hanya pemimpin Melayu yang faham dan mampu memperbaiki kedudukan ekonomi kumpulan etnik mereka yang mereka lihat lemah itu.

Di dalam perkiraan yang bersifat keetnikan ini  masyarakat (tanpa mengira etnik) cenderung membuat keputusan di atas pengaruh rasionaliti terbatas (bounded rationality), emosi dan sosio-psikologi yang kompleks. Kerana itu jugalah kita dapat melihat bagaimana di dalam pemilihan kepimpinan pusat parti DAP yang lalu, tidak ada seorang Melayu pun yang dipilih oleh perwakilan DAP untuk menganggotai kepimpinan pusat walau pun terdapat sebilangan kecil pemimpin Melayu yang berwibawa di dalam DAP.

Rasa takut kehilangan kuasa politik pengundi-pengundi Melayu atas pagar ini pada pandangan saya tidak pula diredakan sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat. Pengisian-pengisian jawatan politik yang penting seperti Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri masih belum diselesaikan oleh Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan jawatan-jawatan politik di kementerian-kementerian strategik juga masih kabur siapa atau parti mana yang akan mengisinya.

Saya juga faham bahawa strategi Pakatan Rakyat untuk tidak mengumumkan hal berhubung jawatan-jawatan politik ini adalah untuk mengelakkan diri mereka daripada diserang oleh Barisan Nasional dengan serangan-serangan berbentuk perkauman. Tetapi dengan tidak mengumumkan membuatkan lebih ramai orang Melayu mengambil keputusan untuk berada di atas pagar.

Propaganda media arus perdana milik Barisan Nasional yang sering melaga-lagakan pemimpin Pakatan Rakyat dan memaparkan parti DAP sebagai agresif dan anti-Melayu turut tidak membantu mereka untuk membuat keputusan dengan pasti.

Pengundi Melayu atas pagar ini saya fikir sedang berhadapan dengan dilemma ketidakpastian tentang sejauh mana kuasa politik Melayu akan dapat dipertahankan oleh Pakatan Rakyat. Terdapat kerisauan, kegusaran dan ketakutan di dalam fikiran mereka tentang kemungkinan hilangnya kuasa politik Melayu jika Pakatan Rakyat memerintah.

Sementara itu bila mereka melihat Barisan Nasional pula terdapat semacam suatu bentuk kepastian khususnya tentang penempatan etnik Melayu di jawatan-jawatan kekuasaan politik yang penting dan portfolio-portfolio kementerian yang strategik.

Mereka mendapat kepastian bahawa di kedua-dua jawatan politik penting negara, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri akan diisi oleh etnik Melayu kalau Barisan Nasional menang.

Melalui UMNO mereka tahu jawatan-jawatan politik yang penting di kementerian-kementerian yang strategik akan dipimpin oleh etnik Melayu dengan di bantu oleh etnik bukan Melayu sebagai timbalan-timbalannya.

Mereka juga tahu di dalam kapal Barisan Nasional hanya ada satu nakhoda dengan kedudukan yang paling dominan iaitu UMNO manakala di dalam kapal Pakatan Rakyat ada tiga nakhoda dengan kedudukan yang saksama iaitu PKR, PAS dan DAP.

Persoalannya apakah pengundi Melayu atas pagar yang ramai ini sudah bersedia untuk menerima perkongsian kuasa politik bentuk baru melalui permuafakatan yang berasaskan kesaksamaan kedudukan antara PKR, PAS dan DAP atau pun mereka masih menginginkan perkongsian kuasa politik bentuk lama melalui permuafakatan yang berasaskan kepimpinan Melayu UMNO sebagai pemimpin dominan di dalam Barisan Nasional ?

Apa pun pilihan mereka saya agak pasti bahawa keputusan PRU13 itu nanti akan ditentukan oleh Melayu atas pagar ini. Parti manakah yang akan mereka pilih – Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat?

Pada pandangan saya pilihan Melayu atas pagar ini bergantung kepada sejauh mana kemarahan terhadap UMNO mengatasi rasa takut terhadap kemungkinan kehilangan kuasa politik Melayu kalau Pakatan Rakyat memerintah.

Jika kemarahannya terhadap UMNO melebihi rasa takutnya itu, Putrajaya akan menjadi milik Pakatan Rakyat. Akan tetapi jika rasa takutnya terhadap kemungkinan kehilangan kuasa politik Melayu kalau Pakatan Rakyat memerintah melebihi rasa marahnya kepada UMNO, maka bukan ini kalilah nampaknya!

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 56 other followers

%d bloggers like this: