Menginsafi Kemiskinan Dunia Ketiga

“…kemanusiaan tanpa pengetahuan tentang duduk soal kehidupannya
sendiri … bisa tersasar. Yang dinamakan zaman moden … adalah zaman
kemenangan modal. Setiap orang zaman moden diperintah oleh modal
besar … juga pendidikan, juga suratkhabarnya … juga kesusilaan, juga
hukum, juga kebenaran dan pengetahuan.”

- Pramoedya Ananta Toer, Anak Semua Bangsa

Ketidaksetaraan ekonomi merupakan masalah yang wujud sejak sekian lama dalam mana – mana peradaban – baik di Timur mahupun Barat. Dunia sering dibahagikan kepada Negara yang maju dan yang tidak. Malah hal ini semakin ketara selepas Perang Dunia Ke-2, wujudnya istilah Negara Selatan, Negara membangun dan sebagainya. Tidak dinafikan banyak Negara mengalami pertubuhan pesat sehingga mencapai tujuh peratus setahun, namun tidak wujud titisan ke bawah. Persoalannya sekarang adakah kemelaratan ekonomi masyarakat kelas rendah ini disebabkan takdir Tuhan? Apakah kemiskinan adalah hal yang tidak terelak dalam komuniti? Dan tidakah jalan bagi membebaskan masyarakat tertindas ini? Esei ini akan berkisar pada persoalan – persoalan ini dan akan cuba memberi jawapan terhadapnya melalui pendekatan neo- Marxis.

 

Esei ini akan bermula dengan memberikan beberapa konsep penting bagi memudahkan kefahaman sebelum pergi kepada rangka teori pada bahagian berikutnya. Bahagian kedua esei ini akan membicarakan model kebergantungan yang dikemukakan oleh Andre Gunder Frank. Bahagian ini juga memuatkan beberapa pandangan lain dalam memahami hubungan ekonomi antarabangsa. Hal ini bagi membolehkan perbandingan teori ini dengan teori lain dengan sejumlah kritikan terhadapnya. Bahagian ketiga esei ini pula akan menyentuh tentang teori system dunia yang dibangunkan oleh Wallerstein. Bahagian ini akan melihat fenomena kemunculan ekonomi perindustrian baharu di Asia dari konteks teori system dunia.

Kesimpulan pada esei ini akan cuba merumuskan sumbangan penting ekonomi politik neo- marxis dalam memahami kemiskinan. Sama ada, teori ini benar – benar dapat member huraian yang konstruktif mahu pun tidak dalam membaca masalah kemiskinan.

Beberapa konsep asas

Bagi memudahkan kefahaman, eloklah dimulakan perbincangan ini dengan beberapa konsep penting yang menjadi teras esei ini. Pertamanya, hendaklah dihuraikan dahulu hal yang dimaksudkan dengan kemiskinan itu. Umumnya kemiskinan dirujuk kepada tingkat pendapatan mutlak rendah, iaitu dibawah paras yang dianggap sebagai mencukupi bagi menampung keperluan hidup minimum sesebuah isi rumah (Hassan Ali, 2003). Tingkat pendapatan mutlak juga dikenali sebagai tingkat Pendapatan garis Kemiskinan (PGK). Namun hal ini sering menjadi masalah dalam menentukan PGK sesebuah Negara. Selanjutnya, terdapat juga kecencerungan untuk mengklasifikasikan ekonomi sesebuah Negara itu menurut pendapatan per kapitanya. Tetapi Negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi tidak semestinya bilangan penduduk yang miskin adalah rendah. Hal ini sudah tentu kerana agihan kekayaan yang tidak adil. Contohnya Taiwan dan Guatemala mempunyai tingkat pendapatan per kapita yang hampir sama pada tahun 1975 namun nisbah penduduk miskin di Guatemala dua kali lebih tinggi berbanding Taiwan. Ketidakadilan dalam agihan kekayaan ini pula boleh dilihat antara kawasan Bandar dan luar Bandar, mengapakah hal ini terjadi? Hal ini akan dibincangkan lanjut pada bahagian berikut esei ini.

Dalam membicarakan kemajuan ekonomi sesebuah Negara kita harus juga memahami konsep pembangunan. Meskipun banyak negara membangun mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi dalam tahun 1950-an dan 1960-an,namun masalah pengangguran, kemiskinan dan agihan ekonomi yang tidak adil masih berterusan.

Menurut Syed Husin Ali (1976) dalam bukunya ‘Apa Erti Pembangunan?’ telah menghuraikan bagaimana seharusnya pembangunan difahami. Pembangunan mestilah meliputi taraf ekonomi Negara secara keseluruhannya, dan untuk mencapai keadaan ini perlulah dirungkai punca – punca yang menyebabkan kemunduran di samping menegakkan usaha – usaha pembangunan. Jurang ekonomi antara kaum dan kelas haruslah dirapatkan, begitu juga dengan perbezaan ekonomi mengikut geografi. Jika hanya kawasan Bandar sahaja yang maju, ia tidak melambangkan pembangunan yang holistic. Bagi memastikan semua perkara ini dicapai Syed Husin menyatakan pentingnya anak watan memiliki dan menguruskan sendiri sumber kekayaan bumi mereka. Mereka juga harus berupaya menguasai perjalanan ekonomi domestic dan dapat mengawal daripada wujudnya monopoli asing dalam ekonomi Negara.

Keadaan ini jugalah yang mendesak para pengkaji dan pembuat dasar untuk bukan sahaja mencari kerangka teori yang sesuai untuk menangani dilema dalam usaha pembangunan ini, malah konsep pembangunan itu sendiri turut dikaji semula. Hasilnya, dari segi teori sejak penghujung tahun 1960-an, muncullah pelbagai pendekatan/teori pembangunan baru – antaranya pendekatan keterbergantungan dan teori sistem dunia.

Memahami kemiskinan melalui teori pergantungan

Pada penghujung 1970-an, setelah ekonomi perindustrian Barat mengalami kemerosotan dan masalah inflasi yang buruk mulai penghujung 1960-an, berlaku perubahan asas dalam dasar ekonomi di negara Barat. Perubahan radikal dasar ekonomi ini kemudiannya merebak ke Negara- negara membangun. Apa yang berlaku adalah pengecilan peranan negara dan sebaliknya peningkatan peranan swasta dan kuasa pasaran serta keterbukaan ekonomi dan peningkatan pengintegrasian ekonomi nasional ke dalam ekonomi global. Semboyan utama yang dilaungkan adalah liberalisasi, deregulasi dan penswastaan. Para pendukung dasar ini mendakwa bahawa perubahan dasar tersebut diperlukan bukan sahaja untuk mencapai matlamat kestabilan makroekonomi, tetapi untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk. Herotan harga yang dikatakan berpunca daripada campur tangan negara, serta penentangan terhadap keterbukaan ekonomi, diandaikan faktor utama kadar pertumbuhan ekonomi menjadi rendah, semakin tidak saksama agihan pendapatan dan bertambah buruknya masalah kemiskinan. Usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui penyertaan yang aktif dalam ekonomi global dipercayai dapat membolehkan negara membangun bukan sahaja mengatasi masalah kemiskinan bahkan memungkinnya merapatkan jurang dengan negara perindustrian maju.

Akibatnya, negara menjadi semakin tunduk kepada apa yang dikenali kini sebagai fundamentalis pasaran dan imbangan kuasa semakin memihak kepada kuasa pasaran (khususnya syarikat-syarikat gergasi transnasional (TNC)). Proses perubahan yang dikenali juga sebagai proses globalisasi dianggap oleh sesetengah pihak menandakan satu titik perubahan penting untuk melemahkan struktur ekonomi, politik dan sosial dunia yang lama dan munculnya struktur yang baru (Cox 1994). Penulis akan membawakan keadaan bagaimana interaksi ekonomi antara Negara maju dan miskin ini akan mewujudkan kebergantungan dan malah menjadikan masalah ketidakadilan agihan kekayaan yang semakin parah.

Jika pandangan di atas dapat diringkaskan, dapatlah difahami bahawa pendekatan neo – liberal melihat punca negara miskin ini kerana ekonomi mereka lewat berkembang dan kelak, semakin pantas mereka mempelajari teknik – teknik ekonomi moden, semakin pantas mereka dapat keluar daripada kitaran kemiskianan. Namun hal ini disanggah oleh para pemikir ekonomi yang menggunakan pendekatan neo- Marxis. Andre Gunder Frank, antara yang terawal mempelopori teori kebergantungan, dengan jelas menyatakan bahawa hubungan kebergantungan ini yang membawa kepada masalah kemiskinan didalangi oleh kapitalis antarabangsa, menurutnya;

…historical research demonstrates that contemporary underdevelopment is in large part the historical product of past and continuing eonomic and other relations between the satellite underdeveloped and the now developed metropolitan countries. Furthermore, these relations are an essential part of the capitalist system on a world scale as a whole.[1]

“Development of underdevelopment” berlaku di dalam sistem dunia kapitalis yang dicirikan dengan struktur metropolis-satelit. Metropolis mengeksploitasi negara satelit membolehkan keuntungan hanya dinikmati oleh metropolis. Setelit pula terus miskin dan disingkirkan daripada dana pelaburan supaya pertumbuhannya menjadi begitu perlahan. Lebih penting, potensi satelit dikurangkan sehingga hanya menjadi negara yang bergantung yang mana berperanan tidak lebih sebagai pembekal bahan mentah dan buruh murah. Hal ini kerana kapitalis antarabangsa yang dijelmakan dalam bentuk negara maju bukan sahaja hadir bersama – sama modal mereka tetapi turut membawa teknologi yang tidak dimiliki oleh negara membangun. Industry yang berorentasikan modal dan teknologi ini pastinya tidak mewujudkan persaingan yang adil. Maka pada akhirnya yang menentukan bagaimana pasaran harus bertindak balas adalah mereka yang menguasainya. Huraian mudahnya, walaupun negara metropolis memerlukan Negara setelit untuk untuk memasarkan produk mereka, namun yang menguasai perdagangan adalah Negara metropolis, jika Negara setelis tidak berpuas hati dengan perjanjian perdagangan tersebut, Negara metropolis boleh sahaja memasarkan produk mereka di Negara lain, namun berbeza dengan Negara setelit yang mana pilihannya adalah terhad, hal ini kerana mereka tidak mampu mengeluarkan produk mereka sendiri, maka mereka pada akhirnya terpaksa akur dengan kehendak kapitalis.

Beberapa pandangan dalam memahami hubungan ekonomi antrabangsa

Hoselitz (1953) mengemukakan teorinya di bawah tajuk ‘Social Structure and Economic Growth” dengan menekankan perbezaan di antara peranan social dan tabiat yang terdapat dalam masyarakat maju kalau di bandingkan dengan masyarakat mundur. Hujahnya, Negara – Negara maju menunjukkan pola universalisme, askriptif dan kesamaran fungsi. Hoselitsz mengesyorkan negara kurang membangun agar menghapuskan pembolehubah berpola kurang membangun dan menggantikannya dengan pembolehubah berpola membangun.

A.G Frank telah mengkritik Hoselitz mengenai perbandingan antara negara maju dan mundur, umpamanya dari segi universalisme yang dihujahkan oleh Hoselitz. Frank menegaskan bahawa di negara maju, terdapat keadaan yang bertentangan dengan apa yang yang disarankan oleh Hoselitz; misalnya kepentingan persendirian yang amat berpengaruh dalam masyarakat, dan terdapat juga kepalsuan dalam cogan kata yang dilaungkan oleh negara maju mengenai kebebasan, demokrasi, pasaran bebas, liberialisme, dan individualisme. Begitu juga dalam kesusasteraan dan perlakuan sosiologikal yang mana menunjukkan banyak terdapat partikularisme di Negara maju. Contoh yang dikemukakan oleh Frank adalah Eropah secara umumnya dan Jepun. Sebaliknya terdapat ciri – ciri universalisme tulen dalam masyarakat mundur tertentu, umpamanya penentangan terhadap penjajah, ideology pendidikan dan nasionalisme (Jomo).

Hoselitsz juga menyimpang jauh apabila menyatakan bahawa peranan social, ekonomi dan politik di Negara kurang membangun hampir secara eksklusif diagihkan berdasarkan norma – norma askriptif. Hoselitsz menggunakan contoh kepimpinan politik kebangsaan yang dihasilkan melalui rampasan kuasa tentera di Amerika Latin dan melalui kemunculan borjuis nasional di Africa sebagai bukti empirikalnya. Hoselitsz melihat kuasa politik Amerika Latin berada dalam tangan beberapa orang tuan tanah dan bersifat oligarki feudal.

Bagi Frank, Hoselitsz gagal memahami bahawa di kesemua Negara – Negara kurang membangun kapitalis, kuasa disebalik takhta terletak pada kelas yang memegang peranan atasan dalam organisasi ekonomi, khususnya mereka yang mempunyai ikatan perniagaan dengan Negara metropolis maju. Hal ini menunjukkan betapa cekapnya kapitalis menyelinap masuk dalam Negara kurang membangun, mengintegrasikan mereka dengan ekonomi kapitalis dunia dan secara keseluruhannya mengaplikasikan organisasi sosialnya ke atas mereka yang Frantz Fanon gelar sebagai mereka yang terkutuk di dunia (Frank).

Raul Prebisch pula telah mengemukakan analisa yang agak menyeluruh mengenai kesan buruk dari perdagangan antarabangsa. Pada pandangannya, halangan utama terhadap pertumbuhan ekonomi Negara mundur adalah kedudukan yang tidak memihak kepad mereka dalam perdagangan antarabangsa. Prebisch telah menunjukkan bahawa Negara mundur telah membangun di ‘pinggir system ekonomi dunia’. Negara mundur hanya berperanan sebagai pembekal bahan mentah, dan makanan kepada Negara ‘core’.

Prebisch menyangkal hujah bahawa pembahagian kerja dan pembahagian antarabangsa dapat memberi faedah kepada Negara mundur (Jomo). Menurutnya Negara mundur tidak mendapat faedah bandingan (comprative advantage). Menurutnya, barangan mentah yang dieksport oleh Negara miskin kepada Negara maju akan mengalami peningkatan nilai melalui proses pengilangan dan penjenamaan semula produk. Oleh hal yang demikian Negara miskin sentiasa berada di kedudukan yang tidak menguntungkan dalam perdagangan antarabangsa kerana terpaksa membayar lebih untuk barangan siap dikilang.

Singer juga menunjukkan kesan buruk pelaburan asing yang mewujudkan sector terpencil yang terpisah dari struktur ekonomi dalam negara mundur. Pelaburan asing yang disalurkan untuk mengeluarkan bahan mentah untuk dieksport ke negara industry memberi kesan buruk kerana;

1. Hasil pelaburan tersebut mengalir ke negara pelabur sahaja

2. Negara mundur hanya tertumpu pada kegiatan berteknologi rendah sebaliknya negara pengeksport modal mendapat faedah berganda melalui;

a. Peluang untuk mengeksport barangan pembuatan

b. Menikmati kemajuan ekonomi hasil dari perkembangan industry pembuatan

c. Menikmati lain – lain kemajuan teknologi (Singer 1964)

Bagaimana pun Singer berpendapat bahawa pergantungan berat sebelah yang terhadap perdagangan antarabangsa dan ketidakstabilan ekonomi ini berpunca daripada tingkat pendapatan negara rendah dan bukannya berpunca dari system sosioekonomi (Jomo).

Selain itu, hal yang tidak kurang pentingnya dalam memahami hubungan antara metropolis dan setelit adalah hubungan ini telah membentuk satu kelas pemerintah tempatan yang khusus dan mempunyai kepentingan untuk terus menjayakan agenda underdevelopment iaitu “lumpenbourgeoisie” yang menurut sahaja polisi-polisi underdevelopment atau dilabel oleh Frank sebagai “lumpendevelopment”. Hal ini dihuraikan oleh Frank sebagai pemerintah yang sudah terhisap dalam system kapitali dan hanya menurut sahaja kehendak negara maju sebagaimana yang dihujahkan oleh Karl Marx bahawa kerajaan dan kapitalis ini sentiasa saling membantu memperkukuhkan kedudukan masing – masing. Sebagai contoh banyak Negara – Negara membangun yang mengamalkan polisi yang mereka istilahkan sebagai mesra pelabur. Bagi menarik kemasukan pelabur lansung asing (FDI) kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif, Malaysia contohnya menyediakan galakan pelaburan di bawah Ordinan Taraf Perintis (1958), diikuti dengan Akta Galakan Pelaburan (1968), dan Akta Penyelarasan Pelaburan (1975). Umumnya FDI boleh didefinisikan sebagai pergerakan modal dari sebuah Negara ke Negara yang lain. Dunning (1970) menyenaraikan criteria FDI sebagai pemindahan modal kewangan, teknologi dan kepakaran. Organisasi yang terlibat juga mempunyai kuasa dalam membuat keputusan dalam urusan pentadbiran berdasarkan pemilikan ekuiti. Sebahagian besar aktiviti FDI ini dilakukan oleh firma besar yang biasa disebut sebagai Multinasional Corporation atau Transnasional Corporation.

Pendapat ini ditentang oleh dependencia school yang menekankan bahawa aktiviti MNCs mendatangkan risiko kepada proses pembangunan Negara membangun. Santos (1973) mengatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh kebanyakan Negara membangun perpunca daripada bagaimana mereka diintegrasikan dalam system ekonomi antarabangsa. Muller (1973) berpendapat bahawa aktiviti MNCs di negara membangun menyebabkab penganguran, monopoli modal berbanding suntikan modal baharu, dan kemusnahan syarikat tempatan. Kemasukan modal asing yang tiada had ini sudah tentu menyebabkan industry tempatan gagal bersaing dan pada akhirnya Negara itu akan terus bergantung kepada modal asing kerana kegagalan mereka membina ekonomi domestic yang kukuh. Contoh yang jelas adalah waktu krisis kewangan Asia pada 1997/98 yang melihatkan kerapuhan ekonomi tempatan apabila modal – modal asing ini ditarikkeluar daripada Negara membangun. Hal ini seterusnya memburukkan lagi imbangan pembayaran sesebuah Negara membangun itu.

Sumbangan Frank di dalam teori ini adalah satu rantaian hubungan metropolis-satelit yang digambarkan seperti berikut yang terkandung di dalam bukunya “Capitalism and Underdevelopment in Latin America”:

“The monopoly capitalist structure and the surplus expropriation/appropriation contradiction run through the entire Chilean economy, past and present. Indeed, it is this exploitative relation which in chain like fashion extends the capitalist link between the capitalist world and national metropolises to the regional centres (part of whose surplus they appropriate) and from these to local centres and so on to large landholders or merchants who expropriate surplus from small peasants ot tenants, and sometimes even from these latter to landless labourers exploited by them in turn. At each step along the way the relatively few capitalists above exercise monopoly power over the many below, expropriating some or all of their economic surplus, and to the extent that they are not expropriated in turn by the still fewer above, appropriating it for their own use. Thus at each point, the international, national and local capitalist system generates economic development for the few and underdevelopment for the many.” [2]

Menurut Frank rantaian hubungan metropolis-satelit ini telah wujud sejak abad ke-16 dan perubahan hanya dari segi bentuk eksploitasi dan penguasaan terhadap negara satelit. Ini dinamakan sebagai satu prinsip kesinambungan di dalam perubahan atau “continuity in change”. Selain itu, Frank turut menyentuh mengenai kesan-kesan politik iaitu kelas memerintah di negara-negara yang mengalami underdevelop menempatkan diri mereka di dalam rantaian hubungan itu yang berlaku di luar bandar sehingga ke negara metropolis dan mereka mempunyai kepentingan untuk mengekalkan kedudukan tersebut.

“This colonial and class structure establishes very well defined class interests for the dominant sector of the bourgeoisie. Using government cabinets and other instruments of the states, the bourgeoisie produces a policy of underdevelopment in the economic, social and political life of the “nation” and the people of Latin America.”

. Ringkasnya, “lumpenbourgeoisie” ini mencipta “lumpenstate” yang menyebabkan kemerdekaan yang sebenar tidak dapat dicapai tetapi menjadi instrumen berkesan dalam meneruskan underdevelopment. Oleh itu, polisi negara adalah elemen paling kritikal dan penting dalam pembangunan ekonomi.

Teori Sistem Dunia Wallerstein

Dalam membincangkan teori pergantungan, penting sekali teori sistem dunia oleh Wallerstein disentuh kerana pendapat bahawa mana-mana sistem sosial perlu dilihat secara menyeluruh dan negara bangsa di dalam dunia moden juga tidak boleh dikaji secara tersendiri kerana ia bukan satu sistem tertutup. Wallerstein menyatakan sistem dunia moden adalah kapitalis kerana ia adalah sistem ekonomi.

“Capitalism and a world economy (that is, a single division of labour but multiple polities) are obverse sides of the same coin. One does not cause the other. We are merely defining the same indivisible phenomenon by the different characterisitics.”

Mengikut Wallerstein, sistem dunia kapitalis dibahagikan kepada tiga jenis negara iaitu negara core atau teras, semi-periferi dan negara periferi. Perbezaan bagi ketiga-tiga jenis negara ini adalah jentera negara di dalam bidang-bidang yang berlainan dan ini sebagi timbal balas, membawa kepada pemindahan modal dari periferi ke negara teras yang kemudian menguatkan lagi negara tersebut. Kuasa negara adalah mekanisme utama memandangkan aktor-aktor di dalam pasaran cuba untuk mengelakkan operasi normal pasaran yang tidak memberi keuntungan maksima jika berpaling kepada negara negara untuk mengubah syarat-syarat perdagangan. Pada asalnya, pembahagian core-periphery diterangkan oleh faktor teknologi.

Eropah Barat mengkhusus di dalam pengeluaran dan penternakan haiwan yang mana aktiviti-aktiviti ini memerlukan kemahiran yang tinggi dan dilakukan oleh buruh-buruh yang dibayar gaji agak lumayan. Struktur sosial adalah asas kepada negara kuat secara relatif dan membolehkan mereka menguasai pasaran untuk kelebihan mereka. (Rahardjo)

Manakala, Hispanik Amerika hanya menjalankan aktiviti perlombongan dan Baltik di timur Eropah mengkhusus di dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran rendah, maka kapitalis Eropah tersebut akan memilih melalui campur tangan negara, buruh paksaan dan mewujudkan kepentingan berbeza antara pengeluar dan kepentingan eksport produk utama. Hasilnya, negara menjadi lemah dan sedia untuk dikuasai oleh negara teras. Mereka kemudian menjadi periferi.(Rahardjo)

Apabila divisyen negara tersebut wujud, core-periphery dikekalkan dengan kebolehan negara-negara teras untuk memanipulasikan perjalanan sistem secara menyeluruh bagi menyesuaikan dengan keperluan mereka iaitu negara teras. Mereka dengan sengaja melemahkan negara periferi atau menghapuskannya dengan penaklukan serta mengubah cara pasaran berfungsi melalui sekatan, monopoli, melindungi industri mereka sendiri dan menghalang periferi mengadakan halangan tertentu. (Rahardjo)

Semi-periferi pula disifatkan sebagai negara aristokrasi buruh dan menjadi pusat kepada perubahan kerana negara semi-periferi ini boleh berubah menjadi negara teras dan negara teras yang semakin lemah akan berubah menjadi semi-periferi. Wallerstein menganggap buruh sebagai komoditi. Idea Wallerstein ini mencadangkan supaya sistem dunia dari semua segi perlu dilihat secara menyeluruh dan pelaksanaan sistem dunia ini menghasilkan cara-cara kawalan terhadap buruh yang penting kepada sistem pengeluaran negara teras. Apabila kedua-dua aliran teori pergantungan ini menyentuh mengenai sistem dunia dan dikaitkan pula dengan kapitalisme, maka timbul satu persoalan umum adakah ianya masih lagi relevan memandangkan evolusi yang dialami oleh kapitalisme pada era ini dengan tersebarnya globalisasi ke seluruh pelusuk dunia dan pergerakan modal serta peranan syarikat-syarikat multi nasional, MNC.

Dengan perkembangan demokrasi juga telah meningkatkan pengaruh liberalisme dan neo-liberalisme yang membenarkan kebebasan individu mencari keuntungan maksimum, ideologi yang membenarkan pencarian harta kekayaan melalui apa cara sekali pun dan andaian bahawa apabila pengeluaran meningkat maka permintaan untuk peluang pekerjaan turut meningkat. Persoalan kekurangan modal di negara-negara miskin untuk memulakan program yang dapat membebaskan diri daripada pergantungan juga dijadikan hujah bagi membalas teori strukturalis. Hal ini kerana negara miskin terlalu bergantung kepada satu atau dua produk utama, kekurangan tenaga mahir dan kelemahan dari segi kewangan mencukupi, komunikasi dan infratruktur pengangkutan misalnya. Kekurangan negara-negara miskin kemudian diisi oleh kelengkapan teknologi dan peralatan melalui pelaburan negara-negara kaya. Dengan andaian-andaian tersebut, esei ini akan membuat penilaian sama ada teori pergantungan masih relevan atau pun tidak dengan evolusi yang dilakukan oleh kapitalisme. Jika teori pergantungan oleh Gunder Frank menekankan kepada penggunaan sumber yang aktif tetapi hanya memberi keuntungan kepada negara kaya dan bukan negara pemilik sumber tersebut yang terdiri daripada negara miskin, pada era globalisasi dan sistem perdagangan dunia yang telah berubah, maka peranan modal yang dipandu oleh MNC telah mengubah senario ini.

Hal ini bermakna, hubungan antara negara kaya dan miskin bukan lagi berasaskan penyediaan sumber seperti komoditi melalui eksport dan import barangan siap oleh negara miskin tetapi telah mengalami perubahan dengan adanya peranan modal atau disebut Foreign Direct Investment, FDI. Melalui FDI, negara yang menerima pelaburan asing menyediakan tenaga buruh yang murah, sumber dan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan. Seperti yang dijelaskan Eichengreen (2003) menyatakan bahawa pergerakan modal sebagai penjana pembangunan dengan menyalurkan sumber, teknologi, pengetahuan berorganisasi dan pemangkin kepada perubahan institusi. Tugas polisi atau dasar pula untuk menggalakkan pengaliran modal dari negara pemodal yang kaya ke dalam negara-negara yang miskin ekonominya. Hasil daripada FDI yang membawa bersama teknologi dan kepakaran, sebahagian negara-negara miskin, kurang membangun dan negara-negara dunia ketiga kini telah banyak berubah menjadi apa yang dinamakan negara sedang membangun dan negara industri baru.

Jika menggunakan model penggantungan Frank, mungkin sukar untuk menjawab mengenai kemunculan Negara ekonomi perindustrian baharu Asia seperti Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, dan Singapura. Namun, pemahaman terhadap fenomena ini telah dihuraikan oleh Wallerstein. Negara – Negara ini adalah Negara Semi-periferi yang mengeksploitasi Negara periferi. Terlebih dahulu hendaklah difahami dengan jelas tentang ciri – ciri Negara ekonomi baru Asia ini. Umumnya, terdapat beberapa sifat sepunya yang dapat dilihat pada Negara – Negara ini, iaitu;

1. Ekonomi yang sangat terbuka ( sangat tinggi peratusan nisbah eksport atau import kepada KNK) yang mengalami perindustrian serta pertumbuhan pesat sejak 1960-an. Ekonomi mereka dipacu oleh pertumbuhan eksport yang besar terutamanya dengan sebahagian besar jumlah eksport yang terdiri daripada barangan pembuatan.

2. Kejayaan perindustrian pacuan eksport barangan pembuatan ini adalah hasil perlaksanaan strategi pembangunan berorentasikan eksport.

3. Pertumbuhan ekonomi yang dicapai disertai pertumbuhan dalam pertunjuk sosioekonomi seperti pengurangan ketaksetaraan pengagihan pendapatan dab peningkatan taraf hidup rakyat.

4. Tidak mempunyai sumber asli

5. Masyarakat yang homogen

Terdapat dua teori ekonomi yang utama dalam membahaskan fenomena ini. pertamanya neo – liberal yang menyatakan bahawa kejayaan Negara ekonomi baharu Asia ini disebabkan oleh polisi liberalisasi ekonomi mereka. Liberalisasi juga bermaksud mengehadkan campur tangan kerajaan dalam pasaran. Namun, ekonomi perindustrian bahru ini sehingga akhir 1980-an mewakili dua ekstrim dengan Korea Selatan yang paling authoritarian dalam pemerintahannya diikuti oleh Singapura. Manakala Hong kong pula adalah saki baki ekonomi Laissez faire abad ke 19. Taiwan adalah diantaranya. Selain itu jika diteliti, negara – negara ini berorentasikan perdagangan interport, di mana barangan mentah yang mereka import (hal ini kerana mereka tidak memiliki sumber asli) dari negara periferi dikilangkan dan dijenamakan semula sebelum dijual kepada negara core. Pandangan struktruralis mempunyai pelbagai kecenderungan, namun umumnya penekanan diberikan dalam menganalisa struktur ekonomi;

1. Kepentingan relative berbagai kegiatan ekonomi seperti pertanian, industry dan perkhimatan

2. Hubungan ekonomi domestic dengan ekonomi dunia

3. Tingkat produktiviti dalam setiap kegiatan

4. Jenis dan skala perusahaan

Maka, aliran strukturalis melihat kejayaan ekonomi perindustrian baharu ini adalah disebabkan oleh kejayaan pemerintah yang berjaya mendisplinkan pasaran. Campur tangan kerajaan adalah untuk memastikan kegagalan penyelarasan pasaran tidak berlaku khususnya diperingkat awal pembangunan. Hal ini dapat dibuktikan apabila Korea Selatan hanya membuka pelaburan kepada firma yang syarat kerajaan.

Perkembangan globalisasi yang mendorong dunia tanpa sempadan bagi pengaliran modal, buruh dan perdagangan dunia mungkin memerlukan pengubahsuaian semula teori pergantungan oleh Gunder Frank. Bagaimanapun, aspek pelebaran kuasa kapitalisme juga tidak dinafikan terus kukuh di dalam sistem dunia berikutan perkembangan-perkembangan baru ini kerana modal, FDI dan teknologi masih berasal dari negara-negara kapitalis kaya yang pada akhirnya mereka yang akan menguasai dan memonopoli pasaran negara lain. Hal ini berlaku kerana:

1. Pasaran domestik negara-negara miskin tidak cukup besar bagi menyokong ekonomi berskala yang digunakan negara-negara kaya bagi mengekalkan harga yang lebih murah.

2. Isu kedua adalah membabitkan aspirasi politik negara-negara miskin sama ada penukaran daripada menjadi pengeluar komoditi kepada barangan perkilangan boleh dilakukan atau tidak.

3. Isu terakhir adalah melibatkan sejauh mana negara-negara miskin sebenarnya mempunyai kawalan terhadap produk utama mereka khususnya bagi penjualan barangan tersebut ke pasaran antarabangsa.

Hubungan terkini antara negara-negara di dalam sistem baru dunia ini mungkin dijelaskan dengan lebih tepat oleh teori sistem dunia yang dikemukakan oleh Wallerstein. Ini kerana dunia yang sedang membangun dan negara-negara miskin memerlukan kewujudan negara teras atau core untuk mendapatkan bantuan bagi kemajuan ekonomi mereka. Negara-negara teras secara konsisten menjadi penjana FDI utama dunia dan mampu mengekalkan corak penguasaan terhadap negara-negara yang memerlukan bantuan mereka dalam membangunkan ekonomi sejagat. Oleh itu, proses untuk membebaskan diri oleh negara-negara kurang membangun ini dilihat begitu mustahil dilakukan lebih-lebih lagi dengan penubuhan blok-blok perdagangan serantau yang ingin membina satu bentuk perlindungan kepada industri masing-masing.

Percubaan untuk memasuki rantau kerjasama perdagangan tersebut oleh sebuah negara dari rantau lain begitu sukar dan perlu mematuhi pelbagai syarat yang akan melonggarkan peranan kawalan negara terhadap pasaran, misalnya penghapusan pelbagai bentuk cukai dan tarif. Contoh lain daripada isu ini adalah kemasukan China ke dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia, WTO yang mana China telah dipaksa mematuhi syarat-syarat seperti meningkatkan tahap hak asasi manusia sebelum diterima masuk untuk memperolehi kelebihan dalam perdagangan dunia. Maka, kaedah yang boleh dilakukan adalah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Frank iaitu perubahan yang radikal dalam struktur dan system ekonomi yang sedia wujud. Untuk itu antara pilihannya, sama ada negara – negara membangun ini memutuskan hubungan dari system dunia ini dan membangunkan dahulu ekonomi mereka atau membina blok ekonomi mereka sendiri dan mula berdagang sesama sendiri.

Rumusan

Sehingga kini tiada teori umum mengenai pembangunan (Rahimah 1989) Hanya yang terdapat ialah teori – teori dan pendekatan yang diutarakan berdasarkan perspektif, falsafah, isu, idea, dan konsep yang berbeza. Penulisan Frank yang berdasarkan pengalaman sejarah Negara Amerika Latin, menolak dengan tegas teori dualism dan sebaliknya mendakwa bahawa pembangunan dan kemunduran Negara – Negara membangun adalah disebabkan proses pembangunan dunia kapitalis (Ishak 1988). Wallerstein pula menegaskan bahawa struktur dalaman dan proses pembangunan di pelbagai kawasan dunia ditentukan oleh kedudukannya dalam system ekonomi dunia. Kritikan – kritikan yang dikemukakn oleh Frank dan Wallerstien terhadap teori – teori Barat merupakan kritikan yang sistematik, kritikal lagi tajam terhadap teori – teori sosiologi dalam memahami kemiskinan di negara membangun khususnya selepas Perang Dunia kedua.

Rujukan

Abdul Salam. 1999. Bumi Semua Manusia:Menangani KetidaksetaraanEkonomi Dalam Arus Globalisasi . Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Chamhuri Siwar. 1996. Kemiskinan Dalam Asas Pembangunan Ekonomi Malaysia. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Chamhuri Siwar, Mohd. Haflah Piei (sunt). 1988.Isu, Konsep dan Dimensi Kemiskinan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka

Ishak Shari. 1988. Pembangunan dan Kemunduran, Perubahan Ekonomi Luar Bandar Di KELANTAN. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jomo K S. 1988. Pembangunan Ekonomi dan Kelas social Di semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan pustaka.

Jomo K S (sunt). 1987. Pagar Makan Padi; Amanah , Kemiskinan dan kekayaan. Kuala Lumpur. INSAN

Rahardjo (sunt). 1987. Kapitalisme Dulu dan Sekarang. Jakarta. LP3ES

Rahimah Abdul Aziz (sunt). 1989. Sosiologi Pembangunan; sumbangan Andre Gunder Frank. Bangi.Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rahimah Ismail, Mohd shukri Hajinoor(sunt). 2003. Dimensi Ekonomi Pembangunan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rahimah Ismail. 2003. Ekonomi Pembangunan; Isu sumber manusia. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

[1] Andre Gunder Frank, “The Development of Underdevelopment,” in James D. Cockcroft, Andre Gunder Frank, and Dale Johnson, eds., Dependence and Underdevelopment. Garden City, New York: Anchor Books, 1972,

[2] Andre Gunder Frank, “The Development of Underdevelopment,” in James D. Cockcroft, Andre Gunder Frank, and Dale Johnson, eds., Dependence and Underdevelopment. Garden City, New York: Anchor Books, 1972,.

About these ads

4 Responses

  1. terlalu panjang untuk blog. kalau diringkaskan itu lebih tidak membosankan. beberapa teori yg dihuraikan tidak begitu jelas. dan terlalu banyak kesalahan ejaan.

  2. terlalu panjang. sangat tidak sesuai untuk dimasukkan ke dalam blog. tulisan blog harus pendek, padat dan mantap. kalau tidak mengantuk orang nak baca.

    mungkin boleh dirumuskan teori-teori yang dihuraikan hanya dalam 2-3 perenggan sahaja.

    zzzzzzz

  3. Ya, atau buat secara bersiri..

  4. Pamerkan sesuatu yang mampu untuk pembaca menatapnya dengan penuh keinginan. Keinginan yang lahir bagi memenuhi tujuan penulis menulis.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 54 other followers

%d bloggers like this: